IMG_7099

Di hadapan kira-kira 20 orang warga Bahagian Audit Sekolah, Jabatan Pelajaran yang berpejabat di bangunan KUWASA, saya memulakan pertemuan pagi semalam dengan sebuah hadith Rasulullah SAW :

“Sesiapa yang bergembira dengan masuknya bulan Ramadhan, Allah SWT mengharamkan jasadnya disentuh api nereka”

Hadith tersebut menjelaskan sikap sebenar yang patut diamalkan oleh orang Islam, iaitu gembira dengan kedatangan Ramadhan.

Menjelang Ramadhan, kita menyaksikan bermacam perangai manusia. Ada yang suka gembira, ada pula yang sedih berduka, ada juga yang suram dan muram wajahnya.

Dalam ceramah itu juga, saya mencadangkan agar kita mengurangkan sebutan ‘bulan puasa’, kerana ia hanya mengingatkan masyarakat tentang puasa sahaja. Sedangkan di dalam bulan Ramadhan banyak lagi amalan lain.

Sebutan tentang bulan puasa menyebabkan ramai terlalai tentang perintah solat, membaca al-Quran, membayar zakat, bersedekah, bertarawih, berqiyamullail, beriktikaf dan seumpamanya.

Hasilnya, ramai yang hanya sekadar berpuasa tetapi tidak solat, tidak ke masjid, semuanya tidak. Yang dikenangnya, sejak awal pagi lagi, petang nanti apa yang hendak dimakan.

Kalau kita makan nasi, kita perlukan lauk. Nasi itu yang wajib, sementara lauk pauk adalah sunnatnya. Dalam bab makan, kita tidak sekadar makan nasi sepinggan, tetapi sekali dengan lauknya.

Begitulah amal ibadah yang kita lakukan, tidak sekadar puasa yang wajib ditunai tetapi juga mengambil fadhilat tentang ibadah-ibadah yang lain sama ada wajib atau sunnatnya.

Kepada Puan Zainon dan semua anak buahnya, terima kasih atas undangan. Ada umur kita bertemu lagi.

Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

IMG_7096