Tag Archive: Astro Oasis


Siaran oleh Astro Oasis pada 2 Mac 2015

IMAM MUDA MUSIM KE-2

Setelah melahirkan 10 Imam Muda di musim pertama, Astro Oasis sebagai sebuah saluran gaya hidup famili Islam meneruskan tradisi mencari pelapis dan melahirkan pemuda berwibawa, berintegriti dan berkredibiliti dengan mengumumkan 10 orang calon Imam Muda untuk musim yang kedua. Buat julung kalinya, pengumuman dari Dewan Muktamar, Menara Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) disiarkan secara langsung di Astro Oasis (Saluran 106).

Sepuluh orang calon Imam Muda yang terpilih itu ialah:

1. Ali Khairudin Haji Abdul Marif, 26 tahun, berasal dari Sabah

2. Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26 tahun, berasal dari Perak

3. Nazrul Izwan Zolkiflee, 26 tahun, berasal dari Johor

4. Wan Najdi Wan Mohd Noh, 20 tahun, berasal dari Selangor

5. Mohd Fakhrurrazi Hussin, 27 tahun, berasal dari Terengganu

6. Ammar Wan Harun, 27 tahun, berasal dari Kedah

7. Mohd Azlan Zulkarnain, 25 tahun, berasal dari Kuala Lumpur

8. Abdul Fattah Riddzwan, 21 tahun, berasal dari Negeri Sembilan

9. Mujahid Suhaimi, 20 tahun, berasal dari Singapura

10. Zulfadli Haji Awang, 24 tahun, berasal dari Brunei Darussalam.

Calon-calon Imam Muda Musim Ke-2 ini telah diumumkan dalam majlis yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato Seri Jamil Khir Bin Hj Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Majlis yang disiarkan secara langsung melalui Astro Oasis (106) ini juga turut disertai oleh Tuan Hj Izelan Basar, Pengurus Saluran Astro Oasis.

Rangkaian program-program Imam Muda mula bersiaran di Astro Oasis (saluran 106) melalui Imam Muda – Ujian yang telah ditayangkan sejak 1 April lalu, setiap Jumaat jam 9.00 malam yang memaparkan senario menarik yang berlaku di sepanjang sesi temu duga yang berlangsung di enam lokasi terpilih.

Seterusnya, bermula 25 April ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis jam 7.55 malam, penonton berpeluang menyaksikan kesemua calon-calon Imam Muda yang terpilih ini mengikuti kelas-kelas dan aktiviti-aktiviti mengikut kaedah dan metadologi yang disediakan di bawah pimpinan dan pemerhatian khusus Mudir (pengetua) dan Mudir (mentor) melalui program Imam Muda – Kapsul.

Pertama kali diperkenalkan pada musim ini, Imam Muda – Mimbar akan bersiaran setiap hari Jumaat jam 6.30 petang bermula 29 April ini. Menerusi program ini, penonton akan disajikan dengan persediaan dua orang peserta yang terpilih untuk menyampaikan tazkirah dan khutbah setiap Jumaat di masjid terpilih sekitar ibu kota.

Manakala seperti musim lalu, Imam Muda yang akan bersiaran pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam akan menguji kesemua calon Imam Muda bakal diuji untuk sesi penilaian. Berdasarkan nilai jawapan yang diberikan oleh peserta, Mudir akan mengumumkan salah seorang peserta sebagai peserta terbaik yang akan menerima ganjaran mingguan.

Di antara insentif menarik yang bakal menanti Juara Imam Muda ialah penajaan penuh biasiswa di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, wang tunai RM 30,000, sebuah kereta, pakej menunaikan Haji dan Umrah, beserta hadiah sampingan yang lain. Kesemua hadiah yang bakal diterima oleh Juara Imam Muda bernilai lebih RM 350,000.

Pada musim kedua ini, Imam Muda sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Bank Islam selaku penaja utama dengan kerjasama Salamfon sebagai penaja rasmi telekomunikasi serta Radio Ikim selaku radio rasmi. Informasi terkini seperti maklumat lengkap Imam Muda musim kedua, berita-berita tentang aktiviti terkini, gambar dan video eksklusif dan menarik boleh didapati melalui laman web rasmi www.imammuda.com.my.

Mungkin di kalangan pelayar blog ini mengetahui ada satu rancangan di RTM  (tv1) bernama Adik-Adikku Musim Kedua -pencarian daie-daie kecil berbakat besar sedang disiarkan di TV1 setiap petang. Salah satu daripada 16 orang pesertanya ialah dari Sabah iaitu adik Najahatus Solehah binti (Ustaz) Rafihi.

Kini rancangan realiti Imam Muda yang mendapat sambutan dan perhatian  dari pelbagai media dalam dan luar negara juga memasuki musim kedua.  Sebagaimana dimaklumkan oleh pihak Astro Oasis bahawa lokasi pencarian diluaskan termasuk ke Sabah, diadakan di Wisma MUIS pada 26 & 27 Februari 2011.

***

Tajuk asal : Pencarian Imam Muda Musim Kedua Diperluas (mstar.com.my)

Oleh KEMALIA OTHMAN

Majlis tandatangan usahasama Astro Oasis dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Selepas mendapat sambutan menggalakkan, program realiti popular terbitan Astro Oasis, Imam Muda bakal bersiaran untuk musim kedua. Lebih istimewa ia bukan sahaja membuka peluang kepada peserta dalam negara malah kepada warganegara luar yang berminat.

Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, penyertaan dibuka kepada warganegara luar berikutan permintaan mereka menerusi laman interaksi Imam Muda dan laman sosial Facebook.

“Ramai penonton dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei menyatakan hasrat untuk menyertai program ini. Oleh itu kami telah berbincang dengan pihak Jawi dan menganggap ia sebagai satu cabaran dan persaingan yang baik.

“Selain itu, ia juga terbuka kepada pelajar-pelajar luar negara yang sedang belajar di sini. Bagaimanapun ia bergantung kepada tahap penguasaan Bahasa Malaysia juga sebab kita beri kelebihan kepada yang boleh berbahasa Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Imam Muda musim kedua di Restoran Al-Diafah, Seri Petaling di sini, Khamis.

Majlis turut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Dalam pada itu, lokasi uji bakat turut ditambah berbanding musim lalu. Pertambahan lokasi iaitu di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagi musim kedua, bakal imam-imam muda akan menjalani jadual ketat, peraturan agama, tugas rutin dan pemahaman khusus mengenai tugas-tugas seorang imam, memimpin keluarga dan selaku pemimpin masyarakat setempat. Bagaimanapun mereka turut menerima cabaran baru bersesuaian dengan keadaan semasa seperti ekonomi, perdagangan dan perubatan Islam melalui ayat-ayat suci Al Quran.

“Modul dan pengisian lama masih dipraktikkan untuk musim ini, tetapi kita akan tambah modul terbaru mengikut cadangan yang bayak dikemukakan penonton pada musim lalu. Ia masih berteraskan kitaran kehidupan manusia seperti pendedahan kepada kes buang bayi, perkahwinan dan pengurusan jenazah di samping memperkenalkan beberapa topik baru seperti aktiviti dakwah kepada Orang Asli, amalan perubatan Islam dan aktiviti sukan yang disarankan dalam Islam,” kata Izelan.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terus-menerus memberi sokongan dan meneruskan kerjasamanya untuk memantapkan program Imam Muda. Bagi yang berminat untuk menghadiri sesi uji bakat di jemput hadir ke lokasi-lokasi berikut.

22 –23 Januari 2011: Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Baru.

28 –29 Januari 2011: Balai Islam Lundang, Kota Baharu, Kelantan.

11 –12 Februari 2011: Masjid Zaher, Alor Setar, Kedah.

19 – 20 Februari 2011: Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Pahang.

26 – 27 Februari 2011: Wisma MUIS, Kota Kinabalu, Sabah.

05- 06 Mac 2011: Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Kriteria masih lagi seperti musim lepas iaitu lelaki beragama Islam yang fasih berbahasa Melayu dan boleh menguasai lebih dari satu bahasa di samping berusia di antara 18 hingga 27 tahun serta sihat tubuh badan.

Bagi yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R di samping boleh membaca Surah Al-Fatihah serta surah-surah lazim dan mempunyai pengetahuan mendalam dalam agama Islam.  Siri pencarian Imam Muda musim kedua bakal bersiaran di saluran rasmi, Astro Oasis bermula 25 April 2011.

%d bloggers like this: