Sekitar 150 peserta menyertai ‘Seminar Aqidah : Ancaman Fahaman Moden Terhadap Umat Islam’ anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah yang diadakan di masjid berkenaan sejak awal pagi sehingga jam 2 petang. Seminar berkenaan dibimbing sepenuhnya oleh Yang Mulia Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar, Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu.

Antara fahaman moden yang menyeleweng daripada ajaran Islam yang disentuh oleh penceramah ialah sekularisme, modenisme, rasionalisme, pluralisme, liberalisme dan lain-lain. Selain itu, penceramah turut menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan oleh peserta yang hadir. Untuk rekod, ini kali pertama Syukbah Dakwah menganjurkan seminar aqidah yang menyentuh ideologi moden seumpama ini.

Berbicara tentang sekularisme, fahaman ini bukan sekadar memisahkan politik dan agama saja. Fahaman ini menyusup dengan cukup halus ke dalam ruang kehidupan umat Islam sehingga umat Islam kini sudah tersasar jauh daripada agama Islam. Sebagai contoh sekularisme berjaya menyuntik pemikiran umat Islam bahawa agama hanya terbatas kepada masalah-masalah yang bersifat individual seperti sembahyang, puasa, zakat, nikah kahwin, talak, nafkah, iddah, waris, kematian dan membaca doa semata-mata. Orang-orang sekularisme menyebarkan fahaman ini melalui pelbagai cara seperti melalui undang-undang, pendidikan dan media massa.

Fahaman sekularisme sangat berbahaya. Apabila ia telah mendarah-daging di dalam diri individu, ia akan bertindak menyisihkan agama daripada urusan kenegaraan. la menolak agama daripada turut campur mengurus dan mengendalikan negara. Tempat agama di masjid dan surau. Fahaman ini sangat berbahaya sekali. Adalah Islam sebagai ‘Din’ tidak pernah mengajarkan demikian. Islam adalah agama yang mengatur dan mengurus semua aspek dan lapangan kehidupan berbangsa dan bernegara.

Terima kasih di atas kesudian Ustaz Haji Bungsu Aziz yang meluangkan masa berkongsi ilmu sekitar 4 jam bersama para peserta pelbagai peringkat umur yang hadir. Insya Allah Syukbah Dakwah akan terus menganjurkan siri-siri kursus yang bersesuaian dengan isu semasa dan memenuhi keperluan masyarakat Islam sekitar Kota Kinabalu.