Tag Archive: Arip Kasmo


Buku yang baru dibaca :

Penulis : Dr Mohd Arip Kasmo

Penerbit : Itqans Enterprise

Harga : RM15.00

Buku ‘Kehebatan Susunan al-Quran’ ini merupakan kesinambungan buku ‘PASAK’. Buku ini menghuraikan kehebatan al-Quran dari sudut susunan surah-surah dan bilangan ayat sehingga mustahil al-Quran boleh dipinda. Allah SWT mencabar mereka yang ragu-ragu dengan kebenaran al-Quran untuk menuis sesuatu yang serupa dengan al-Quran, atau sepuluh surah atau satu surah yang serupa dengan surah-surah al-Quran dan ternyata manusia tidak mampu melakukannya.

Tanggapan para orientalis Barat yang kononnya al-Quran tidak tersusun dengan baik, atau tanggapan bahawa al-Quran datangnya daripada manusia, ataupun tanggapan sesetengah orang bahawa al-Quran yang ada sekarang bukan al-Quran yang asli sekaligus dapat ditolak dan dipatahkan dengan melihat dan meneliti susunan al-Quran dan bilangan ayatnya.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua golongan masyarakat kerana gaya bahasa yang mudah difahami.

Alhamdulillah, gembira di hati dapat bertemu Prof Dr Arip Kasmo yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai cikgu. Sejak sahabat-sahabat seperti Cikgu Jamil Dayan, Ustaz Khaidir dan Ustaz Abdullah Din balik ke Semenanjung, sayalah antara orang yang dihubungi oleh Dr Arip jika beliau berhajat datang ke Sabah mengisi program-program beliau terutama yang berkaitan dengan ‘al-Quran dan Sains’.

Kami bermesyuarat bersama dengan sahabat-sahabat Ustaz Arbaen Shawal, Ustaz Amir Hamzah dan lain-lain menyusun letak lokasi ceramah beliau kali ini. Alhamdulillah, setakat ini program berjalan lancar, antaranya ceramah dhuha di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Kinabalu, tazkirah sebelum azan jumaat di Masjid Bandaraya, ceramah di Pejabat Maritim pada sebelah petang dan malamnya di surau Maahad Tahfiz di Kepayan.

Beliau ada menceritakan detik-detik pengislaman beberapa tokoh penting di Barat yang telah diberikan hidayah oleh Allah SWT. Antaranya ialah Yusuf Estes, Jamal Zaraboza, Rahim Green dan lain-lain. Sesungguhnya tiada sesiapa dapat menghalang apabila Allah SWT sudah menentukan kehendak-Nya. Justeru beliau mengharapkan umat Islam menjadi daie, penyebar kepada keindahan Islam melalui apa saja saluran.

Melalui pengalaman beliau menjelajah dan berceramah ke seluruh pelusuk negara, menerangkan tentang keindahan Islam dan al-Quran, ramai di kalangan audien terutama pelajar sekolah beragama Islam sendiri yang tidak mengetahui asas ajaran Islam dan keindahannya. Bahkan ada yang menganggap Islam itu sama sahaja dengan agama-agama yang lain. Tetapi apabila diterangkan melalui ceramah-ceramah seumpama yang beliau sampaikan, ada yang terkejut bahawa Islam yang dianggap sebahagian sebagai agama biasa itu adalah suatu nikmat yang tidak ternilai harganya.

Memang sebahagian orang mudah untuk menurut ajaran Islam mengikut apa yang diajarkan oleh para alim ulama’ tanpa banyak soal. Tetapi dari segi lain ada juga orang yang terlalu banyak menyoal dan melihat logik, munasabah, sains dan seumpamanya. Maka para pendakwah sendiri perlu mempelbagaikan strategi dan teknik untuk menarik minat manusia kepada Islam dan sayang kepadanya.

Turut diatur dalam program ziarah beliau ialah satu program wacana ilmu di audiotorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bersama 400 guru agama sekitar Kota Kinabalu siang tadi (sabtu), ceramah di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang pada malam ini dan kuliah subuh ahad di Masjid Bandaraya. Terima kasih atas kunjungan Prof Dr Arip Kasmo dan isteri ke Sabah. Sudi juga beliau bertandang ke Maahad Tahfiz walaupun di hadapan pelajar yang sedikit ini. Buku kedua beliau menjadi buah tangan, yang akan saya hadhamkan sedikit masa lagi.

%d bloggers like this: