Hari terakhir Syawal dipilih bagi 15 agensi Islam di Sabah untuk mengadakan majlis hari raya yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu. Antara yang terlibat ialah JHEAINS, JAKIM, Pejabat Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah, Takaful Malaysia, YPEIM, YADIM, MUIS, Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Bank Ar-Rajhi, USIA, Gabungan NGO Islam (CONCERN) dan lain-lain dengan tetamu khasnya YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Menariknya setiap agensi berkenaan menyediakan gerai masing-masing dan terpulang kepada tetamu untuk memilih hidangan yang digemari. Para tetamu pula adalah terbuka kepada semua, termasuk di kalangan bukan Islam yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan. Ia lebih meriah apabila diadakan pertandingan gerai terbaik. Ia dimenangi oleh JAKIM (pertama), JHEAINS (kedua), dan Pejabat Mufti (ketiga).

Dalam pada itu idea menggabungkan agensi Islam ini sangat menarik bagi memperlihatkan kesatuan agensi Islam, dan rasanya ia boleh dikembangkan lagi pada tahun-tahun mendatang. Ini kerana masih ada agensi berteraskan Islam yang tiada (sama ada tidak dijemput atau tidak dapat hadir) seperti bank-bank patuh syariah yang lain seperti bank rakyat, bank Islam, CIMB Islamik, atau syarikat takaful yang semakin mendapat tempat di hati ummat. Saya kira masjid-masjid utama juga patut diberi peluang (walaupun mereka di bawah JHEAINS), untuk meramaikan lagi peserta agensi Islam. Begitu juga NGO Islam, terutama yang tidak bergabung dengan CONCERN sebaiknya dapat diundang sama.

Di balik kemeriahan suasana majlis ini, hanya satu saya kurang berkenan. HiburanĀ  penyanyi wanita! Kalau kononnya hendak lagu raya, memadailah hanya penyanyi lelaki. Bahkan saya dengar sebahagiannya tidak sekadar lagu raya tetapi sudah melencong ke lagu-lagu lain. Saya harap penganjur akan memandang berat hal ini dan boleh membincangkannya secara ilmiah dan jujur.