Tag Archive: al-Azkar


MENGHENTIKAN KESEDIHAN

Daripada Abu Darda RA, daripada Nabi SAW bersabda :

‏مَنْ قالَ فِي كُلّ يَوْمٍ حِينَ يُصْبحُ وَحِينَ يُمْسِي‏:‏ حَسْبِيَ اللَّهُ لا إِلهَ إِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ العَرْشِ العَظِيمِ سَبْعَ مَرَّاتٍ كَفَاهُ اللَّهُ تَعالى ما أهمَّهُ مِنْ أمْرِ الدُّنْيا والآخِرَةِ‏”‏‏

“Siapa yang berdoa pada setiap hari, ketika pagi dan petang : [Cukuplah Allah bagiku. Tiada Tuhan kecuali Dia. kepadaNya aku berserah, dan Dia Tuhan Pencipta Arasyh yang agung] .

Sesiapa yang membacanya 7 kali, Allah Taala menghentikan untuknya apa yang menjadi kesedihannya sama ada urusan dunia dan akhirat”. (HR Ibnus Sunni)

Kuliah Maghrib Kitab al-Azkar Imam an-Nawawi

Masjid Nurul Ihsan, Kg Lok Kawi Baru.

PENGHULU ISTIGHFAR

Daripada Syaddad bin Aus RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda :

Penghulu istighfar ialah :

‏”‏ اللَّهُمَّ أنْتَ رَبِّي لا إِلهَ إِلاَّ أنْتَ خَلَقْتَنِي وأنا عَبْدُكَ، وأنا على عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ، أبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأبُوءُ بِذَنبي، فاغْفِرْ لي فإنَّه لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، أعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ ما صَنَعْتُ‏.”‏

“Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Engkau, yang menciptakan aku. Akulah hambaMu, aku berpegang dengan janjiMu sekuat tenagaku. Aku mengakui kerana Engkaulah aku beroleh nikmatMu, dan aku juga mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah dosaku. Tiadalah yang mengampunkan dosa kecuali Engkau. Aku berlindung denganMu daripada menghadapi akibat kejahatan yang aku lakukan”.

Apabila istighfar ini dibaca pada waktu petang, lalu ia meninggal dunia, ia masuk syurga. Apabila ia membacanya pada waktu pagi, lalu ia meninggal dunia pada hari itu, begitulah juga keadaannya”. ( HR Bukhari)

Rujukan : Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah & Kitab al-Azkar.

Sedutan kuliah maghrib di Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan. (Isnin malam selasa).

ALLAH YANG MAHA PENGASIH

Alhamdulillah, hari ini saya dapat menyambung kembali kuliah maghrib hadith kitab al-Azkar susunan Imam an-Nawawi RH di Masjid Kg Lok Kawi Baru setelah tertangguh hampir dua bulan.

Hubungan saya dengan jamaah di sana hanya berlegar dengan sms dan blog ini, yang mereka jenguk, selalu membaca catatan dan pergerakan saya ke beberapa tempat. Pergerakan hujung minggu itu melibatkan kuliah di masjid mereka.

Sepanjang beberapa minggu lalu, pada setiap hujung minggu, saya ke Ranau, Tenom, Kota Bharu, Tawau dan Kuala Lumpur. Ada minggu saya berada di Kota Kinabalu tetapi kurang sihat pula untuk hadir ke sana.

Saya bersyukur kepada Allah, dan berterima kasih kepada jamaah masjid di sana yang memahami kesibukan saya, dan mereka setia menanti kehadiran saya ke masjid mereka. Bilal Suraip selalu menjadi wakil mereka bertanya masa lapang saya untuk hadir, dan beliau sendiri bersama pengerusi JK masjid  Sdr Kasim Muyang acap kali menjenguk blog Abu Nuha Corner ini.

Malam ini, saya menyambung satu bab yang panjang; bab zikir dan bacaan pagi dan petang. Ada banyak hadith yang membuatkan hati saya terpaut dengan kasih sayang dan rahmat Allah SWT melalui bacaan di kitab ini. Sekadarnya saya catatkan sebuah hadith untuk renungan dan motivasi bersama :

Daripada Ma’qal bin Yasar RA, daripada Nabi SAW bersabda (maksudnya) :
“Sesiapa yang membaca tiga kali pada waktu pagi : ‘A’uzubillahis Sami’ il ‘Alimi Minasy Syaitanir Rajim, dan tiga ayat terakhir daripada Surah al-Hasyr, Allah Taala mewakilkan untuknya 70 ribu malaikat bersolawat keatasnya sehingga petang. Jika ia mati pada hari itu, ia mati syahid.
Jika ia membacanya pada waktu petang, ia mendapat kelebihan seperti itu juga”.

Walaupun hadith ini dicatatkan dengan riwayat dhoif oleh Ibnus Sunni tetapi ia memberi satu motivasi yang baik untuk kita bersangka baik kepada Allah SWT.

Dalam hidup kita, setiap hari kita melakukan kesilapan. Allah SWT yang Maha Pemurah dan Penyayang tetap mengurniakan nikmat yang bermacam-macam dalam hidup kita ini, walaupun ramai yang derhaka dan kufur kepadanya.

Kalaulah setiap kali kita buat dosa dan kesilapan, timbul satu benjol di dahi, memang masjid tak akan sunyi daripada dipenuhi orang. Tetapi Allah SWT menguji kita dengan perkara ghaib seperti dosa dan pahala, syurga dan neraka yang tidak dapat dilihat buat masa ini.

Allah SWT tetap memberi ruang agar kita insaf dan kembali ke jalanNya, bertaubat dan menebus kesilapan dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

Tidak cukup itu, Allah SWT membuat bermacam-macam tawaran istimewa melalui lidah RasulNya dengan amalan-amalan yang tidak begitu sukar, hanya memerlukan keikhlasan dan istiqamah untuk melakukannya.

Adakah mudah untuk mendapati manusia seramai 70 ribu orang – jika dibanding dengan hadith tadi – bersolawat, yakni berdoa kepada Allah agar kita – yang membaca wirid yang diperintahkan – diberi rahmat dan keampunan daripada pagi sehingga ke petang, atau daripada petang sehingga ke subuh esok tanpa henti sebagaimana perlakuan malaikat yang diperintah Allah SWT?

Malaikat adalah jenis makhluk Allah yang tidak pernah melakukan maksiat dan ingkar perintah Allah. Apabila mereka diperintah untuk sujud, mereka sujud sepanjang hayat mereka. Jika mereka diperintah bersolawat kepada seseorang yang telah membaca wirid yang disabdakan Rasul, mereka akan bersolawat tanpa henti sehingga masanya selesai.

Tidakkah kita mahu didoakan para malaikat, bukan sedikit, tetapi 70 ribu malaikat tanpa henti daripada pagi ke petang dan daripada petang ke pagi?

Ayuh kita mengambil fadhilat daripada hadith seumpama ini buat melegakan hati dan naluri kita, tanda penyerahan yang bersungguh kepadaNya, dengan syarat kita telah melakukan ibadah asas yang diperintahkan, bukan semata-mata mencari fadhilat dan meninggalkan amalan asas.

%d bloggers like this: