Tag Archive: Bob Lokman


Tarikh : 30 Ogos 2016

Lokasi : Surau Darul Muttaqin, Kuala Ibai, Kuala Terengganu & Dataran Wisma Kokhidmat, Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

Tarikh : 17 Jun 2016

Lokasi : Madinah Ramadhan Kota Bharu Kelantan

Tarikh : 2 Mei 2015

Lokasi : Sepanggar Kota Kinabalu

Bukan saja dapat makan-makan tengahari dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, turut ada sekali ialah abang Bob Lokman, kumpulan Hijjaz dan lain-lain.

20150502_133744 20150502_135840 20150502_140528 20150502_140535

1) Abang Bob Lokman. Beliau yang selalu dimaklumkan tentang masalah kesihatan, nampaknya hadir dalam dua program tarbiah. Alhamdulillah, beliau memberikan komitmen yang tinggi dalam program sebegini. Contoh terbaik kalangan artis selebriti yang berhijrah.

2) Tuan Guru Hj Nik Radzi Nik Mat. Adik kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz. Suara dan auranya persis TGNA. Mendengar suaranya berkumandang akan menyebabkan terubat sedikit perasaan rindu kepada TGNA. Saya berhajat ada usaha membawa beliau ke Sabah.

3) Ustaz Syed Abdul Kadir al Joofre. Pendakwah muda yang semakin meningkat naik. Wajah dan suaranya berkumandang di TV dan Radio juga akhbar. Khabarnya sangat sibuk dengan aktiviti dakwah dalam dan luar negara. Contoh yang baik buat anak muda.

4) Abdullah Atan. Pakar IT yang terlibat dalam jemaah. Memainkan peranan baik dalam kerja-kerja belakang tabir agar urusan ICT berjalan elok dan sampai ke sasaran.

5) Mohd Khairul Yusri (KY). Anak muda yang pernah menuntut ilmu dan berkhidmat di Sabah. Kini menjalankan perniagaan di tengah jantung ibu negara. Hubungannya dengan Sabah tetap terjalin hingga ini.

6) Ustaz Haji Ikmal Zaidi Hashim. Senior di Mesir. Kini berkhidmat di Kolej Universiti Islam Selangor. Beliau juga aktivis dan AJK Darussyifa’ Malaysia. Pernah menadah ilmu pengubatan Islam daripada beliau ketika beliau berkunjung ke Kota Kinabalu satu ketika dahulu. Beliau juga pernah menjadi hakim MTQ Kebangsaan.

Jumpa (1) Jumpa (2)Jumpa (3)Jumpa (4)Jumpa (5)

OLEY 2

Sebuah filem terbitan DPPM arahan Adam Hamid yang menerangkan tentang hudud dan mengambarkan keadaan seperti selepas Pakatan Rakyat memerintah negara.

 

 

 

DULU LAIN SEKARANG LAIN

1. Bob Lokman – bekas pelakon, pelawak, komposer;

2. Ustaz Akhil Hayy – bekas penyanyi rock (80-an) ‘D Riyadh’;

3. Megat – bekas penyanyi kumpulan ACAB;

4. Azmil Mustafa – bekas pelakon filem ‘Ali Setan’;

5. Ustaz Radzi – bekas penyanyi rock ‘Melissa’;

6. Iwan Syahman – bekas penyanyi dangdut;

7. Izam – bekas vocalis kumpulan E.Y.E;

8. Sham Kamikaze – bekas gitaris kumpulan ‘kamikaze’;

9. Mel – bekas penyanyi kumpulan ‘Wings’.

“Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sayang, tetapi Allah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang disukainya..”

***

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/

Iwan seru rakan artis berubah

KUALA LUMPUR, 6 Okt: Penyanyi irama dangdut, Iwan, menyeru rakan-rakan artisnya supaya segera berubah bagi mendapatkan keampunan Allah. Menurut beliau, artis-artis yang ingin berubah tidak sepatutnya melengah-lengahkan keinginan itu supaya dengan itu mereka akan menjadi lebih dekat kepada Allah SWT. Katanya, perubahan para artis ke arah yang lebih baik merupakan satu perkara yang penting bagi membolehkan mereka bersama-sama umat Islam lain melakukan perubahan ke arah yang lebih baik pula terhadap masyarakat.

“Marilah kita bersama-sama kembali kepada Allah, kembali kepada fitrah, inilah yang lebih baik. Kalau nak menyanyi tu menyanyilah lagu-lagu yang boleh memberikan manfaat kepada kita dan kepada peminat-peminat kita,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, malam tadi. Menurut beliau, perubahannya berpunca dari banyak sebab dan beliau bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan kesempatan kepadanya untuk berfikir supaya berubah.

“Tapi yang pentingnya bagi saya, saya bersyukur dalam keadaan saya sekarang yang lebih tenang dan lebih suka untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya. Iwan yang mula kelihatan berubah sejak 5 tahun lalu berkeupayaan memperlihatkan perubahan yang ketara pada diri dan kehidupannya sejak 2 tahun lalu dan beliau bersyukur kepada Allah kerana diberikan sokongan padu oleh para peminatnya. Beliau yang kini lebih suka menyanyikan lagu-lagu yang berkonsepkan nasyid turut menghasilkan sebuah album seperti itu yang diberi judul Segalanya Allah.

“Alhamdulillah, saya lebih senang menyanyikan lagu-lagu seperti ini. Saya tak segan-segan untuk menyanyikan lagu-lagu ini,” jelas beliau ketika ditemui sempena kunjungannya ke Markas PAS Taman Melewar, di sini, malam tadi bagi mengadakan persembahan pada program Rapat Rakyat anjuran PAS Kawasan Batu.  Kepada peminat-peminatnya, beliau tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberian sokongan yang padu terhadap album tersebut.

‘Doakan saya untuk saya selalu beristiqamah dengan lagu-lagu macam ini untuk anda semua. Harapan saya dengan lagu-lagu macam ini juga dapat mendorong masyarakat untuk mendekatkan diri kepada Allah. Tujuan saya supaya apabila lagu-lagu ini sampai ke telinga orang, khususnya peminat-peminat saya yang masih tenggelam dalam arus dunia seperti saya dulu, kita sama-sama melakukan perubahan yang lebih baik ke arah mendekatkan diri kepada Allah SWT,” ujarnya.

Album Segalanya Allah mengandungi 10 buah lagu. Kesemua lagu dan liriknya dicipta oleh Iwan sendiri. Album tersebut telah berada di pasaran sejak 2 bulan lalu. Menerusi kemunculan album terbarunya itu, beliau yang sebelum ini hanya dikenali dengan Iwan turut melakukan perubahan terhadap namanya dengan menamakan dirinya sebagai Iwan Syahman.

Apabila saya maklumkan kepada anak-anak – Nuha, Hana dan Hadi – bahawa Bob Lokman akan datang ke Kota Kinabalu dan khususnya mengisi satu slot di Surau Riyadhus Solihin Taman Ausral, mereka semuanya beriya-iya mahu turut hendak berjumpa. Saya kira, watak Bob Lokman dalam drama ‘Zoo’ di Astro Ceria banyak mengingatkan mereka tentang Bob Lokman. Begitu juga dengan drama ‘Fatimah Juling’. Saya dimaklumkan oleh abang Bob Lokman malam itu bahawa itulah drama terakhir lakonannya sebelum berlepas ke Kedah tempohari.

Saya turut membaca buku tulisan beliau dan Ustaz Riduan Mohamad Nor bertajuk ‘Aku, Isabella dan Tok Kenali’ yang menceritakan tentang kehidupan beliau sejak zaman kecil, zaman rock kapak dan titik penghijrahan beliau sebagaimana yang ada kini. Maka saya membuat satu kesimpulan bahawa beliau sebenarnya kembali sebagaimana keadaan keluarganya yang asal. Beliau sudah teruji dalam sepak terajang dunia seni hiburan, berkawan rapat dengan ramai artis ternama tanahair tetapi buat masa ini Allah SWT memilih beliau dan beberapa orang lain untuk kembali ke pangkal jalan dengan asbab yang pelbagai.

Beliau pernah hidup dalam kemewahan dengan pendapatan puluhan ribu sebulan tetapi ketenangan hidup hanya dirasakan apabila beliau benar-benar kembali menjalani hidup sebagai seorang hamba Allah yang sebenar-benarnya. Oleh kerana beliau berasal daripada keluarga yang ‘mutadayyin’, maka apabila beliau tersilap langkah beberapa ketika, kemudian berpatah balik, saya kira ia tidak begitu sukar (walaupun tetap sukar) berbanding orang lain kerana beliau sudah mempunyai asas agama yang baik – keluarga, keturunan dan pendidikan agama.

Masa makan, saya bertanya kepadanya tentang persahabatannya dengan rakan-rakan artis. Katanya beliau rapat dengan ramai rakan artis ternama, tetapi kini semua SMSnya kepada rakan-rakannya tidak berbalas hatta walau sekadar bertanya khabar. Entah apa yang menghantui mereka, barangkali takut bisnes mereka terjejas dengan persahabatan dengan orang yang sudah balik ke pangkal jalan sepertinya apatah lagi Abang Bob sudah menyertai Parti Islam SeMalaysia sebagai wadah perjuangannya kini.

Saya terfikir, dengan kemahiran menulis lirik dan lagu yang dimiliki oleh Bob Lokman sehingga melahirkan lagu-lagu masyhur satu ketika dahulu, kenapa kemahiran itu tidak dimanfaatkan untuk Islam? Bukankah sangat baik kalau beliau terus menulis dan menghasilkan lagu-lagu perjuangan Islam, membangkitkan ruh aqidah dan akhlak Islami melalui seni lagu khususnya untuk tatapan anak-anak muda di negara kita? Mudah-mudahan beliau istiqamah di dalam perjuangan Islam.

Buku Yang Baru Dibaca :

(Ada stok terhad buku ini bersama saya. Sila hubungi jika berminat, sekitar Kota Kinabalu saja).

Penulis : Bob Lokman & Ridhuan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Resources

Harga : RM16 / RM18

Anak remaja ini seolah-olah melepaskan rasa dendam semasa kecilnya yang dipasung oleh bapa yang sangat prihatin dengan akhlak anaknya. Ini kerana mereka adalah legasi Tok Kenali, ulama tersohor Tanah Serendah Sekebun Bunga. Dia menggelinjang keseronokan berada di wilayah baru tanpa ayah garang yang melotot pandangan mata yang tajam. Dia berlari sesuka hati dan menjadi tarikan pesona kepada bajingan tengik di asrama yang ditakluknya sebagai ‘wilayah jajahan’.

Hukum karma akhirnya menerkam dan menikam ubun-ubunnya yang hijau di dataran kehidupan yang berupa pentas opera. Bob Lokman terkucil dengan keonaran yang diciptanya sendiri. Dia terhukum kejam dengan dibuang asrama. Bagaimana akhirnya anak muda kail panjang sejengkal ini mengharungi hidup selepas SPM dan tanpa kertas maruah yang bernama ijazah, beliau menempuh carut-marut kehidupan di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang tidak bersahabat dengan manusia malas. Dia menjadi pemandu bas dengan menyanyi riang di tengah hiruk-pikuk anak sekolah yang melemaskan, berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan, dan menjadi kuli kasar di gedung studio.

Bob Lokman akhirnya terselit di tengah-tengah fenomena rock pada dekad 1980-an. Dia menjadi pencipta lirik yang akhirnya di tengah keriuhan anak seniman, dia terus membina nama di persada seni tanah air. Bob Lokman tersungkur dengan kegemerlapan namanya. Dia tersadung dengan kesakitan. Keperitan dan kejerihan hidup bertindan-tindih menerpa, meluluh lantak jiwa seorang bapa dan suami. Ujian demi ujian yang akhirnya menyeruak dunia kegelapan kepada jalan hidup berfikir.

Dia akhirnya menyapa hidayah Tuhan yang datang, dan kini sanggup berdada dengan sebongkah ujian. Dia sanggup menjalani kehidupan yang sederhana, membuang pakaian kesombongan yang dipakainya dalam dunia seni dengan seribu sihir yang memukau. Dia telah merasai dunia ketawa, dan kini tibalah masanya untuk dunia menangis, bersama gerakan Islam untuk memanggil insan lain bagi bersama-sama merengkuh kasih-sayang Tuhan, Sang Pencipta yang penuh dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

“Aku akan mati berjuang bersama dakwah dengan panduan alim ulama. Doakan aku teman…” ujar Bob Lokman dengan lirih, juga memanggil seluruh peminatnya untuk berada di jalan hidayah ini. – TRAVELOG HIDAYAH : AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI.

APABILA ARTIS MENDEKATI PAS

 

Sumber : Harakah Daily di sini

10 artis terkenal mahu ikut Bob Lokman

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 14 April: Kira-kira 10 lagi artis terkenal kini turut tertarik dan ingin mengikuti jejak langkah pelakon dan penulis lirik Bob Lokman menjalani hidup yang lebih baik dan menyokong perjuangan Islam dan politik yang dibawa PAS. Artis-artis tersebut termasuk lelaki dan wanita dan termasuk yang terkenal dalam genre nyanyian, lawak, lahir dari Akademi Fantasia dan dari kategori pengarah.

Pelakon Bob Lokman ketika mendedahkan perkara itu menegaskan, mereka sekarang sememangnya sudah bersedia untuk mengikuti jejak langkahnya dan sedang berusaha memperdalami ajaran Islam menerusi kelas pengajian Islam yang diusahakan bersama rakan-rakannnya. Menurut beliau, selain mengikuti kelas-kelas agama, artis-artis itu juga kini sudah seringkali mengikuti pengajian agama daripada tokoh-tokoh agama tanah air di beberapa buah masjid.

Katanya, selain mahu turut berubah kepada kehidupan lebih Islamik, artis-artis itu juga mahu turut berminat untuk terlibat dengan perjuangan Islam yang dibawa PAS.

“Bagaimanapun, mereka masih belum bersedia untuk mendedahkannya kepada masyarakat buat masa ini kerana mahu menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian. Mereka mahu mengikuti jejak langkah saya kerana tertarik dengan perjalanan hidup saya sekarang. Hasrat mereka itu telah dinyatakan sendiri oleh mereka kepada saya baru-baru ini secara jujur,” katanya ketika menyampaikan tazkirah di pejabat Harakah, di sini, hari ini.

Di samping mengakui tertarik dengan perjalanan hidup beliau sekarang, artis-artis itu juga turut berminat untuk mendapatkan kekuatan jiwa. Sambil menyebut satu persatu nama-nama artis tersebut, beliau menegaskan, untuk membolehkan seseorang artis itu meninggalkan dunia glamour seperti yang dilakukan oleh beliau sekarang bukanlah sesuatu yang mudah.

“Selain memerlukan pengetahuan agama yang mendalam dari sudut fekah, seseorang itu juga amat perlu mengamalkan tarikat yang muktabar bagi mendapatkan kekuatan jiwa agar tidak mudah goyah apabila ditimpa pelbagai ujian,” katanya. Beliau juga secara jujur mengakui, rezekinya sekarang tidak pernah berkurangan sejak meninggalkan dunia glamour, malah makin bertambah apabila sering menerima pelbagai undangan dari pelbagai pihak untuk mengadakan ceramah.

Malah, dalam masa terdekat, walaupun telah meninggalkan dunia glamournya, beliau juga masih menerima tawaran berlakon dari beberapa buah syarikat dengan bayaran puluhan ribu ringgit.  Sebahagiannya terpaksa ditolak kerana ia tidak selari dengan perjalanan hidupnya sekarang yang bukan lagi menjalani hidup untuk keseronokan, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Allah dalam erti kata yang sebenarnya.

“Jangan takut untuk berubah menjalani kehidupan yang lebih baik, rezeki kita tak akan berkurangan, malah bertambah. Jangan juga kata bila kita dah memilih untuk menjadi lebih baik tak akan ada tawaran berlakon lagi. Sebaliknya tawaran itu datang mencurah-curah. Malah saya sendiri pula yang terpaksa menolaknya (kerana tidak sesuai),” jelas beliau sambil mengakui tidak mengalami sebarang tekanan dari sebarang pihak ekoran perubahan hidupnya sekarang.

Bob Lokman (foto atas) & Blank, bekas penyanyi kumpulan Gamma (foto bawah).

%d bloggers like this: