Tag Archive: As-Solihin Management & Consultant


KEM ANAK SOLEH


Malam tadi, saya mengisi satu slot ringkas dalam kuliah maghrib di Masjid Pusat Latihan RELA Jalan Sulaman sempena program Kem Anak Soleh anjuran as-Solihin Management.

Penganjur diketuai Ustaz Zulhazmi Osman memberitahu saya bahawa ini adalah program kali kedua anjuran mereka. Kali pertama diadakan pada tahun lalu juga di lokasi yang sama.

Program ini disertai lebih 100 peserta berumur 9-16 tahun daripada pelbagai sekolah sekitar Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran. Paling jelas ialah penajaan Petronas kepada beberapa pelajar dari Kampung Gayang Tuaran yang terletak berdekatan dengan pusat latihan ini.

Program bermula dengan pendaftaran pada petang ahad dan berakhir pada pagi ini. Ada banyak slot kuliah maghrib dan subuh dan latihan dalam kumpulan (LDK) yang dikendalikan oleh beberapa fasilitator. Antara tajuk yang LDK yang diberi tumpuan ialah berkaitan dengan adab dan akhlak terhadap ibu bapa, solat dan sebagainya.

Antara penceramah yang diundang ialah Ust Bungsu Aziz Jaafar, Ust Shahir Ismail, Ust Arbaen Shawal dan lain-lain. Sementara pada malam terakhir, selepas kuliah maghrib yang saya sampaikan diadakan persembahan nasyid yang mencungkil bakat anak-anak sesama mereka.

Semoga program ini menatijahkan sesuatu yang baik sebagaimana harapan penganjur dan kesemua ibu bapa.


GERAI TERBUKA IKAN BAKAR

Sebenarnya selesai zuhur di Masjid Negeri, saya lalu saja di Surau Austral. Saya sudah berjanji menjemput anak yang keluar sekolahnya jam 1 tengahari di SK Kem Lok Kawi. Hari itu ada program Kem Solat.

Kereta saya perlahankan ketika lalu di Surau Austral, pelanggan gerai sudah mulai ramai. Terfikir mahu berhenti singgah, tapi sudah berjanji dengan anak. Kasihan kalau dia menunggu terlalu lama.

Jadi saya pulang duluan menjemput anak.

Hampir jam 3, saya datang semula bersama isteri yang kebetulan ada kelas tambahan untuk pelajar darjah 6 di Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur. Kebetulan pula saya belum sempat makan tengahari.

Buka dompet, usinnya hanya tinggal beberapa ringgit. “Mana cukup untuk makan tengahari”, kata saya kepada isteri. Hendak keluar mencari ATM, jauh pula. Isteri mengunjuk duit RM50.00. Saya tersenyum.

“Kenyang laa aku kali ni…”

Menu yang dijanjikan dalam iklan sudah hampir kehabisan. Baru jam 3 petang, jualan mereka laku kali ini. Pelanggan yang datang masih kelihatan. Kasihan juga yang datang dari Kinarut, Kolombong dan lain-lain melihat juadah sudah banyak yang habis. Penganjur terpaksa menempah dan memasak nasi yang sudah kehabisan.

“Janji sampai jam 5, pelanggan mesti marah sebab makanan kamu sudah habis”, gurau saya.

Semua senyum melihat saya lalu dengan kamera menyangkut di leher. Untuk tatapan peminat setia Abu Nuha Corner yang jauh di mata dan dekat di hati. Oh teringat Hj Omar di Bukit Mahkota, Kajang.

Orang yang paling sibuk sudah tentu Ust Zulhazmi yang empunya program. Begitu juga isteri dan para pembantu beliau yang tidak cukup tangan melayan pelanggan.

Program kali ini – gerai terbuka ikan bakar dan makanan semenanjung ini di bawah anjuran as-Solihin Management & Consultant milik Ust Zul. Memang di kalangan rakan-rakan, Ust Zul memang minat berniaga dan pandai cari duit.

Yang paling best sekali, dia suka bantu orang.

“Ustaz, ada orang pesan kat ana, kalau anta datang makan hari ini, tak payah ambil duit. Ada orang belanja, nanti dia bayarkan”, kata Ust Zul.

Alhamdulillah, semoga orang yang baik hati itu sekeluarga dimurahkan rezeki sehingga bila-bila.

Kadang-kadang saya perasan juga mungkin rezeki saya mengajar dan ceramah di mana-mana masjid, surau, pejabat dan lain-lain, selalu sangat dibelanja orang terutama yang pernah menjadi audien saya.

Di gelanggang masakan, saya nampak kelibat Cikgu Borhan melayan pelanggan. Saya baru tahu Cikgu Borhan yang murah dengan senyuman itu pandai memasak orangnya. Siaplah dia kali ini. Beliau bertugas di SK Pulau Gaya sementara isterinya seorang doktor perubatan di Hospital Queen Elizabeth.

Beliau baru bertugas awal tahun ini di Sabah. Orangnya peramah dan kaki surau juga. Nampaknya ramai selesa dengan kehadirannya.

Selesai asar di Surau Taman Austral, hujan turun dengan lebatnya. Sesuai juga ketentuan Allah hari ini. Jualan gerai habis tanpa menunggu jam 5 petang, hujan pun turun. Semua orang berkemas untuk balik ke rumah.

Terima kasih.

Tarikh :  24 April 2010 (Sabtu)

Masa : 11 pagi – 5 petang

Tempat : Showroom Siddqi Auto  Taman Austral (Bersebelahan Surau Riyadhus Solihin)

Anjuran : As-Solihin Management & Consultant.

Maklumat lanjut : Ust Zulhazmi Osman (012-4299897)

Menu : Ikan bakar, gulai batang pisang, ulam, tempoyak, ikan keli dan lain-lain

KEM ANAK SOLEH

Tarikh : 18-21 Mac 2010 (empat hari tiga malam)

Tempat : Komandan Pusat Latihan Rela Negeri Sabah

Yuran : RM150 seorang

Pendaftaran  & Pertanyaan : Ust Zul (012-4299897), Ust Almutra (012-8360981), Cik Dayang (088-228858)

Anjuran : As-Solihin Management & Consultant.

%d bloggers like this: