Tag Archive: BPI JHEAINS


KENANGAN

Sikit lagi

Secara rasminya, saya sudah melapor diri ke tempat bertugas yang baru pada 1 November 2011 tempohari, namun seperti kebiasaan orang yang berpindah tempat bertugas, saya masih hadir ke tempat lama di Bahagian Penyelidikan & Informasi (BPI) JHEAINS menyiapkan tugasan-tugasan berbaki dan mengemas barang-barang peribadi untuk diangkut sedikit demi sedikit.

Setelah dimaklumkan pertukaran saya secara hitam putih, saya mula berkemas sedikit demi sedikit. Dua minggu hari bekerja, saya angkat sedikit demi sedikit pada waktu petang. Sebenarnya barang peribadi tidaklah terlalu banyak, jadi tidak  sukar untuk membawa beransur-ansur ketika pulang petang. Sehingga ada teman sepejabat terkejut bilik hampir lengang pada petang jumaat lepas.

Saya melapor diri ke bahagian ini pada 29 Februari 2008 dalam suasana kempen pilihanraya, kira-kira seminggu sebelum hari pengundian pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 setelah setahun empat bulan di Istana Negeri. Alhamdulillah,  di BPI ini saya mendapat teman-teman sepejabat yang sangat mengerti terutamanya ketua kami Ustaz Musally Moksin yang sempoi orangnya.

Lucu juga mengingatkan saya pernah buat kecoh dan dianggap menyusahkan pentadbiran kerana isu teks khutbah yang didakwa menyinggung perasaan orang tertentu daripada kalangan al-mala’. Teks khutbah jumaat yang saya tulis untuk jabatan kemudian ditarik balik walaupun sudah dibaca ramai khatib seluruh Sabah. Saya kemudiannya di’gam’ daripada menulis khutbah untuk jabatan. Itulah antara asbab saya kemudiannya menulis blog yang sedang saudara saudari tatap sekarang ini.

Tidak mengapalah kerana itu saya anggap sebagai asam garam kehidupan dan pahit manis perjuangan (walaupun itu hanya kecil sahaja). Ada lagi beberapa kali, tetapi saya abaikan saja, sehingga dipanggil dan ditemui oleh teman SB. Dalam soal kerja, saya amat mengakui kelemahan saya dalam soal penyelidikan kerana saya tidak dilatih untuk itu. Antara yang diingati ialah membaca beberapa buah buku yang disyaki mengandungi fakta-fakta agama yang menyeleweng, walaupun saya bukan pakar usuluddin, syariah atau tasawuf.

Kunjungan ke beberapa lokasi ajaran yang didakwa pengadu mengadakan ajaran sesat atau salah, antaranya ke Tuaran, Papar, Kota Marudu, Semporna, bahkan ke sekitar Kota Kinabalu juga dan lain-lain. Ada juga individu tertuduh melibatkan teman-teman yang dikenali, yang rasanya melibatkan emosi persahabatan dan sudah tentu lebih sukar menyelesaikannya.

Saya turut menyertai beberapa operasi bersama KDN, KPDN&HEP dan agensi lain untuk meninjau buku-buku terlarang serta bersama Unit Halal (disebut sebagai urus setia Makanan Gunaan Islam -MGI) membuat operasi bersama ke restoran dan kilang-kilang memproses makanan. Ketika musim Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) daerah-daerah dan perkhidmatan awam, saya agak sibuk mengatur hakim-hakim tilawah untuk diagihkan bertugas di lokasi yang ditetapkan. Di sini juga saya diberi peluang menulis sebuah buku kecil bertajuk ‘Tazkirah, Peringatan Buat Diri Yang Lemah’, dan dicetak 3 ribu naskhah untuk edaran kepada masyarakat.

Saya kira itu semua sebagai pengalaman manis dalam berkhidmat sebagai penjawat awam. Tugasan-tugasan seperti itu, saya amat hargai dan saya amat berterima kasih kepada semua pihak, daripada Ybhg Datuk Pengarah sehinggalah kepada teman-teman sepejabat di BPI. Insya Allah ia menjadi kenangan terindah dan tidak akan saya lupakan. Kepercayaan pentadbiran khususnya Datuk Pengarah dan Timbalan Pengarah (HEI) dengan perpindahan saya ke tempat baru beserta nasihat-nasihat berharga mereka juga tetap hargai.

Justeru, saya menganggap bertugas di Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat Negeri Sabah bermula semalam (14 November 2011) sebagai peluang untuk mendidik dan berkongsi ilmu bersama bakal para huffaz al-Quran. Dalam mesyuarat akademik tempohari, saya ada menyuarakan hasrat saya membantu mengemaskan hafazan mereka sama ada daripada segi hafazan baru (tasmik) atau memelihara hafazan sedia ada (muraja’ah atau i’adah atau mengulang).

Saya katakan, kebiasaannya pelajar diawasi oleh para pensyarah dalam soal tasmik (memperdengarkan hafazan yang baru), tetapi agak terabai dalam soal mempertahankan hafazan yang lama, dan itu juga menjadi keutamaan saya. Saya diamanahkan menjadi guru tasmik al-Quran kepada 9 siswa siswi semester dua – semester dua ini ada 15 orang semuanya, guru tasmik dua orang. Saya juga mulai petang tadi mengadakan kelas mengulang al-Quran secara beramai-ramai dengan teknik yang saya rasa boleh diikuti oleh mereka, berdasarkan apa yang kami alami semasa bergelar siswa ketika di bawah didikan Datuk Haji Asmali Bachi dahulu.

Semoga Allah SWT membantu saya, dan saya pohon doa para pembaca agar saya dapat bertahan di sini, kerana saya sangat gembira di sini. Pagi petang saya boleh mendengar al-Quran bersama mereka sekurang-kurangnya satu-dua juzu sehari, dan antara lagi yang menyukakan ialah saya dapat menyertai solat berjamaah bersama mereka di surau yang terletak dalam satu blok yang sama dengan pejabat kami, dan hanya beberapa langkah di hadapan bilik-bilik kuliah kami. Inilah nikmat yang tidak patut saya dustakan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) diumum sebagai johan Ekspo Pameran sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 baru-baru ini.

Tempat kedua dan ketiga ialah Pejabat Pilihanraya Negeri Sabah dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah. Kesemua mereka mendapat plak, sijil penghargaan dan hamper.

Sempena MTQ Kebangsaan ini, Ekspo Pameran diadakan di tingkat 1 Wisma MUIS sepanjang 9 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang MTQ. Menurut JAKIM Sabah yang menjadi urusetia ekspo berkenaan, terdapat 64 peserta ekspo pameran terlibat dan hanya separuh menyertai  penilaian pameran.

Pihak urusetia ekspo juga mencatatkan lebih 10 ribu pengunjung direkodkan sepanjang lima hari pameran berkenaan. Dalam tempoh berkenaan juga diadakan hadiah-hadiah pengunjung bertuah. Hadiah utama pengunjung bertuah menerima tiket penerbangan ke Kuala Lumpur bagi menyaksikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa hujung bulan ini.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Haji Sukarti Wakiman dalam majlis ringkas di tingkat 1 Wisma MUIS pada jam 7.00 malam sebelum penutupan rasmi MTQ Kebangsaan. Turut hadir ialah isteri beliau, Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri A Suratman, Pengarah JAKIM Sabah Ustaz Aziz Muhammad dan ketua-ketua jabatan yang terlibat.



Pada 13 Mei lalu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Hj Amri Suratman melancarkan laman web JHEAINS yang baru di Bilik Mesyuarat Hidayah, Tingkat 10 Wisma MUIS.

Majlis pelancaran berkenaan dilancarkan secara ringkas oleh beliau dan turut dihadiri oleh pegawai kanan JHEAINS dan juga dari Bahagian Penyelidikan & Informasi (BPI).

Saya sengaja tidak memasukkan berita ini terlebih awal kerana pada peringkat awal laman web ini hanya boleh dilayari melalui talian sabah.net. Alhamdulillah kini laman web JHEAINS ini turut boleh dilayari melalui talian-talian lain seperti Streamyx, broadband Celcom, Maxis dan Digi.

Laman web berkenaan boleh dilayari melalui alamat http://jheains.sabah.gov.my/. Sokongan dan komen membina dialu-alukan.

(Ust Musally (kanan sekali) bersama isteri dan anak perempuannya di LTAKK. Dua anak saya – Nuha dan Hadi turut bergambar bersama)

Jam 11.30 pagi saya sekeluarga sempat singgah sebentar ke LTA Kota Kinabalu.

Tujuannya untuk menghantar dan mengucap selamat jalan atas keberangkatan pergi Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS ke Mesir.

Ustaz Musally Moksin adalah ketua di bahagian saya bertugas yang biasa kami semua – anak-anak buahnya – memanggil dengan gelaran ‘Cip’. Nama beliau dipilih oleh Datuk Pengarah JHEAINS untuk menyertai kursus dakwah dan fatwa selama 3 bulan bersama-sama 13 ahli rombongan seluruh negara.

Mudah-mudahan beliau selamat di sana dan mendapat segala yang diharapkan sepanjang keberadaan di bumi tarbiyyah dan bersejarah itu. Harap-harap balik dengan bekalan ilmu, maklumat dan pengalaman yang berharga untuk perkongsian bersama.

Siang tadi, kami menerima tetamu seramai 5 orang dari Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) khususnya Bahagian Penyelidikan diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (KPP) bahagian tersebut, Ust Hj Yosree Hj Ikhsan.

Di pihak JHEAINS, pertemuan diketuai oleh Timbalan Pengarah (HEI) Ust Md Sidik Ag Adi mewakili pengarah yang mempunyai urusan penting sempena persidangan DUN. Turut hadir ialah Ust Musally Moksin (KPP Penyelidikan), Ust Hj Sotimin Sarun (Urusetia Makanan & Bahan Gunaan Islam)

Perbincangan, pertukaran maklumat dan pengalaman dalam isu-isu penyelidikan menjadi fokus utama terutama yang melibatkan ajaran-ajaran sesat di seluruh negara.

Alhamdulillah, perbincangan berjalan sejam setengah itu memberi maklumat yang berharga khususnya bagi diri saya yang masih baru dan tidak berpengalaman dalam isu-isu aqidah, syariah dan ajaran sesat.

BILANG CINTA NABI

Kalau seseorang itu meminati seorang penyanyi, dia akan sering mendendangkan lagu artis pujaannya. Dia membeli koleksi album artis berkenaan, sentiasa mengambil berat perkembangan artis berkenaan.

Sebagai peminat setia, dia mengetahui tarikh lahir artis pujaannya, warna kegemarannya, jenis keretanya, makanan kesukaannya, aktiviti hariannya. Sekiranya berpeluang, ingin benar dia dekat dengan artis berkenaan.

Kalau seseorang itu meminati sebuah pasukan bola, dia akan sering mengikuti perlawanan membabitkan pasukannya, sama ada terus di stadium bola atau siaran langsung di kaca tv. Dia mengambil berat perkembangan  jatuh bangun pasukannya.

Dia membeli dan ada koleksi jersey pasukan kesayangan, sticker ditampal di kereta, ada topi lambang pasukan pujaan dan apa sahaja lambang berkaitan pasukan pujaannya sedayanya dimiliki. Kalau ada orang mengutuk pasukan pilihannya, dia bermati-matian mempertahankannya.

***

Dia bilang, dia cinta Nabi.

Tapi tidak pernah solat berjamaah di masjid sebagaimana yang Nabi selalu buat; jarang sekali menyebut-nyebut nama Nabi melalui solawat, tidak tahu pun bentuk tubuh badan Nabi SAW sebagaimana dia kenali artis pujaannya.

Dia tidak tahu kegemaran Nabi, pakaian Nabi, warna kesukaan Nabi, cara Nabi berjalan, buah yang Nabi makan, gurauan Nabi, kemarahan Nabi, keluarga Nabi SAW.

Apa Nabi suruh, dia buat tak tahu. Apa Nabi larang, dia tak layan. Tapi menjelang 12 Rabiul Awwal, dia kata dia sayang Nabi.

Tazkirah BPI, JHEAINS

%d bloggers like this: