Tag Archive: Alang Ibn Shukrimun


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42487-islam-premature-dan-islam-modified

ALANG IBN SHUKRIMUN | 15 September 2016.

ISLAM meraikan trend, tapi bukan mengikut trend. Islam membenarkan hiburan, tapi Islam bukan bermanhaj hiburan. Islam punya unsur liberal, tapi Islam bukan agama liberalisme.

Islam ada memperjuangkan dasar sosial, tapi Islam bersalahan dengan sosialisme. Islam mengharuskan populariti, namun Islam bukan bukan untuk mereka yang gila populariti dan publisiti. Hatta Islam sangat dekat dengan politik, namun politik bukan segala-galanya dalam Islam.

Inilah antara perkara yang ramai penganut dan pejuang Islam terlajak. Apabila kenal Islam melalui satu sisi sahaja, terus mereka anggap itulah ‘Islam’ secara keseluruhannya. Tidak mendapat tasawwur Islam yang menyeluruh kerana terlalu ghairah dengan sedikit yang diketahui.

Tasawwur Islam sebenar adalah seluruh ajaran Islam. Dari surah al-Fatihah hingga an-Nas. Dari Gua Hira hingga ke ribaan Siti Aisyah. Tidak boleh menolak walau satu hurufpun dari al-Quran. Tidak boleh tinggal walau satu detikpun dari Sunnah hidup baginda.

Kerana itu jangan pelik kalau Tuhan perintah orang beriman untuk masuk Islam semula. Bukan kerana iman mereka terbatal, tapi kerana ramai umat akhir zaman ini tidak mengikut Islam secara keseluruhan, mengikut tasawwur yang benar.

Manhaj Islam sebenar adalah syumul/menyeluruh. Justeru jika didapati ada yang mendakwa Islam tapi mengambil sisi tertentu sahaja, maka dengan jelasnya itulah jejak langkah syaitan yang wajib dijauhi.

Firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. [Al-Baqarah:208]

Dua langkah yang musuh Islam ambil untuk pesongkan ajaran Islam:
1. Mengambil sebahagian ajaran Islam dan meninggalkan/menafikan yang lain. Contoh menerima konsep ekonomi Islam tapi menolak konsep perundangan Islam. Ini Islam pramatang.

2. Mengimport masuk sebarang unsur luar ajaran Islam dan menghalalkannya atas alasan Islam memiliki unsurnya. Contoh mengimport semua konsep kapitalisme atas alasan Islam menggalakkan kemajuan ekonomi. Ini pula Islam yang telah dimodified.

Jaga-jaga dengan jenama Islam liberal, Islam-sosial, Islam-progresif, Islam Hadhari, Islam Demokrat, Post-Islamism dan apa jua tokok tambahnya. Kerana Islam sebenar hanyalah ‘Islam’. – HARAKAHDAILY 15/9/2016

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/lain-lain/42147-pokemon-go-dari-kacamata-seorang-gamers

SEPERTI yang dinyatakan sebelum ini, saya juga adalah peminat permainan digital. Sejak kecil hinggalah besar panjang, amat sukar untuk berpisah dengan game. Tanya sahajalah isteri saya betapa kali dia bermasam muka gara-gara cemburu kepada game.

Mustahil orang seperti saya tidak ghairah tatkala Pokemon Go diisytihar masuk ke Malaysia. Walaupun saya bukanlah peminat rancangan kartunnya, tapi kerana ia adalah sebuah game, tetap menggugat iman di dada. Namun setelah mendapat beberapa khabaran tidak enak berhubung Pokemon Go, saya mula selidik dan mengkaji permainan ini.

Oleh itu izinkan saya berkongsi beberapa pandangan berhubung permainan ini. Diharap gamers di luar sana tidak tersentap dan membaca dengan hati yang terbuka, akal yang waras dan iman yang sedar.

MELALAIKAN?

Saya tidak menafikan bermacam-macam lagi permainan di luar sana yang melalaikan. Sebelum Pokemon Go keluar, sudah berapa banyak berita yang dilaporkan tentang bahana ketagihan game.

Remaja di China mati akibat serangan jantung ketika bermain game Stargate. Di negara sama juga seorang remaja membunuh rakannya akibat salah faham yang berlaku melibatkan pedang virtual sabrenya.

Ada yang bunuh diri kerana gagal dalam misi Everquest dan ada yang bunuh diri kerana percaya dapat bertemu dengan karektor game yang diminatinya di alam lain. Bahkan seorang pemuda Amerika telah mencuri kereta polis dan membunuh tiga orang polis disyaki kerana terpengaruh dengan permainan GTA.

Namun Pokemon Go tidaklah lebih baik dari kes-kes di atas. Di Amerika Syarikat sahaja beberapa kes telah dilaporkan. Antaranya seorang pemuda memberhentikan keretanya di tengah-tengah lebuh raya untuk keluar mencari Pokemon yang berada di sekitar kawasan tersebut.

Ini mengakibatkan kemalangan ngeri melibatkan beberapa buah lori treler dan kenderaan ringan lain. Antaranya juga kisah seorang pemuda yang jatuh ke dalam laut di jeti kerana terlalu asyik mencari pokemon.

Lebih mengharukan, apabila beliau diselamatkan, beliau terus membuka telefon pintarnya dan meneruskan misi mencari pokemon. BBC turut melaporkan seorang warga US ditemui mati akibat terjatuh ke dalam gaung akibat pokemon. Buktinya game tersebut terpasang di dalam telefon bimbitnya yang berada di bawah mayat ditemui.

Game ini memiliki keburukan yang tersendiri. Yang membimbangkan ialah ia menjadi viral dan kegilaan hampir semua anak muda kini. Dalam masa yang pantas, rasanya semua handphone anak muda memiliki perisian permainan ini. Suatu fenomena yang tidak berlaku kepada kebanyakan game lain.

MENGHINA AGAMA?

Pengeluar game Pokemon Go, Niantic Inc bertindak kurang ajar apabila meletakkan haiwan-haiwan Pokemon di kawasan-kawasan ibadat seperti masjid, gereja, tokong, biara dan kuil. Ia juga diletakkan di kawasan perkuburan semua agama.

Ini menyebabkan ramai yang ke tempat ibadat bukan lagi untuk mengadap tuhan, tetapi untuk mencari Pokemon! Sehingga sesetengah masjid terpaksa meletakkan tanda larangan keras bermain Pokemon di kawasan masjid.

Lebih menyedihkan apabila haiwan Pokemon turut dijumpai di atas Kaabah, tempat yang paling mulia di sisi umat Islam. Selepas ini jangan pelik jika ramai anak muda berduyun-duyun memohon visa umrah termasuk no-muslim!

Walaupun ada yang beralasan kita orang Islam tak perlulah cari sampai ke masjid tapi masih boleh main di tempat lain, ketahuilah bahawa kita mewujudkan demand yang tinggi terhadap permainan ini menjadikannya mampu beroperasi dan terus menghina institusi semua agama. Samalah juga seperti orang yang beralasan untuk memboikot Starbuck, McDonald dengan alasan halal dimakan.

MENGGANGGU PRIVASI?

Menurut laporan Berita Harian, seorang wanita di Californoa telah menyaman Niantic Inc kerana game tersebut telah mengganggu hak peribadi beliau. Menurutnya, sejak permainan ini dikeluarkan kawasan rumahnya dibanjiri orang ramai yang memburu dan berlawan Pokemon.

Situasi sama juga dilaporkan berlaku terhadap seorang lelaki di Massachusetts. Beliau melihat orang memanjat masuk ke perkarangan rumahnya. Beberapa orang pemuda berada di hadapan rumahnya siang dan malam.

Ada yang beralasan game ini berbeza dengan game lain kerana ia membuatkan pemainnya keluar rumah dan hidup aktif di luar. Namun apa yang berlaku hanyalah gangguan terhadap privacy individu. Bahkan mereka langsung tidak berinteraksi dengan alam sekeliling. Kewujudan mereka di dalam atau luar bangunan sama sahaja.

MEMBAHAYAKAN DIRI?

Anda patut merasa bimbang jika anak anda ketagihan permainan ini. Kes-kes penculikan akan berleluasa sekiranya ramai kanak-kanak keluar rumah sendirian mencari Pokemon. Apa yang berlaku di Thailand, mereka menggodam sistem Pokemon dengan memberikan arahan-arahan palsu kepada anak-anak sehingga sampai ke tempat yang sunyi untuk mereka culik.

MEMBAHAYAKAN NEGARA?

Perkara ini sangat komplikated untuk diterang kepada mereka yang capaian akalnya terlalu singkat untuk memahami teori konspirasi. Walaupun bukan semuanya teori konspirasi di luar sana benar belaka, tapi konspirasi tidak boleh ditolak mutlak, lebih-lebih lagi apabila al-Quran dan hadis sendiri banyak mendedahkan tentang konspirasi.

Pokemon Go dicipta oleh Niantic Inc, syarikat yang diasaskan John Hanke yang juga pemilik syarikat Keyhole Inc. Keyhole ini adalah syarikat yang terlibat secara langsung dalam pembangunan teknologi pemetaan Geospatial. Keyhole juga didanai oleh berbagai agensi termasuk yang berkaitan dengan CIA iaitu NGO In-Q-tel.

Geospatial merupakan teknik pemetaan terbaru yang merakam akitiviti manusia di setiap tempat secara lebih tepat dan jelas. Amerika Syarikat telah menjadikan Geospatial Intelligence (GEOINT) sebagai sumber risikan dalam mengumpul maklumat-maklumat rahsia dan tabiat seharian setiap negara. Ia kemudian digunakan oleh Amerika dalam berbagai operasi ejen CIA di mana-mana negara.

“In the United States, Geospatial intelligence, GEOINT (GEOspatial INTelligence) is intelligence about the human activity on earth derived from the exploitation and analysis of imagery and geospatial information that describes, assesses, and visually depicts physical features and geographically referenced activities on the Earth. GEOINT consists of imagery, imagery intelligence (IMINT) and geospatial information.”

Sebelum ini, bentuk risikan terkenal adalah melalui remote sensing yang merakam imej melalui satelit. Namun begitu, ia tidak begitu jelas dan terhad atas berbagai halangan. Lagipun sudah banyak negara-negara lain berjaya mencipta alat umpama iron dome yang melindungi ruang negara dari dirakam satelit.

Pokemon Go membantu risikan GEOINT melalui kamera dan GPS yang mereka aktifkan ketika misi memburu haiwan Pokemon. Dengan mematuhi arahan permainan terbabit, pemain secara tidak sedar membantu perisikan Amerika Syarikat sehingga di dalam bangunan.

Sebelum ini, US menggunakan teknik geospatial melalui Google Streetview sebagai maklumat risikan sebagaimana yang didedahkan bekas ejen CIA, Edward Snowden. Namun ia tidak sehebat Pokemon Go kerana tidak dapat merakam setiap perubahan terkini serta terhad di luar bangunan sahaja.

Negara pertama yang mengharamkan kemasukan Pokemon Go ialah Iran. Namun hasil maklumat mendapati tentera Israel terlebih dahulu menghalang permainan ini. Kebanyakan negara-negara lain pula melarang permainan ini di tempat-tempat tertentu. Kini Rusia pula sedang berkira-kira untuk mengharamkan permainan ini.

HEDONISME?

Barat mengimport berbagai bentuk pemikiran yang memesongkan manusia dari pemikiran Islam yang sebenar. Khusus untuk anak muda, mereka menghidupkan budaya hedonisme. Hedonisme adalah pemahaman bahawa hidup adalah untuk berhibur dan berseronok. Setiap yang seronok adalah betul dan kebenaran diukur melalui tahap keseronokan sesuatu.

Lahir slogan-slogan hidup hanya sekali, nikmati sebelum mati, jangan sia-siakan zaman muda dan berbagai lagi ajakan supaya terjun dalam hiburan sehingga lemas.

Budaya hiburan semakin berleluasa kini sehingga yang tidak mampu bercakap soal hiburan tidak layak hidup di zaman ini.

Walaupun negara kita adalah majoriti muslim, negara kita menduduki antara tempat tertinggi kegilaan terhadap pelbagai bentuk hiburan. Bahkan melampau-lampau sehingga jika ditegur, melentingnya lebih daripada orang tidak beragama.

Dalam isu Selena Gomez, pemuda PAS mendapat kritikan hebat kerana melakukan bantahan. Para mufti juga dihina dengan begitu teruk oleh anak-anak hingisan kerana memfatwakan pengharaman Pokemon Go.

Hedonisme bukan sahaja menyebabkan rakyat jauh dari agama, bahkan hilang moraliti dan nilai manusiawi. Di samping itu ia boleh mengganggu operasi pentadbiran negara.

Mengikut laporan akhbar baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk menyekat akses Pokemon Go pada waktu bekerja akibat ramai kakitangan yang bermain di dalam pejabat. Bahkan di Iraq, seorang tentera Amerika leka bermain Pokemon walaupun sedang berada di dalam operasi petempuran di Mosul.

SADD ZARAI’

Mungkin langkah pengharaman yang diambil Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Kedah atas alasan Sadd Zarai’. Mereka tidak menyatakan hiburan haram dalam Islam. Buktinya mereka tidak mengharamkan pelbagai permainan yang lain. Namun kerana fakta-fakta yang dikemukakan di atas, mereka mengambil berjaga-jaga untuk mengekang mafsadah yang lebih besar.

Sadd Zarai’ bermaksud menutup lubang kerosakan dengan mengambil langkah mengharamkan perkara-perkara yang harus pada dasarnya. Contohnya penjualan parang adalah halal, tetapi menjual parang di kawasan perang saudara bakal menyebabkan parang itu diguna untuk membunuh maka ia boleh diharamkan.

Ada yang beralasan mufti bersikap selektif kerana berfatwa tentang perkara-perkara tertentu sahaja dan mendiamkan diri dalam perkara lain, ini mungkin ada benarnya. Namun ia tidak boleh menjadi hujah menafikan fatwa yang mereka keluarkan.

Jika mahu mengharuskan Pokemon, pendokong permainan ini perlu mengemukakan hujah-hujah bahawa manfaatnya jauh lebih besar dari mudarat-mudarat di atas. Jika ada, fatwa boleh berubah bukan sahaja menjadi harus, bahkan sunat atau wajib pun! Islam itu ada fleksibelitinya.

Kesimpulannya, tepuk dada tanya iman. Kalau yakin bermain Pokemon Go tidak memberi kesan langsung kepada keburukan yang disebut, maka teruskanlah. Namun jika suatu hari anda tergelincir, tidak ada alasan lagi untuk menyalahkan mereka-mereka yang tidak menegur.

Bagi saya, berlambak lagi permainan lain yang boleh dimainkan. Tidaklah sampai mati kalau tidak ada Pokemon Go. Umat Islam perlu ada jatidiri yang lebih teguh untuk bertahan di akhir zaman ini. Jangan terlalu mudah dibawa arus semasa hingga hanyut bersama kemodenan yang tidak berpedoman.

Tidak mengapalah kalau nampak kolot sikit dengan pegangan Islam. Itulah yang selama ini disebut Nabi SAW:

“بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا ، وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا ، فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ “

“Islam datang dalam keadaan yang asing, akan kembali pula dalam keadaan asing. Sungguh beruntungnlah orang yang asing” [HR. Muslim]

Hakikatnya, bukan kita yang asing, tetapi yang hidup mengikut arus itulah yang asing. Kita terkenal dan disanjung di sisi makhluk penduduk langit yang jauh lebih ramai dari bilangan manusia, sedang manusia lain asing tidak langsung dikenali oleh makhluk lain. – HARAKAHDAILY 13/8/2016

Sumber : http://www.m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39748-jawapan-tghh-tidak-semestinya-a-atau-b

ALANG IBN SHUKRIMUN | 31 Januari 2016.

TOK Guru saya (Ayah Chik) pernah ajar, sebagai pendakwah yang terlibat dibidang politik macam kita, kalau orang tanya soalan tak semestinya kita kena jawab mengikut kehendak mereka. Kena pandai menjawab agar kita selamat dan mesej yang kita bawa, sampai.

Ada yang bertanya memang mahu tahu, tetapi soalannya sangat komplikated. Kadang-kadang ada yang bertanya sudah tahu jawapan, tetapi bertanya hanya untuk memperkena atau memerangkap kita. Soalan mereka untuk mendapatkan jawapan yang boleh diputarbelit. Dia mahu kita jawab ya atau tidak, A atau B sahaja. Kalau jawab A pun tak kena, jawab B pun tak kena. Wartawan sangat mahir dengan helah sebegini.

Kini ternyata seluruh usia yang beliau korbankan telah mengajar banyak ilmu pengalaman untuk berhadapan dengan berbagai cabaran soalan. Puluhan tahun mencurah keringat dan darah gelanggang ini adalah guru terbaik untuk mempertingkatkan kebolehannya sebagai daie dan negarawan.

Antara kisah yang mengujakan ialah ketika wakil Whitehouse datang berjumpa dengan semua pemimpin parti pembangkang. Waktu itu, PAS masih dalam PR. Tok Guru kita ditanya oleh mereka, kalaulah PR memerintah Malaysia, PAS mahu pilih siapa jadi Perdana Menteri?

Soalan perangkap. Jika Tok Guru menjawab dirinya sendiri, sudah tentu orang mainkan bahawa dia gila jawatan dan melanggar prinsip PR yang sentiasa membuat keputusan secara konsensus. Jika dia jawab dari parti lain pula, tentunya sangat memberi kelebihan buat parti lain walaupun mereka tidak memiliki kekuatan tersebut. Ahli juga akan berantakan dan kecewa.

Namun Tok Guru dengan pantas melontar kembali bom tangan yang cuba diletupkan ke arah PAS. Beliau bertanya kembali pada wakil Amerika, “habis, siapa yang Amerika mahukan?”

Wakil Amerika terkedu tanpa jawapan. Mereka terus mengalih kepada isu-isu lain. Akhirnya topik tersebut dilupakan begitu sahaja.

Teringat pula kehebatan Syeikh Muhammad Al-Ghazali ketika ditanya, apa hukumnya seseorang yang tidak mengerjakan solat?

Jawab Syeikh berjiwa murabbi dan daie itu,

“Hukumnya adalah kamu perlu membawa ke masjid, dan mengajarnya solat! Kita pendakwah, bukan penghukum.”

Satu lagi kisah tentang Tok Guru kita ialah ketika Liqa Fikr di Selangor semalam. Ada seorang peserta menyatakan kerakusan DAP semakin menjadi-jadi di Penang. Lebih rakus dari BN dahulu dan mungkin akan bertambah rakus jika masih menang pada PRU13. Maka soal beliau bolehkah kita membantu memenangkan BN terutama untuk membela nasib Melayu dalam situasi tersebut?

Soalan ini juga sukar. Jika dikatakan ya, maka akan kelirulah ahli kononnya PAS mengiktiraf kerakusan yang pernah BN lakukan. Jika dijawab tidak, maka seolah PAS menyokong DAP pula.

Maka Tok Guru memberikan sebuah kata-kata yang menenangkan semua kerunsingan ahli PAS di sana. Juga satu ungkapan motivasi seorang murabbi haraki buat seluruh abnaul harakah. Jawabnya:

“Jangan fikir kalau DAP menang. Jangan fikir kalau BN menang. Kita harus fikir kalau PAS yang menang. Bekerja dalam keadaan bersungguh dan yakin bahawa PAS akan menang. Jangan pedulikan parti lain. Jangan ingat DAP akan kuat sampai kiamat. Dia pun ada pasang surutnya. Yakinlah Insya-Allah PAS akan memerintah Malaysia pula.”

Secara automatik, takbir bergema membingit dewan, menandakan roh perjuangan yang ditiup Tok Guru sudah meresap ke jiwa para peserta. Jawapan yang ringkas, tetapi lekas memperbetulkan set minda.

Allahuakbar. Ideologue ini bukan sekadar petah ‘memberitahu’ apa yang perlu dilakukan, bahkan turut ‘menunjukkan’ cara bagaimana ia perlu dilakukan. Berkat gigih usahanya mendidik ummah, moga lahir lebih ramai orang hebat sepertinya untuk generasi akan datang. Dunia Islam masih tagihkan ramai rijal sehebatnya! – HARAKAHDAILY 31/1/2016

%d bloggers like this: