Tag Archive: Azman Ibrahim


Tajuk : Travelog 2 : Epilog Seorang Doktor Gigi, Pendakwah & Ahli Politik
Penulis : Dr Azman Ibrahim
Penerbit : Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
Cetakan : Mei 2016 (Pertama)
Muka Surat : 388

20160605_190139

 

CERAMAH UMUM MEMBARA

Tarikh : 25 Mac 2016

Lokasi : Kg. Pancur Kuin, Padang Kemunting, Batu Rakit, Terengganu

 

 

Tarikh : 29 September 2015

Lokasi : Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu

Penceramah : Dr Azman Ibrahim

IMG-20150929-WA0027 IMG-20150929-WA0041 IMG-20150929-WA0053 IMG-20150929-WA0055 IMG-20150929-WA0057 IMG-20150929-WA0061 IMG-20150929-WA0063 20150929_110622 20150929_121650 20150929_121837 20150929_122530

Sumber :http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36762-teringat-pesanan-allahyarham-ustaz-hassan-shukri

DR AZMAN IBRAHIM | 05 Ogos 2015.

Arwah Ustaz Hassan Shukri saya anggap sebagai bapa saya. Beliau yang membantu mencarikan tempat pengajian untuk saya di bumi Baghdad sehingga saya berjaya memasuki Universiti Baghdad dengan biaya Kerajaan Iraq sepenuhnya tanpa 1 dinar pun bayaran yuran pengajian. Beliau juga yang hantar saya serta kawan-kawan sampai ke Baghdad dan dari masa ke semasa selalu datang menjenguk kami nun jauh di negara Iraq yang sedang dilanda sekatan ekonomi oleh PBB. Bukannya ada flight direct ke Baghdad kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad ditutup selepas Perang Teluk 1991. Pintu masuk terdekat ialah Amman. Dari Amman ke Baghdad perlu melalui jalan darat selama 17 jam. Tapi Ustaz Hassan tetap datang menjenguk kami.

Arwah pernah pesan… “Azman, jangan takut nak berjuang Islam. Kita tak akan jadi papa kerana buat kerja Islam. Mungkin kita tak kaya tapi Allah akan pelihara orang yang menegakkan agamanya dari kehinaan dan kepapaan…”

Arwah Ustaz Hassan pernah menjawat jawatan nombor 2 dalam PAS dan pernah juga kalah dalam pemilihan parti apabila beliau bertanding sebagai Timbalan Presiden. Tapi beliau tetap kekal istiqamah. Malah beliau sendiri yang kerja sapu sampah dan mesin rumput di sekeliling Markaz Tarbiyah Taman Melewar.

Pernah beliau cerita kepada saya ketika datang melawat kami di Baghdad selepas Pilihan raya Umum 1995, “Ustaz Nakhaie tu duduk sebelah rumah ana, Abdul Malek Hussin (Calon PAS yang tarik diri dari pencalonan Parlimen Bandar Tun Razak PRU 1995 dan memberikan BN menang percuma) ana bagi tumpang tinggal di tingkat atas rumah ana. Dua-dua lari belaka dah. Tinggal ana sorang saja yang belum lari.”

Arwah Datuk Omar Mohamad, Bekas Exco Kerajaan Kelantan, bekas Ketua Penerangan PAS Pusat dan bekas Speaker Dun Kelantan. Pada 10 Mei 2014 ketika program Liqa Fikri PAS Pusat di Dewan Jubli Perak, Shah Alam. Kebetulan saya sampai hampir serentak dengan Datuk Omar. Sama-sama parking kereta di luar pagar walaupun beliau sebagai VIP layak parking dalam pagar. Saya berjalan beriringan dengan arwah sambil pimpin tangan beliau yang kelihatan uzur. Langkahnya perlahan-lahan. Sempat Datuk Omar cakap… “Ginilah ana, berjuang dalam parti dari muda, sihat, loni sampai uzur doh. Man… Kalu enta nak jadi pemimpin parti, enta kena sedia jadi ppoyok (tempoyak) orang letak dalam budu. Kalu enta nak jadi pemimpin tapi kita nak jadi serupa hantaran orang letak atas par, baik tak payah jadi pemimpin!”

Datuk Mohamad Daud Iraqi, jiran saya di Kubang Kerian. Sama-sama semayang di Masjid Mardhiah di Kampung Demit, Kubang Kerian. Masjid tu di buat atas tanah Arwah Datuk Mohamad Nasir, bekas MB Kelantan yang juga mertua Ustaz Mad Iraq. Selepas semayang subuh, saya selalu duduk mengadap Ustaz Mad untuk mendengar kisah-kisah perjuangan. Tutur kata orang lama penuh kejernihan dan sarat dengan pengalaman.

Ustaz Mad Iraq selalu pesan, “Dalam berjuang ni kita akan jumpa belaka, ada pahit, ada manis. Pahit atau manis kita kena telan belaka. Kalau boleh kunyah sebelum telan, kunyah dulu. Kalau tak boleh kunyah sebab pahit, pakai telan gitu saja. Kehek  jangan sekali.”

Dah bertahun Ustaz Mad dalam keuzuran. Orang-orang lama dalam parti seorang demi seorang pergi meninggalkan kita dalam keadaan mereka istiqamah sampai akhir hayat. Meninggalkan kepada kita tugasan perjuangan yang belum selesai untuk disambung. – HARAKAHDAILY 5/8/2015

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36411-kita-semua-worih-blako

DR AZMAN IBRAHIM | 13 Julai 2015.

Di antara keindahan Islam ialah, Islam mengajar kita bahawa semua manusia ada worih-waroh belaka. Worih-waroh dengan makna ada ikatan susur galur keturunan. Sebab apa saya kata semua manusia adalah worih-waroh belaka? Sebabnya, baik orang Melayu, Cina, Kadazan, Iban, Murut, Dayak, India, Jepun, Negro, Rusia, Mongolia, Vietnam, Uzbekistan, Kazakhastan, Arab Iraq, Syria hatta orang eskimo sekalipun, datuk dan nenek moyang kita ialah Adam dan Hawa. Bila kita berasal dari datuk dan nenek yang sama, maknanya kita ini worih. Bezanya mungkin worih jauh atau worih dekat. Adakah mungkin manusia yang berasal dari datuk dan nenek yang sama, tiba-tiba dia tak jadi worih? Ini pelik!

Ajaran Islam anti dengan perkauman, boikot itu dan ini lalu membenci atas nama bangsa. Semua bangsa adalah ciptaan Allah dan kita semua adalah makhluk Allah.

Ketika negara dilanda tragedi 13 Mei 1969, negeri-negeri Melayu yang rakyatnya kuat berpegang dengan agama seperti Kelantan dan Terengganu, tak ada sebarang rusuhan kaum yang berlaku. Orang Melayu, Cina dan bangsa-bangsa lain boleh hidup dengan harmoni.

Berkawan dengan orang-orang Cina di Kelantan menghadirkan pengalaman menarik…

Bersebelahan dengan klinik saya di Kubang Kerian Kelantan, saya berjiran dengan seorang peniaga Cina berusia lewat 50-an, saya panggil mereka Unti dan Uncle yang menjalankan perniagaan menjual pinggang mangkuk dan beberapa barangan lain. Anaknya pula menguruskan perniagaan menjual alat-alat besi grill pintu juga di premis yang bersebelahan.

Saya menilai mereka jiran yang sangat baik dan lebih prihatin berbanding dengan pemilik premis perniagaan berbangsa Melayu lain yang bersebelahan. Setiap pagi menyapa saya dengan senyuman. Ada ketikanya bila pembekal menghantar barangan dan saya tiada di klinik, saya selalu pesan supaya tinggalkan di kedai Cina tersebut.

Ada suatu hari ketika klinik ditutup lantaran saya menghadiri program parti, TNB datang nak buat operasi pemotongan bekalan elektrik. Nasib tak baik kerana ada sedikit tunggakan bayaran, klinik saya juga menjadi sasaran pekerja TNB. Memang tak beretika kerana datang nak potong elektrik kerana hanya tunggakan tak melebihi RM300. Datang pula ketika klinik tak beroperasi. Unti Cina itulah yang pergi halang pekerja TNB dari potong bekalan dan minta supaya pekerja TNB datang semula semasa saya ada di klinik.

Pernah motosikal milik seorang pekerja saya dicuri di hadapan klinik. Keesokan harinya, topik motor kena curi menjadi bualan orang ramai yang sedang minum di sebuah warung bawah pokok berhampiran klinik. Saya diam saja. Seorang daripada pelanggan yang sedang minum juga merupakan pemilik sebuah kedai tak jauh dari klinik saya bercakap… “Ambo tengok doh kelmarin ada budak nampak macam pelik duduk main kat motor tu, tapi ambo tengok saja jah! Mugo bukan motor ambo.” Hehehe… tak malu pula dia mengaku sikap ketidakprihatinannya dengan persekitaran. Untuk makluman, yang sedang minum itu semuanya Melayu.

Suatu malam klinik saya dipecah masuk pencuri. Kejadian ini disedari oleh Unti Cina jiran saya. Dialah yang menelefon saya di waktu dinihari dan mereka anak-beranak yang membantu mengawasi premis klinik saya sehinggalah saya sampai. Malah pernah ada ketikanya, saya amanahkan Unti Cina ini untuk simpan kunci klinik saya.

Tak pernah lekang dengan hadiah dan pemberian setiap kali menyambut Tahun Baru Cina. Ada ketika bila anak-anak mengikut saya ke klinik, selalu Unti Cina ini menghulurkan buah tangan kepada anak-anak saya.

Seorang kawan Cina, Mr Lee yang berniaga alat ganti kereta di Kota Bharu sekadar berseluar tiga suku dan berbaju T sahaja. Kedainya menjadi tumpuan orang ramai. Sepanjang saya berurusan bagi mendapatkan alat ganti kereta dengannya, tak pernah beliau kata alat ganti yang diminta tak ada dikedainya. Mesti dia akan ikhtiar cari sampai dapat. Begitu sekali dia menjaga hati pelanggan tetapnya.

Walaupun banyak lagi kedai alat ganti kereta lain yang lebih dekat, saya memilih untuk berurusan dengannya. Nampak saja saya muncul di depan kedainya, Mr Lee akan menyapa, “Hai Doktor! Apa Khabar? Macam mana keadaan politik sekarang?”

Agak menarik bila semua pekerja di kedainya memakai T-shirt hijau. Pernah saya terserempak dengan seorang pelanggan yang bermulut celupar menegur. “Bakpo pekerja kedai mung pakai baju hijau? Tak dok warna lain ko??”

Jawab tokey Cina ni, “Ikut suka akulah pekerja aku! Mung nak beli spare part ko nak beli baju??” Hahaha… berlalulah dengan tersipu-sipu pelanggan yang bermulut tak ada insuran tersebut.

Ketika mendapat tahu bahawa saya dicalonkan oleh parti untuk bertanding dalam PRU13 yang lepas, berkali-kali Mr Lee memberikan semangat sambil menghulurkan sedikit sumbangan buat belanja pilihanraya.

Saya pernah tanya, “Tokey dah berapa lama jual spare part?”

“Ooo.. lama sangat dah. Kalau nak kira jual secara kecil-kecilan dari akhir tahun 50-an lagi. Ada kedai sendiri dari tahun 70-an lagi.”

“Wah! Lama betul tokey berniaga spare part. Patut saya tengok expert betul dengan komponen kereta.”

Melihat pelanggan yang keluar masuk kedainya tak putus-putus, saya tahu beliau seorang peniaga berjaya. Antara kunci kejayaannya adalah kerana kepuasan pelanggan yang berurusan dengannya. Tapi gaya beliau biasa-biasa saja. Tak ada pun nampak dia pakai jam Rolex atau Rado atau baju jenama mahal.

Suatu hari kira-kira 5 tahun dulu, pernah cermin hadapan kereta saya retak. Saya bawa kereta buruk saya itu ke sebuah kedai cermin milik seorang peniaga yang sebangsa dengan saya.

“Kos RM1,200 boh!” Wah! Boleh tahan jugok mahalnya.

Baru teringat, dulu ada seorang pelanggan klinik saya seorang Cina pemilik kedai cermin. Saya cari balik bisnes kad yang diberinya dulu dan menelefon Cina ini untuk temujanji. Ternyata mengejutkan, kosnya hanya RM650 dan cermin tersebut telah berkhidmat di kereta saya merentasi perjalanan ke seluruh Malaysia sejak dari 5 tahun lalu sehingga sekarang dan masih berkhidmat dengan sempurna. Maknanya itu cermin ori!

Tulisan ini saya catatkan bukan untuk membela orang-orang Cina kerana saya Melayu dan masih Melayu sehingga sekarang serta tanpa menafikan akan kebaikan dan kejujuran orang-orang Melayu. Tetapi saya berhasrat untuk menyiram air sejuk yang mampu mendinginkan panasnya bahang perkauman yang cuba dibakar sehari dua ini. – HARAKAHDAILY 13/7/2015

Sumber :  http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/36292-seorang-pak-cik-tua-berdiri-di-hadapan-bank

DR AZMAN IBRAHIM | 07 Julai 2015.

Dalam perjalanan balik dari Jabi ke Kota Bharu pagi ini, saya singgah singgah di sebuah bank di bandar Jerteh untuk mengambil sedikit duit buat belanja dalam perjalanan.

Kelihatan seorang pak cik tua berusia lewat 60-an sedang berdiri di hadapan bank. Saya ingatkan dia peminta sedekah lalu sedikit wang dihulurkan. Rupanya tidak. Pemberian saya ditolaknya dengan baik.

“Awe boleh tolong tengok pitih pok cik. Anak pok cik masuk ko dok lagi…” pintanya perlahan. Rupanya pak cik ni tak pandai nak guna mesin ATM.

“Ooo… boleh saja,” jawab saya.

Kad ATM BSN miliknya saya masukkan di mesin ATM. Kali pertama dia tersalah bagi nombor PIN yang dicatatkan pada satu kertas. Alhamdulillah, kali kedua baru betul.

Muka pak cik ni berubah sayu bila tengok baki akaunnya hanya ada RM12.60.

“Dok masuk lagi…. hari ni 7 haribulan doh…” rungutnya dengan nada kesal.

Saya terkedu sambil bertanya sepatah, di mana tempat anaknya bekerja.
“Kuala Lumpur,” jawabnya sayu.

Kepada mereka yang bernama anak. Apakah kita juga pernah membiarkan seorang insan yang bergelar ayah ternanti-nanti sebegini?

Sepatutnya sebelum kita peruntukan bajet bulanan untuk bayar kereta, bayar bil, bayar sewa rumah, belanja dapur, belanja sekolah anak-anak dan sebagainya lagi, jangan kita lupa nun jauh di desa kelahiran kita ada seorang ayah atau ibu tua yang menunggu dan mengharap sedikit wang belanja dari anaknya. Kalau kita juga dalam kesempitan, apa salahnya telefon mereka sepatah. Cakap baik-baik…

“Mak… ayah… minta maaf banyak-banyak, bulan ni saya lewat sikit masukkan duit. Nanti dah masuk saya telefon mak, ayah…” Tentu sekali tiada orang lain yang memahami kesukaran seorang anak lebih dari seorang ibu atau ayah. Jangan biarkan mereka menunggu dalam kehampaan.

Kesukaran dan tekanan lantaran peningkatan kos hidup akibat kenaikan harga minyak yang berterusan, GST dan segala macam mak nenek lagi natijahnya boleh merenggankan hubungan keluarga dan ikatan kasih sayang.

Satu hari yang menginsafkan di klinik. Kehadiran seorang lelaki berusia 40-an membawa ibunya yang telah berusia 73 tahun ke klinik petang ini amat menyentuh hati.

Ibunya mengalami masalah mental sejak lebih 40 tahun lalu ketika melahirkan beliau, apa yang diistilahkan dalam masyarakat kita sebagai ‘gila meroyan’. Penyakit yang menimpa ibu ini tak sembuh semenjak lebih 40 tahun lalu sehingga sekarang.Tahapnya agak kronik sehingga tak mampu menguruskan diri sendiri.

Lelaki budiman ini adalah anak yang terakhir dilahirkan oleh ibunya sebelum ditimpa tragedi yang menyedihkan ini.

Saya tersentuh bagaimana beliau melayan ibunya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang walau bagaimana sekalipun keadaan ibu tua ini.

Saya juga terfikir, bagaimana besarnya pengorbanan seseorang ibu untuk melahirkan seseorang zuriat sehingga terpaksa mengorbankan dirinya sendiri walaupun hakikatnya beliau masih bernyawa, tetapi keadaannya… Ya Allah!

Kita mungkin mempunyai ramai adik beradik, rakan dan teman. Tetapi kita hanya mempunyai seorang ibu dan bapa di dunia ini.

Amat malang bagi seseorang yang masih mempunyai ibu bapa yang telah menginjak usia tua tetapi ibu bapanya yang masih hidup itu tak mampu menjadi penyebab baginya untuk masuk syurga dengan makna dia tidak berbakti kepadanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2015

aqsa1

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29576-saham-kita-untuk-bunuh-saudara-kita

Oleh Dr Azman Ibrahim

Saya pernah tanya Syeikh Abdul Karim al Mudarris, ulama Kurdish yang mengajar di Masjid Syeikh Abdul Qadir Jailani, Baghdad.

“Saya berhajat sebelum pulang ke Malaysia, saya nak menziarahi Baitul Maqdis. Apa pandangan Syeikh…”

“Anakku… Baitul Maqdis itu di Israel, bukannya di Palestin!” Jawab Syeikh. “Macam mana nak masuk ke sana?” soalnya lagi.

“Kita boleh masuk melalui Jordan,” jelas saya.

“Apakah ada apa-apa bayaran yang perlu kita bayar untuk memasuki Israel?” Syeikh menuntut penjelasan.

“Ya… ada bayaran visa. Tapi saya tak pasti berapa US Dollar.” jawab saya.

“Kalau begitu jangan pergi anakku… pastikan tiada satu sen pun dari duit kamu yang dapat kepada Israel. Nanti mereka akan guna untuk bunuh saudara kamu di Palestin!” tegas Syeikh menyebabkan saya terdiam.

Memang isu seperti ini terdapat banyak pro dan kontra. Ada yang kata, kita perlu ke Baitul Maqdis untuk memberi sokongan moral kepada saudara kita di sana. Tetapi dalam masa yang sama, apabila berurusan dengan negara haram Israel bermakna kita mengiktiraf kewujudan mereka dan menyalurkan sumber kewangan kepada mereka. Mungkin kita kata, “Aahh! Sikit je! Bukan dia boleh buat beli bom pun!”

Ya! sikit-sikit seorang, bila ramai jadinya bukit!

Bagi saya, saya berpegang kepada pandangan Syeikh Kurdish ini yang saya yakini ilmu dan kewarakannya.

Tahukah kita bahawa Israel adalah sebuah negara industri atau negara pengeluar. Dengan penduduk hanya berjumlah lebih kurang 8 juta orang, mereka mempunyai pasaran dalam negara yang sangat terhad. Ke mana barangan pengeluaran mereka terutamanya keluaran industri makanan nak dipasarkan?

Saya ambil contoh mudah. Silakan ke pasaraya-pasaraya di Amman, Jordan. Perhatikan barangan makanan yang dalam tin dan berbungkus. Tercatat padanya, Made in Israel! Banyak lagi sebenarnya negara Liga Arab yang menjadi sumber pasaran yang cukup lumayan untuk bangsa haram ini.

Saya cuma catatkan apa yang pernah saya tengok sendiri. Negara Arab lain selain Iraq saya tak pernah sampai.

Tahukah kita juga bahawa Jordan bergantung kepada ihsan bekalan air daripada Israel walaupun sebenarnya Sungai Jordan yang bersempadan antara Jordan dan Israel adalah milik Jordan tetapi empangan untuk bekalan air dibina oleh Israel. Mereka yang proses dan bekalkan air balik kepada Jordan. Sama tak dengan jiran di selatan kita? – HARAKAHDAILY 10/7/2014

trafik

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/29071-ops-warta-adilkah-diburu-macam-penjenayah

Ops Warta, rakyat diburu habis-habisan kerana kesalahan lalu lintas. Sekatan demi sekatan jalan raya, pintu ke pintu, rumah ke rumah. Kesian kepada rakyat bawahan di saat sedang berhadapan dengan kesempitan hidup dari segenap penjuru yang menekan. Pelaku perasuah, penyeleweng, pemakan harta rakyat apakah juga diburu sehingga ke lubang cacing seperti ini?

Saya memahami bahawa tak semua kesalahan lalu lintas bermakna kita berdosa dengan Allah. Ada banyak peraturan lalu lintas adalah persoalan teknikal. Kadang-kadang mereka melanggarnya secara tak sengaja dan tak membahayakan nyawa sesiapa pun.

Contohnya, seorang pesalah trafik berkata…

Saya langgar lampu isyarat merah pada jam 3 pagi ketika jalan sunyi sepi. Tak kan saya nak berhenti tunggu lampu hijau sedangkan laluan adalah selamat. Hantu pun tengah tidur ketika itu. Selepas langgar lampu merah, tengok-tengok di hadapan ada kereta peronda polis. Polis tu pula kononnya nak bagi syarahan agama. Katanya, “mencuri kita tak boleh buat sama ada ketika ada orang atau pun orang tak nampak.”

Ada pulak langgar lampu merah nak dikiaskan dengan mencuri. Kesudahannya kena saman. Adilkah?

Memandu lebih sikit dari had laju di kawasan sekolah ketika hari cuti sekolah. Jalan hadapan sekolah tersebut lebar dan lurus. Memang had lajunya cuma 30 km/jam dan had laju ini sangat penting untuk keselamatan anak-anak sekolah. Tapi saya melalui jalan tersebut ketika hari Jumaat, sekolah cuti dan sunyi sepi. Tak ada seorang pun pelajar sekolah yang kelihatan. Tak kan nak bawak 30 km/jam juga. Mungkin saya bawa kereta 70 atau 80 km/jam. Tidak terlalu laju sebenarnya tetapi hakikatnya saya telah melanggar had laju dan kena saman. Adilkah?

Memotong sebuah kereta yang dipandu 30 km/jam di garisan berkembar. Biasa kita berjumpa dengan kereta yang dipandu dengan sangat perlahan. Apakah memang perangkap atau bagaimana? Tempat tersebut pula garisan berkembar. Dalam hidup ini ada ketikanya kita perlu cepat. Lantas kereta kura-kura tersebut dipotong. Tiba-tiba muncul anggota polis dari dalam semak dengan bendera merah mengarahkan saya ke tepi dan kena saman lagi! Adilkah?

Terlupa pakai tali pinggan keledar. Saya tak mengancam nyawa sesiapa sekadar tak pakai tali pinggang keledar. Memang ianya salah dari segi peraturan. Tapi adilkah saya diburu macam penjenayah?

Pagi ini saya terima maklumat seorang rakan dari Pasir Puteh. Polis tahan kenderaan secara rambang di jalan sehala. Pemandunya dibawa masuk ke balai untuk pemeriksaan. Mana-mana yang ada saman akan ke lokap! Kerja apa ini?

Apa sebenarnya matlamat dari Ops Warta ini? Nak didik rakyat atau nak ‘kekoh pitih’ rakyat?

CERAMAH ISU SEMASA

Tarikh : 29 Mei 2014

Lokasi : Terengganu

 

yam

Oleh Dr Azman Ibrahim

Saya tak mengenali Mak Cik Yam, seorang wanita kurang upaya, peniaga sayur kecil-kecilan yang menjadi mangsa samun di FeldaTenang, Besut. Dibelasah dengan kejam oleh penyamun pada 14 Disember lalu, bertarung nyawa di Hospital Kota Bharu, akhirnya lebih kurang jam 3 pagi tadi, Mak Cik Yam telah pergi kembali kepada Penciptanya.

Berita tragedi yang menimpanya saya baca dengan penuh simpati sambil mengirim sedikit sumbangan melalui sahabat PAS Besut yang menziarahinya di hospital. Pagi ini apabila melihat gambar beliau ketika masih sihat sedang menjual sayur di pasar sehari yang dipaparkan  di laman sosial seorang rakan dari Besut, tanpa dipinta air mata saya mengalir laju. Serta merta dada terasa sebak dan terharu.

Gambar seorang ibu yang sedang duduk menjual sayur sangat mendalam ertinya bagi saya kerana ibuku juga seorang peniaga sayur di pasar sehari seperti juga Mak Cik Yam. Wanita tua yang tak berdaya sepertinya diperlakukan sebegitu. Benarlah kata-kata bahawa, di dalam kelompok haiwan tiada manusia, tetapi dalam spesis manusia ada binatang!

Dari segi logik akal seorang penyamun (kalaulah penyamun itu berakal), adalah munasabah beliau diperlakukan sebegini kalau Mak Cik Yam seorang kontraktor besar. Ada ratusan ribu pitih disimpan di dalam peti besi rumahnya. Tetapi seorang peniaga sayu kecil-kecilan, kurang upaya pula, harta apa yang Mak Cik Yam ada? Saya tahulah memang tak kaya sebab saya pun anak penanam dan penjual sayur!

Jadi apa yang penyamun ini cari sebenarnya sehingga tergamak membunuh? Apakah kita sebagai ahli masyarakat memerlukan manusia yang tak bertamaddun dan mempunyai naluri jahat sebegini terus bersama kita dalam masyarakat?

Zalimkah suatu undang-undang itu kalau perbuatan jahat sebegini diancam dengan suatu bentuk hukuman yang sangat keras sebagai pencegahan? Atau penjenayah sebegini perlu dikasihani, diberikan kerja supaya mereka mempunyai sumber pendapatan sebab sebenarnya mereka melakukan jenayah kerana desakan hidup?

Perompak dan penyamun lebih mengancam manusia dari pencuri. Sebab itu dalam Islam, kalau pencuri yang cukup syarat pelaksanaan hukumannya dipotong tangan, seorang perompak dipotong tangan dan kaki secara bersilang. Kalau dia merompak dan membunuh, maka dia juga perlu dijatuhkan hukuman bunuh.

Kalau Mak Cik Yam yang diperlakukan sebegitu adalah mak kita, ada tak kita sebagai anak yang akan berkata, hukuman sebegitu terhadap perompak tersebut adalah tidak berperikemanusian dan tidak bertamaddun? Kalau undang-undang Islam ini dikatakan tidak berperikemanusian, apakah perlakuan perompak kepada Mak Cik Yam itu berperikemanusian?

Dalam Islam, ada perkara yang dikira kemestian, tiada tolak ansur dan ianya wajib dipertahankan. Agama, akal, nyawa, harta, keturunan dan maruah. Islam datang untuk melindungi kepentingan dan keperluan ini. Kalau ada manusia yang hidupnya dalam masyarakat mengancam agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah orang lain maka Islam hadir sebagai penyelamat.

Manusia yang merbahaya sebegini perlu disedarkan dengan hukuman keras. Hukuman keras ini bukan nak hukum orang baik seperti Mak Cik Yam! Semoga Mak Cim Yam damai di sana dan ditempatkan di syurga.

%d bloggers like this: