Tag Archive: AMAL


Dari lensa Hamid Ismail

Mengajar secara formal dan bergelar pensyarah walaupun sambilan @ undangan hujung minggu, siswa-siswinya pula terdiri daripada orang yang lebih berumur, mempunyai pengalaman hidup dan dunia kerjaya yang baik – semuanya itu menjadi suatu pengalaman indah ketika bersama mereka – dalam kuliah Diploma Pengajian Islam (DPI) di bawah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS.

Keindahan itu lebih manis apabila melihat (foto) mereka naik pentas menerima diploma berkenaan dalam Pesta Konvokesyen UMS tempohari, hati ini bersyukur dan bersorak riang sendirian. Walaupun bersama mereka hanya beberapa kali tempoh kuliah hujung minggu sabtu dan ahad, saya mengakui pengalaman manis ini kerana dapat berkongsi ilmu yang terbatas dan menyelami sedikit sebanyak dunia  mereka yang majoritinya para peguam.

Benar kata Dr Ahmad Tarmizi malam tadi, kadang-kadang lucu juga mengajar mereka. Ada yang mempunyai asas yang baik dalam agama, sementara ada juga yang sebaliknya. Oleh kerana saya punya sekelumit pengalaman mengajar tajwid (seperti yang diamanahkan), boleh agak juga di kalangan mereka yang ‘mengakun’ tau, tapi sebenarnya tidak. Saya tersengih mendengar pengakuan Hamid Ismail yang bimbangkan kuliah tajwid saya. Barangkali kerana tajwid ini perlukan sesi praktikal secara terus.

Jujurnya saya juga kagum dengan kesungguhan mereka hadir sepanjang tempoh dua tahun setiap hujung minggu, bahkan ada dari Tawau dan lain-lain lokasi, apatah lagi mereka semua orang yang berkerjaya. Walaupun malam itu ada di antara mereka mengakui ada yang tidak ikhlas pada awalnya kerana hanya untuk melengkapkan kehendak hakim dan mahkamah, namun saya melihat pengakuan mereka itu sudah menunjukkan ada perubahan buat mereka walaupun berdikit-dikit.

Di kalangan mereka saya melihat sendiri ada yang  berubah banyak setelah menyertai kuliah DPI, semakin rajin ke masjid  solat berjamaah dan mendengar kuliah serta ceramah. Syukur kepada Allah SWT. Saya sangat menyetujui ucapan peguam Zakaria Ahmad, bahawa setelah ruang belajar bermula, jangan hendaknya ia dihentikan gara-gara  sekeping sijil diploma itu. Teruskan pengajian dan pencarian ilmu kerana ia sebahagian daripada tugas hamba Allah di muka bumi.

Walaupun tidak berpeluang berucap dalam makan malam anjuran graduan-graduan DPI di Hotel Promenade malam tadi, saya berharap terhadap mereka tentang tiga perkara :

1) Pencarian ilmu mesti berterusan sepanjang hayat sama ada secara formal atau tidak, bersijil atau tidak. Ilmu yang benar adalah ilmu yang semakin mendekatkan diri kita kepada Allah SWT bukan semakin menjauh. Nabi SAW kata, orang yang bertambah ilmunya sedangkan hidayah tidak bertambah, ertinya ia semakin jauh daripada Allah SWT.

2) Ramai yang menyebut soal keikhlasan. Memadai saya ulangi pesanan orang-orang lama (seperti yang pernah saya ungkapkan dalam kelas) : Tanam padi, lalang akan tumbuh. Tanam lalang, padi tak tumbuh. Buat sesuatu kerana Allah, agama dan akhirat, insya Allah dunianya kita akan dapat. Buat sesuatu kerana dunia, akhirat kita tidak dapat.

3) Ilmu yang sedikit mesti dibuktikan dengan amalan. Dalam tempoh yang singkat, kita mempelajari banyak perkara yang sebelumnya tidak diketahui. Jadi jangan ilmu itu sekadar diperam dan dibiarkan tanpa diamalkan. Orang arab kata, ilmu tanpa amal seperti pokok tidak berbuah. Yang lelaki, belajar-belajarlah bagi tazkirah, khutbah dan sebagainya.

Syukur alhamdulillah, saya gembira dapat mengajar, mengenali dan kini bersahabat dengan sebahagian besar mereka. Semoga malam tadi bukan majlis dan pertemuan terakhir. Kepada persatuan peguam muslim – AMAL dan SALWA juga rakan-rakan lain rancanglah sesuatu untuk meneruskan majlis ilmu secara berkala. Insya Allah kami sedia membantu.

P/s : Suka mendengar maklumat Dr Tarmizi bahawa program pengajian Islam bakal diwujudkan di UMS dan kini dalam proses akhir. Sama-sama kita berdoa semoga ia menjadi kenyataan.

Yang ni foto Abu Nuha :

BANTU PENGUATKUASA AGAMA

IMG_9901

Dialog pada sesi terakhir program wacana isu syariah menarik perhatian saya dan audien yang hadir. Tajuk yang dipilih ialah  “Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah : Suatu Pengalaman Ali Panel”.

Panelnya terdiri daripada Yang Arif Tuan Ahmad Lakim (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sabah), Tuan Hj Mohd Noor Kasah (Ketua Penguatkuasa Agama JHEAINS) dan Tuan Hj Mohd Kamal Mohd Nor (Ketua Penguatkuasa JAI Perak).

Sementara moderatornya pula ialah Tuan Hj Sakaria Samela, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sabah.

Dalam sesi ini YA Hakim Ahmad Lakim telah mengimbas ringkas satu kes Adib Sigoh yang dihakiminya telah mencetuskan kontroversi satu ketika dahulu.

Hj Mohd Kamal pula menarik perhatian audien tentang kelemahan jentera penguatkuasa agama, kepakaran yang masih rendah serta kekurang staf agar diberi perhatian kerajaan.

Ini kerana katanya, dalam suasana masyarakat menginginkan jentera ini bergerak aktif dan mara ke hadapan sebagai jentera nahi mungkar, kelemahan-kelemahan ini sepatutnya diatasi terlebih dahulu.

Hj Mohd Noor Kasah pula dalam dialog itu berharap program dan majlis penerangan enakmen-enakmen syariah akan terus digiatkan kepada masyarakat bagi memberi kefahaman kepada mereka.

Selain itu beliau turut menyokong gesaan bahkan berharap agar prasarana, kemahiran dan jumlah anggota ditingkatkan lagi. Di Sabah katanya, hanya terdapat 12 orang pemegang hakiki bagi jawatan penguatkuasa agama di seluruh Sabah.

Beliau turut menceritakan bagaimana anggotanya pernah diacu dengan pisau ketika melakukan serbuan, sedangkan anggota penguatkuasa agama tidak pernah diberikan satu alat senjata bagi mempertahankan diri.

Sesi dialog semakin menarik apabila sesi soal jawab melibatkan peserta bahkan beberapa tetamu memberikan respon, pandangan dan cadangan yang bernas kepada para panelis.

Puan Anisah Amit dari Pendakwaan Jabatan Agama Islam Sarawak menjelaskan kelemahan yang sama. Katanya, di Sarawak hanya terdapat 6 orang pendakwa untuk menjaga seluruh negeri.

Dr Siti Zubaidah Ismail dari Universiti Malaya pula agak kecewa kerana masalah perjawatan dan latihan merupakan isu lama yang belum ada penyelesaian.

Beliau turut mencadangkan agar pendakwaan dan penyiasatan diasingkan daripada struktur jabatan agama seperti kehakiman syariah yang mempunyai jabatannya sendiri.

Puan Noor Azah Abd Rahman dari Persatuan Peguam Wanita Muslim Sabah (SALWA) mengakui kurangnya komunikasi antara para peguam syariah dengan JHEAINS dan Mahkamah Syariah.

Walaubagaimanapun pihaknya bersedia untuk memberi pandangan dan bantuan kepada pihak-pihak terbabit demi  meningkatkan kesedaran masyarakat untuk memartabatkan undang-undang syariah.

Tuan Zakaria Ahmad dari Persatuan Peguam Muslim Sabah (AMAL) pula memberikan teguran daripada segi sistem infrastruktur mahkamah seperti keperluan kehadiran anggota polis dalam perbicaraan mahkamah, kelemahan sistem bunyi bahkan kekurangan mahkamah terbuka itu sendiri di Sabah.

Selain itu beliau mencadangkan agar forum seumpama dapat digerak dan diperluaskan lagi dan pihaknya bersedia untuk membantu menegakkan keadilan syariah di Sabah.

Kira-kira 40 peserta hadir dalam program berkenaan yang berakhir pada jam 12.30 tengahari. Mereka terdiri daripada pengamal undang-undang syariah dan sivil, wakil-wakil agensi agama NGO Islam Sabah.

IMG_9899

IMG_9907

IMG_9911

%d bloggers like this: