Tag Archive: Bank Rakyat Kota Kinabalu


Beberapa bulan lepas, saya ada mencatatkan secara sepintas lalu kesungguhan pengurusan Bank Rakyat untuk memberi bantuan kebajikan kepada masjid-masjid atau surau surau melalui sumbangan kenderaan janazah yang banyak bergerak di seluruh negara. Saya pernah melihatnya di sebuah masjid di Subang Jaya dan di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan.

(Walaubagaimanapun artikel ini tidak menafikan sumbangan perbankan lain dalam aktiviti berunsur kebajikan dan keislaman kepada masyarakat sekitar).

Di Bank Rakyat Cawangan Kota Kinabalu yang beroperasi di Habour City, kuliah fekah dan tauhid berlangsung dua kali seminggu setiap pagi dengan bimbingan Yang Mulia Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim. Khabarnya pada permulaan ia diadakan seminggu sekali, dan beberapa ketika selepas berlangsung mereka meminta slot tambahan. Kini ia diadakan setiap pagi selasa dan khamis sekitar 45 minit.

Sementara Bank Rakyat Cawangan Dongonggon Penampang memulakan kuliah mingguan bermula dua minggu lalu setiap khamis. Saya dihubungi untuk membimbing kelas ini sekitar 40 minit bermula jam 8.15 pagi. Pada minggu pertama saya mengadakan kuliah umum menyentuh perihal tasawwur Islam dan pada minggu ini (semalam) bermula pengajian menggunakan buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ tulisan Ybhg Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus.

Saya yakini antara punca dan asbab penganjuran kuliah seumpama ini ialah hasil kesungguhan pihak atasan yang memahami keperluan warga agensinya supaya memahami ajaran agama Islam seterusnya dapat diaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Begitu juga semua pegawai dan warganya sendiri mahu untuk mendalami agama Islam ini. Maka di sinilah terletaknya kepentingan kita agar meletakkan kepimpinan itu mereka yang sayang dan kasih kepada agama.

Saya mengalu-alukan jika terdapat bank-bank lain memulakan pengajian tetap seumpama ini di premis mereka untuk tujuan yang sama, memberi kefahaman tentang Islam dan mencari keridhaan Allah SWT. Maklumlah, sebahagian warga mereka mungkin agak liat untuk mendengar kuliah di masjid dan surau, atau menonton kuliah agama di tv, jadi di premis mereka sendiri boleh anjurkan sebagai melembutkan otak yang beku dan liat daripada menerima ajaran Islam.

Jika sudah ada yang mengadakannya, khusus di negeri Sabah ini (apatah lagi sekitar Kota Kinabalu dan Pantai Barat Sabah), dan sudi mengkhabarkan maklumatnya kepada kami, kami sedia menyiarkan berita gembira itu melalui blog ini sebagai tanda anjuran Allah SWT : “Adapun dengan nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau ceritakan”. Ia juga barangkali menaikkan motivasi agensi lain untuk mengadakan aktiviti keagamaan yang sama di tempat masing-masing.

%d bloggers like this: