Tag Archive: Ahmad Lutfi Othman


Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/editor/25245-membongkar-isu-isu-kritikal-tawau

Oleh Ahmad Lutfi Othman / 27 Januari 2014

Pagi Ahad, 19 Januari. Hari kedua saya di Tawau. Dua panggilan Yang Dipertua PAS kawasan, Mohamad Husain, tidak sempat dijawab. Sejak awal pagi, kami agak terkejar-kejar membuat tinjauan ringkas, menyelongkar isu-isu rakyat di lapangan, yang belum didedahkan secara menyeluruh oleh media.

Saya dan wartawan Arif Atan tiba agak lewat di lokasi, Pasti Nurul Hannani, Jalan Kuhara. (Rupanya Pasti di Tawau – antara yang terbaik pengurusannya di Malaysia – mendapat sambutan hebat ibu bapa, termasuk keluarga penyokong dan pemimpin Umno).  Pengarang Berita, Wan Nordin Wan Yaacob sampai lebih awal. Majlis jamuan dan meraikan bekas tahanan ISA, bertempat sudah bermula.

Saya terpaksa berhati-hati menuruni cerun di jalan masuk depan Pasti.  Dua anak muda dengan sopan cuba memapah saya. Terasa macam orang tua kurang upaya!

Bekas tahanan dua kali dikurung di Kamunting, Ustaz Nazri Dollah, baru memulakan ucapan, menekankan teladan unggul Rasulullah s.a.w. Saya perlu meredakan kepenatan di barisan kerusi paling belakang sebelum bersama Nazri dan Mohamad di atas pentas,

Wajah jernih anak-anak kecil yang pernah berkunjung ke Pejabat Harakah menggamit perhatian saya. Begitu juga para isteri yang dulunya berwajah suram. Sekilas, saya dapat mengesan mereka kini dalam mood berbeda. Alhamdulillah.

Memang kunjungan kali ini bukan lagi waktu untuk berduka atau bercerita kisah sedih. Sebaliknya tanda simbolik menguburkan akta rimba penuh kezaliman yang memisahkan keluarga pejuang. Dan turut mahu dibenamkan ialah ketakburan elit penguasa serta kesombongan pencacai, khususnya anggota Cawangan Khas (SB).

“Saya kira selepas ISA dimansuhkan dua tahun lalu dan semua tahanan dibebaskan minggu lepas, maka ini mungkin kunjungan terakhir ke Tawau, ditambah pula keuzuran badan,” ujar saya dalam mukadimah forum  membariskan bekas tahanan berkongsi pengalaman.

“Rupanya, tidak. Dan saya terlewat sampai ini pun kerana terpaksa menyusun jadual melihat sendiri banyak projek sakit dan isu-isu rakyat di Tawau, seperti penyelewengan pembinaan Sekolah Menengah Titingan, dan paling mengejutkan insiden batu besar kuari meranapkan 12 rumah di Kampung Tanjung Batu Kukusan. Dahsyat sungguh!

“Insya-Allah, walaupun ISA sudah berkubur, saya dan rakan-rakan Harakah akan datang lagi ke Tawau,” kata saya, disambut ketawa kecil hadirin.

Seawal pagi hujung minggu itu (walaupun sudah dianggap lewat dalam kiraan jam di Sabah) kami menjejaki projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan, Tawau, yang hampir siap dan sepatutnya sudah mula beroperasi tahun lalu.

Malam sebelumnya, kami dibawa menikmati juadah makanan laut yang segar dan enak, di sebuah restoran berdekatan, Sri Titingan, memaksa saya melanggar diet diabetis, jantung dan kegagalan buah pinggang.

Saya perhatikan kawasan sekolah dipagar sepenuhnya. Kami ditemani Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, juga Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah. Ahmad yang murah dengan senyuman dan kerap berjenaka itu seperti keberatan membenarkan saya menyelit melalui “lorong tikus”. Saya terpaksa mengempiskan perut dan menahan nafas untuk meloloskan diri.

“Dah jauh ke sini, haji, takkan tersekat nak masuk ke dalam, kot,” saya bersuara perlahan, ketawa kecil, sambil bertongkat mengimbangi badan agar tidak tersepit. Saya lebih risaukan benda-benda tajam yang boleh melukakan dan berisiko tinggi kepada pengidap diabetik.

Memang mengejutkan. Bangunan sekolah yang menelan kos RM40 juta itu boleh dikatakan siap sepenuhnya tetapi kini terbiar sepi. Lalang hampir separas pinggang. Banyak peralatan, termasuk pendingin hawa telah dicuri. Hatta pintu dewan besar pun tanggal, lesap. Apatah lagi jeriji besi yang boleh dijual di pasaran gelap dengan mudah.

Pelik bin ajaib juga memikirkan punca masalah bagaimana bangunan sekolah yang siap tidak dapat dimanfaatkan. (Tapi, bukankah tiada yang aneh di negara tercinta ini, segalanya serba mungkin dan tiada yang mustahil, ‘kan?)

Difahamkan tiada jalan masuk ke sekolah baru ini. Soalnya, bagaimana projek boleh diluluskan tanpa dibereskan kemudahan paling asas terlebih dahulu? Mungkinkah – untuk kesekian kali – rasuah atau elemen seumpamanya. Sepertimana pernah menyebabkan banyak lagi projek sebelum ini terbengkalai atau roboh kemudiannya, terutama di bawah Kementerian Pendidikan?

Soalan-soalan itu sebenarnya tidak lagi menimbulkan tanda tanya, malah sudah ada jawapan “sejak azali” lagi! Ya, pemerintahan Umno-BN tidak dapat dicerai-tanggal daripada korupsi, kronisme, salah guna kuasa atau sekurang-kurangnya pembaziran melampau. Lebih aneh lagi apabila khabarnya Putrajaya telah dimaklumkan bahawa pelajar-pelajar sudah berpindah ke sekolah baru itu.

Belum lega dengan kejutan itu, kami dibawa ke sekolah tumpang, di kawasan setinggan berhampiran, yang terpaksa menampung pelajar sekolah terbengkalai tersebut. Melihat situasi di sekeliling, saya dapat membayangkan risiko tinggi yang menunggu, antaranya banjir dan kebakaran.

Sementara menunggu hidangan juadah nasi Arab di majlis meraikan bekas tahanan ISA, seorang guru membisikkan kepada saya: “Bukan hanya sekolah Titingan yang terbengkalai, banyak lagi projek sakit di Tawau ini.” Dia menyebut nama dua sekolah menengah itu, Kubota dan Kinabutan, yang kemudiannya kami lawati esok hari, bersama Mohamad Husain.

Secara peribadi saya tidak begitu kaget dengan perkampungan setinggan atau penempatan di atas air di Tawau. Semasa di Sandakan beberapa bulan lalu, saya perhatikan situasi di sana lebih sesak dan menyedihkan. Begitu juga dengan keadaan anak-anak kecil yang berkeliaran di pasar.

Saya lebih terdorong dan rasa bertanggungjawab untuk mengangkat isu kuari di Kampung Kukusan. Melihat sendiri bongkah batu sebesar rumah, yang meranapkan 12 kediaman, cukup menggerunkan.

Berdepan “lembaga” batu sebesar itu, yang jatuh bagaikan peluru selepas puncak bukit diletupkan, pada April 2013, saya bukan saja terkejut tetapi sekali gus api kemarahan memuncak.

Bukankah aktiviti pengkuarian terpaksa melalui prosedur yang cukup ketat, khususnya daripada Jabatan Alam Sekitar, yang memerlukan laporan EIA dan persiapan kawalan risiko kecemasan yang diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis?

Bukan saja impak gegaran, bau, bunyi bising dan habuk yang diambil berat, malah prioriti paling atas adalah aspek keselamatan, bukan hanya terhad kepada manusia tetapi juga binatang.

Difahamkan kawasan kuari juga hendaklah dilanskap dengan tumbunhan rendang yang dapat menghalang pandangan visual penduduk terdekat. Selain itu, operasi kuari hendaklah dihentikan serta merta jika terdapat sebarang aduan pencemaran atau gegaran atau batu terbang (flyrock) daripada penduduk sekitar.

Dan sebagai rakyat biasa, saya rasa terhina dengan sikap rakus dan memandang rendah keselamatan orang awam, konspirasi ahli perniagaan tamak bersama elit pemerintah takbur.

Sama sekali anda tidak boleh mempercayainya apabila letupan kuari sedahsyat itu, yang memuntahkan bongkah batu pejal yang masih tersergam, namun ia masih belum berjaya menghentikan operasinya.

“Inilah bukti kerja jahat kapitalis rakus yang mahu mengorek segala khazanah bumi tanpa menghiraukan keselamatan orang awam,” Arif Atan meluahkan rasa hati semasa kami masih berkereta menuju jalan masuk ke Kg Kukusan atau lebih popular dengan sebutan Besi Buruk.

“Rasuah dan korupsi akan menghanguskan segalanya,” pintas saya. “Dan inilah peranan media bebas seperti Harakah. Kita harus turun selalu ke Sabah. Banyak cerita misteri yang belum kita korek tersimpan di sini,” saya seakan berkhutbah. Dari bawah, saya mendengar dengan jelas gegaran di atas bukit, dan melihat kilauan pancaran cahaya daripada mesin pengorek yang terus digerakkan.

Malah, seorang wanita, penduduk kampung, menunjukkan salinan pemberitahuan, bertarikh 20 Januari 2014, daripada pengurusan Kukusan Kuari Tawau bahawa “peletupan bom batu” akan dijalankan pada jam 1.30 petang, 21 Januari.

Petaka apa yang masih ditunggu, bukan saja untuk menghentikan serta merta operasi kuari itu, tetapi juga untuk membentuk satu siasatan terperinci bagi mengenal pasti akar kepada kejadian ngeri yang masih menghantui penduduk itu?

Selama tiga hari di Tawau, saya cukup terkesan dengan personaliti hebat rakan-rakan PAS, tidak terkecuali Muslimat, yang banyak membantu dan ringan tulang, termasuk bersama isteri saya, Siti Hawa Samsam menyediakan juadah nasi Arab untuk jamuan meraikan bekas tahanan ISA.

Dan saya tentu sekali tidak dapat melupakan sosok tubuh “Uncle Jefferey”, 68, atau nama sebenar Kideng ak Benang, seorang lelaki Iban yang tabah dan cekal. Ungkapan kata yang dituturkannya cukup menarik dan membekas. Beliau bijak menyusun madah dan mampu membangkitkan semangat.

Bertemu mata dengannya, mencuri masa kerja beliau sebagai pengawal keselamatan selepas dipaksa meninggalkan kerjaya sebagai petani berjaya, dan berbicara tentang kemusnahan kawasan bercucuk tanam  dan penempatan yang diterokainya sejak 1978, begitu menyentuh hati.

Satu lagi testimoni tentang kerakusan pemerintah merampas tanah yang diusahakan titik peluh rakyat. Saya rasa terkilan kerana tidak sempat mengunjungi kampungnya bagi menyaksikan sendiri proses kezaliman yang tidak pernah terhenti.

“Bukankah pelik apabila kita, manusia, sebagai makhluk Tuhan yang paling indah telah diusir lebih hina berbanding binatang.

“Saya sendiri pernah katakan kepada pihak perhutanan Sabah, gajah, dan binatang liar dalam hutan kamu jaga, pelihara. Sedangkan manusia seperti kami dan sama seperti kamu juga, ciptaan Tuhan yang begitu indah, tapi tidak difikirkan hak sesama manusia, diusir tanpa memberi pilihan,” ujarnya lembut tetapi nampak tegas.

Jefferey seterusnya menceritakan perancangan beliau dan rakan-rakannya untuk kembali ke kawasan penempatan mereka yang telah dimusnah dan dirampas: “”Kami akan kembali ke sana 10 April ini. Setiap tahun sejak empat tahun lalu kami berdoa di sana.

“Saya minta kepada Tuhan supaya Tuhan memberi kebijaksanaan, melembutkan hati mereka agar mengembalikan hak rakyat yang mereka rampas. Langkah saya tidak terhenti begitu saja. Setiap tahun kami berdoa begitu. Perjuangan kami belum selesai,” tambahnya penuh yakin. Benar, saya tidak perlu menunggu lama untuk mengkagumi watak lelaki ini.

Ikuti kisah menarik Jefferey, bekas ketua cawangan Umno dan seorang yang boleh dianggap bertaraf paderi, juga pelanggan tetap Harakah yang tidak pernah absen mengikuti ruangan kuliah Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tok Guru Abdul Hadi Awang, dalam Harakah akan datang.

tawau1tawau2

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/21987-misteri-sabah-yang-belum-terbongkar

Jadual kunjungan saya ke Sandakan selama tiga hari, bermula 6 September lalu, agak padat dan memenatkan. Walaupun tujuan asalnya hanya untuk melihat sendiri kediaman baru keluarga Jamal Azahari — yang masih ditahan di Manila selepas dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting lebih lima tahun lalu — saya turut dibawa Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah, mendekati kehidupan sukar di kawasan terpinggir.

Pengasas PAS Sabah itu, yang banyak membantu saya membeli makanan laut segar, mendedahkan sisi-sisi gelap warga Negeri di Bawah Bayu, khususnya kawasan penempatan di atas air yang sesak dan nasib hampir 100 keluarga setinggan yang ditimpa kebakaran besar pada tengahari 1 Syawal lalu. Ramai penduduk mengesyaki, dengan disertakan bahan-bahan bukti, bencana itu sebenarnya angkara perbuatan khianat terancang bagi menghalau penduduk; khabarnya satu amalan lazim sang penguasa bersekongkol dengan kapitalis berkepentingan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kinabatangan, Ustaz Zaidi awal-awal lagi mempelawa saya turun padang ke daerah pendalaman yang serba kekurangan. Parlimen Kinabatangan diwakili Bung Mokhtar Radin yang menegaskan bahawa kenaikan harga minyak tidak menjejaskan kehidupan orang kampung kerana mereka tidak berkereta.

“Orang kampunglah yang paling terkesan dengan kenaikan itu disebabkan kos pengangkutan, termasuk dengan bot, untuk masuk jauh ke pendalaman segera melambung,” kata Ustaz Zaidi.

“Selalunya saudara melawat lokasi di bandar, seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Kali ini elok juga, sempena 50 tahun Sabah merdeka di bawah Malaysia, saudara turun ke kawasan kampung, yang sebenarnya menyimpan  begitu banyak masalah,” cadang Rahimin Mustafa, Setiausaha Pilihan Raya PAS Sabah sebaik mengetahui saya berhasrat ke Sandakan untuk kali keempat.

Malang sekali, kenderaan rakan Ustaz Zaidi yang sepatutnya mengambil saya dan wartawan kanan, Azamin Amin, jam tujuh pagi Sabtu itu, tiba-tiba rosak. Kami hanya dapat keluar dari bandar Sandakan ketika Zuhur apabila Ustaz Zaidi sendiri turun dari Kinabatangan.

Disebabkan majlis kenduri dan doa selamat, di rumah baru Jamal Azahari, untuk enam keluarga bekas tahanan ISA dijadualkan jam 2 petang, saya hanya dapat bersetuju untuk meninjau kawasan kampung sekitar 50km dari Sandakan. Itupun, kami terlewat hampir tiga jam untuk sampai ke kediaman yang baru siap itu, di Batu 18, selepas solat Asar di masjid berdekatan, Masjid Darul Aman.

“Tak nampak pun suasana meriah  Sabah akan menyambut ulangtahun ke-50 merdeka di bawah Malaysia tidak lama lagi,” kata saya kepada Ustaz Zaidi, semasa melalui jalan utama, merujuk senario hampir tiada bendera Malaysia dikibar menjelang 16 September nanti. “Tengok itu, bendera BN macam menjadi azimat di sini,” sambutnya, menunjukkan rumah dan gerai kecil di tepi jalan. “Tapi, BN itu jugalah yang mengkhianati rakyat di sini, termasuk memungkiri janji mereka semasa kempen PRU13 lalu,” pintas saya, sambil kami ketawa kecil.

Kepenatan mengelilingi kawasan pendalaman sekitar Sandakan segera terubat melihat wajah ceria Norhatta Paraji, isteri Jamal Azahari bersama lapan anak-anaknya, termasuk seorang anak tirinya, gadis kecil yang manis (saya baru pertama kali bersua muka dengannya), sambil mereka menikmati hidangan nasi Arab yang disediakan isteri saya, Siti Hawa Samsam. Rempah khas dibawa dari Ampang!

Menu ayam masala dan beriani kambing agak pedas tetapi saya lihat lebih 20 anak-anak menjamu selera dengan asyik sekali.

Saya lebih teruja melihat rumah baru Norhatta yang dapat disiapkan menjelang Aidilfitri lalu, dengan bantuan sumbangan pembaca Harakah, bernilai lebih RM30,000. Su’aidah, adik kepada Ketua Penerangan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah menjadi pengantara kami dan begitu ringan tulang memantau proses pembinaan walaupun dalam keadaan sarat mengandung. Bayangkan, hanya selepas lima hari melahirkan anak, Su’aidah memaklumkan kepada saya perkembangan terkini rumah tersebut selepas menziarahi Norhatta.

Berbanding tiga kunjungan sebelum itu — termasuk dua kali bersama Cikgu Norlaila Othman, aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) — suasana nampak lebih meriah dan girang, apatah lagi dapat mengumpulkan hampir semua keluarga bekas tahanan. “Ibu tak pandai nak luahkan kata-kata tapi dia cukup terharu dengan bantuan yang kami terima, termasuk membawa kami sekeluarga berjumpa ayah di penjara Manila,” kata salah seorang anak perempuan Norhatta.

Isteri bekas tahanan, Kontesa Ahadi, ibu Hummayroh Mohidin, pelajar yang dijangka ke Moscow awal Oktober depan, juga dengan sokongan kewangan sepenuhnya daripada pembaca Harakah, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya.

“Maha Suci Allah, kami tidak pernah menduga pertolongan Allah, melalui usaha Harakah, datang secepat ini. Terima kasih banyak, Alhamdulillah,” katanya ramah, dengan wajah berkaca. Kontesa memohon maaf kerana Hummayroh tidak dapat hadir meraikan jamuan kesyukuran. Anaknya berada di Kuala Lumpur ketika itu, mengikuti kursus pendek dan persiapan terakhir sebelum terbang keluar negara dan hanya pulang ke Sandakan pagi Ahad, 8 September.

Petang Ahad itu, Hummayroh dan kedua-dua ibu bapanya terlewat tiba beberapa minit ketika kami sudah pun masuk ke bilik menunggu di lapangan terbang Sandakan untuk berlepas ke KLIA. “Ustaz, minta maaf, kami terlewat, Hummayroh penat dan tertidur tadi. Bila kami sampai airport, nampak Ustaz dan isteri sudah masuk,” kata Kontesa, melalui telefon, ketika saya berbaris panjang menuju pesawat.

Sempat saya membaca SMS Ustaz Zaidi: “Terima kasih dan jemput datang Kinabatangan untuk lain kali. Terima kasih juga dengan hidangan nasi Arab yang sedap kelmarin.”

Ya, saya melihat keunikan Sabah dan Sandakan khususnya, bukan terhad kepada hidupan laut yang segat dan mengasyikkan, begitu juga keistimewaan tawaran alam semulajadinya, tetapi lebih kepada begitu banyak misteri kehidupan yang belum diselongkar, terutama yang menghimpit warganya dan pendatang, selain menyembunyikan kerakusan kuasa elit pemerintah. Majoriti penduduk negeri yang kaya dengan hasil bumi, khazanah hutan, destinasi pelancongan menarik dan sumber petroleum masih diasak kemiskinan dan kedaifan kemudahan awam.

Peluang menghadiri perasmian mesyuarat agung PAS Sandakan, yang disempurnakan Hamzah, pada pagi Ahad, juga menyuntik harapan tinggi bahawa peluang dan masa depan Parti Islam di Sabah begitu “menjanjikan”. Kehadiran perwakilan anak-anak muda, lelaki dan wanita, membayangkan cabaran, tanggungjawab dan potensi besar yang menunggu.

Dan saya cuba, insya-Allah, untuk mengungkapkan isu-isu besar sosio-ekonomi-politik Sabah dalam tulisan akan datang, merujuk pengalaman di Sandakan.

Dalam pada itu, Harakah, dengan kerjasama PAS Batu Sapi bersedia untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cenderamata, Sandakan. Orang ramai boleh menyumbang terus ke dalam akuan Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336.

lutfi_rumah_isa

Catatan Perjalanan Ahmad Lutfi Othman

Pagi Ahad, 19 Mei, pesawat Air Asia mendarat  di lapangan terbang Sandakan, tepat pada masanya. Ia kali ketiga saya meneruskan misi bantuan kepada keluarga tahanan ISA. Memang sebahagian besar mangsa kezaliman tahanan tanpa bicara itu telah dibebaskan, tetapi bahananya belum berakhir, terutama Jamal Azahari yang dipindahkan ke penjara di Manila.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah menyambut kami — saya, isteri Siti Hawa dan seorang rakan. Dari jauh saya perhatikan bekas calon PAS Batu Sapi dalam PRU13 ini agak gelisah.

lutfi_makan

(Gembira melihat anak-anak Jamal Azahari menjamah ayam goreng.)

“Ingatkan anta disekat dari masuk Sabah?” kata Hamzah, sambil pantas mengambil beg pakaian dari tangan saya. Sebenarnya saya bersembang panjang dengan seorang kenalan baru semasa menunggu bagasi. Bersama keluarga, dia mahu meneroka keindahan di sekitar Sandakan, khususnya pulau-pulau cantik.

“BN memang penipu, kita takkan boleh menang jika biarkan saja penipuan ini,” Hamzah terus mengomel panjang. Suasana dingin pagi itu seperti tidak dapat menyejukkan perasaannya. Sambil memandu, bersemangat sekali dia meluahkan rasa tidak puas terhadap pengendalian PRU13.

Hamzah mengajak saya mengikutnya ke majlis jamuan kesyukuran kepada petugas PAS di Batu Sapi tengahari isu. Hasrat hati memang mahu bersama meraikan tetapi kaki saya agak kejang. Apatah memikirkan jadual saya — untuk tiga hari di Sandakan — agak padat untuk menziarahi bekas tahanan ISA.

Lebih penting, saya harus menunaikan janji buat Jamal Azahari, untuk menyekolahkan anak-anaknya yang tidak pernah mendapat pendidikan formal. Segera tergambar rumah usang yang didiami lapan beranak, dengan lantai hampir reput dan pintu yang mudah ditolak begitu sahaja.

Tentunya saya juga ghairah mahu menelusuri situasi politik Sabah pasca PRU13. “Di sini, politik wang lumrah. Duit diagihkan di tengahari buta, diangkut penuh kereta,” cerita seorang aktivis muda PAS ketika kami bersambung sembang di sebuah restoran selepas saya diminta Hamzah berkongsi idea tentang keputusan PRU13.

“Kenapa tak ambik gambar, boleh buat bahan bukti,” tanya saya, lurus. “Kita tak ramai, silap-silap bukan dikerjakan petugas BN tapi orang ramai yang rasa kita halang mereka dari dapat duit. Di rumah atas air, Kg Bahagia, yang anta pergi semalam tu, pengundi tak kisah isu mansuh tol, PTPTN, minyak turun, mereka mahu duit untuk belanja esok harinya,” jelasnya panjang lebar.

lutfi_rumah

(Suasana gelap tidak bercahaya, dulunya ruang tamu rumah Norhatta, sekarang bertukar dapur.)

Bicara politik saya tangguhkan. Saya berkejar untuk mendaftar empat anak Jamal Azahari dan Norhatta Paraji  di Madrasah Nurul Ihsan, sebuah sekolah agama rakyat. Kemudiannya membeli keperluan asrama dan sekolah mereka. Nampak anak-anak yang tidak pernah bersekolah ini agak kekok untuk melalui dunia baru. Seterusnya berbincang dengan peneman setia kami sepanjang di Sandakan, Suaidah, adik Aiman Athirah, tentang ubahsuai rumah buruk Norhatta.

Ada waktu terluang saya sempat menjenguk empat keluarga bekas tahanan ISA. Saya terpaksa meminta dua darinya turun ke bawah; kaki tak mampu menapak ke tingkat empat PPR. Untuk hari pertama, saya masih ada kudrat untuk menziarahi perkampungan atas air di Jalan Batu Sapi, perlahan-lahan mengatur langkah di atas pelantar kayu yang uzur, tetapi pada hari terakhir, dua jam sebelum bertolak ke airport, saya hanya mampu bertanya khabar mereka di bahu jalan. Dalam keadaan tergesa-gesa, memang tidak selesa untuk bertongkat bertamu di rumah keluarga tahanan, walaupun maklum mereka amat mengharap dapat mengirup secangkir kopi panas.

Kemiskinan dan kemelaratan adalah pemandangan biasa di Sabah, apatah lagi membabitkan kawasan penempatan pendatang asing. Tidaklah saya sampai bermimpi  untuk mengubah senario suram itu, tetapi cukuplah jika kami dapat membantu keluarga teraniaya, seperti Jamal-Norhatta membina kehidupan baru, dengan anak-anak dapat bersekolah dan berteduh di rumah yang agak sempurna, khususnya menjelang Aidil Fitri akan datang.

Terima kasih atas bantuan ikhlas anda, terutama buat pembaca Harakahdaily yang banyak menyumbang, menyambut rayuan awal saya sebelum bertolak ke Sandakan tempohari. Sokongan anda telah saya salurkan kepada mereka yang amat memerlukan. Jika anda bersedia untuk terus membantu, terutama bagi melancarkan proses ubahsuai rumah Norhatta, saya cukup berbesar hati.

Salurkan  terus kepada akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM, no 5640 7000 0336.

BILA BUKU BERTEMU RUAS

ahmad-lutfi-othman

Walaupun panjang, tetapi catatan beliau menarik, penuh dengan muhasabah. Elok baca sampai habis.

Sumber :  http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/16450-bila-buku-bertemu-ruas

oleh : Ahmad Lutfi Othman

Berbanding kajian badan-badan penyelidikan universiti yang lain — khususnya Majlis Profesor Negara (MPN) — saya lebih menunggu rumusan yang dihasilkan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL). Pertama, saya tertarik dengan kewibawaan pengarahnya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman. Beberapa kali berpeluang menemubualnya — walaupun beliau lebih selesa dengan tema politik antarabangsa, terutama pergolakan di Timur Tengah, apatah lagi berkaitan gerakan Islam, misalnya Ikhwan Muslimin — saya dapat mengesan pakar sejarah ini cukup mementingkan disiplin ilmu dan  cermat dengan pendekatan penyelidikan. 

Kedua, meneliti carta organisasi UMCEDEL dan barisan felo penyelidiknya, saya kira, ia satu kombinasi yang mantap. Ketiga, beberapa buku yang dihasilkan, seperti “Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-12: Isu dan Pola Pengundian”, serta   empat  judul tentang siri pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Sibu, menambahkan lagi keyakinan kepada UMCEDEL. Tulisan ini bukan sekadar bertujuan untuk respons  dapatan terbaru UMCEDEL, berdasarkan kajiannya pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013, yang dilihat menyenangkan pemimpin Pakatan Rakyat dan para penyokongnya.

Saya cuba meneliti “sisi-sisi gelap” Pakatan yang boleh diambil iktibar pemimpinnya bagi mengkoreksi diri sebelum terlambat. Selagi Parlimen dan Dun belum dibubarkan, dan kempen secara rasmi belum berjalan, saya lebih teruja dengan hasil kajian, tinjauan pendapat atau himpunan persepsi rakyat, yang dikira berjejak dan membumi, biarpun nampak negatif buat Pakatan. Kadang-kadang sebagai “pemain aktif” di lapangan, kita keliru dengan tanggapan “penonton”.

Sekurang-kurangnya ia dapat membantu kita membuat pemerhatian secara lebih menyeluruh, dengan gambaran akar umbi yang menghampiri realiti sebenar. Selama ini agak sukar kita menelah atau meramal kecenderungan pengundi walaupun dibuat bancian atau culaan undi dari rumah ke rumah.Ungkapan “undi itu rahsia” ketika di pusat mengundi rupa-rupanya menjadi pegangan ramai rakyat Malaysia, walaupun sebelum dan selepas hari mengundi. Ia turut difaktorkan  oleh suasana persekitaran yang tertutup dan  tidak demokratik.

Menyokong parti pembangkang waktu itu dianggap satu kesalahan dan boleh menyebabkan kepentingan tergugat.Justeru, saya lebih suka memberi perhatian kepada hasil kajian yang memungkinkan Pakatan dapat meneliti kelemahan dan kealpaan, yang sebahagiannya mungkin tidak disedari.Ia juga seharusnya membantu para strategis mengatur langkah ke depan atau menawarkan formula penyelesaian, tanpa perlu mempertikai atau merendahkan kredibiliti badan penyelidikan walaupun sememangnya terserlah “udang di sebalik batu”.(Di zaman begitu ramai cendekiawan boleh “diupah” bagi menemukan keputusan yang menyenangkan “pengupahnya”, memang agak sukar mencari hasil penyelidikan politik yang  benar-benar bebas).

Misalnya, apabila ada kajian mengunjurkan bahawa di antara empat negeri yang dikuasai Pakatan, kemungkinan Kedah sukar dipertahankan dalam PRU13, maka saya pasti rakan-rakan aktivis PAS di negeri kelahiran saya itu tidak memandang rendah perkara ini. Lagipun bukannya mudah untuk mempertahankan kemenangan untuk pusingan kedua. Masing-masing melihatnya sebagai cabaran untuk merencanakan kembali pendekatan terbaik dan berusaha membetulkan salahfaham atau sistem penyampaian sehingga akhirnya memungkinkan Kedah dapat melonjak keluar daripada “zon kelabu”.

Bagaimanapun, kajian UMCEDEL yang dikeluarkan pada 23 Januari, menghantar beberapa mesej penting. Semasa banyak pihak lebih tertumpu kepada kemerosotan pengaruh BN dan menjunamnya populariti Najib, saya pula mahu menarik perhatian terhadap petunjuk lain. Benar, populariti Najib merosot daripada 61 peratus (di antara 31 Mac – 15 April 2012) kepada 58 peratus (1 – 16 September 2012), seterusnya 54 peratus (26 Disember 2012 – 11 Januari 2013).Bagi kajian persepsi pengundi kali pertama dalam PRU13, Dato’ Seri Anwar Ibrahim jauh mengatasi Najib, iaitu 52 peratus berbanding 30 peratus.

Pastinya soalan yang paling menarik minat penyokong Pakatan ialah: “Dengan andaian anda tidak memihak kepada mana-mana parti politik, parti manakah yang anda jangka akan menang di peringkat nasional dalam PRU13 dan menguasai Putrajaya?” Walaupun keputusannya lebih memihak BN, dan  kemerosotannya tidaklah begitu ketara, iaitu daripada 43 peratus (25 Oktober – 15 Disember 2011) kepada 42 peratus (26 Disember 2012 – 11 Januari 2013), namun peningkatan Pakatan nampak menonjol, iaitu daripada hanya 18 peratus kepada 37 peratus, berdasarkan tempoh yang sama. Ia juga memaparkan keperitan yang terpaksa ditanggung Najib.

Semakin dianjak tarikh PRU13 ke hadapan — mungkin atas nasihat mentornya, Dr Mahathir Mohamad — populariti Najib dan peluang BN kian merosot. Dan kini Najib tidak berpeluang lagi mencipta kejutan tarikh pembubaran Parlimen; dia sudah diasak sehingga ke dinding. Dalam suasana yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara, tumpuan diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum membuat keputusan. Hasil kajian UMCEDEL mendapati pengundi muda dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun dan masyarakat Cina masih “tidak pasti”, sama ada untuk mengundi BN ataupun Pakatan.

Dengan itu, persaingan sengit adalah untuk merebut hati dan menawan minda kedua-dua kategori ini: Pengundi muda dan masyarakat Tionghua. Sekali imbas, ia seolah-olah memberi kelebihan awal kepada Pakatan, namun kesungguhan Najib merapati kelompok belia, melalui pelbagai insentif dalam Belanjawan 2013, tidak boleh dipandang ringan. Untuk meraih sokongan pengundi Cina, malah sehingga kepada 80 peratus, ia tidaklah mustahil, tetapi menghadapi karenah dan kompleksiti anak-anak muda, saya rasa peluang Pakatan dan BN hampir sama rata. Generasi muda, terutama yang pertama kali mengundi, masih belum membuat keputusan muktamad.

Saya kira mereka  terus memerhati, menilai dan menghakimi, sehinggalah hari mengundi. Harus diingat, pemberian bermacam-macam bantuan secara berkala oleh kerajaan, seperti BR1M dan baucer buku, turut dapat meningkatkan sokongan kepada BN, iaitu 75% berbanding hanya 61% (September 2012).Begitu juga persepsi terhadap program transformasi kerajaan, seperti Kilnik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia. 73 peratus melihatnya positif buat BN, malah kepada pengundi wanita, ia meningkat sehingga 80%. Tanggapan positif terhadap Bajet 2011,  yang dilihat memanfaatkan rakyat berada pada tahap 55%, namun bagi persepsi pengundi wanita melonjak kepada 63%.

Sekurang-kurangnya ia memberi indikator penting — walaupun telah disedar sejak lama — bahawa kalangan kaum hawa lebih mudah dipengaruhi oleh BN. Dan seharusnya fenomena ini diberi tumpuan khusus, terutama oleh sayap wanita parti-parti dalam Pakatan. “Peratusan pengundi muda adalah yang paling tinggi ‘tidak pasti’,” kata Dr Redzuan. Tambahnya, pengundi Cina pula paling sukar untuk menentukan sama ada mereka menyokong atau tidak dan terlalu berahsia serta sukar didekati.Lebih menarik, majoriti pengundi “tidak pasti” ini terdiri daripada mereka yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi iaitu berijazah di universiti sebanyak 49 peratus, berpendidikan SPM (18%) dan STPM (15%).

Meskipun pengundi Melayu mungkin dikira sudah membuat keputusan awal, tetapi pada hemat saya,  wajar diberikan perhatian istimewa kepada petunjuk lain kajian UMCEDEL ini. Dari segi persepsi pengundi Melayu, Najib berada di depan sebagai tokoh paling layak menjadi PM selepas PRU13, memperolehi 46 peratus, berbanding Anwar 34%, manakala Tuan Guru Abdul Hadi Awang  mendapat 36%. “Anwar wajar menilai kembali sokongan pengundi Melayu kepadanya,” kata seorang pensyarah sains politik, “mungkin propaganda media Umno seperti Utusan Malaysia dan TV3 sedikit sebanyak berkesan juga, terutama yang tidak terdedah dengan media baru.

Anwar memang popular di kalangan masyarakat Cina dan juga pengundi kali pertama, tapi segmen Melayu perlu lebih tumpuan.””Ya, Anwar dan jurukempen serta strategisnya wajar memandang serius tanggapan rendah orang Melayu kepadanya. Media alternatif, terutama akhbar bercetak seperti Harakah dan Suara Keadilan, patut menyemak kembali, bukan saja kandungannya tetapi lebih penting lagi ialah sistem dan rangkaian pengedarannya,” kata seorang veteran politik yang rajin menghubungi saya, meluahkan rasa bimbang Pakatan mungkin kalah disebabkan masalah teknikal dan bukannya kerana ditolak rakyat.

“Saya bimbang dua organ parti itu tidak sampai kepada golongan  akar umbi, yang masih bergantung dengan Utusan Malatysia dan TV3,” tambahnya, sambil mengharapkan PAS dan KeADILan dapat merebut kembali sokongan majoriti masyarakat Melayu. Mengenai isu-isu yang boleh menghalang sokongan pengundi kepada Pakatan Rakyat, soal percanggahan pendapat di kalangan parti-parti  dalam Pakatan dilihat penting, iaitu 59 peratus, kekal seperti kajian pada September 2012. Semasa kredibiliti pemimpin BN berada pada kedudukan paling rendah dan dilihat telah mengkhinati amanah rakyat sejak lebih 55 tahun lalu, Pakatan pula “diancam” oleh sedikit rasa curiga pengundi, ekoran perselisihan pandangan para pemimpinnya.

Dibimbangi terdapat golongan yang sudah muak dan jelik dengan karenah dan keletah pemimpin Umnp-BN, tetapi mereka tidak bersedia untuk berubah hanya kerana ketakutan tidak berasas terhadap “pertelingkahan” Pakatan. Elok benarlah jika pemimpin utama Pakatan bersikap “menutup mulut” bila berdepan media musuh, yang sengaja mencungkil kelemahan dan kesalahan.Dalam pada itu, walaupun hanya 43 peratus bersetuju persoalan “dominasi DAP dan bukan Melayu dalam Pakatan”, serta “kehilangan kuasa politik Melayu”,  boleh menjadi penghalang sokongan, bagi saya isu ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja, apatah lagi di kalangan responden Melayu, 53% bersetuju.

Isu integriti dan penyalahgunaan kuasa melibatkan pemimpin BN memang dimainkan dengan cukup berkesan. BN terpaksa lebih teliti dengan penampilan calon-calonnya dalam PRU13. Mungkin mereka perlu akur dengan senarai nama tokoh-tokoh yang tidak melepasi “tapisan” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sebanyak 78 peratus melihatnya sebagai isu yang boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada BN. Lebih menakjubkan, di kalangan pengundi Cina, isu integriti dan salahguna kuasa ini memperolehi 95%, satu angka yang cukup tinggi. Saya merasakan pengundi Melayu juga boleh mempunyai kecenderungan yang sama jika isu-isu seumpama itu dapat disampaikan dengan lebih berkesan, terutama dengan mengemukakan kes-kes secara terperinci. Mungkin Harakah sendiri dapat membantunya, di samping penekanan oleh pemimpin PAS sendiri.

Hasil kajian UMCEDEL ini wajar ditelaah secara lebih khusus, juga mengambil kira tinjauan pendapat terbaru badan-badan penyelidikan lain, terutama Merdeka Centre. Masyarakat terbukti semakin terbuka dan bijak menilai, serta tidak bergantung dengan saluran maklumat tradisional sahaja. Sementara Pakatan mengutamakan isu-isu yang praktikal dan menyentuh kehidupan seharian denyut nadi rakyat, BN masih dengan tradisi lapuk, iaitu bergantung harap dengan persoalan sensasi membakar sentimen, yang sengaja direka-reka bagi meneruskan “kebergantungan” pengundi Melayu kepadanya.

“Mulakanlah menulis!”

Kata Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang Harakah apabila ditanya seorang rakan tentang bagaimana hendak bermula dalam dunia penulisan. Memang, bagi dirinya sendiri diperingkat awal dahulu juga bermula dengan meminati dan mencontohi corak penulisan seseorang yang diminatinya. Lalu kemudian beliau mempunyai corak penulisannya sendiri.

Sejak saya dimaklumkan kedatangan Saudara Ahmad Lutfi Othman ke Kota Kinabalu beberapa minggu sebelum ini, saya menyediakan waktu untuk dikosongkan agar dapat bersama-sama mendengar ceramah atau pembentangan beliau berkenaan dengan dunia penulisan dan media.

Saya meminati tulisan beliau khususnya dalam majalah Tamadun dan Detik satu ketika dahulu walaupun ketika itu saya masih bergelar pelajar di maahad. Dalam harakah cetak kini, saya suka sekali membaca ‘Catatan Hujung’ yang beliau tulis. Bahkan buku kompilasi beliau itu juga ada dalam senarai koleksi buku saya di rumah. Sebenarnya saya suka dengan gaya pemikirannya dan membaca catatan perjalanan apabila beliau berjalan ke pelusuk negara melihat dan meninjau suasana politik semasa.

“Yang paling penting dalam penulisan ialah integriti”, katanya yang mahu penulis mempunyai sifat kejujuran apatah lagi dia seorang muslim dan mengetahui bahawa segala tulisannya akan dipertanggungjawab di mahkamah Allah SWT. Dalam sembang sekitar sejam setengah itu banyak pengalaman beliau dikongsi bersama khususnya berkaitan media.

Kawan-kawan yang hadir dalam pertemuan santai itu mengakui kegigihan beliau walaupun terpaksa berjalan menggunakan tongkat, termasuk naik ke tingkat 2 di lokasi pertemuan kami. Semoga Allah memberi kekuatan kepada beliau.

%d bloggers like this: