Tag Archive: Aurat


Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/20/aurat-antara-bekas-mertua-dan-menantu/

AL-KAFI #406 : AURAT ANTARA BEKAS MERTUA DAN MENANTU

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 406 (18 OKTOBER 2016 M / 17 MUHARRAM 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum Dr.

Bagaimanakah hukum aurat diantara bekas ibu mertua dan bekas menantu lelakinya? (Anak perempuan si ibu telah bercerai dengan suaminya).

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Apabila seorang lelaki bercerai daripada isterinya, hubungan mahram dengan ibu mertuanya tidak hilang dan terus menjadi mahram secara mu’abbad. Ini berdalikan kenyataan dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-23 bahawa wanita yang diharamkan berkahwin dengannya termasuklah:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu isteri kamu,”

Dan pengharaman ini kekal sekalipun selepas kematian atau cerai, semata-mata dengan akad, walaupun jika tidak pernah berlaku persetubuhan antara suami dan isteri, kerana ayat itu menyatakan semata-mata ibu kepada isteri tanpa mensyaratkan persetubuhan.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/31-32)

Justeru batas aurat antara seorang lelaki dengan bekas mertuanya ialah hukum mahram yakni antara pusat dan lutut jika aman daripada fitnah.

Walahua’lam.

http://www.muftiwp.gov.my/index.php/perkhidmatan-s/al-kafili-al-fatawi/1217-al-kafi-406-aurat-antara-bekas-mertua-dan-menantu

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang

صنفان من أهل النار لم أرهما . قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس . ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات . رؤوسهن كأسنمة البخت المائلة . لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها . وإن ريحها لتوجد من مسيرة كذا وكذا

“Dua golongan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat; golongan membawa cemeti seperti ekor sapi untuk memukul dan membelasah orang. Golongan kedua ialah wanita-wanita yang berpakaian (tapi) telanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok untuk menggoda, rambut mereka seperti bonggol unta yang miring, mereka tidak masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal sesungguhnya bau surga itu tercium dari jarak perjalanan yang sangat jauh.”

Antara perkara yang menjadi ujian dalam kehidupan manusia adalah perkara yang berkaitan dengan aurat. Ada manusia yang mengambil berat tentangnya dan tidak kurang juga yang meremeh-remehkannya kerana menganggap ia hanya salah satu dosa kecil. Benar, membuka aurat adalah dosa kecil tetapi apabila dilakukan secara berterusan ia terkumpul menjadi besar apatah lagi dilihat oleh golongan yang ramai.

Jenayah membuka aurat juga sebenarnya berkaitan dengan kekuatan aqidah seorang Islam. Manakan tidak, ada orang yang menutup aurat secara selektif atau terpilih. Ia menutup aurat hanya ketika solat, ketika di pejabat, ketika di sekolah, ketika di masjid dan masa-masa tertentu. Tetapi membuka aurat ketika masa yang lain, mendedahkan aurat ketika ke pasar, ketika menghadiri majlis-majlis keramaian seperti perkahwinan dan parti-parti tertentu. Seolah-olah ketika itu malaikat raqib atid tidak bertugas ketika itu.

Ada yang menutup aurat hanya ketika berada di tanah suci, ketika bulan Ramadhan, ketika ada kematian, ketika ada majlis ceramah agama, tetapi kemudiannya membukanya kembali apabila sudah berakhir atau kembali dari majlis atau tempat berkenaan.

Lebih menjadi fitnah ialah sebagaimana hadith Rasulullah SAW pada hadith berkenaan ialah mereka yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang. Ia menyangkakan sudah menutup aurat tetapi tidak menutup mengikut tuntutan agama yang sebenarnya. Memakai tudung tetapi memakai t-shirt yang berlengan pendek. Berbaju kurung, tetapi kainnya nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh dan pakaian dalamnya. Berpakaian ketat dan singkat sehingga menampakkan pusat dan bahkan sengaja memperlihatkan seluar dalamnya. Terlalu banyak lagi kesilapan umat Islam terutama muslimah dalam memahami etika berpakaian sehingga menganggap sudah menutup aurat tetapi sebenarnya belum.

Falsafah menutup aurat juga mesti difahami secara jelas. Menutup aurat dengan makna melindungi segala keaiban diri agar jangan sampai didedahkan dan diketahui oleh orang lain kecuali mereka yang dibenarkan dalam syarak. Apabila seorang muslimah menutup aurat, ertinya ia mesti menjaga akhlak dan keperibadiannya. Bukan akhlak seorang wanita muslimah, meski ia sudah menyempurnakan pakaiannya menurut Islam tetapi berakhlak dengan akhlak yang buruk.

Menutup aurat tetapi ketawa terbahak-bahak, melompat terkinja-kinja, menyanyi berkaraoke sehingga hilang perasaan malu, walaupun kepalanya cantik mengenakan tudung kerana aurat bukan sekadar pakaian tetapi menjaga akhlak dan pekertinya. Berpakaian menutup aurat mestilah didasari dengan taqwa, kepada Allah SWT bukan kerana yang lain.

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

Sejak setahun dua ni, kita selalu dihadapkan dengan berita-berita selebriti terkenal tanahair menamatkan zaman solo mereka. Antaranya ialah Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Erra Fazira dan ramai lagi. Yang terkini ialah  DJ Hot FM, Azura.

Dalam majlis-majlis perkahwinan mereka inilah pereka fesyen mempersembahkan fesyen terkini yang mampu memikat masyarakat di luar sana.

Sesuatu yang saya perhatikan, personaliti yang saya sebutkan tadi, dan menjadi trend masa kini mereka mengenakan tudung untuk majlis pernikahan mereka. Sudah tentu ia sesuatu yang baik.

Tetapi, Islam mengajar kita melaksanakan sesuatu ibadah itu kerana Allah bukan kerana lain. Solat umpamanya mesti didirikan kerana Allah, bukan kerana bapa, bukan kerana mertua, bukan kerana menantu, bukan kerana warden asrama, bukan kerana Pak Menteri, bukan kerana sesiapa! Tapi kerana Allah.

Begitu juga kewajiban menutup aurat. Ia mesti dilakukan kerana Allah. Oleh itu, sesuatu ibadah atau anjuran agama mesti dilakukan menurut ketetapan masa dan tempatnya. Ia tidak boleh dilakukan sekali sekala, atau waktu-waktu tertentu sahaja, atau mengikut sesuka hatinya.

Kebiasaannya orang perempuan yang bukan jenis menutup aurat, mereka hanya akan berpakaian yang menunjukkan keislamannya biasanya pada hari jumaat atau ketika ada kematian, ketika haji atau umrah dan beberapa situasi lain.

Dan kini kebiasaan itu bertambah satu lagi, iaitu budaya bertudung ketika akad nikah sahaja, tetapi majlis persandingan yang lain, tudung yang menjadi kewajiban itu terbang hilang entah ke mana.

Apabila Allah mewajibkan wanita muslimah menutup aurat apabila berada di khalayak umum, tiba-tiba ada wanita Islam memilih tudung pada satu masa, dan menanggalkannya pada masa yang lain, apakah anggapannya terhadap Allah ketika itu?

Apa yang dibimbangkan, apabila seseorang melaksanakan sesuatu yang zahirnya adalah ibadah dan sepatutnya mendatangkan pahala, tetapi apabila tujuannya tidak betul, misalnya bertudung kerana fesyen bukan kerana kewajiban, hanya untuk kepuasan diri dan pujian khalayak, layakkah dia mendapat pahala Allah SWT?

Firman Allah : “Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu”.

%d bloggers like this: