Tag Archive: Bahasa Melayu


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/40763-pas-dalam-memperjuangkan-bahasa-melayu

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 11 April 2016.

Secara umumnya pendidikan Melayu yang diperkenalkan oleh British kepada rakyat negara ini adalah sebagai saingan kepada sistem pengajian Islam yang sedia ada dan pendidikan kepada orang Melayu adalah sekadar untuk membolehkan orang Melayu mengenali asas membaca, menulis dan mengira. Matlamat ini difahami kerana British tidak akan memunculkan golongan intelektual Melayu yang akan mengancam hegemoni kuasa mereka.

Kehadiran institusi sekolah pondok di Tanah Melayu sejak lama dahulu sehinggalah sekarang, telah memberikan impak yang besar terhadap pembangunan dan penyemaian nilai-nilai Islam terhadap bangsa Melayu. Sekolah pondok telah mengharungi sejarah yang panjang, bersaing dengan institusi konvensional yang lain, juga dengan sistem sekolah madrasah yang lebih tersusun dan menjanjikan kesinambungan tempat belajar yang lebih menjanjikan peluang kepada pelajarnya.

Sekolah pondok telah memberikan kesan yang mendalam terhadap masyarakat Islam di Malaysia, antaranya seperti berjaya mengukuh dan mengembangkan penggunaan tulisan jawi bagi memudahkan pembacaan Al Quran dan kitab-kitab agama, juga menjadi media perhubungan masyarakat bahkan dapat mengembang dan memperkaya bahasa Melayu. Selain dari memperkayakan bahasa sekaligus berjaya bagi mengembangkan kesusasteraan Melayu di rantau ini. Bukan sahaja buku-buku yang berunsur agama ditulis menerusi tulisan jawi, bahkan berbagai-bagai jenis buku ilmu pengetahuan dan kesusasteraan seperti hikayat, cerita-cerita penglipur lara, yang berbentuk prosa dan puisi ditulis dalam tulisan jawi.

Almarhum Datuk Fadzil Noor menjadi tenaga penting PAS di Kedah. Dengan berlakunya perubahan kepimpinan Ulama pada tahun 1982 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Presiden PAS pada tahun 1989 sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 2002.  Latar belakang yang kukuh dalam dunia pendidikan iaitu sebagai bekas guru dan pensyarah universiti, Ustaz Fadzil sangat mengambil berat tentang pendidikan, bermula dengan pra sekolah sehinggalah kolej universiti.

Menurut almarhum Datuk Fadzil Noor “Dilema Kementerian Pendidikan bukan sekadar was-was untuk mendaulatkan bahasa Malaysia sehingga timbul hasrat kerajaan BN sekarang untuk membenarkan beberapa pengajian di dalam bahasa Inggeris. PAS begitu peka dengan taraf dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara. Kepekaan ini telah mendorong PAS memperuntukkan di dalam perlembagaannya bahawa ianya  akan terus dipertahankan kerana bahasa adalah sebahagian identiti bangsa yang perlu dipertahankan. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan malah perundangan bukan sahaja di negara ini tetapi juga di seluruh masyarakat Nusantara.

Apakah yang lebih utama ialah bahasa Melayu adalah menjadi bahasa ilmu Islam di samping bahasa Arab yang sekian lama berkembang. Kita kesal dengan sikap kerajaan yang telah mula tidak memberikan perhatian wajar kepada bahasa ini kerana mementingkan bahasa rakan dagangan bahkan telah mula memberi laluan dan keutamaan kepada bahasa Inggeris termasuk menjadi bahasa pengantar di pusat-pusat pengajian tinggi seperti yang telah dinyatakan. Kita tidak menolak kebaikan menguasai berbagai-bagai bahasa”.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga selaku Presiden PAS telah membantah pelaksanaan pengajaran matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. PAS akhirnya bersama-sama NGO dan individu-individu pencinta bahasa Melayu telah bergabung dalam PPSMI dan akhirnya telah mengadakan bantahan awam di ibu negara. Abdul Hadi dan pimpinan NGO telah menyertai himpunan ini dengan acara menghantar memorandum bantahan kepada YDPA. Bantahan dan gelombang kesedaran tentang kesan buruk pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris, akhirnya telah memberikan tekanan politik yang hebat kepada BN dan Umno sehinggalah kerajaan telah memutuskan untuk mengembalikan pengajaran matematik dan sains kepada bahasa Melayu semula.

Kesan daripada kurang perancangan dan juga campur tangan politik yang berlebihan dalam sistem pendidikan maka berlakulah ketempangan kesan yang dapat dijangka. Generasi minda yang terlibat dengan gejala social semakin parah dan indeks jenayah yang melibatkan generasi muda semakin ketara.

Datuk Seri Haji Abdul Hadi telah menggalas jawatan Presiden PAS selepas kematian Ustaz Fadzil Noor pada tahun 2002 akibat pembedahan jantung. Dengan latar belakang pendidikan yang mantap beliau telah meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dalam PAS. Beliau dengan lantang mengkritik dasar pendidikan yang gagal melahirkan pelajar kompeten dan berakhlak mulia:

“Akibat dari tindakan seperti itu berlakulah kejutan demi kejutan. Gejala samseng hingga ke sekolah elit, salah laku pelajar dari memeras ugut hinggalah merogol dan membunuh menyelubungi dunia pendidikan. Penipuan IPT swasta, mutu pencapaian pelajar yang semakin menurun, rating IPTA yang semakin merudum, belanja pendidikan yang semakin meningkat di luar kemampuan rakyat, rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pengendalian projek-projek kementerian, campu rtangan politik Umno dalam kampus, kesan negatif pelaksanaan AUKU, dan sebagainya adalah di antara kesan langsung yang mencoreng hitam pendidikan Negara”

“Secara halus dasar pelajaran negara menyelitkan jarum anti tulisan jawi, anti pendidikan Islam, dan anti penggunaan bahasa Melayu. Semua sifat ini tidak mencerminkan roh dan zat kebudayaan Melayu yang di war-warkan bagi menjadi teras kebudayaan nasional. Tulisan jawi sudah lama berkubur hingga kebanyakan kuliah di masjid dan surau menggunakan kitab rumi. Pendidikan Islam kini dalam proses penghakisan apabila bantuan SAR telah dihentikan. Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi mulai digantikan dengan bahasa Inggeris. Semua perkembangan dalam pendidikan itu adalah satu pelaksanaan dasar anti-Nasional yang tidak lagi tersembunyi.”

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36887-pas-dan-perjuangan-memartabatkan-bahasa-melayu

PAS telah menyertai pilihan raya umum kali pertama yang diadakan pada 27 Julai 1955 di mana PAS telah meletakkan 11 calonnya untuk bertanding. PAS dalam pilihan raya ini sebagai sebuah parti politik telah mengemukakan manifestonya kepada rakyat dalam tawaran pelajaran dan pendidikan PAS telah menawarkan:

1. Mengambil langkah supaya setiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuaian dengan kemajuan.

2. Pelajaran agama Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam.

3. Berikhtiar sepaya pemerintahan dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan beberapa segera, terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi.

4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluaskan dan meninggikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara.

5. Berikhtiar mengambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasar pelajaran.

PAS juga semenjak dekad 1960-an telah merespon isu-isu pendidikan di negara ini. Tokoh-tokoh PAS dalam parlimen telah bersuara dalam menangani  isu-isu pendidikan di negara ini.

Pimpinan PAS juga telah membahaskan isu-isu berkaitan dengan pendidikan dan bahasa dalam parlimen Malaysia semenjak awal 60-an lagi.

Antaranya perbahasan Datuk Mohd Asri dalam Parlimen: “Saya suka memberi sedikit pandangan di sini iaitu saya rasa dalam ikhtiar hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang hidup dan terpakai dalam segenap lapangan dalam negeri ini, tidaklah cukup dengan menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah sahaja, sebab sekolah rendah itu nanti bersambung kepada sekolah menengah dan akhirnya bersambung ke peringkat tinggi atau universiti. Jadi  sebaik-baiknya pihak Kementerian Pelajaran mula mencuba dan mulai berfikir dari sekarang untuk membuat rancangan supaya Bahasa Melayu  dapat dijadikan bahasa pengantar di sekolah tinggi. Kita akan dapat melihat dalam tempoh sebelum sampai pilihan raya sekali lagi, bahawa semua persekolahan mulai dari sekolah rendah hingga setinggi-tingginya dalam negeri ini telah mengunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar”.

Wakil-wakil rakyat PAS termasuk Dr Burhanuddin, ketika belum ditahan di bawah ISA, begitu aktif membincangkan persoalan dasar pelajaran. Dr Burhanuddin mahukan kerajaan tegas dalam melaksanakan dasar pelajaran ini. Beliau amat risau dengan dasar yang masih membenarkan penggunaan Bahasa Inggeris kerana tanpa usaha yang gigih Bahasa Kebangsaan tidak mungkin digunakan di sekolah-sekolah tinggi dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman dan pejuang bangsa Melayu yang sentiasa melihat kepentingan Bahasa Melayu sebagai maruah bangsa. Beliau mampu menjangkakan apa yang akan berlaku jika usaha bersungguh tidak dibuat untuk mengangkat harkat Bahasa Melayu. Pemikiran Dr Burhanuddin jauh menjangkau ke hadapan. Sehingga tahun 1967 misalnya, jelas Bahasa Melayu masih belum menjadi bahasa rasmi sepenuhnya.

Maka dengan sebab itu PAS menuntut lagi sekali, dan berpegang kuat pada tuntutannya, bahawa bahasa tunggal dan rasmi Tanah Melayu ini ialah bahasa Melayu. Ini hendaklah disebut, bahawa Bahasa Melayu itu, hendaklah dijadikan bahasa rasmi dan Bahasa Kebangsaan yang tunggal dalam negeri ini dari sekarang juga.

Dengan adanya Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bermakna bahasa lain tidaklah ada satu kesempatan, atau kebolehan,atau kelapangan yang meletakkan mereka itu untuk dijadikan bahasa rasmi dalam pemerintahan negeri ini dan hendaklah ditegaskan, supaya jangan ada sesudah perlembagaan ini dibuat, rasa tidak puas hati di kalangan orang lain, mencuba hendak menimbulkan  bahasa masing-masing seperti Bahasa India dan Bahasa Cina, hendak digunakan sebagai bahasa rasmi pula di Tanah Melayu ini. Ini hendaklah disebut oleh suruhanjaya perlembagaan Reid.

Setiap kali muktamar PAS berlangsung maka isu-isu tentang pendidikan sentiasa diperbahas oleh perwakilan parti tersebut, selain disorot dalam ucapan dasar Yang Dipertua (Presiden).

Contohnya, isu Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara telah ditimbulkan lagi oleh perwakilan PAS dalam mesyurat agung tahunan PAS kali ke-9 pada 12 dan 13 Februari 1961. Dalam mesyuarat agung ini usul yang diterima adalah: Bahawa Majlis Mesyuarat Agung yang bersidang pada hari ini mengambil ketetapan mendesak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu supaya menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa  pengantar di semua sekolah menengah mulai pada awal tahun 1961. – HARAKAHDAILY 12/8/2015

Penulis adalah Pengerusi Lajnah Kesenian Dan Kebudayaan PAS Pusat.

%d bloggers like this: