Tag Archive: Bicara Hijrah


Sudah berlalu beberapa hari program ini barulah saya dapat membuat sedikit catatan berkenaannya. Secara sembang-sembang, hasrat mengadakan projek ini sudah lama saya luahkan kepada ketua bahagian saya, Ustaz Musally Moksin. Secara lebih serius, ia diurus kurang daripada tempoh sebulan sebelum tarikh program berlangsung pada 21 Disember lalu di Dewan Saadah Wisma MUIS.

Sebelum kertas konsep dibentang dalam mesyuarat, saya ada berbincang dengan Timbalan Pengarah – Ustaz Sidik Ag Adi tentang tarikh berkenaan. Saya hubungi penceramah yang dicadangkan lebih awal dan jabatan yang berkaitan iaitu JAKIM Putrajaya dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketetapan melalui kertas konsep yang saya bentangkan mencadangkan tarikh yang sama, hanya sasaran kehadiran dan tempat berubah. Asalnya kehadiran disasarkan kepada 150 sahaja ditujukan kepada pegawai-pegawai agama di JHEAINS, JAKIM, Sektor Pendidikan Islam (SPI), BAKA, KAGAT dan wakil NGO Islam. Namun mesyuarat bersetuju untuk membuka kepada umum yang berminat dengan sasaran baru seramai 500 orang.

Alhamdulillah, sasaran kehadiran tercapai melalui rekod kedatangan bahkan saya meyakini ramai yang hadir tanpa menulis daftar kehadiran mereka berdasarkan juadah makanan untuk 500 orang habis dan ‘licin’. Sebenarnya ada beberapa ujian yang menimpa kami para urusetia penganjur terutama bagi mengatur para penceramah.

Urusan pengesahan nama penceramah selesai pada jumaat, iaitu empat hari sebelum majlis berlangsung. Namun kami tidak menjangkakan bahawa penerbangan ke Sabah dalam tempoh seminggu kebelakangan ini penuh sesak dengan sebab ramai balik bercuti untuk sambutan Krismas. Tiada tiket yang kosong kecuali hanya dua – kelas perniagaan lewat petang sehari sebelum majlis berlangsung.

Dua daripada tiga penceramah dari Semenanjung (dan satu dari Sabah) dapat didatangkan dengan tiket kelas perniagaan yang diluluskan oleh pihak pentadbiran jabatan sementara satu lagi tidak dapat hadir akibat tiada kekosongan. Akhirnya kami terpaksa merombak penceramah dan tajuknya, dan terjadilah sebagaimana yang disaksikan pada pagi berkenaan yang sepanjang majlisnya dipengerusikan oleh Ustaz Haji Sotimin Sarun.

Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar (Pensyarah Kanan di UiTM Kota Kinabalu, yang juga Ahli Majlis Fatwa Sabah dan Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah) dengan moderator Ustaz Jumain Abdul Ghani, mengambil slot yang pertama menceritakan tentang ajaran Qadiani daripada segi sejarah, ciri-ciri dan doktrinnya. Antara doktrin utamanya ialah dakwaan Mirza Ghulam Ahmad Qadiani adalah seorang Nabi, menghapuskan jihad, meyakini Nabi Isa al-Masih wafat di Kashmir India dan sebagainya.

Ustaz Azezul Zul Azmi mewakili JAIS membawa tajuk ‘Menangani Qadiani : Pengalaman Negeri Selangor’ dimoderatorkan oleh Ustaz Abdul Razak Hamdin. Anak muda ini mendedahkan usaha-usaha kerajaan Negeri Selangor sama ada dalam bentuk dakwah, pendidikan, penguatkuasaan dan pendakwaan kepada kumpulan ini yang terdapat di beberapa lokasi di negeri tersebut Perkongsian beliau seterusnya dalam bentuk dialog menyatakan keperluan umat Islam sendiri agar mendalami Islam secara istiqamah daripada segi aqidah, syariah dan akhlak.

Slot sebelah petang dipimpin oleh ulama terkenal Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus dengan tajuk ‘Sihir dan amalan perbomohan dalam masyarakat Islam’. Sebenarnya, oleh kerana program ini adalah inisiatif Unit Penyelidikan, maka ramai menyangka saya yang mencadangkan Dato’ Ismail Kamus sebagai salah satu penceramah. Sedangkan sebenarnya saya mencadangkan penceramah lain yang kemudian ditukar dengan al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus hasil cadangan Ustaz Najion Jamil, seorang pegawai senior di bahagian kami.

Dalam pembentangannya yang dipengerusikan oleh Ustaz Hamdani Omar, antara yang diutarakan oleh beliau ialah kajian berkenaan bagaimana sihir itu boleh diperolehi seperti contohnya mushaf kecil yang diletak di tumit dan dipijak secara sengaja selama tujuh hari; menulis ayat al-Quran dengan menggunakan najis seperti darah haidh untuk dijadikan azimat; memijak mushaf atau membawa mushaf ke tandas untuk dihina; menyembelih haiwan seperti kambing, ayam atau merpati hitam dengan menyebut kalimah tertentu untuk memuja syaitan; membunuh orang Islam untuk diambil darahnya untuk dipuja dan dijamu kepada makhluk halus dan seumpamanya.

Alhamdulillah, huraian beliau dapat menjelaskan amalan-amalan yang berlaku dalam masyarakat khususnya dalam perubatan tradisional yang kadang-kadang tanpa disedari telah menyeleweng daripada ajaran Islam. Kepada beliau, saya menjelaskan ini adalah satu program pembuka jalan untuk program pencerahan aqidah Islam yang sahih pada masa hadapan anjuran JHEAINS. Insya Allah akan ada siri berikutnya dengan tajuk dan isu aqidah yang lain pula.

Kami perhatikan ustaz dikerumumi ramai selepas itu untuk mendapatkan tandatangan di buku-buku tulisan ustaz yang berada di pasaran. Sahabat saya Sdr Azman Talib yang membuka gerai di luar dewan kehabisan buku-buku tulisan Ustaz Dato’ Ismail Kamus yang dibeli oleh audien. Antaranya ialah buku bertajuk ‘Jin Hakikat dan Pengubatan’, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ dan ‘Indahnya Amalan Berdoa’. Terima kasih semua.


Sebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan.

%d bloggers like this: