Tag Archive: Aidil Fitri


IMG_9832

Maghrib ahad saya ke Taman Limauan Kinarut, memenuhi jadual rutin kuliah maghrib. Tajuk tafsir dipinda sebentar kepada tajuk berkenaan hari raya.

Isi pentingnya berkenaan taqwa yang dihuraikan oleh Sayyidina Ali RA.

الخوف من الجليل

والعمل بالتنزيل

والرضا بالقليل

واستعداد إلى يوم الرحيل

Nyaman hati melihat seorang anak pelajar PASTI al-Aqsa mengumandangkan surah al-Insan sehingga ke hujungnya. Juga menyaksikan sekumpulan anak PASTI yang sama mendendangkan lagu PASTI mereka.

Tidak ketinggalan anak-anak dari Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Kinarut dengan nasyid mereka.

Tetamu daripada luar taman hadir sama. Antaranya Cikgu Hameed, Hj Lamsin (KAN) dan lain-lain.

Tahniah kepada pengerusi, YB Ribbang dan seluruh jenteranya yang bersungguh-sungguh dan bersatu dalam melaksanakan program ukhuwwah ini.

P/S : Khusus YB Ribbang, kopiah putih itu jangan disimpan di dalam almari.

IMG_9834

IMG_9836

IMG_9837

IMG_9841

IMG_9853

IMG_9803

Geram pun ada, letih pun ada, rasa lucu pun ada, apabila perjalanan kami dari Seremban menuju ke Taman Danau Desa di KL semalam mengambil masa selama 4 setengah jam.

Alamat sudah diberi tetapi kami ditunjuk oleh orang-orang yang salah dan penipu. Setiap kali kami berhenti di stesen-stesen minyak, semua yang ditanya dengan penuh yakin memberi petunjuk kepada kami.

Rasanya tidak kurang 7-8 stesen minyak kami berhenti dan bertanya. Siap dengan gaya tangan mereka menunjuk arah, rupanya eksyen dan auta mereka saja.

Ada pula kata masuk lebuhraya sana, ada pula jangan masuk lebuhraya sana, dah masuk satu lebuhraya, suruh keluar pula. Ramai yang kami hubungi termasuk rakan-rakan di ibu negara, hampir kesemua tidak mengetahui tempat kami tuju.

Alhamdulillah, kami tiba juga di lokasi yang dimaksudkan pada 12.30 tengahari.

Keletihan itu terubat apabila melihat ramai para ulama hadir dalam Majlis Ramah Mesra & Silaturrahim Idulfitri. Lebih memeriahkan keadaan kehadiran ramai masyarakat bukan Islam yang tinggal di sekitar tempat ini bersama-sama menjamu selera.

Ribuan masyarakat berduyun-duyun hadir berganti-ganti dengan penganjur menyediakan 10 buah khemah untuk tetamu berteduh dalam majlis ini.

Penganjur bersamanya daripada Masjid al-Muhsinin, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Koperasi Muslimin Berhad, Yayasan Muslimin Berhad dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA).

Saya pula hadir sebagai wakil PUM Sabah menggantikan Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan Ust Bungsu yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Sabah pada masa yang sama.

Masjid al-Muhsinin terletak dalam Parlimen Seputeh yang dimenangi oleh DAP dalam PRU lalu. Khabarnya antara yang datang awal dalam majlis semalam ialah YB Puan Nurul Izzah Anwar.

Saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada dua orang ini – Ust Ghazali Yunus dan Cikgu Jefry Mohammad yang telah menemani dan menempuh perjalanan jauh bersama-sama.

Di hujung majlis, saya turut bertemu dengan dua siswi Sabah yang berasal dari Kg Brunei Membakut dan Beaufort yang tengah mengaji di UM. Malangnya saya terlupa bertanya nama mereka.

Harapnya setelah ini mereka dapat menghubungi saya kembali.

IMG_9763

IMG_9767

IMG_9770

IMG_9773

IMG_9777

IMG_9778

IMG_9783

IMG_9785

IMG_9788

BERTEMU RAKAN LAMA

IMG_9160

Saya pernah bercerita tentang sekolah agama saya ketika darjah 4-6 di Sek Ugama Islam (SUI) Membedai WP Labuan pada 89-91. Sekolah yang terletak dalam kawasan kem tentera.

Kenapa saya di situ kerana bapa bertugas sebagai pengetua sekolah menengah di sana, berdekatan dengan sekolah agama, tempat saya belajar selama 3 tahun.

Sudah tentu majoriti murid sekolah agama itu adalah anak-anak tentera yang berasal dari Semenanjung, dan sedikit sekali anak-anak tempatan.

Baru-baru ini, saya beraya ke rumah salah seorang rakan sekolah ketika di sana. Rumahnya di Kepayan Ridge yang mereka diami sejak 3 tahun lalu.

Kerana tidak biasa di kawasan itu, saya tersesat beberapa kali. Sudahlah ketika itu waktu sekitar 10.30 malam, hujan lebat pula menyukarkan pergerakan. Namun kerana memenuhi jemputan rakan lama, saya gagahi juga.

Amirul Salamat, adalah salah seorang anak tempatan yang bersekolah di sekolah agama yang sama. Jadi oleh kerana saya sendiri buntu kerana tidak pandai bercakap semenanjung, Amirul menjadi rakan sembang dan bual saya.

Rakan-rakan yang berasal dari semenanjung semuanya baik-baik belaka, cuma pada awal perkenalan hanya angguk dan geleng yang saya tahu. Sebab patah-patah perkataan mereka tidak saya fahami.

Maklumlah sebelum ini saya sekolah di kampung, yang berlatar belakangkan bahasa brunei sebagai bahasa pertuturan.

Amirul kini bertugas di Jabatan Imigresen Kota Kinabalu, khususnya di kaunter LTAKK Terminal 2. Awal tahun ini kami terserempak di sana, ketika saya hendak ke Jakarta.

Manakan tidak, Amirul yang saya kenali liat hendak bekerja sebagai penjawat awam dan lebih suka berniaga dan memperoleh pendapatan dengan cara bukan makan gaji.

Bersama isterinya yang dikahwini pada Mei 2002, mereka hidup merata tempat di Kota Kinabalu, dan saya tahu mereka dalam keadaan susah.

Beberapa percubaan dalam perniagaannya gagal dan sering ditimpa masalah.

Pada 2007, Amirul memulakan kerjaya di jabatan imigresen dengan perasaan berbelah bagi. Isterinya bercerita, dialah yang mengisi semua borang-borang permohonan kerja untuk suaminya.

Kini Amirul bersama isterinya Juliana Eping yang berasal dari Kudat, mereka dikurniakan sepasang putera puteri, Balqis Zulaikha (3 tahun) dan Ahmad Nur Rahim (1 tahun). Ketika gambar diambil, salah seorang anaknya sudah tertidur di bilik.

Nampaknya kehidupan mereka kini zahirnya lebih stabil sehingga isterinya sendiri tidak dibenarkannya bekerja. Insya Allah, okeylah tu. Mudah-mudahan dimurahkan rezeki.

CARA MEREKA SAMBUT RAYA

Hari raya adalah ibadah. Ia satu nikmat yang diturunkan daripada Allah SWT dengan peraturan dan adab tertentu, bukannya dengan pandai-pandai kita meraikannya sesuka hati.

Ketika saudara seaqidah ditimpa musibah di Padang Sumatera dengan kematian yang mencecah ratusan atau mungkin ribuan orang, ini pula yang dilakukan di Indah Permai.

Mensyukuri hari raya?

Malam Gema Aidilfitri di Indah Permai 3 Oktober

KOTA KINABALU : Orang ramai khususnya penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Karambunai dijemput datang bagi menyaksikan kemeriahan Malam Gema Aidilfitri di Perkarangan Indah Permai (depan Restoran Keningan dan R&R Kek House) pada 3 Oktober ini.

Ini adalah kali pertama majlis seumpama dianjurkan oleh pejabat Dun Karambunai bertujuan untuk merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri serta memupuk semangan muhibbah di kalangan penduduk setempat kawasan itu.

Malam Gema Aidilfitri ini akan bermula jam 6.30 petang dengan pengisian pelbagai program antaranya, pertandingan karaoke, pementasan pentarama anjuran Jabatan Penerangan, penyampaian anugerah kampung-kampung dan taman-taman perumahan yang terpilih dan cabutan tiket bertuah.

Pada sebelah malam pula akan diadakan pertunjukan bunga api. Antara orang kenamaan hadir ialah Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat, Datuk Jainab Ahmad Ayid yang juga wakil rakyat Karambunai dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Iliyas Ibrahim.

Sumber : Utusan Borneo, 2 Oktober 2009 (Jumaat).

Malam Gema Aidil Fitri 3 Okt

KOTA KINABALU: Pejabat Dun Karambunai bersama Jabatan Penerangan Malaysia cawangan Sabah akan menganjurkan Malam Gema Aidil Fitri pada 3 Oktober di perkarangan Kedai Indah Permai, Menggatal bermula 7 malam.

Orang ramai dijemput datang beramai-ramai untuk menyaksikan pelbagai persembahan nyanyian, tarian kebudayaan, cabutan bertuah untuk pengunjung bertuah. Selain itu malam itu juga akan diumumkan pemenang pertandingan kampung tercantik, pertandingan bersusul dan acara lain yang menarik.

Tetamu kehormat pada malam itu ialah Wakil Rakyat Karambunai, Datuk Hajah Jainab Ahmad serta pemimpin masyarakat.

Sumber : Daily Ekspres, 2 Oktober 2009 (Jumaat).

1) Khutbah Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Rujuk di sini.

2) Khutbah Dewan Ulama’ PAS Kelantan.

Rujuk di sini.

3) Khutbah Dewan Ulama’ PAS Terengganu.

Rujuk di sini.

4) Khutbah dari blog ekhutbah.

Rujuk di sini.

5) Khutbah JHEAINS.

Rujuk di sini.

6) Khutbah Dewan Ulama’ PAS Pahang.

Rujuk di sini.

RISALAH AIDIL FITRI

MUQADDIMAH

1) Di dalam agama Islam terdapat 2 perayaan iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha.

2) Menurut syariat, menyambut hari Eidil Fitri didahului dengan puasa, zakat, takbir dan solat raya.

MAKNA ‘EID (HARI RAYA)

1) Eid ertinya kembali.

2) Dinamakan begitu kerana disebabkan berulang pada setiap tahun. 

3) Atau disebabkan kegembiraan yang timbul dengan kembalinya hari itu.

4) Atau disebabkan terlalu banyak nikmat daripada Allah pada hari tersebut keatas hamba-hambaNya.

5) Atau umat Islam kembali dalam keadaan bersih daripada dosa setelah melakukan amal ibadah, taubat dan sebagainya sepanjang Ramadhan.

6) Atau juga kerana umat Islam kembali kepada asal tidak berpuasa seperti sebelum Ramadhan.

SOLAT EIDIL FITRI

1) Disyariatkan pada tahun kedua selepas hijrah.

2) Hukumnya sunnat muakkad dan dituntut melakukan secara berjamaah, tetapi sah jika dilakukan secara bersendirian.

3) Dituntut mendirikannya kepada semua mukallaf – lelaki, perempuan, dan orang bermukim atau bemusafir.

4)  Tidak sunat azan dan iqamah, tetapi diseru dengan : “assolaatu jaami’ah”.

5) Waktunya bermula dengan terbitnya matahari hingga gelincirnya, tetapi yang utama ialah ketika matahari naik setinggi galah, kerana itulah waktu yang selalu didirikan solat oleh Nabi SAW.

6) Mempunyai 2 rakaat, dimulakan dengan takbiratul ihram, kemudian membaca doa iftitah, kemudian bertakbir sebanyak 7 kali dalam keadaan mengangkat tangan sehingga bersetentang dua bahunya seperti mana takbiratul ihram.

7) Ketujuh-tujuh takbir itu dipisahkan antara satu sama lain sekadar satu ayat yang sederhana dan disunnatkan membaca tasbih :

سبحان الله والحمد لله ولآ إله إلا الله والله أكبر

8) Kemudian membaca isti’azah dan surah al-Fatihah serta dibaca bersamanya satu surah atau beberapa ayat.

9) Apabila berdiri pada rakaat yang kedua, hendaklah bertakbir sebanyak 5 kali, tidak termasuk takbir yang dibaca ketika bangun dari sujud.

10) Kelima-lima takbir itu juga dipisahkan dengan bacaan tasbih di atas.

11) Kesemua takbir tambahan itu hukumnya sunnat sahaja, jika terlupa melakukannya dan terus membaca al-Fatihah, maka takbir-takbir tadi luput dan tidak perlu diulangi semula dan solatnya tetap sah.

12) Solat hari raya boleh didirikan di masjid atau di padang, yang afdhal ialah tempat yang luas dan memuatkan semua orang yang bersembahyang.

KHUTBAH HARI RAYA

1) Dilakukan selepas solat hari raya, berlawanan dengan khutbah Jumaat.

2) Semua rukun dan sunnat khutbah sama seperti khutbah Jumaat.

3) Khutbah pertama sunnat dimulakan dengan 9 kali takbir, dan khutbah kedua dengan 7 kali takbir.

BERTAKBIR PADA HARI RAYA

1) Sunnat bertakbir bermula tenggelamnya matahari pada malam hari raya di rumah, di jalanraya, di masjid dan di pasar dengan suara yang tinggi sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk solat hari raya.

2) Pada hari raya puasa, takbir tidak lagi disunnatkan selepas solat raya, bahkan sunnatnya berakhir apabila imam mengangkat takbiratul ihram.

3) Lafaz takbir :

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أْكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. لآ إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الحْمَدُ

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكَْرَةً وَأَصِيلا، لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَلا نَعْـبٌدُ إلا إِيَّاهُ، مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَو كَرِهَ الْكَافِرُونَ. لآ إِلَهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ. اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الْحَمْدُ

ADAB-ADAB PADA HARI RAYA

1) Mandi dan memakai pakaiannya yang cantik dan bersih.

2) Disunnatkan datang lebih awal ke masjid pada pagi hari raya.

3) Pada hari eidul fitri, disunnatkan makan sedikit sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya.

4) Disunnatkan pergi ke tempat sembahyang atau masjid dengan melalui satu jalan dan kembali dengan jalan yang lain.

MENZIARAHI KUBUR

1) Menziarahi kubur tidak disunnatkan pada waktu-waktu tertentu seperti hari raya sahaja, bahkan dilakukan pada bila-bila masa.

2) Para ulama bersepakat bahawa sunnat bagi golongan lelaki menziarahi kubur orang Islam.

3) Bagi golongan perempuan, makruh menziarahi kubur kerana dibimbangi berlaku tabarruj (solekan yang berlebihan ketika keluar rumah), menjerit-jerit dan mengangkat suara.

4) Walaubagaimanapun disunnatkan menziarahi kubur Rasulullah SAW dan kubur para Nabi serta orang soleh, dengan syarat mereka keluar dengan tidak dalam keadaan berhias, tidak mengangkat suara dan bersesak-sesak dengan golongan lelaki.

ADAB MENZIARAHI KUBUR

1) Disunnatkan memberi salam kepada penghuni kubur dengan berkata :

السلام عليكم دَارَ قَومٍ مُؤمِنِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَآءَ اللهُ بِكُمْ لاحِقُونَ

“Salam sejahtera buat kamu semua wahai penghuni di rumah orang-orang beriman. Sesungguhnya kami dengan izin Allah akan datang menyusuli kamu”.

2) Datang dengan menutup aurat, bersopan, tidak berbuat bising atau bergelak ketawa, serta tidak melaungkau atau duduk di atas kuburan.

3) Tidak melakukan perkara khurafat seperti pemujaan, atau meninggalkan wang ringgit di tanah kubur dan sebagainya.

4) Dibaca di sisi mereka ayat-ayat al-Quran kerana rahmat Allah akan turun ketika ayat dibaca.

5) Setelah selesai membaca al-Quran, hendaklah mendoakan kebaikan untuk mereka; pahala bacaannya dihadiahkan kepada ruh-ruh mereka.

6) Apabila doa diterima Allah, maka si mati akan mendapat manfaat daripada pahala bacaan yang dihadiahkan kepadanya.

PUASA ENAM HARI DALAM BULAN SYAWAL

1) Disunnatkan berpuasa 6 hari dalam bulan syawal, berdasarkan perintah Nabi SAW : “Sesiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun”.

2) Puasa 6 hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan berselang seli tetapi sebaik-baiknya dilakukan secara berturutan selepas hari raya pertama.

3) Melewatkan puasa sunnat syawal akan menimbulkan rasa malas, sedangkan bersegera melakukan ibadah adalah lebih afdhal.

4) Menurut ulama’ terkemudian dalam Mazhab Syafie seperti al-Khatib asy-Syarbini dan Imam Ramli, orang yang menunaikan puasa kerana qadha, nazar atau sebagainya dalam bulan syawal akan memperolehi pahala puasa sunnat syawal.

ADAB BERTAMU

1) Berziarah pada masa yang sesuai dan disenangi tuan rumah.

2) Masuk ke rumah setelah diizinkan dan memberi salam.

3) Menjaga mata, jangan liar memandang ke sana ke mari.

4) Tidak meminta sesuatu yang boleh menyusahkan tuan rumah.

5) Tidak berziarah ke rumah yang boleh mendatangkan fitnah seperti berdua-duaan tanpa mahram dan sebagainya.

6) Tidak berziarah semata-mata tujuan memuaskan kehendak perut.

7) Jangan duduk terlalu lama atau terlalu bersegera hendak pulang.

8) Meninggalkan tuan rumah dengan salam dan berjabat tangan sesama lelaki atau sesama perempuan.

ADAB MENERIMA TETAMU

1) Memuliakan tetamu dengan bermanis muka dan kata-kata yang sopan.

2) Memenuhi hajat tamu jika ia memerlukan bantuan mengikut kemampuan.

3) Tidak membezakan layanan antara tetamu yang berada dan sebaliknya.

4) Tidak menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah supaya dipuji orang.

5) Memberi jamuan walaupun ala kadar sebagai penghormatan.

6) Menerima, melayan dan memuliakan tetamu termasuk ajaran Islam dan ciri-ciri orang beriman. 

TUNTUTAN BERMAAF-MAAFAN

1) Memohon maaf terhadap sesama manusia adalah satu sikap yang dianjurkan agama, tambahan lagi kepada orang tua dan ahli keluarga.

2) Suka memberi maaf termasuk sifat orang bertaqwa. Firman Allah : “(Orang yang bertaqwa itu) ialah, orang yang menafkahkan harta ketika senang dan susah, menahan marah, dan suka memaafkan orang lain; Allah suka orang yang berbuat baik”. (Ali Imran : 134)

3) Sabda Nabi SAW : “Sesiapa yang memaafkan kesalahan orang, ketika ia mampu membalas maka Allah akan memberinya maaf pada hari kesulitan (hari kiamat)”.

LARANGAN BERJABAT TANGAN ANTARA BUKAN MAHRAM LELAKI – PEREMPUAN

1) Rasulullah SAW tidak pernah berjabat tangan dengan wanita bukan mahram, kecuali dengan para isterinya.

2) Islam melarang perbuatan itu dengan tujuan pencegahan awal, supaya jangan sampai timbul fitnah, atau keinginan seksual atau keseronokan.

HUKUM MEMBERI DUIT RAYA

1) Harus hukumnya bersedekah duit raya sebagai satu kegembiraan terutama kepada anak-anak kecil dan orang susah. Sabda Nabi SAW : “Hendaklah kamu memberi hadiah, nanti akan timbul rasa kasih sayang”.

2) Sabda Nabi SAW : “Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima”.

3) Walaubagaimanapun, para ibubapa hendaklah mendidik anak-anak agar jangan suka meminta-minta dengan orang lain.

MENERUSKAN AMALAN YANG BAIK DALAM RAMADHAN KE DALAM BULAN SYAWAL

1) Antara ibadah yang sewajarnya diteruskan adalah seperti rajin membaca al-Quran, solat berjamaah, suka bersedekah, berpuasa sunnat, mendengar ceramah dan tazkirah, mendirikan solat sunnat seperti solat tahajjud, tasbih, hajat, witir, rawatib, rajin ke masjid dan sebagainya.

Dikeluarkan oleh :

Bahagian Penyelidikan & Informasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kota Kinabalu.

Sept 2008 / Ramadhan 1429H.

%d bloggers like this: