Tag Archive: Al-Quran


Sumber : Web JHEAINS

Tarikh : 13 Mac 2015

Dalam Hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW menegaskan bahawa al-Quran yang dibaca ketika hidup di dunia akan menjadi syafaat/penolong pada hari Kiamat nanti.

Sebab itu, kita sangat dianjurkan supaya banyak membaca Kitab Suci berkenaan sambil berusaha memahami dan mengamalkan segala ajaran yang terkandung di dalamnya supaya beroleh berbagai manfaat dan kelebihan sekali gus berhasil mentransformasi diri menjadi Muslim sejati.

Ini bertepatan dengan kedudukan Kitab Suci al-Quran sebagai sumber pelbagai bidang ilmu pengetahuan dunia dan akhirat hatta merupakan rahmat bagi seluruh manusia. Al-Quran dikatakan sebagai rahmat bagi penduduk alam ini kerana selain daripada menjadi petunjuk dan pembeza antara yang benar dengan yang batil, ia juga adalah penawar berbagai penyakit rohani dan jasmani. Allah SWT menjelaskan perkara ini melalui firman-Nya yang bermaksud :

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.” (S. Yunus: 57).

Jika mahu menjadi Muslim yang beriman, bertaqwa, berilmu, berakhlak dan cemerlang dunia akhirat, maka umat Islam hari ini tidak harus terhenti setakat tahu membaca al-Quran sahaja. Umat Islam hari ini terutama sekali generasi muda hendaklah berusaha mentransformasi atau mengubah diri menjadi “cakna al-Quran”, yakni generasi yang mengambil tahu dan mengambil berat tentang al-Quran.

Sifat serta sikap suka mengambil tahu dan mengambil berat tentang al-Quran akan merangsang budaya tadabbur atau penyelidikan dan pengembangan ke atas kandungan kitab suci al-Quran. Kegiatan penyelidikan dan pengembangan atau R&D terhadap ayat-ayat al-Quran membolehkan kita mengetahui lebih lanjut rahsia serta ilmu pengetahuan yang dimuatkan Allah SWT di dalamnya sekali gus memanfaatkannya untuk mensejahterakaan kehidupan manusia di muka bumi ini secara fitrah.

Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa selagi umatnya berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah Baginda, maka selagi itulah kita tidak akan sesat. Sehubungan itu, marilah kita sahut seruan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dengan menjadikan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran sebagai sebahagian daripada rencah kehidupan kita.

Sesungguhnya tiada kebahagiaan hidup di dunia yang sementara ini kecuali sentiasa membaca dan menghayati al-Quran kerana ia meletakkan diri kita seolah-olah berhadapan dengan Allah SWT dan mendengar bimbingan serta perintah-Nya secara langsung. Justeru, galakkan ahli keluarga masing-masing untuk mengikuti kelas-kelas pengajian al-Quran dan menjadikan amalan membacanya sebagai rutin kehidupan.

Tindakan mulia seumpamanya bukan sahaja berpahala, tetapi juga merupakan satu langkah memastikan naskah-naskah al-Quran yang dimiliki tidak terbiar suci dalam debu menghiasi rak atau almari buku di rumah masing-masing.

Tarikh : 30 April 2014

Lokasi : Pusat Pendidikan Islam an-Nur, Taman Austral Kepayan Kota Kinabalu

 

KTHM, M60 (1) KTHM, M60 (2) KTHM, M60 (3)

 

Selepas siri-siri kuliah maghrib bercuti sepanjang Ramadhan dan hari raya, kini tiba kuliah bersambung semula. Slot saya di sini kuliah talaqqi al-Quran dan tafsir ringkas yang sudah berlangsung beberapa tahun. Tiba masa sudah berada di awal juzu’ 12, kami bergerak sedikit demi sedikit setiap minggu setiap rabu malam khamis.

Alhamdulillah, tilawah al-Quran tetap berterusan di sini berkat dengan kefahaman yang baik bukan hanya dibuat ketika Ramadhan sahaja tetapi tetap dibaca walaupun selepasnya. Aduhai Allah, beri kami rezeki untuk bertilawah kitabMu pada bila-bila masa.

Al-Quran @ Austral (1) Al-Quran @ Austral (2) Al-Quran @ Austral (3) Al-Quran @ Austral (4)

MASIH BELUM TERLAMBAT

Mengaji

Beberapa kali beliau menyatakan hasrat untuk belajar mengaji bermula daripada peringkat asas. Beberapa kali itu jugalah tertangguh atas beberapa sebab dan keadaan. Suatu ketika beliau sudah membawa buku iqra di tangan, tetapi tertangguh lagi kerana suatu urusan lain.

Akhirnya pada rabu lepas, hajat sahabat saya ini untuk memulakan sesi mengaji beliau tertunai juga. Dalam kesibukan melayan banyak hajat lain, saya memperuntukkan masa yang khusus untuk beliau kerana ingin melihat beliau pandai membaca al-Quran suatu ketika nanti. Untuk tidak membebankan beliau, buat masa ini memadai bertemu seminggu sekali di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral.

Umur sudah pertengahan 40an, memang kegagalan membaca al-Quran adalah satu kerugian. Namun kesedaran pada saat ini tidak saya katakan terlambat, kerana selama masih hidup, kesempatan tetap ada untuk berubah. Hanya saya berharap beliau istiqamah dalam sesi ini. Saya berpesan sebegini kerana tidak sedikit pengalaman orang yang berminat dan bersemangat pada awalnya, tetapi layu di pertengahan jalan, bahkan masih di peringkat awal lagi.

Doakan juga sahabat kami ini yaa..

BAIKI

SOLAT

Tidak solat – mula solat

Malas solat – rajin solat

Solat sendirian – solat berjamaah

Solat akhir waktu – solat awal waktu

Solat saf belakang – solat saf hadapan

Tidak faham bacaan – belajar memahami maksud bacaan

Khayal dalam solat – belajar khusyuk dalam solat

Sekadar makmum – mula jadi muazzin atau imam

Lambat datang, awal balik – awal datang, lambat balik

Hanya solat fardhu – tambah dengan solat sunat

 

AL-QURAN

Buta Quran – celik Quran

Tiada Quran – ada Quran

Quran sekadar hiasan – Quran amalan harian

Rajin baca suratkhabar – rajin baca Quran

Bacaan bermusim – bacaan harian

Baca lintang pukang – baca bertajwid

Baca untuk bertanding – baca untuk amal

Baca ketika susah dan terdesak – baca ketika susah dan senang

Baca Quran tanpa wudhu’ – baca Quran dengan wudhu’

Tidak faham makna – belajar faham makna

 

sila tambah kepada amal ibadah yang lain – seperti puasa, menutup aurat, bersedekah, dan sebagainya.

MELENTUR BULUH


Kalau bukan kerana saya disibukkan sebagai urus setia, saya berhasrat sangat untuk membawa anak-anak menyaksikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan Saadah Wisma MUIS. Khususnya kepada anak sulung yang sudah pandai membaca al-Quran, agar dia mendengar bacaan al-Quran yang indah dan merdu di khalayak yang ramai, mudah-mudahan akan meningkatkan semangat dan motivasi buat dirinya sendiri.

Saya agak cemburu dan bersyukur melihat kesedaran ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke majlis berkenaan, melatih anak cintakan majlis yang mulia seperti ini. Walaupun anak itu buat masa ini mungkin tidak mengerti tujuan dan maksud hadir ke sana, kerana hanya semata-mata ikut berjalan dan datang, insya Allah satu hari nanti mereka pasti mengerti.

Tahniah kepada ibu bapa yang bersabar dengan karenah dan ulah anak mereka serta tetap memupuk kesedaran mereka tentang ilmu al-Quran, buat permulaannya tentang kepentingan membaca dan membudayakan bacaan al-Quran.

Teringat pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya : Jika ada majlis yang menyebut nama Allah, hendaklah engkau duduk bersama-sama di dalamnya.

Kalau beginilah hari-hari anak-anak diperdengarkan al-Quran, nescaya mereka akan jatuh cinta kepada al-Quran, minat membaca dan menghafaznya. Sebagaimana ibu bapa hari ini yang semudahnya memperdengarkan lagu kepada anak-anak, mereka juga mudah mengingatinya.

Apa rupanya yang kita ingin anak kita ingati? Pilihlah antara jangan lupa lirik atau jangan lupa al-Quran.



Sebelah pagi rabu semalam, saya hadir ke SK Kem Lok Kawi.

Pihak sekolah melalui Panatia Agama Islam yang diketuai Ust Azlan Abd Aziz menubuhkan Akademi al-Quran dan Tahfiz untuk 30 murid terpilih antara darjah 1-5.

Di Bilik Gerakan, para ibu bapa kepada murid yang terlibat diberi taklimat tentang penglibatan mereka. 15 murid terlibat dalam akademi al-Quran dan 15 orang lagi akademi tahfiz.

Saya perhati, daripada 30 pelajar itu hanya 10 orang murid lelaki dan bakinya perempuan. Anak sulung, Nuha terpilih dalam akademi tahfiz.

Sehingga penghujung persekolahan tahun ini, pelbagai program disusun mengikut bahagian masing-masing. Contohnya, para murid akan dibimbing pada masa-masa tertentu setiap minggu untuk memahirkan bidang yang dipilih.

Dalam bahagian tahfiz, penganjur mensasarkan juz ‘Amma untuk dihafaz. Sementara dalam bahagian al-Quran, beberapa lagu tarannum akan diajar sehingga mahir kepada para pelajarnya. Mereka juga disediakan guru angkat untuk memantau perkembangan masing-masing.

Saya lihat para ibu bapa teruja dan bersemangat dengan penglibatan anak masing-masing tambahan lagi setelah diberi taklimat dengan bersungguh-sungguh oleh pihak sekolah. Mudah-mudahan usaha ini berjaya dengan  pimpinan oleh Allah SWT.

Salah satu keberkatan di dalam sebuah rumah sebagaimana diajar oleh agama ini ialah dengan selalu tilawah ayat suci al-Quran al-Karim di dalamnya.

Tidak hanya untuk anak-anak kami, di rumah ini sejak 2005 diadakan kelas-kelas al-Quran untuk anak-anak jiran. Ia kendalian isteri saya pada setiap hari selepas solat maghrib sehingga jam 8 malam.

Bahkan saya dimaklumkan bahawa kelas itu sudahpun dimulakan lebih awal pada akhir 90an dengan bimbingan abang-abang isteri saya ketika itu secara bergilir-gilir.

Jumlah terkini, seramai 22 orang anak-anak kampung ini bahkan daripada kampung berdekatan datang menghantar anak-anak mereka yang berumur antara 5-12 tahun untuk mengaji sama ada iqra atau al-Quran bersama isteri saya.

Saya tidak dapat membantu kerana mengisi program kuliah maghrib di surau dan masjid mengikut jadual yang sudah disusun.

Kompleks Percetakan al-Quran Raja Fahd, Madinah ini mula diletakkan batu asasnya oleh Raja Fahd bin Abdul Aziz as-Su’ud pada 16 Muharram 1403 bersamaan 23 Oktober 1982 dan dirasmikan pada 16 Muharram 1405 bersamaan 30 Oktober 1984 di bawah Kementerian Urusan Islam, Wakaf, Dakwah dan Bimbingan Islam.

Terletak 5km dari Masjid Nabawi, Kompleks Percetakan al-Quran dengan keluasan 250,000 meter persegi ini menerima kunjungan umat Islam pada hari-hari bekerja sahaja. (Cuti pada khamis dan jumaat). Kompleks ini juga menyumbangkan senaskhah al-Quran kepada jamaah haji kembali ke tanahair masing-masing.

Selain produk mushaf cetak riwayat Hafs ‘an Asim yang biasa dibaca oleh kebanyakan umat Islam seluruh dunia, kompleks ini juga menerbitkan al-Quran terjemahan ke dalam sekitar 40 bahasa; kitab-kitab pengajian al-Quran, Hadith dan Sirah Nabawi, dan lain-lain.

Terdapat 1700 petugas secara keseluruhannya di dalam kompleks ini yang terdiri daripada para alim-ulama’, pegawai dan pekerja teknikal dengan operasi terus menerus 24 jam dengan beberapa pembahagian tugas. Justeru, kompleks ini berkemampuan mencetak sekitar 10 juta terbitan setahun.

Untuk Muashaf al-Quran edisi cetak, terdapat 23 al-Quran pelbagai jenis dan saiz; dan lebih 40 al-Quran edisi terjemahan pelbagai bahasa dan saiz. Juga terdapat al-Quran berbentuk cakera padat.

Alhamdulillah, selain diberikan Mushaf al-Quran Riwayat ad-Duriy secara percuma, saya juga membeli al-Quran Riwayat Qalun dan Riwayat Warysh. Kompleks hanya memberi satu sahaja secara percuma, jika ingin lebih, ada dijual di ruangan premisnya dengan harga yang berpatutan.

Elok juga dimaklumkan bahawa kompleks ini menerima permohonan secara surat pos bagi mendapatkan produk-produknya dengan menulis surat kepada pihak berkuasa di sana.

Rujuk web http://www.qurancomplex.org/ untuk keterangan lanjut. Wallahu a’lam.

Antara mashaf yang dicetak di kompleks ini.

ALAM BERDAKWAH KEPADA ARIS

Tujuan utama kami singgah sekejap ke Lawas sebenarnya ingin bertemu dengan Brother Aris ini.

img_0032Aris atau nama asalnya Max Kellenberger berasal dari Switzerland, dan berbangsa Swiss. 

Menurut ceritanya, sejak remaja belasan tahun, beliau seorang adalah peminat dan pencinta keindahan alam, khususnya kawasan hutan yang baginya memberi ketenangan buat dirinya.

Dia merasakan bahawa ada sesuatu yang kurang di dalam dirinya. Walaupun keluarganya beragama kristian roman katholik, dia sendiri bukanlah pengamal agama yang setia kerana tidak merasa secocok dengan agama itu.

Bahkan katanya beliau juga boleh dikatakan sebagai aties atau pagan.

Minatnya untuk mengembara memang terserlah sejak remaja. Hendak dijadikan cerita, suatu hari beliau pergi ke perpustakaan di Universiti Zurich untuk mencari maklumat tentang alam sekitar khususnya berkaitan dengan hutan.

img_0058Di perpustakaan tersebut terdapat 5 juta buah buku, tetapi beliau hanya menemui sebuah buku yang menyebut tentang borneo.

Ketika itu beliau beranggapan borneo adalah satu dunia asing, tidak berpenghuni dan beliau bercita-cita untuk melancong ke sana.

Pada 1979, ketika berumur 19 tahun beliau terbang ke Singapura sendirian tidak ditemani oleh sesiapapun. Dari Singapura beliau ke Bandar Seri Begawan.

Yang melucukan, oleh kerana maklumat yang sangat sedikit ketika itu beliau datang dengan membawa pisau, tali serta kelengkapan masuk hutan kerana beranggapan wilayah ini dipenuhi dengan hutan.

img_0065Dengan melihat kejadian dan keindahan alam itu beliau merasa tenang serta menjadi salah satu punca beliau memeluk Islam.

Setelah meronda beberapa tempat di Brunei, Sabah dan Sarawak, beliau kembali ke negaranya.

Tidak sampai setahun, beliau kembali ke borneo khususnya ke Brunei dan di sanalah beliau melafazkan dua kalimah syahadah pada 15 November 1980.

Islamnya beliau, menambah ketenangan dalam dirinya. Dari Brunei, Aris berhijrah dan bertemu jodoh di Lawas ketika berumur 20 tahun. Dengan isterinya kini, beliau punya 4 anak dan 4 cucu.

Suatu peristiwa yang menyedihkan Aris ialah, orang yang banyak membantunya, memujuk serta menerangkan keindahan Islam kepadanya di Brunei ketika bernama Md Nasir – yang berasal dari Sabah – kini dikhabarkan sudah ‘tidak berapa betul’ lagi.

Md Nasir kini khabarnya menjadi seorang penagih dadah dan sering merayau di bandaraya Kota Kinabalu. Kami ada mencadangkan dan bersedia membantunya untuk mencari sahabat baiknya itu jika beliau berkunjung ke Kota Kinabalu.

Beberapa tahun di Lawas, sebenarnya beliau pernah juga kembali ke Brunei untuk mencari nafkah sekitar 3 tahun dan kemudian kembali ke Lawas semula. Semasa di Brunei dan Lawas, Aris ada belajar al-Quran dengan 3 orang guru. Seorang dari Pakistan, seorang Indonesia dan dengan isterinya sendiri.

img_0026Mulai 1997, beliau mula bertugas dengan HIKMAH Sarawak, sebuah NGO Islam seperti USIA di Sabah dan ditempatkan di Lawas. Antara lain tugasnya ialah mengajar mengaji kepada saudara baru di sekitar daerah ini sehinggalah sekarang.

Katanya, dengan HIKMAH Sarawak, beliau hanya sendirian mengajar dan hanya dibantu oleh isterinya secara sukarela. Kelas diadakan di sebuah premis yang sudah dibeli oleh HIKMAH dan ada juga kelas mengaji yang diadakan di tempat lain dan beliau akan berkunjung menurut jadual yang ditetapkan.

img_0028Wisma HIKMAH terletak di tengah-tengah bandar Lawas, berhadapan dengan pasar besar.

Di tingkat 1 bangunan ini menempatkan pusat bimbingan sementara di tingkat 2 sebagai pejabat.

Kelas mengaji al-Quran katanya perlu diberi nafas baru. Bukan setakat membaca teks al-Quran tetapi perlu ditekankan memahami makna dan tafsirnya.

img_0063Apa yang berlaku sekian lama, umat Islam hanya ‘membunyikan’ ayat al-Quran sahaja tanpa mengambil pengajaran daripadanya.

img_0072Bercerita berkenaan Lawas, Brother Aris yang kini hampir mencecah usia 50 tahun menjelaskan beliau merasa tenang dan aman di sini. Ketenangan yang beliau tidak temui ketika berada di negaranya. Beliau merasa seronok melihat hutan, sungai, yang baginya memberi kedamaian kepadanya.

“Mencintai alam sebahagian daripada ajaran Islam”. Katanya.

(Oh, jangan hairan, kami bersembang 100% dalam bahasa Melayu. Brother Aris sendiri kurang mahir berbahasa inggeris kerana negara asalnya bertutur dengan bahasa Perancis dan Itali).

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 80 other followers

%d bloggers like this: