Tag Archive: Bahagian Dakwah JHEAINS


Kira-kira 500 peserta kalangan saudara kita menghadiri Konvensyen Pembangunan Saudara Kita Peringkat Negeri Sabah 1432/2011 yang diadakan di Wisma MUIS Kota Kinabalu selama dua hari iaitu 3 dan 4 Oktober lalu. Pada hari pertama, beberapa acara diadakan secara serentak di Bilik Hikmah dan Bilik Madani seperti tilawah al-Quran, hafazan al-Quran, pidato, kuiz dan nasyid.

Ia merangkumi para peserta yang mewakili daerah dan kelas pengajian saudara kita seperti Sipitang, Beaufort, Membakut, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Keningau, Tuaran selain kelas di Teratak Fitrah dan Raudhah – kedua-duanya Kota Kinabalu. Sebelum ini, konvensyen seumpama ini pernah diadakan di luar Kota Kinabalu seperti di Kudat, Kota Marudu dan lain-lain.

Pada hari kedua, dua ceramah dan satu forum diadakan sebelum majlis penangguhan dilakukan oleh YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran Menteri Di Jabatan Ketua Menteri mewakili YAB Ketua Menteri. Terdahulu, dua ceramah disampaikan oleh penceramah terkena Ibu Irene dari Indonesia yang merupakan mantan sister ketika menganut agama Kristian dan ceramah kedua oleh SS Ustaz Kifli Yasin, Mufti Negeri Sarawak sebelum forum diadakan melibatkan panel yang sama dan dipengerusikan oleh Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar.

Dalam majlis berkenaan, selain menyampaikan hadiah kepada para pemenang, turut disampaikan ialah bantuan oleh Pusat Zakat Sabah melibatkan empat buah kelas pengajian saudara kita dengan jumlah bantuan sebanyak RM80 ribu. Beberapa kelas pengajian saudara kita juga mengadakan pameran masing-masing di ruang legar yang menarik perhatian pengunjung yang datang melihat, antaranya Teratak Fitrah Kota Kinabalu, Raudhah Kepayan, Badan Pendidikan Saudara Kita Keningau dan Titian Hijrah Kota Belud.

Tahniah kepada JHEAINS (khususnya Bahagian Dakwah), Pusat Zakat Sabah, semua persatuan-persatuan saudara kita dan peserta yang terlibat. Semoga majlis ini memberi manfaat dan kenangan buat semua yang terlibat seterusnya mengukuhkan ukhuwah Islam.

 

PENGISLAMAN SETIAP HARI

“Sesungguhnya engkau Wahai Muhammad tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sayangi, tetapi Allah sebenarnya yang memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya..”

Dakwah mesti dilakukan secara berterusan, baik kepada sesama muslim, atau kepada orang yang belum memeluk Islam. Dakwah berlaku dengan pelbagai cara, lisan seperti ceramah, forum, tazkirah, wawancara; melalui tulisan seperti di majalah, buku, akhbar dan media internet; dan yang terbaik adalah dakwah melalui teladan dan akhlak yang mulia. Dengan izin Allah SWT, manusia akan tertarik kepada Islam. Walau hidayah daripada Allah, umat Islam mesti menanam saham untuk menyebarkan Islam menurut kemampuan masing-masing.

Foto di atas adalah sesi pengislaman di Bahagian Dakwah JHEAINS Wisma MUIS pada 7 September 2010, beberapa hari sebelum umat Islam menyambut Eidul Fitri. Maklumat dalaman menyatakan bahawa pengislaman berlaku setiap hari dengan purata 4-5 orang sehari, baik di ibu pejabat JHEAINS, JHEAINS daerah atau mana-mana institusi Islam seperti USIA, masjid dan surau merata tempat di seluruh Sabah.

9 EKOR DI MAAHAD TAHFIZ

Alhamdulillah, menurut rakan-rakan JHEAINS yang hadir, kerja-kerja ibadah qurban di Maahad Tahfiz yang terletak di Kepayan (bersebelahan Kg Bunga Raya) pada ahad lalu berjalan lancar dengan kerjasama pelbagai pihak.

Penduduk kampung juga khabarnya ramai yang membantu untuk melapah sehingga sesi pembahagian selesai. Antaranya dari Kg Bunga Raya, Kg Muhibbah Petagas dan Kg Sri Pandan Putatan.

Sembilan ekor lembu yang diqurbankan, disembelih oleh Ust Hj Awwaluddin, Ust Jasimin, Ust Hj Khamis dan Ust Mohammad Syafie bermula sekitar jam 7 pagi dan selesai pada jam 11.30 pagi.

Pembahagian daging qurban pula dimulakan setelah solat zuhur dan makan tengahari.

Urusetia majlis qurban ini ialah Bahagian Dakwah JHEAINS, dianjurkan atas nama majlis qurban saudara kita bersempena kelas saudara kita yang diadakan di Maahad Tahfiz pada setiap pagi ahad.

Lima daripada sembilan ekor lembu adalah daripada warga Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Penampang yang turut bersama-sama menyertai ibadah ini.

Mudah-mudahan ibadah ini diterima Allah SWT dan mendatangkan manfaat kepada semua pihak, yang berqurban, yang bertugas dan para penerima.

Selain itu mudah-mudahan bilangannya terus bertambah pada tahun mendatang supaya lebih ramai mereka yang layak menerimanya.

Gambar-gambar berikut yang diberikan oleh rakan sepejabat yang hadir di sana. Saya tidak berkesempatan hadir kerana dalam perjalanan ke Beaufort.

%d bloggers like this: