Tag Archive: Akta 355


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43169-bukan-islam-tidak-wajar-menentang-ruu-355

RUU 355 hanya tertakluk kepada penganut Islam yang beriman dan budiman, tanpa mengira fahaman politik dan kedudukannya dalam masyarakat dan tugasnya. Semuanya bersyukur kepada Allah yang mengurniakan hidayah kepadanya nikmat Islam.

Menyedari dan merasai betapa bencana umat di zaman penjajahan dan selepasnya walaupun sudah merdeka lebih setengah abad namun Syariat Allah yang menjadi sebahagian daripada objektif rukun Islam dan iman, di mana sebenarnya pernah juga menjadi contoh paling berjaya kepada pihak lain, tiba-tiba dihalang dan dikembalikan semula seperti zaman penjajah; dengan serangan media mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam, kerana tujuan politik murahan semata-mata. Adakah mereka menjadi wakil penjajah selepas merdeka?

Aspek kehakiman menjadi rukun dalam menunaikan perintah Allah Yang Maha Adil. Maka semua penganut Islam wajib  mendukung dengan penuh harapan supaya dinaikkan taraf Mahkamah Syariah dari kedudukan yang telah diletakkan oleh penjajah dahulu. Ini termasuklah juga DYMM Raja-Raja wajib diangkat ke martabatnya, kerana kedudukan baginda menjadi ketua urusan agama Islam telah dihina oleh penjajah walaupun setelah mencapai kemerdekaan yang mencecah lebih setengah abad.

Sehingga kini Mahkamah Tinggi Syariah yang paling tinggi pun, tetapi kedudukannya lebih rendah daripada Mahkamah Majistret di peringkat daerah.

Adapun kalangan bukan Islam sepatutnya meraikan perkara ini dan menghormati saudara mereka yang berada dalam satu masyarakat majmuk dan satu negara serta tanah air dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan urusan mereka. Jangan sengaja mencari sebab untuk menimbulkan ketegangan masyarakat majmuk dan harmoni dengan tiba-tiba menentang RUU 355 yang bertujuan menaikkan taraf Mahkamah Syariah.

Muqadimahnya perlu menyedari kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak penganut agama lain yang diberi kebebasan, tiba-tiba menghalang penganut Islam dalam bidang berkaitan agama yang menjadi agama negara ini.

Tokoh undang-undang tersohor di peringkat dunia dan negara Al-Marhum Prof Ahmad Ibrahim (bekas Peguam Negara Singapura (1966) dan Ketua Pengajian Undang-undang di beberapa universiti, juga mantan Peguam Negara Singapura di bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di Malaysia) telah menulis perkara ini dalam  tajuk: “Islam Dalam Perlembagaan” dengan menegaskan:

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi  Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perlu disebutkan bahawa belum ada terjemahan Perlembagaan yang sahih di Malaysia dan terjemahan; “Islam is the religion of the Federation” yang terdapat dalam Perlembagaan diterjemahkan salah sebagai “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan”.

Oleh kerana perkataan “Islam” dan bukan “ugama Islam” yang digunakan di Perkara 3, bolehlah dihujjahkan bahawa yang dimaksudnya ialah Islam sebagai cara hidup mengikut Islam iaitu Islam sebagai Ad-Din.

Dalam minit Suruhanjaya Reid melaporkan perbincangan bahawa mereka menerima Memorandum Parti Perikatan dan juga PAS (satu-satunya Parti Pembangkang di masa itu) yang mendesak supaya diletakkan Islam dalam Perlembagaan. Akhirnya mereka menerima juga kerana dalam Parti Perikatan itu ada juga MCA dan MIC daripada kalangan bukan Islam dan pihak Islam menerima juga ayat bahawa agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut masing-masing. (Sila lihat: Islam Dalam Perlembagaan oleh Prof Ahmad Ibrahim)

Berkenaan RUU 355 Al-Marhum Prof. Ahmad Ibrahim menulis:

“Pada masa sekarang bidangkuasa jenayah Mahkamah Syariah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidangkuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh Undang-undang Persekutuan. Mengikut Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) Act, 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidangkuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih $1,000 / atau kedua-duanya.

Bidangkuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada Akta tersebut dan Mahkamah Syariah diberi bidangkuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau dengan tidak lebih $5,000 atau sebat tidak lebih enam sebat atau gabungan hukuman itu.

Bidangkuasa ini masih rendah dari bidangkuasa Majistret Kelas 1 di mana biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda $10,000 atau sebat dua belas pukulan atau gabungannya.

Keadaan ini menjadikan Mahkamah Syariah termasuk Mahkamah Tinggi Syariah lebih rendah tarafnya daripada Mahkamah Majistret.(Sila lihat Prof Ahmad Ibrahim tajuk yang sama).”

Perlu diketahui bahawa hukuman sebatannya pula bersifat mendera pesalah dengan cara yang kejam, bukan seperti hukuman Syariat Islam yang bersifat mendidik penjenayah dan masyarakat. Contohnya Hadis Rasulullah S.A.W. apabila di bawa seorang yang telah dijatuhkan hukumannya seratus sebatan kerana berzina:

فقال اضربوه حده قالوا يا رسول الله انه أضعف من ذلك ان ضربناه مائة قتلناه قال فخذوا له عثكالا فيه مائة شمراخ فاضربوه به ضربة واحدةوخلواسبيله *
مسند أحمد لأحمد بن حنبل (8/ 449)

(Sabdanya: Jatuhkan hukuman had sebatan ke atasnya (seratus sebatan). Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Dia seorang yang lemah, tidak mampu menerima hukuman itu, nanti kalau disebat seratus kali kami membunuhnya. Sabda Rasulullah S.A.W: Ambillah seberkas yang ada sejumlah seratus ranting, sebatkan dia satu kali sahaja dan bebaskan dia).

Hadis ini membezakan hukuman sebatan Syariat Islam dengan hukuman lain dan Hukum Islam bertujuan mendidik. Ini menunjukkan gambaran yang dibawa oleh media adalah salah dan pembohongan terhadap Islam.

Al Quran dan Hadis adalah rujukan tertinggi kepada penganut Islam. Terpulang kepada agama masing-masing yang tidak dipaksa mengikut hukum Islam. Jangan kacau urusan penganut Islam.

Apabila pihak PAS mengemukakan usul persendirian di Parlimen yang berkait RUU 355, bekerjasama dengan Umno. Ketika saya memberi peluang kepada mereka bertanya di Parlimen, tiba-tiba inilah sahaja soalan meminta penjelasan oleh YB DAP Bandar Kuching:

(1) RUU 355 membuka pintu ke arah Hukum Hudud (ada udang di sebalik batu)
(2) Mengganggu Hak bukan Islam
(3) Mengganggu Hak Sabah dan Sarawak
(4) Meretakkan Pakatan Pembangkang

Kerana masa yang dihadkan maka saya panjangkan di sini jawapannya:

1) Membuka pintu ke-arah Hukum Hudud

Hukum Hudud adalah di luar daripada tajuk RUU 355, tapi nampaknya terus dijadikan senjata untuk menentang Islam secara terbuka. Hukuman yang dinamakan Hudud adalah hukuman yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya; hanya dalam beberapa kesalahan sahaja daripada Syariat Islam yang tidak boleh diperkecilkan oleh penganut Islam. Ini kerana ianya dinaskan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah yang termasuk dalam perkara Iman, Islam dan Ihsan.

Hudud adalah salah satu daripada tiga bahagian undang-undang jenayah hukum Syariat yang diwajibkan oleh Allah dan menjadi sepakat para ulama. Selebihnya sehingga tidak terkira banyaknya adalah mengikut kebijaksanaan manusia, mengikut konsep mendidik, bukannya mendera dalam perkara dan kesalahan lain yang terlalu banyak.

Namun hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana banyak halangannya. Ini termasuklah di dalam perkara jenayah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, iaitu berdasarkan Senarai I Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Mengikut Perkara 76(A), Perlembagaan Persekutuan pula, ianya memerlukan Parlimen membuat suatu undang-undang (Akta) pula barulah Negeri boleh membuat undang-undang berkaitan dengan perkara yang terletak di bawah kuasa Persekutuan.

Sila rujuk Perkara 75 dan Perkara 76A, Perlembagaan Persekutuan:

“75. Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu.”

76A. (1) Dengan ini ditegaskan bahawa kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang mengenai sesuatu perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan termasuklah kuasa untuk membenarkan Badan-Badan Perundangan Negeri-Negeri atau mana-mana daripadanya, tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan (jika ada) yang dikenakan oleh Parlimen, untuk membuat undang-undang mengenai kesemua atau mana-mana bahagian perkara itu.

(2) Walau apapun Perkara 75, sesuatu undang-undang Negeri yang dibuat di bawah kuasa yang diberikan oleh Akta Parlimen sebagaimana yang disebut dalam Fasal (1) boleh, jika dan setakat yang diperuntukkan sedemikian oleh Akta itu, meminda atau memansuhkan (berkenaan dengan Negeri yang berkenaan) mana-mana undang-undang persekutuan yang telah diluluskan sebelum Akta itu.

Undang-undang Hudud dijadikan senjata perang psikologi oleh musuh Islam di seluruh pelosok dunia. Sepatutnya pihak bukan Islam jangan menjadi wakil selepas zaman penjajah. Namun sehingga kini masih  memasuki dalam fikiran kalangan Islam juga yang menjadi mangsa tawanan musuh dalam penjara kejahilan. Maka janganlah kalangan bukan Islam di sini menari mengikut gendang musuh itu.

Perjalanan kehakimannya yang sukar kerana syaratnya sangat ketat. Hukumannya pula lebih ringan daripada undang-undang jenayah ciptaan manusia, tetapi kehebatannya menggerunkan masyarakat termasuk mereka yang tidak berniat melakukan jenayah (Inilah kehebatan Syariat Allah) –  (sila lihat rakaman ceramah saya di Universiti Nanyang Singapura).

PAS sedia berdailog dengan pemimpin agama bukan Islam sekiranya ada undang-undang daripada agama mereka, walaupun masih dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Adapun RUU 355 tiada kaitan dengan hukuman Hudud yang berada dalam fasal lain di bawah bidang kuasa negeri dan kesalahan jenayah yang disenaraikan di bawah Kerajaan Pusat.

2) Mengganggu hak bukan Islam

Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Kesembilan daripada hak negeri-negeri telah menegaskan kebebasan beragama kepada bukan Islam yang dijamin, serta bidang kuasa penganut bukan Islam di luar daripada kuasa Mahkamah Syariat.Firman Allah:

فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيۡٔٗاۖ وَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٤٢ المائدة

Maksudnya: “Oleh itu kalau mereka (bukan Islam) datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah dalam kitab mereka – kalau ada) atau berpalinglah dari mereka dan kalau engkau berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun dan jika engkau menghukum, maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Rasa tidak munasabah kalau saya menjawab kalangan yang berhujah bahawa ramailah penganut Islam akan dihukum kerana seolah-olah orang Islam akan berlumba melakukan jenayah kerana mahu dihukum.

3) Mengganggu Hak Sabah dan Sarawak

Negara Malaysia berkongsepkan Federalisma, membahagikan bentuk kerajaan negeri dan Pusat dalam sistem pemerintahannya. Perlembagaannya menetapkan batas bidang kuasa Kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri termasuk dalam aspek kehakiman dan perundangan.

Akta 355 yang dibuat berdasarkan Jadual 9 sebagai ‘Punca Kuasa’nya adalah berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Negeri. Kerajaan Negeri pula boleh menerimapakai (bukan secara automatik) peruntukan Akta 355 yang dipinda nanti bagi menetapkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri masing-masing. Adapun Negeri Sabah dan Sarawak juga, seperti negeri-negeri lain, mempunyai pilihan sama ada hendak menerimapakai atau tidak Pindaan Akta 355 yang dipinda itu.

Perlu diingat dari segi sejarahnya semasa Akta 355 mula dibentangkan di Parlimen pada tahun 1965,  ianya tidak ditentang oleh Ahli-ahli Parlimen Bukan Islam, termasuklah mendiang Lee Kuan Yew (MP Singapura) yang berada dalam Parlimen pada ketika itu. Pada tahun 1984 semasa Akta 355 dipinda, apabila dibawa ke Dewan Negara, RUU tersebut telah disokong oleh YB Dr James P. Ongkili (MP Tuaran) yang beragama Kristian. (sila rujuk Handsard Parlimen)

Mengapa DAP dan rakan-rakannya di abad 21 ini terlalu maju ke depan?

4) Meretakkan Pakatan Pembangkang

PAS menyertai pakatan pembangkang dengan konsisten dalam amalan politik yang wajib menghormati adab dan akhlak berpakat. Dalam Pakatan, PAS wajib teguh bersama dasar dan matlamatnya yang wajib dihormati oleh semua pihak; dalam titik persamaan yang tidak mengganggu perkara dasar dan matlamat pihak lain yang berpakat. Adapun cara campur tangan dalam urusan yang tersebut di atas adalah tidak berakhlak atau tidak bermoral mulia dalam pakatan. Lebih tidak berakhlak kalau mencuri dalam rumah PAS yang membuka pintu kepada mereka.

Dalam sejarah pakatan dengan pihak lain, PAS tidak pernah khianat dalam perkara pakatan mengikut  batasnya, sehingga PAS yang dipecat daripada BN (1978) dan terkini DAP memecat PAS daripada PR. Walaupun PAS memberi tempoh panjang dan bersabar dalam menghadap perangai parti lain yang campur tangan dalam urusan dalaman PAS dan meredah masuk ke dalam billik rumah PAS.

5) PAS masuk BN

PAS menyertai Kerajaan Campuran dan seterusnya bersama menubuhkan Barisan Nasional setelah negara menghadapi keadaan Darurat sehingga berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Adapun DAP tidak bekerjasama di masa negara dalam keadaan darurat. PAS menerima dengan terbuka tawaran PM Kedua, Al-Marhum Tun Abdul Razak yang menerima cadangan-cadangan PAS dan sebahagian besar pemimpin dan ahli PAS menganggap kecil segala kezaliman yang berlaku ke atas pemimpin dan ahlinya yang ditahan ISA, ada yang dibuang daerah, bahkan ada yang dibunuh. Dua Kerajaan Negeri (Terengganu dan Kelantan) yang diperintah oleh PAS pernah menjadi mangsa kepungan dan tekanan Kerajaan Pusat dan rompakannya; apa yang tidak dihadapi oleh Kerajaan Singapura dalam Malaysia di bawah PAP (bapa yang melahirkan DAP) dan Kerajaan PBS di Sabah. Namun PAS meletakkan di hadapannya kepentingan negara, rakyat dan menolak keadaan “politiking” murahan yang menjadikan rakyat bawahan dalam keadaan sangat tenat, kerana Islam mengharamkan politiknya berdendam.

Sila pihak yang menuduh itu cermin diri masing-masing, PAS tidak pelahap untuk menyertai Kerajaan BN hanya untuk meraih jawatan dalam Kabinet atau semata-mata mahu menjadi Perdana Menteri laksana mi segera?  PAS adalah parti yang turun ke medan rakyat, kini mempunyai 192 Kawasan di seluruh negara dan hampir 10,000 cawangan sehingga di pedalaman yang jauh sejak zaman mengayuh sampan mudik ke hulu dan mengayuh basikal, terkini ada pula cabang penyokong kalangan bukan Islam (DHPP) yang menjadi hubungan persahabatan dengan bukan Islam. Bukan hanya berdepan komputer di meja dan berarak di jalan raya  sahaja untuk mendapat sokongan rakyat.

Akhirnya, tiada alasan undang-undang dan politik bagi menentang RUU 355 melainkan mahu bermusuh terhadap Islam dan penganutnya atau menjual diri menjadi alat kepada musuh Islam dengan harga yang sangat murah. Allah memberi panduan kepada penganut Islam bagi menghadapi cabaran ini dengan firman-Nya:

۞وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ ٤٦ العنكبوت

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab (bukan Islam) melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.”

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
11 Safar 1438 /11 November 2016 – HARAKAHDAILY 11/11/2016

CABARAN DISAMBUT

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42856-cabaran-disambut

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 17 Oktober 2016.

SAYA membaca satu laporan berita daripada akhbar Malay Mail Online bertajuk “Interfaith group urges MPs to reject Hadi’s Bill, says will empower hudud” menyebut bahawa The Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) menyeru ahli Parlimen Malaysia menolak RUU 355.

Bagi pihak umat Islam, saya terlebih dahulu mengajak semua pihak yang terlibat dengan kenyataan tersebut dan dalang yang berada di belakangnya daripada parti politik supaya kembali kepada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana Bahagian Persekutuan.

Marilah kita menghargai jasa pemimpin semua kaum dan agama yang telah berjaya memasukkan perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan. PAS yang tidak menyertai Perikatan (Umno, MCA dan MIC) adalah satu-satunya parti pembangkang yang telah wujud dan mempunyai hanya satu kerusi dalam Pilihan raya Umum pra kemerdekaan tahun 1955, ketika parti-parti lain khususnya dalam Pakatan Harapan belum dilahirkan di alam dunia ini.

Hudud terus menjadi senjata sejak zaman berzaman, walaupun RUU 355 bukan hukum hudud. Perkara yang tercakup dalam RUU 355 adalah bagi memperkenalkan konsep kehakiman dalam Islam.

Ya! Semua undang-undang adalah wajib melalui proses kehakiman yang adil termasuk hudud. Adakah mereka fahami bahawa Islam ini adalah agama kelam kabut yang tidak ada sistem kehakimannya, maka penganut Islam bergantung kepada tunjuk ajar warisan penjajah semata-mata?

Undang-undang Islam merangkumi seluruh kehidupan manusia daripada sudut individu, keluarga, kemasyarakatan, negara sehinggalah antarabangsa. Maka tidak adil terhadap Islam, kalau hukuman hudud terus sahaja dipotong tangan, seolah-olah hukum Islam termasuk hukum keluarga tidak perlu kepada proses kehakiman yang adil (mahkamah).

Adalah menjadi hak kepada umat Islam untuk beramal dengan agamanya sendiri tanpa gangguan daripada pihak agama lain yang kita juga menghormati kedudukan mereka untuk bebas beramal dengan agama mereka di bumi Malaysia ini.

RUU 355

Pada masa sekarang, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah adalah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan. Mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atauSyariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Bidang kuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu. Bidang kuasa ini masih rendah dari bidang kuasa Majistret Kelas Pertama yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau sebat dua belas kali atau gabungannya.

Satu lagi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 ialah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Dengan pindaan itu, dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam fasal itu mengenai seorang Majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang hakim Mahkamah Syariah.

Oleh kerana itu jika seorang ditangkap bagi kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah dan ia tidak dilepaskan orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang hakim syariah dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa hakim syariah itu. Sekurang-kurangnya pindaan itu telah menyamakan kuasa hakim Mahkamah Syariah dalam perkara itu dengan kuasa Majistret.

Tegasnya, RUU 355 adalah hak bagi penganut Islam sahaja. Maka saya menyeru supaya umat Islam bersabar dengan agama mereka berpandukan al-Quran (kitab suci yang mereka imani), Sunnah (amalan Nabi Muhammad S.A.W mengikut al-Quran), termasuk dalam hubungan masyarakat majmuk di Malaysia kerana konsepnya yang kekal.

Walaupun kewujudan masyarakat majmuk di sini adalah ciptaan penjajah mengikut acuannya bagi agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ (سورة الحجرات: 13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujurat: ayat 13)

Kita diwajibkan berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama. Dalam masa yang sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan dengan cara terbaik, khususnya bersama penganut yang mempunyai kitab suci. Firman Allah SWT:

وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ (سورة العنكبوت: 46)

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Kitab) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah Al-Ankabut: ayat 46)

Demi melihat kepada penyelesaian terhadap gejala jenayah dan keruntuhan akhlak yang melanda dunia, termasuk negara kita Malaysia yang tercinta ini, maka saya mengajak kumpulan berbagai agama itu supaya kembali kepada kitab suci agama masing-masing, supaya mengambil sudut undang-undang yang ada di dalamnya dan mengkaji perbandingan dengan undang-undang Islam termasuk hudud dan perbandingannya dengan undang-undang warisan penjajah yang tidak ada dalam kitab suci semua agama. Sila tunjukkan kepada kami.

Kami mengajak pihak lain supaya melihat Islam secara langsung daripada sumber kitab suci al-Quran secara budaya ilmu yang bijak dan sihat. Bukannya budaya ISIS dan Daesh berhujahkan senjata tanpa ilmu seperti yang dipaparkan oleh Barat dan medianya yang merancang terhadap Islam dan penganutnya yang dizalimi.

Jangan zalimi Islam dan penganutnya sehingga melangkah sempadan.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG 
Presiden PAS
16 Muharam 1438 / 17 Oktober 2016 – HARAKAHDAILY 17/10/2016

Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (7)

#Akta355

Apabila satu hasil kajian mudah oleh seorang tokoh anak muda negara yang melibatkan undian lebih 20 ribu pengguna twitter menunjukkan lebih 80% rakyat Malaysia menyokong pelaksanaan hukum hudud (apatah lagi jika sekadar meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah melalui pindaan akta 355) untuk orang Islam, maka kita boleh meneguhkan beberapa hakikat berikut:

1) Arus kesedaran Islam di kalangan rakyat adalah semakin bertambah baik dan kuat berbanding dulu.

2) Arus inilah yang menjadi punca kerajaan BN akhirnya bersetuju meminda akta 355 yang bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah.

Adalah nyata liatnya pihak kerajaan sebelum ini untuk menyokong pindaan ini. Tekanan tinggi oleh rakyat di samping faktor-faktor politik dan selainnya akhirnya memaksa kerajaan untuk bersetuju meminda akta ini melalui rang undang-undang persendirian presiden PAS.

3) Arus kesedaran Islam adalah paling ketara di kalangan penjawat awam dan para ilmuan muslim. Merekalah sebenarnya yang berjaya meyakinkan orang-orang politik tentang tuntutan dan keperluan sistem Islam diperkasakan di dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat.

4) Fenomena ini menguatkan hakikat bahawa perubahan atau islah sesebuah kerajaan, sebagaimana ia bermula dari atas oleh pemerintah sendiri, ia juga boleh bermula dari bawah oleh rakyat yang menjadi faktor pendesak yang kuat.

5) Kebanyakan tuntutan perjuangan PAS yang diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan selama ini banyak dibantu dan disokong oleh arus rakyat daripada pelbagai peringkat. Ini menunjukkan PAS lebih berperanan dan lebih cepat membina pemikiran rakyat berbanding membina pemerintah.

6) Suatu hari tuntutan ke arah sebuah kerajaan yang adil, bersih, cekap dan berintegriti akan pasti tercapai. Sukar untuk melihat cepatnya kerajaan berubah. Tetapi kerajaan pasti berubah dengan berubahnya minda dan pemikiran rakyat yang sedang bergerak begitu positif.

7) Gerakan Islam (PAS) usah gusar dengan tuduhan musuh bahawa mereka hanya tahu berbicara mengenai hukum dan syariah Islam tetapi membelakangkan bicara mengenai penyelewengan dan salah laku pihak kerajaan (BN) dalam pelbagai skandal ekonomi dan kewangan. Hakikatnya PAS-lah pemilik penentangan terhadap kerajaan yang korup sejak dulu lagi. Ia sejarah yang ditulis tinta emas. Ia tidak akan berubah dengan izin Allah.

8) Hanya sanya yang menakutkan musuh adalah kecenderungan rakyat untuk kembali kepada Islam yang syumul dalam pemerintahan negara.

9) Matlamat mereka adalah menukar kerajaan BN. Matlamat PAS ialah menukar atau membina sebuah kerajaan dengan nilai-nilai Islam yang sejagat dan syumul.

10) Menjadi kewajiban setiap individu muslim untuk terus memugar kesedaran dan kebangkitan Islam dalam negara. Ia perjuangan yang diwarisi daripada nenek moyang terdahulu. Jangan terleka daripada sejarah gemilang Islam di tanah air tercinta dengan tipudaya dan makar pihak yang memusuhi Islam.

#TazkiahNafs
#SalamRamadhan

Sumber :

DR MOHAMED FADZLI HASSAN | 29 Mei 2016.

Alhamdulillah, petang Khamis lepas Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berjaya membentangkan usul untuk meminda Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan 1984 di Parlimen. Usul itu bertujuan untuk menambah bidang kuasa dan mengangkat martabat Mahkamah Syariah di Malaysia.

Setakat ini bidang kuasa jenayah Mahkamah Sariah paling tinggi di Malaysia hanya boleh menghukum setakat maksimum 3 tahun penjara, denda maksimum RM5,000 dan sebatan tidak lebih 6 kali atau kombinasi antaranya. Ianya lebih rendah dari mahkamah majistret.

Sekiranya usul ini diluluskan dan pindaan dibuat terhadap akta tersebut, ianya akan terpakai kepada kesemua mahkamah syariah negeri-negeri di Malaysia. Ia bukan bermaksud Mahkamah Syariah Kelantan sahaja. Dengan itu mahkamah syariah boleh menghukum semua jenis hukuman melainkan hukuman mati sahaja dengan syarat kesalahan-kesalahan itu diperuntukkan di dalam enakmen masing-masing seperti yang ada di dalam Enakmen Jenayah Syarian Kelantan.

Usul yang dibawa adalah langkah pertama bagi membolehkan kita melaksanakan undang-undang jenayah syariah (qisas, hudud dan takzir). Hakikatnya kesalahan-kesalahan jenayah syariah sudahpun ada dalam undang-undang Malaysia sama ada di dalam Kanun Keseksaan atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri tetapi hukumannya tidak selari dengan hukuman sebenar yang disediakan oleh syariah kecuali kesalahan yang membawa hukuman takzir.

Sekiranya usul ini diluluskan dan pindaan dibuat kepada Akta 355 seperti yang dihasratkan, hukuman bagi sebahagian kesalahan di bawah jenayah hudud seperti minum arak (40 hingga 80 kali sebatan), qazaf (80 kali sebatan), berzina bagi ghair muhsan (belum kahwin, 100 kali sebatan) dan murtad yang membawa hukuman selain dari hukuman mati sudah boleh berjalan. Kesalahan-kesalahan ini sudahpun ada dalam undang-undang negeri tetapi hukumannya sahaja yang tidak selari dengan syariah.

Berzina muhsan (yang sudah berkahwin) hukumannya rejam sampai mati tidak boleh dilaksanakan kerana masih di luar bidang kuasa. Begitu juga bagi jenayah mencuri dan merompak serta kesalahan di bawah jenayah qisas iaitu membunuh dan mencederakan kerana ianya termasuk dalam bidang kuasa mahkamah sivil. Jenayah-jenayah ini sudah terkandung di dalam Kanun Keseksaan (Penal Code).

Bila berlaku pertentangan di antara undang-undang negeri yang diluluskan oleh Dun dan undang-undang persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen maka Perlembagaan memperuntukkan bahawa undang-undang yang diluluskan oleh Parlimenlah dikira sah. Dalam kes ini Kanun Keseksaan akan terpakai.

Di sinilah sekali lagi perlu kepada usul untuk mengguna pakai Per. 76A1 Perlembagaan sekiranya kesemua kesalahan-kesalahan di bawah qisas dan hudud hendak dilaksanakan.

Perlu juga diingat, usul tersebut bukan bermaksud meminda Perlembagaan Perkara 76A(1) tetapi mengguna pakai. Ramai yang silap menyebut meminda Perlembagaan. Pindaan Perlembagaan memerlukan kepada 2/3 majoriti. Perkara 76A1 memberi kuasa kepada Parlimen untuk membenarkan mana-mana negeri membuat undang-undang untuk dilaksanakan dalam negeri tersebut walaupun ianya adalah di bawah bidang kuasa Parlimen. Untuk meluluskan usul pindaan Akta 355 dan usul di bawah Perkara 76A1 hanya memerlukan majoriti mudah sahaja (simple majority).

Cara lain adalah dengan meminda Kanun Keseksaan itu sendiri supaya bersesuaian dengan syariah. Sebenarnya sudahpun ada cadangan sebegitu di kalangan pengamal undang-undang. Cumanya memerlukan penelitian dan persiapan.

Kita masih belum pasti apakah nasib dan kesudahan kepada usul yang dibawa oleh YB Datuk Seri TGHH. Ianya akan diputuskan dalam sidang parlimen yang akan datang. Kita mendoakan yang terbaik. Jalannya masih panjang dan berliku tetapi kita telah berjaya membuka langkah pertama dan ianya satu kejayaan yang amat besar dalam sejarah pelaksanaan undang-undang jenayah Islam di Malaysia selepas zaman penjajahan dan kemerdekaan. Ianya sangat dinanti-nanti dan diraikan oleh pengamal undang-undang, ahli akademik dan para pelajar syariah. – HARAKAHDAILY 29/5/2016

%d bloggers like this: