Tag Archive: BERSIH 2.0


NAMANYA SI BERSIH

Anakanda kedua kepada sahabat kami ini selamat dilahirkan sebelum subuh pada hari bersejarah 9 Julai 2011 lalu di Kota Kinabalu. Oleh kerana tarikh itu adalah suatu fenomena dan sejarah yang akan dikenang oleh generasi negara ini (bahkan juga mungkin dari luar negara), saya cadangkan nama Nazifah diberikan kepadanya.

Alhamdulillah, cadangan lewat facebook itu diterima baik oleh Sdr Nasr sekeluarga dengan sedikit penambahan – Nazifatul Husna. Semoga anak ini seperti lahirnya BERSIH dan berkekalan bersihnya sepanjang hayat dan menjadi insan yang BAIK, berbakti kepada orang tua dan masyarakatnya suatu hari nanti. Malam tadi, kami berziarah ke rumah mereka meraikan Nazifatul Husna dan saya sempat mentahnikkannya dengan cebisan tamar yang disediakan.

KENAPA AMBIGA?

Sumber : http://nikabduh.wordpress.com/

Salam Palestin,

Mengapa Ambiga?

Semasa saya berada di Mesir sebulan lepas, ada persoalan dibangkitkan oleh para pelajar di sana berkaitan BERSIH 2.0, penganjur perhimpunan aman yang menuntut reformasi pilihan raya yang telus dan adil, terutama berkaitan pengerusinya, Datuk S. Ambiga. Ia agak hangat apabila kumpulan anti BERSIH, termasuk sesetengah kumpulan Islam mula mempertikaikan kesanggupan PAS menganggotai BERSIH, sedangkan beliau adalah seorang yang disifatkan anti Islam berdasarkan rekodnya yang tersebar, sebahagiannya benar, manakala sebahagian lagi adalah bohong dan fitnah.

Saya telah menjawabnya dan saya fikir jawaban saya mampu menenangkan mereka walaupun agak ringkas kerana soalan-soalan lain yang agak banyak dan pelbagai yang menyuntukkan masa. Tetapi, persoalan itu terus hidup sehingga kini  di tanah air kita apabila ia sentiasa diberi nafas melalui peluru sms dan bicara siber yang bersifat dan bertujuan menyentak dan membantut semangat anak-anak muda Islam daripada menyertai perhimpunan aman pro demokrasi adil yang semakin menjadi kenyataan sabtu ini, insya Allah.

Walaupun agak lewat, saya fikir elok juga untuk para penjengok blog saya meneliti dapatan yang saya muatkan di bawah. Tujuan saya adalah untuk mempertingkatkan kefahaman politik Islam, seterusnya meyakinkan semua bahawa PAS telah mengambil keputusan yang betul, syar’ie dan positif demi kepentingan politik negara dan umat Islam juga yang sentiasa berhadapan kekeliruan oleh penganut Melayunya sendiri.

Pertama, Bolehkah kita berketuakan seorang non muslim? Ini soalan yang jawabannya agak mudah, cuma mudah juga untuk dikelirukan oleh pengeliru yang suka menyusahkan dan menjalani hidup hipokrit.

Untuk institusi dan kumpulan kehidupan sosial, samada dalam masyarakat Islam yang majoriti atau sebaliknya, Islam tidak pernah melarang berketuakan seorang non muslim, lelaki atau perempuan, jika institusi dan kumpulan itu bertujuan baik dan tidak bercanggah dengan agama. Itu dapat dilihat melalui ‘ijmak’ ulama masa kini yang membiarkan penglibatan umat Islam di dalam pelbagai pertubuhan sosial yang bertujuan membina kehidupan manusia yang lebih baik.

Contoh terbaik adalah pertubuhan peringkat antarabangsa seperti PBB. Ia selalunya diketuai non muslim dan tujuannya baik walaupun sering tunduk kepada kekuasaan yang acap kali memusuhi Islam seperti Amerika. Tiada fatwa yang mengharamkan negara-negara Islam – sedangkan mereka adalah ketua-ketua umat Islam – menganggotainya. Jika begitu, anda bolehlah kiaskan secara mudah betapa pertubuhan-pertubuhan yang lebih kecil adalah lebih layak dan syar’ie bagi umat Islam untuk menyertainya.

Maka, pada asasnya, penyertaan PAS di dalam BERSIH 2.0 yang diketuai seorang non muslim adalah harus kerana tujuannya yang murni, malah merupakan tunjang kehadiran Islam di muka bumi, iaitu menegakkan keadilan dan kebebasan hidup.

Adapun untuk sebuah negara, berketuakan non muslim dalam sebuah negara yang umat Islam Islam memiliki kekuatan untuk melantik dan memilih seorang muslim sebagai ketuanya adalah tidak harus. Ini kerana adalah mustahil seorang non muslim akan memandu negara tersebut untuk patuh tunduk kepada syariat Islam di dalam bernegara.

Sebaliknya, jika umat Islam tiada memiliki kekuatan tersebut, seperti memiliki jumlah minoriti, maka berketuakan non muslim adalah harus selagi mereka bebas menjalani hak mereka sebagai seorang muslim. Contoh mudah ialah kerajaan nabi Yusuf alaihissalam. Baginda adalah menteri kepada kerajaan yang kufur. Ada beberapa persoalan mungkin timbul, saya ketepikan dulu untuk memberi laluan kepada topik asal perbincangan.

Kedua, bagaimana jika ketua itu anti Islam? Ada beberapa keadaan. Pertama, jika pertubuhan itu bermaksud anti Islam, maka jelas haram menyertainya. Jika tidak, bahkan untuk turut menyokong matlamat Islam, maka hukum adalah sebaliknya. Kedua, jika ketuanya anti Islam dan secara jelas dilihat begitu, maka hendaklah dilihat kesan baik dan buruknya. Jika keburukan mendahului atau sama atau ditakuti buruknya, maka hukumnya tidak harus. Ini soal ijtihadiah dalam siyasah syar’ieyah.

Lihat juga perbahasan ulama dan fatwa mereka dalam penyertaan umat Islam di dalam pertubuhan-pertubuhan tajaan zionis misalnya. Walaupun zahirnya kelihatan baik, tetapi keraguan adalah besar disebabkan matlamat zionis terhadap Islam adalah jelas, apatah jika ketua pertubuhan tersebut dilihat pro zionis.

Adapun jika ketua tersebut dilihat anti Islam kerana beberapa tindakannya yang menunjuki demikian, maka ia bergantung kepada matlamat pertubuhan tersebut dan perjalanannya, bukan pada ketuanya. Semua bukan Islam adalah biasa dan natural jika beberapa tindakannya dilihat bercanggah atau memusuhi Islam. Jika tidak, terbantutlah kehidupan yang dicanang agama Islam yang sejagat agar Islam menghubungkan sesama manusia, bukan memutuskan! Islam dengan itu akan hanya relevan dalam masyarakat Islam sahaja, bukan masyarakat manusia dan dunia seluruhnya.

Ketiga, bagaimana dengan Datuk S. Ambiga? Saya akan merujuk kepada beberapa dakwaan terhadapnya sehingga beliau dituduh oleh pihak yang menuduh sebagai anti Islam, terutama berkaitan soal murtad dan pluralisme agama.

1) Adakah salah untuk seorang bukan Islam berpendapat dan bertindak menyalahi hukum Islam sedangkan ia tidak menyalahi undang-undang negara? Jika salah, maka adalah baik untuk kita tumpukan dulu pertuduhan dan kemarahan kita itu terhadap orang Islam sendiri yang berkata dan bertindak menyalahi hukum ugamanya sendiri daripada melampiaskan kemarahan kita kepada orang luar yang mungkin saja bertindak demikian hanya kerana melihat telatah umat Islam sendiri yang menolak ugamanya.

Jika tidak salah, maka mengapa kita menganggapnya anti Islam, sedangkan undang-undang negara tidak menganggapnya salah? Adakah agama kita memaksakan mereka sebagaimana ugama kita memaksakan kita? Tidak bukan? Undang-undang negara membenarkan mereka mencabar. Jadi, salahkah mereka bergerak di atas lunas-lunas itu?

Yang boleh memaksakan semua adalah undang-undang yang terpakai di dalam sesebuah negara. Islam tak terpakai di negara kita. Jadi persoalan asas adalah mengapakah tidak dilaksanakan undang-undang Islam sepenuhnya, atau dalam isu ini, yang berkaitan penjagaan terhadap ugama Islam dan individu muslim daripada dijadikan bahan murahan dan mainan seperti kes murtad oleh umat sendiri.

Maksud saya, pertuduhan anti Islam terhadap individu non muslim seperti Datuk S. Ambiga dan sepertinya adalah berbentuk persepsi dan anggapan. Ia bukan terbukti. Sesuatu yang samar-samar tidak boleh dibina hukum di atasnya. Ia adalah kezaliman. Kezaliman tertolak daripada merajai hukum ugama.

Ya, benar bahawa persepsi dan kesamaran itu berguna untuk sikap berhati-hati. Adakah anda menjangkakan BERSIH 2.0 adalah medan untuk menolak agama? Atau ianya adalah untuk menolak ketidakadilan? Penilaian adalah ke atas BERSIH 2.0, bukan lagi pada individu yang mengetuainya itu. Saya tidak berhujah untuk memperkenalkan BERSIH 2.0 di sini. Topik kita ialah ketuanya sesudah BERSIH 2.0 difahami sebagai kumpulan yang bersih murni matlamatnya.

Lainlah jika anda memang berpendapat bahawa BERSIH 2.0 itu sendiri adalah tidak bersih. Kita bincang di lain kali pula hal itu.

2) Siapakah yang patut bertanggung jawab terhadap tindakan-tindakan oleh kumpulan bukan Islam yang mencabar hukum ugama Islam? Apatah, apabila tindakan tersebut dilakukan melalui lunas undang-undang negara? Sudah pasti jawaban kita adalah jelas bahawa yang bertanggung jawab adalah penggubal dan mereka yang meluluskannya. Hukum-hukum Islam, umat Islamlah – pemerintah Islamlah – yang mesti melaksanakan kedaulatannya sehingga tidak boleh lagi dicabar sewenang-wenangnya.

Malangnya, sebelum non muslim, umat Islam sendirilah yang berada di hadapan menentang perlaksanaan hukum syariat ke atas mereka dan negara mereka juga. Siapakah mereka? Agak malang, bahkan pelik sekali kerana mereka inilah juga yang sering menuduh Datuk S. Ambiga sebagai anti Islam?! Jadi, sudah pasti nyata bagaimana pertuduhan terhadap pengerusi BERSIH tersebut adalah semata-mata untuk mengaburi masyarakat agar turut menolak BERSIH 2.0 tersebut, walaupun pengerusinya ditukar kepada TG Abdul Hadi Awang! Saat itu, pertuduhan khas pula dicipta ke atas TG Abdul Hadi Awang. Mungkin sebagai neo Khawarij!?

Khulasahnya, sebelum anda melihat kepada Datuk S Ambiga, lihat dulu kepada kerajaan Malaysia yang menjadi penghalang kepada perlaksanaan syariat Islam yang sebenar dan begitu takut dan ngeri dengan kemaraan BERSIH 2.0 itu. Mengapa takut kepada pencinta keadilan dan kebebasan jika mereka juga adalah kerajaan yang adil dan pro kebebasan?

3) Apakah yang sebenarnya dituntut oleh bukan Islam? Sudah pasti hak mereka sebagai rakyat yang mahukan keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek. Anda harus faham, sebagai sebuah minoriti ugama dan bangsa, non muslim memiliki perasaan sendiri bahawa mereka merasa masih tidak selesa dan selamat dengan undang-undang dan perlaksanaannya di negara ini yang dilihat tidak mesra minoriti. Ini termasuklah hak beragama dan kawalan terhadap ugama mereka.

Adakah setiap kali mereka bersuara, maka hukumnya adalah ‘anti-Islam’, sedangkan tiada pun Islam sebenar yang menjadi undang-undang di negara ini? Adalah menjadi tuntutan ugama Islam bahawa menjaga hak bukan Islam adalah teras besar kepada undang-undang Islam. Tanpa ini, undang-undang Islam adalah terbantut, lemah dan tidak relevan sebagai ‘rahmatan lil alamin’.

4) PAS konsisten memperjuangkan Islam dan kedaulatannya semenjak sekian lama. Ia pertubuhan politik dan dakwah yang secara jelas memperkenalkan Islam dan syariatnya yang sebenar walau terpaksa berhadapan kesusahan dan tindakan zalim pemerintah. Adakah PAS yang diketuai oleh syura ulama yang menepati maksud kekuasaan sebenar Islam tiba-tiba gagal mengenal Datuk S Ambiga? Ia agak jauh, sukar dan ‘unreachable’ oleh otak yang BERSIH!!

Kelima, mengapa Ambiga? Mengapa tidak PAS yang mengetuai demonstrasi aman BERSIH 2.0, sedangkan PASlah yang dilihat menjadi pemain utama menggerakkan massa? Perhatikan,

1) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif politik dan parti politik semata-mata, bahkan dilihat sebagai tuntutan bersama rakyat Malaysia, termasuk yang tidak mesra politik dan orang politik. Rakyat mahu pemerintah mereka adalah yang mereka pilih melalui proses pilihan raya yang adil dan telus. Dengan penglibatan golongan non partisan seperti puluhan NGO yang bergabung di dalam BERSIH 2.0, maka adalah nyata bahawa rakyat seluruhnya telah nampak secara jelas bahawa perjalanan pilihan raya negara adalah di tahap lemah dan sering dimanipulasi oleh pemerintah semasa. Rakyat seluruhnya mahukan reformasi pilihan raya!

Maka, Datuk S Ambiga dicalonkan dan semua pihak menerimanya mengetuai BERSIH 2.0.

2) Agar matlamat BERSIH 2.0 tidak dilihat bermotif ugama semata-mata. Oleh kerana PAS terlalu ‘ugama’, maka sudah pasti BERSIH 2.0 akan gagal mencapai matlamatnya yang mahukan seluruh rakyat yang mahukan reformasi pilihan raya itu turut menyertainya tanpa rasa curiga terhadap motif pihak lain. Ia adalah matlamat yang disepakati bersama.

Kesepakatan melakukan kebaikan adalah dendangan syariah Islam.

3) Agar PAS tidak dilihat sebagai ekstrimis ugama. Walaupun PAS berjaya daripada semasa ke semasa memperkenalkan dirinya sebagai pertubuhan Islam yang sederhana dan ‘wasathiyah’, ia tetap menjadi buruan golongan anti Islam untuk menghancurkannya dengan pelbagai tohmahan dan fitnah. Antara peluru utama ke atas PAS adalah senjata tajaan Amerika yang menghukum golongan Islamis sebagai ekstrimis dan pelampau ugama. Sudah pasti tujuannya adalah menjauhkan masyarakat, terutama non muslim daripada PAS.

Apabila orang yang dilabel pula sebagai anti Islam seperti Datuk S Ambiga bersedia untuk bersama-sama PAS mengetuai perhimpunan rakyat, maka ia adalah kebaikan untuk kedua-dua pihak. Sebagaimana PAS, beliau dan kumpulan non muslim juga tidak gemar dilabel dengan tuduhan-tuduhan yang negatif yang tidak membantu ke arah perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini.

4) PAS memerlukan sokongan semua lapisan dan kumpulan rakyat. Negara dibina dan dibentuk oleh rakyat. PAS mencadangkan alternatif yang dilihat terbaik untuk negara Malaysia iaitu negara berkebajikan yang bertunjangkan Islam sebagai neracanya. Adalah satu kesempatan dan peluang yang baik untuk PAS memperkenalkan dirinya sebagai pejuang bersama menuntuk hak-hak rakyat yang diketepikan oleh pihak pemerintah. Adakah menjadi ‘bos’ dalam semua perkara adalah syarat atau rukun dakwah? Adakah ia juga satu hikmah dalam berdakwah? Tidak bukan?

5) Dekad terakhir dalam sejarah dan politik negara adalah dekad anjakan paradigma rakyat dalam banyak hal. Antara yang menarik adalah pecahnya tembok binaan UMNO yang berusaha memisahkan PAS daripada masyarakat non muslim. Kesan tembok itu adalah buruk. Non muslim mengenal Islam yang diperkenalkan oleh UMNO. Kesannya, tiada yang indah dalam Islam. Melayu UMNO adalah dipenuhi penyakit. Bagaimana si pesakit boleh menawarkan kesihatan?

Apabila tembok pecah, kini non muslim mula melihat dan mengenal Islam daripada PAS. Daripada PAS yang ditakuti, kini menjadi PAS yang disenangi. BERSIH 2.0 adalah sebahagian proses berkenalan di dekad baru ini, dekad yang dipenuhi cita-cita bersama ke arah Malaysia yang lebih harmoni, merdeka dan berjaya. Sekarang anda telah melihat beberapa perkara penting yang mampu menghapuskan keraguan mengenai penerimaan PAS untuk menyertai BERSIH 2.0 walaupun diketuai oleh seseorang yang menghadapi tohmahan sebagai anti Islam.

Walaupun saya tidak membawa nas-nas penghujahan secara lebih terperinci demi meringkaskan, adalah cukup dengan memahami hujah-hujah yang diberi, kita akan melihat nas-nas ugama itu seperti bersedia untuk tampil.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

http://msomelayu.blogspot.com/

Ismail Omar Baik Diam… Nanti Sakit Jantung Lagi

Sebelum Utusan dan media arus perdana membuat bohong besar esok mengenai himpunan Bersih hari ini, Ketua Polis Negara, Ismail Omar telah cuba menjadi burung belatuk, mengulas mengenai Bersih. Katanya himpunan Bersih hanya didua tempat saja di Puduraya dan jalan Loke Yew. Saya tidak pasti apakah beliau mendapat penjelasan dari timbalannya Khalid Abu Bakar yang kini sudah macam anti klimek dan menjadi pekak dengan tiba-tiba. Atau pun beliau mendapat penjelasan dan laporan yang palsu dari ketua polis Kuala Lumpur.

Itulah jadinya kalau ketua polis hanya memantau dari jendela Bukit Aman dan tidak berani turun ke bumi. Segala laporan dan maklumat yang diterimanya tidak betul dan melencung jauh. Saya rasa saya lebih bertanggungjawab dari beliau. Saya turun dan berputar ke segenap lokasi himpunan berkenaan. Baca laporan saya (kronologi) rasanya lebih adil dan benar daripada laporan anak buah Ismail Omar. Ada empat lokasi besar himpunan, Pasar Seni, perkarangan Masjid Jamik, di Jalan Petaling, dan perkarangan Stadium Merdeka.

Inilah kualiti polis kita bercakap selalu bohong dan menipu orang ramai. Kalau hendak gambarkan negara ini aman dan polis berjaya kawal himpunan pun jangan sembunyikan fakta. Hari ini semua roang cerdik dan bukan bodoh. Begitu juga katanya tidak ada tembakan gas pemedih mata di Jalan Puduraya? Omar boleh tengok video yang profesional tangkap dan jangan yang polis ambil. Kalau polis ambil banyak fakta yang disembunyikan seperti mana pembohong polis ada peserta himpunan yang bawa senjata dan cocktail.

Belajarlah menjadi baik dan menjadi seorang Islam. Kalau polis tunduk, akur dan cium kaki pemimpin hari ini, tetapi jangan sampai kaki sebayan (busuk) pun sanggup dicium. Saya mahu ketua polis negara saksi gambar yang dipaparkan dalam blog, mengenai himpunan yang dipukul dan diperlakukan macam anjing kurap. Rasanya sesetengah tindakan polis jauh lebih buruk dari salakan anjing.

Saya setuju kalau polis mengawal himpunan Bersih untuk tidak menular kemudian rakyat mengoncangkan pemerintahan hari ini. Tetapi lakukan secara berada dan ingatlah kepada perkataan atau kalimah yang tertera di topi berbunyi Allah – Muhammad. Kalau kalimah itu sudah tidak dihormati buang dan ganti dengan kalimah lain. [wm.kl.9:40 pm 09/07/11]

Media-media arus perdana sejak beberapa minggu lalu mengapi-apikan kepada rakyat jelata bahawa perhimpunan Bersih adalah ganas, justeru rakyat dinasihatkan (sebenarnya dibodohkan) agar tidak turun ke ibu negara. Bak kata sahabat saya, sekarang (hari ini) bukan setakat Israel yang diharamkan masuk, tapi juga Kuala Lumpur. Sejak petang lagi berita-berita tv mewar-warkan perhimpunan ini gagal dan tidak mendapat sambutan rakyat.

Ya, barangkali foto-foto (dari pelbagai sumber) ini membuktikan perhimpunan ini tidak mendapat sambutan. Keegoan pemimpin BN akan berakhir apabila mereka tumbang dan masuk ke dalam kubur. Tiada kerajaan manusia yang kekal selama-lamanya melainkan kerajaan Allah SWT. Kepada anggota keselamatan, mana-mana yang sanggup menzalimi rakyat jelata yang berhimpun secara aman kerana kepatuhan kamu kepada arahan mungkar atasan, kamu tetap bersekongkol atas maksiat. Tangan dan kaki kamu akan menjadi saksi atas apa yang kamu buat.

Sementara anggota keselamatan yang berkhidmat secara jujur dan berhemah, tidak berkasar dengan rakyat yang tidak bersalah, mudah-mudahan Allah ampunkan kamu dan memberi ganjaran yang baik. Saya simpati melihat anggota polis yang baik, nama mereka tercemar gara-gara sikap anggota mereka yang melampau batas. Ingatlah akan satu firman Allah menceritakan golongan pengampu dan mereka yang patuh membabi buta kepada orang atasannya walaupun dalam perkara mungkar dan maksiat.

Firman Allah SWT : “Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi : “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. “Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”

Kredit : MSO

BERSIH bukan mau buat kacau tetapi hanya mahu perhimpunan aman. Polis yang baik tetap dihormati. Kami tidak bertarung dengan polis tetapi dengan penguasa yang jahat.


EKSKLUSIF BERSIH 2.0

Percayalah, kita hampir menuju saat pilihanraya – Abang Mad.

Faktor 3M – Money, Media & Missionary yang digunakan oleh BN untuk mempengaruhi rakyat. – Mustafa Ali.

Penipuan yang berlaku sangat terang-terang. SPR terlibat melakukan penipuan dan melanggar prinsip perlembagaan persekutuan – DSAI.

Pertambahan daftar memilih pos  sangat meragukan – Saifuddin Nasution Ismail.

DALANG MIMBAR MASJID

Tajuk asal : Penyalahgunaan mimbar masjid untuk menyelamatkan parti yang mendalangi kemungkaran amat dikesali

Kenyataan: Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

Kuala Lumpur, 3 Julai 2011 – Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Yb. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan tindakan UMNO-BN yang mendalangi penyalahgunaan mimbar masjid untuk survival kepentingan parti itu adalah sebagai tidak bertanggungjawab dan amat dikesali. Kekesalan tersebut diluahkan ketika mengulas laporan terdapat masjid di Kuala Lumpur yang seolah-olah menjadi lidah kepada pihak kerajaan untuk survival politik sempit parti pemerintah.

Apa yang mendukacitakan apabila dilaporkan bahawa UMNO bukan sahaja mendalangi mimbar masjid untuk kepentingan mereka bahkan tanpa segan silu mentafsirkan nas hadis dan pandangan para ulama mengikut selera mereka dan di luar konteks yang sebenar.

Berdasarkan teks khutbah yang disiarkan di dalam laman web JAWI (http://www.jawi.gov.my), mereka telah memberikan tafsiran yang salah terhadap petikan kata-kata salah seorang Imam di dalam mazhab As-Syafie iaitu Imam Abi Ishak Al-Juwayni yang seolah-olah mengharamkan perhimpunan yang memudaratkan kepentingan umum. Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkannya sebagai istidlal (penghujahan) yang tidak bertanggungjawab. Ini adalah kerana istidlal (penghujahan) tersebut ditujukan kepada pengharaman penentangan yang dizahirkan kepada kerajaan yang telah pun melaksanakan hukum Islam yang adil.

Pihak yang menyediakan teks ini sewajibnya faham bahawa kata-kata al-Imam Juwainy itu merujuk kepada kerajaan Islam dan bukannya kerajaan yang zalim dan melakukan maksiat seperti kerajaan UMNO-BN sekarang, apatah lagi menghalang perlaksanaan Islam. Dibawah kerajaan Islam yang adil maka ketaatan mesti diberikan sepenuhnya tanpa menimbulkan sebarang kemudaratan kepada masyarakat dan Negara sebagai usaha menyokong keadilan.

Ujar beliau lagi “ Tidak melaksanakan Islam adalah kemungkaran yang besar, serta menjadi kewajiban kepada rakyat untuk menegur dan menasihati pemerintah supaya meninggalkan kemungkaran samada melalui tangan, mulut dan hati yang sesuai dengan kemaslahatan ummah”

Menurut beliau lagi, BERSIH merupakan mekanisme yang digunakan secara aman dan berkesan supaya pengendalian pilihanraya di Negara ini dilaksanakan dengan lebih adil dan telus sepertimana tuntutan Islam yang sebenar. Ianya tidak ada kena mengena dengan pemberontakan dan apa sahaja istilah yang dimomokkan oleh pihak UMNO-BN di dalam media.

Adapun hujah mereka yang menggunakan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar, Dato’ Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan sebagai istidlal (penghujahan) yang ditafsir di luar konteks yang sebenar sepertimana diterangkan sebelum ini. Hadis-hadis yang menceritakan pengharaman penentangan kepada kerajaan adalah merujuk kepada kerajaan Islam yang adil dan bukannya kerajaan yang zalim dan melakukan kemungkaran seperti UMNO-BN seperti sekarang apatah lagi menentang perlaksanaan Islam.

Sementara itu , setiausaha Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya yang dihubungi oleh pihak web DUPP turut meluahkan rasa terkilan terhadap apa yang berlaku. Beliau sendiri turut mendengar khutbah tersebut berkata “Ianya satu perkara yang memalukan , saya berasa amat kesal dengan tindakan yang tidak professional ini.. apatah lagi ianya dibaca di atas mimbar yang sangat mulia.”

Ujar beliau lagi “ apa yang lebih mendukacitakan lagi nas-nas atau dalil-dalil syarak telah ditafsikan luar daripada konteksnya yang sebenar”. Tetapi beliau percaya bahawa rakyat sudah matang dalam membuat keputusan dan tahu membezakan diantara hak dan batil. Perjuangan untuk menegakkan keadilan insyaAllah pasti akan membuahkan hasilnya walaupun pelbagai sekatan dan hasutan dilakukan.

LAGU TEMA BERSIH 2.0

Kenyataan Akhbar: 16 Jun 2011

BERSIH 2.0: Fokus Pada Tuntutan Perhimpunan BERSIH 2.0

Tuntutan-tuntutan Perhimpunan BERSIH 2.0 mempromosikan demokrasi yang telus dan dinamik. Semua warganegara Malaysia termasuk ahli politik yang berpendirian bahawa rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menikmati demokrasi yang telus dan dinamik sepatutnya menyokong dan bukan mengecam tuntutan-tuntutan tersebut.

Peranan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di kalangan masyarakat Malaysia yang sangat penting sebagai pendukung aspirasi masyarakat tidak boleh dinafikan. Badan-badan tersebut membentuk masyarakat madani Malaysia serta membantu menyalurkan suara rakyat. Sekiranya ada pihak yang meremehkan kepentingan masyarakat madani Malaysia, maka mereka juga menindas suara rakyat.

BERSIH 2.0 merupakan gabungan 63 NGO yang mempunyai kepentingan dalam mempromosikan demokrasi dan pilihanraya yang bebas serta adil di Malaysia. Pada asalnya, keahlian gabungan BERSIH yang menganjurkan perhimpunan pada tahun 2007 terdiri daripada pihak-pihak NGO dan parti-parti politik. Namun kini, BERSIH 2.0 yang dilancarkan pada 10 November 2010 hanya terdiri daripada ahli-ahli dari golongan masyarakat madani. BERSIH 2.0 merupakan satu gerakan rakyat untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Jawatankuasa Induk BERSIH 2.0 terdiri daripada 14 individu yang mewakili pelbagai badan NGO di Malaysia.

BERSIH 2.0 menekankan sekali lagi bahawa Perhimpunan BERSIH 2.0 adalah satu inisiatif yang dipimpin oleh masyarakat madan dan kami telah menjemput golongan-golongan lain, termasuk semua parti-parti politik.

%d bloggers like this: