Tag Archive: BKPSM


Tarikh : 14 Ogos 2013

Lokasi : Kampung Air, Kota Kinabalu

Satu majlis mahabbah mengumpulkan alumni sekolah Toh Puan Hajah Rahmah dan alumni azhariyyun diadakan baru-baru ini atas inisiatif beberapa senior yang ingin mengadakan pertemuan sempena hari raya.

Pada awal program ini dirancang, saya antara yang berhasrat kuat untuk hadir. Pada ketika itu kami tidak merancang untuk balik bercuti ke WP Labuan. Akhirnya pada majlis ini berlangsung, kami masih di perjalanan pulang. Mujur sahabat-sahabat yang hadir merakamkan foto kenangan majlis ini untuk dikongsikan bersama.

Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (1)

Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (2) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (3) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (4) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (5) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (6)

Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (7) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (9) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (10) Mahabbah Raya Alumni TPHR & BKPSM (11)

Sepanjang pengajian di Mesir 10 tahun lalu dan bergaul bersama rakan-rakan Sabahan di bawah naungan Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM), saya sempat berada di bawah ‘pemerintahan’ lima Yang Dipertua BKPSM (kalau tidak salah) iaitu Ustaz Haji Asman Mohd Ali, Ustaz Haji Firmanshah Mohd Yunus, Ustaz Haji Mustakim Maisar, Ustaz Haji Sahrum Samlan dan Ustaz Haji Norazlan Mahmud.

Dalam tempoh hari raya ini, kami sekeluarga sempat berziarah dan bertemu dengan tiga mantan YDP BKPSM, iaitu Ustaz Haji Mustakim Maisar, Ustaz Haji Sahrum Samlan dan Ustaz Haji Norazlan Mahmud.

Ustaz Haji Mustakim kini berada di Selangor mencebur diri dalam bidang perkhidmatan pelancongan khususnya pemandu pelancong kepada pelancong dari Timur Tengah. Dalam tempoh ziarah raya baru ini kami singgah di rumah keluarga isterinya di Kg Kerukan Kuala Penyu bertemu sahabat lama ini. Ustazah Noranimah juga adalah teman baik isteri saya semasa di Mansoura.

Ustaz Haji Sahrum pula yang kami ziarahi di WP Labuan membawa berita gembira dengan anak kedua dan rumah comel mereka sendiri yang baru siap diduduki beberapa bulan kebelakangan. Isterinya juga teman baik isteri saya lepasan Universiti al-Azhar Kaherah dan kini bertugas di UMS Labuan. Berdasarkan maklumat teman-teman lain, nama Ustaz Sahrum semakin harum di Labuan dengan undangan tazkirah, sementalahan beliau juga salah seorang aktivis Darussyifa’ Labuan.

Ustaz Haji Norazlan juga berumahtangga di WP Labuan, selain sebagai guru JQAF beliau juga perawat Darussyifa’ Labuan seperti Ustaz Sahrum. Beliau juga punya potensi untuk menonjol sebagai pendakwah-pendakwah muda tempatan yang diharapkan melonjakkan Islam di Labuan ini.

Sebagai ahli biasa semasa di Mesir, saya merasa seronok dapat bertemu pimpinan pelajar saya satu ketika dahulu yang membawa ingatan kepada kenangan-kenangan manis.

Mustakim Maisar (1) Mustakim Maisar (2) Mustakim Maisar (3) Sahrum Samlan (1) Sahrum Samlan (2) Norazlan Mahmud

MENANTI MEREKA PULANG

Sekalung tahniah dari Abu Nuha Corner (dan rasanya bagi pihak pelayar setia blog ini) di atas kejayaan saudara-saudaraku di Universiti al-Azhar Mesir yang telah menamatkan pengajian mereka masing-masing untuk sesi berakhir 1432H ini. Alhamdulillah, puja dan puji ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan kejayaan ini kepada mereka.

Kami menantikan kehadiran mereka untuk mengisi ruang-ruang dakwah yang sangat luas dan terbuka ini khususnya di gelanggang negeri Sabah. Medannya terlalu luas, baik di sekolah dan pusat pengajian, di masjid dan surau, hatta di pasar dan padang permainan. Sasarannya juga segenap usia dan kedudukan – daripada kanak-kanak sehingga orang tua, golongan mustad’afin dan al-mala’.

Entah sama ada saya sesuai menasihatkan mereka atau tidak. Tetapi peninggalan para guru dan alim ulama antanya ialah akan sebuah ayat al-Quran daripada surah at-Taubah, ayat 122 : “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang yang tinggal itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Duduk dari kanan : Guntur Benjare (Usuluddin), Suhaili bin Mohd Said (Usuluddin), Azhar Haji Jismil (syariah) dan Suhaidi Kuanting (Qiraat). Berdiri dari kanan : Erna Suzieana Ag Matusin (Syariah), Jainuddin Ires (Syariah), Mohd Arif Hairal (Syariah), Mahadir bin Amboala (Qiraat) dan Azlinah Abdul Ghani (Syariah).

KETIBAAN MEREKA

Sumber : http://azlinahabdulgani.blogspot.com/

Hari yang dinanti-nanti akhirnya tiba juga. Ibarat kegembiraan si ayah dan ibu untuk menerima cahaya mata dan ahli keluarga yang baru sedemikian jugalah halnya dengan kami. Seawal jam 7 pagi , kami berangkat ke lapangan terbang Kaherah untuk menyambut ketibaan mahasiswa/wi baru Sabah, pagi tadi.

Alhamdulillah, semuanya kelihatan baik-baik sahaja. Walaupun jumlah mereka yang menjejakkan kaki ke bumi Kinanah pada tahun ini tidak semeriah tahun sebelumnya, namun kami menerima kehadiran keluarga baru ini dengan tangan terbuka dan gembira.

Esok merupakan hari pertama mereka untuk sama-sama menjayakan program sambutan mahasiswa/wi baru Sabah (SMS) dibawah kelolaan biro akademik dan hal ehwal pelajar (BAHEP) Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir selama dua hari berturut-turut(14 dan 15 Oktober 2011). Kemudian, insyaAllah pada hari ahad (16 Oktober 2011) ini pula mahasiswa/wi baru ini akan menduduki peperiksaan imtihan qabul sebelum mereka memulakan pengajian mereka di dalam fakulti masing-masing.

Didoakan semoga semuanya berjalan lancar dan mendapat naungan dan berkah dari Allah swt.

Alhamdulillah, tengahari tadi sempat turut memeriahkan suasana di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menghantar sejumlah 18 siswa-siswi Sabah yang menyambung pengajian ke Mesir.  Bilangan itu termasuk 2 orang yang mengikuti pengajian perubatan di sana. Antara yang hadir mengucapkan selamat jalan ialah pegawai-pegawai dari Pusat Zakat Sabah, JHEAINS selain ibu bapa dan keluarga pelajar.

Rasanya ini tahun ketiga atau keempat saya ikut ‘menyemak’ di sana, mengucapkan tahniah kepada ibu bapa, memberi nasihat secara percuma tanpa diminta, menyabarkan kesedihan mereka berpisah antara satu sama lain dan barangkali babak paling menggembirakan ialah meminta mereka (mana yang dapat) berkumpul sekeluarga dan merakamkan foto-foto kenangan mereka.

Seperti biasa, memang ada yang menitiskan air mata baik yang pergi atau yang ditinggalkan, tidak kira siswa atau siswinya juga. Hanya satu harapan saya (kerana saya tahu mereka membaca dan melayari blog ini – terima kasih), sila hargai nilai air mata yang mengalir di wajah ibu bapa dan keluarga kalian. Jangan sia-siakan pengorbanan dan harapan mereka, buktikan kalian adalah anak-anak soleh dan solehah yang boleh berjaya dalam pengajian dan kehidupan.

Saya tahu ada kalangan mereka terdiri daripada keluarga yang susah, justeru ibu bapa dan keluarga memerlukan kudrat yang lebih untuk menyalurkan kewangan setiap bulan kepada mereka. Barangkali tidak ramai anak-anak yang menyedari, apa yang dibincangkan oleh kedua ibu bapa mereka setiap malam, memikirkan sara yang wajar dikirim, mencedok dan mengorek dari mana-mana sumber halal untuk kemudahan anak di perantauan.

Saya juga dapat maklum ada sesetengah ibu bapa yang keberatan dan tidak melepaskan anak-anak mereka menyambung pengajian kerana pelbagai sebab. Antaranya masalah kesempitan kewangan, dan satu lagi ialah keengganan melepaskan anak perempuan kerana bimbangkan keselamatan anak masing-masing. Betullah, semuanya sayangkan anak mereka, tetapi sebahagiannya tidak mendapat maklumat yang benar dan tepat, kerana ada menjangkakan anak mereka akan tinggal sendirian, tiada langsung kawan-kawan perempuan, menjadi mangsa rusuhan dan sebagainya.

Jadi, anak-anak dan adik-adik yang berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi Mesir (atau ke mana juga), tolong perbetulkan persepsi yang salah itu dan berikan khabar gembira kepada ibu bapa sendiri dan ibu bapa kawan-kawan yang tidak dapat menyambung pengajian kerana masalah ketidakcukupan informasi yang benar itu. Semoga kalian berjaya membentuk diri menjadi manusia yang berilmu, beriman dan beramal, serta kemudian berbakti kepada masyarakat, memberikan inzar kepada kaumnya supaya mereka beringat-ingat.

Sementara itu, yang sudah menyelesaikan pengajian, baliklah ke negeri masing-masing. Kerja dakwah terlalu banyak untuk dipikul di pundak kalian. Mari kita bersama-sama memikulnya.

(Foto-foto di atas dan bawah, jika berkaitan, boleh dan halal disalin (copy), cetak dan tampal di bilik kalian. Sila maklumkan juga keluarga kalian di kampung tentang foto ini, sebab ada keluarga pelajar yang meminta saya salinan foto ini (sedang saya tidak ada nombor kontek mereka), dan lagi bagus layarilah blog ini. Bertambah juga trafik di blog ini. Kalian hendak tahu aktiviti dakwah dan isu di sekitar sini, datang-datanglah ke blog ini. ūüėČ

ANTARA BKPSM DAN PUM

Saya antara orang yang paling gembira apabila hasrat menemukan pimpinan dan aktivis Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah dengan exco dan ahli Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) yang berlangsung di bilik mesyuarat Masjid Negeri Sabah berjalan lancar sehingga ke tengah malam tadi. Saya utarakan niat awal itu kepada beberapa AJK PUM Sabah dan wakil BKPSM, lalu hasrat itu disambut baik oleh semua.

Objektif kami ialah untuk membuat jaringan awal antara kedua pihak agar sekembalinya mereka dari pengajian di bumi Mesir akan terlibat dalam kerja-kerja dakwah. Bukan semata-mata untuk graduan pengajian Islam bahkan juga untuk yang lain (tanpa menafikan perubatan juga termasuk dalam ilmu Islam). Kelebihan-kelebihan yang mereka miliki seperti kepakaran dalam ilmu perubatan (bagi pelajar perubatan) sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk program dakwah bilhal.

Nasihat-nasihat Ustaz Haji Muchlish yang sangat bermanfaat, sebenarnya bukan hanya untuk tetamu kami daripada kalangan BKPSM, bahkan untuk kami juga yang nakal-nakal ini. Ustaz menasihati dalam banyak hal terutama keperluan orang agamawan terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Begitu juga dalam penampilan diri harus dititikberatkan sehingga para ustaz dan ustazah boleh dipercayai orang awam.

Banyak input-input menarik, soal jawab tentang PUM-BKPSM antara kedua-dua pihak dan akhirnya diulas dengan baik sekali oleh Ustaz Haji Muchlish. Program berakhir pada jam 12 tengah malam.

AZRIN DAN AZRAN

Sekalung tahniah diucapkan kepada kedua-dua anak kembar  Ustaz Sipri Abdul Razak dan Ustazah Jamilah bersama pasangan masing-masing yang selamat melangsungkan majlis  kenduri perkahwinan siang tadi di rumah mereka di Kg Buang Sayang Papar.

Ketika kami sekeluarga tiba sekitar jam 11 pagi, Sharil Azrin @ Along bersedia untuk berangkat ke rumah pengantin perempuan, Norsahrienizam @ Yan di Kuala Penyu, sementara Sharil Azran pula masih bersiap sebelum berangkat ke rumah pengantin perempuan, Azalinah Wahid di Kampung Pimping Membakut pada jam 1 tengahari.

Majlis perkahwinan ini juga nampaknya menjadi medan pertemuan semula rakan-rakan sekolah dari Toh Puan Hajjah Rahmah dan alumni Universiti al-Azhar Mesir khususnya yang seangkatan dengan pasangan pengantin kerana Along dan Yan merupakan tamatan Universiti al-Azhar.

Minggu-minggu mendatang juga ada majlis-majlis perkahwinan rakan-rakan sepengajian khususnya universiti. Insya Allah ada rezeki akan bertemu semula.

Ketika tiba di Kaherah hampir 10 tahun lalu, antara orang terawal saya kenali ialah brother seorang ini. Kami serumah di Wisma Yayasan Sabah Kaherah, di syaqah 8.

Selain rakan-rakan lain yang kebanyakannya sudah dikenal lama kerana majoritinya satu sekolah, Taqiyuddin, 31 tahun awal-awal lagi menarik saya ke biliknya untuk meminta ditashihkan tilawah fatihahnya.

Sebenarnya bacaannya bagus, tetapi ada satu rahsia yang menjadi pengetahuan umum di kalangan siswa Sabahan di sana. Biarlah itu menjadi kenangan kami bersama.

Gelagatnya yang merintis permainan skatebord di bumi Arab Mesir pernah menarik perhatian seorang wartawan sukan di sana. Dia ditemuramah bersama kawan-kawan Arabnya dan masuk dalam majalah.

Selain Taqiuddin, adiknya Mohammed Salman juga mengaji di Kaherah. Kami datang pada tahun yang sama ke Mesir. Lebih merapatkan hubungan, kami sama-sama dari Labuan.

Taqiyuddin kembali ke tanahair setelah ‘bertapa’ selama hampir 10 tahun di bumi orang mendalami bidang dirasat Islamiyyah wal Arabiyyah. Kini dia bertugas di SK Kamunting Sandakan sebagai guru JQAF.

Kami bertembung di Masjid Negeri selesai solat Jumaat tadi. Ketika Taqiuddin maklumkan kepada saya bahawa majlis pernikahannya berlangsung malam ini di Petagas, saya tidak mengambil masa lama untuk bersetuju walaupun ada program lain.

Majlis akad nikah rakan serumah mesti dihadiri tambahan hampir 4 tahun kami bersama di bumi para Nabi.

Seingat saya, ketika saya melangsungkan perkahwinan pada Oktober 2002, dia juga terselit di celah-celah mereka yang hadir mengucapkan tahniah.

Isteri yang baru dinikahinya tidak saya kenali.

Juga seorang ustazah, Maryumi Matlin, 28 tahun juga lepasan Universiti al-Azhar, Mansoura kuliah bahasa Arab (2006) setelah mengaji di Insaniah Kedah sebelum itu. Kini bertugas di SK Pantai Manis Papar, juga guru JQAF.

Ketika saya mencuba-cuba merakamkan foto dengan handycam – kerana kamera canon masih dalam wad – ustazah asyik melihat kamera saya berbanding kamera lain yang bersusun menggambarnya.

“Mau masuk blog Abu Nuha Corner”, katanya.¬†Oh, dia pun ada juga. Makasih.. makasih. Cuma maaflah, kualiti gambar teruk sangat kali ni.

Taqiuddin & Maryumi, selamat pengantin baru. Semoga Allah SWT memberkati kalian berdua. Saya menanti Hj Mohammed Salman pula untuk akad nikah berikutnya.

Tahun 2002, bersama 18 anak Sabah dari Mesir kami menunaikan fardhu haji. Naik bas beberapa jam ke Pelabuhan Safaja sebelum belayar bersama kapal besar merentasi Laut Merah selama satu hari dua malam.

Kapal besar itu boleh memuatkan beribu orang bersama kenderaan, dan ketika itu jamaah haji dari Mesir dan benua Afrika memenuhi kapal laut dengan gelagat masing-masing.

Di kalangan kami yang 18 itu, ada yang sering kami bertemu kini. Tidak kurang juga yang lama tidak ditemui. Apa khabar Ust Rohinin, Ust Eka, Ust Hardie, Ust Aping (yang bakal menikah), Ust Berry, Ust Azmi, Ust Pojie, Ust Mustakim dan lain-lain?

Ketibaan di tanah suci begitu mendebarkan. Perasaan¬† bermacam-macam. Teringat lagi, apabila memasuki Masjid al-Haram, Ust Julnie berkata : “Haa.. nampak kamu ka’abah? Nampak?”

Manakan tidak, sepanjang perjalanan, ada yang bercerita tentang dosa dan kesalahan yang dilakukan, bimbang Allah menutup pandangan daripada melihat KaabahNya yang mulia itu. Juga terpengaruh dengan kisah-kisah orang yang ‘dihukum’ dengan hukuman sebegitu melalui buku dan majalah.

Sepanjang tawaf, selain berdoa untuk sendiri, tidak dilupakan doa-doa yang dikirim oleh kawan-kawan yang tinggal. Ada doa minta kawin, doa supaya lulus peperiksaan, doa supaya ibu bapanya aman daripada perceraian, dan bermacam-macam lagi.

Ada satu doa saya yang begitu mengesankan hingga ke saat ini. Saya berdoa kepada Allah SWT, minta kahwin.

Tengah tahun 2002, saya balik Sabah bercuti. Bulan 8, mengikat tali pertunangan dan pada oktober saya selamat mendirikan rumahtangga bersama isteri yang dikasihi.

MENJEJAKI AZHARIYYUN

Al-AzharMosqueCairo

Khamis 24 Sept, ziarah raya kami menjejaki rumah pelajar dan lepasan Universiti al-Azhar khususnya di Papar. Tidak semua sempat diziarahi, tetapi inilah antaranya.

1. Rumah Ust Amiruddin dan Masri Md Rosdi di Kg Gadong Kimanis.

Walaupun mereka tiada di sana kerana kini berada di bumi Mesir, ia menjadi kenangan berharga dan bernilai khusus buat anak-anak rombongan yang hadir bahkan kepada kami semua.

Maslinah – adik kepada Amiruddin dan kakak kepada Masri bakal menjejaki abang dan adiknya pada 6 oktober nanti ke Mesir.

Saya mengenali Masri ketika berkunjung ke rumah ini ramadhan tahun lalu.

Sementara Amiruddin tidak pernah saya temui kerana beliau di Mesir sejak beberapa tahun lalu. Tetapi sebenarnya saya gemar membaca tulisan Amiruddin lewat blognya di http://elmandari.blogspot.com/.

Sesetengah catatan itu menggamit kenangan ketika saya di sana. Meski tidak pernah bertemu, melalui tulisannya saya merasa rapat dengannya. Catatan di dalam blognya menunjukkan Amir seorang yang berbakat.

Amir, teruskan menulis.

2. Rumah Ust Hj Lukman Said di Kg Melagui, Kelatuan Papar.

Seperti rumah pertama, Ust Hj Lukman juga kini berada di Mesir, tinggal setahun menamatkan pengajian sarjana di Universiti al-Azhar dalam bidang lughah (bahasa Arab).

Kehadiran kami sekeluarga disambut oleh Ust Fakhruddin – abang Ust Lukman dan ibunya Ustazah Hjh Maryam Kassim.

Dua jam di rumah beliau, banyak kami sembangkan khususnya sejarah perjalanan dakwah Ustazah Hjh Maryam dan suaminya Allahyarham Ust Hj Said. Mereka datang ke Sabah pada 1969 dan bertahan sehingga kini.

Allahyarham Ust Hj Said telah kembali kerahmatullah beberapa tahun lalu dan dikebumikan di sini juga. Sempat juga saya mengambil dan mencatat beberapa nama guru agama serta pendakwah yang sezaman dengan ustaz & ustazah.

Ketika hayatnya, Ust Hj Said pernah dinobat sebagai tokoh guru JHEAINS Negeri Sabah, sementara Ustazah Hjh Maryam pernah dua kali dianugerahkan tokoh Sayyidah Khadijah 2007 & 2009 dalam sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Papar.

Mengisi ruang hidupnya kini, Ustazah Mariam ada membela 2 ekor biri-biri dan kebun buah-buahan seluas 4 ekar di belakang rumah. Puas juga kami makan durian petang tu.

3. Yang Arif Ust Wan Azharan Wan Suhaimi di Perumahan Kuala Papar.

Ust Wan Azharan lebih kami kenali dan panggil dengan nama Kenet. Seorang yang santai orangnya semasa zaman belajar tetapi cekap dan mahir menghafal dalil-dalil agama.

Di Kaherah dahulu, Ust Kenet datang setahun lebih awal berbanding saya dan mengaji dalam bidang syariah. Alhamdulillah, kini beliau berkhidmat dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah sebagai hakim mahkamah syariah.

Walaupun beliau ditempatkan di Mahkamah Syariah Kudat, kerap juga Ust Kenet turun ke KK membantu menghakimi kes-kes yang berlambak di ibu negeri berbanding di Kudat.

Saya sempat bertanya tarikh hari bahagianya, Ust Kenet menjawab : “Taqriban”.

4. Ust Hj Abidin Omar di Perumahan Kuala Papar.

Beliau sarat dengan pengalaman. Berada di Universiti al-Azhar 1982-1987 dalam bidang Usuluddin (Tafsir).

Dalam perkhidmatan awamnya, pernah menjadi pengetua di SMAI Tawau, SMAI Papar, Ketua Nazir Pendidikan JHEAINS, PTA JHEAINS Sandakan dan Pengetua SMAI Beaufort.

Kini beliau kembali dan memilih sebagai guru agama biasa saja atas beberapa alasan kesihatan dan kesibukan tugas.

Beliau juga adalah hakim MTQ Negeri Sabah dan Fertival Kompang, Barzanji dan Marhaban Negeri Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jangan lupa, beliau juga adalah pengendali blog terkenal : http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/. Statistik menunjukkan lebih 600 ribu pengunjung sejak november 2007.

Isi kandungan blog beliau bukan setakat berita terkini tetapi juga koleksi bahan-bahan yang boleh menjadi rujukan semua.

5. Ust Hamdani Omar di SMAI Papar.

Ust Hamdani adalah pengetua di sekolah berkenaan. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai pengetua di SMAI Kunak dan SMAI TPHR, nazir di pendidikan JHEAINS, juga menjadi pengawas asrama SMAI TPHR pada zaman kami menjadi pelajarnya.

Ust Hamdani berada di Mesir antara 1985-1989 dalam bidang Usuluddin (Hadith).

Banyak kami sembangkan bersama khususnya hal ehwal semasa dan kisah-kisah zaman belajar dahulu.

Satu jasa yang tidak mungkin saya lupakan, Ust Hamdani adalah orang yang bertanggungjawab mengubah pendirian saya yang pada mulanya enggan memasuki Maahad Tahfiz al-Quran dan kemudian berebut pula.

Hidayah daripada Allah dan salah satu ikhtiarnya daripada beliau.

Tidak lupa, antara kemahiran mengambil fotografi yang sedikit saya punyai kini juga hasil tunjuk ajar beliau. Zaman sekolah dahulu, saya adalah jurugambar sekolah sementara Ust Hamdani adalah penasihat dalam JK majalah sekolah.

6. Ustazah Hamidah Amat di Kg Kelanahan Papar.

Kak Midah panggilan mesra kami kepadanya. Di Mesir, beliau ditempatkan di Mansoura pada 1997-2004 dalam bidang syariah.

Ketika di Mansoura, sifat keibuannya terserlah. Kak Midah antara rakan-rakan isteri yang turut sama tinggal di rumah kami ketika Nuha dilahirkan.

Bukan saja keperluan ibu dan bayi mereka tolong aturkan, bahkan makan saya turut disediakan, pakaian saya mereka basuhkan sekali. Rasanya seminggu pertama kelahiran Nuha, saya tidak perlu masuk ke dapur.

Jasa Kak Midah dan rakan-rakannya tidak kami lupakan. Mudah-mudahan Allah memudahkan jodoh Kak Midah.

Kini Kak Midah bertugas di SK Pinggan-Pinggan, Pitas sebuah daerah termiskin di Sabah. Allah pelihara Kak Midah.

7. Ustazah Jumayyah Memun di Kg Kelanahan Papar.

Sudah tiga tahun Kak Jum berkhidmat di bumi Tawau, khususnya di SK Tg Batu. Bunyi cakapnya pun sesekali terkeluar juga bunyi ketawauan.

Ketika di Mesir pada 1996-2004, Kak  Jum yang mengaji bidang usuluddin di Universiti al-Azhar Kaherah pernah memimpin HEWI BKPSM.

Banyak juga program HEWI yang diatur bersama JKnya ketika itu.

Rumah beliau adalah lokasi terakhir kami malam itu. Sembang kami banyak tertumpu dalam program pemantapan aqidah, khususnya mengajar hal-hal perbandingan agama Islam-Kristian. Maklumlah Kak Jum orang Usuluddin.

IMG_8763

IMG_8807

IMG_8818

IMG_8822

IMG_8828

IMG_8831

IMG_8835

%d bloggers like this: