Tag Archive: Ahmad Hakimi Othman


Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/07/30/ulamak-yang-benar-disanggah-pemimpin-zalim/

Oleh : Ahmad Hakimi Othman

Imam Hanafi membela Imam Ahli Bayt seperti Jaafar As-Sadiq dan Muhammad Al-Baqir kerana penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas mereka oleh Pemimpin Abbasiyah.

Pemimpin Abbasiyah seperti Jaafar Al-Manshur menekan keturunan Ahli Bayt kerana takut akan pengaruh mereka akan menggugat kekuasaannya.

Namun, tindakan tersebut menambahkan lagi simpati kepada golongan teraniaya, menyebabkan firqah yang asalnya dari ketidakpuasan hak politik berkembang jadi mazhab Islam.

Bagi menghindarkan pengaruh Ulamak seperti Imam Hanafi menggugat kekuasaannya, Imam Hanafi ditawarkan sebagai Qadhi Qudhah di Baghdad sebagai timbal balik untuk menutup Imam Hanafi dari menyuarakan amal makruf, nahi mungkar yang melibatkan pengaruhnya terkesan. Imam hanafi menyedari helah ini, lantas menolak dan memilih untuk jadi peniaga kain.

Namun tetap juga dicari salah sehingga dipenjara kerana ketegasannya menyuarakan keadilan bagi setiap umat Islam.

Imam Muhammad Bin Idris As-Syafie pula turut membela Imam Ahli Bayt yang dizalimi di zaman Harun Ar-Rasyid seperti Musa Al-Kazim. Imam Syafie dituduh oleh pengampu kerajaan sebagai Rafidhoh sedangkan yang dibela adalah Imam Mujtahid zaman itu yang begitu diangkat golongan syiah ketika itu.

Apa yang difahami? Tindakan dakwaan terhadap sesuatu mazhab dan tokoh, kadang-kadang terdorong oleh waspada dan takut kepada pengaruh politik terjejas.

Samalah yang berlaku hari ini kepada Saudi, Bahrain, Qatar dan lain-lain negara.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35867-pasca-muktamar-teruslah-melangkah-ke-hadapan

AHMAD HAKIMI OTHMAN | 10 Jun 2015.

MUKTAMAR PAS ke 61 telah melabuhkan tirainya pada petang sabtu 6 Jun 2015. Berakhirnya muktamar 61, bermula pula perjalanan baru gerakan Islam PAS mendepani cabaran dengan barisan kepimpinan yang baru. Cabaran pertama PAS ialah berhadapan respon dan serangan agresif parti lawan dan kawan serta rakan rakan yang kecewa dalam Pemilihan muktamar kali ini.

Serangan pasca muktamar 61 tertumpu kepada usul Dewan Ulama PAS Pusat yang diterima tanpa bahas dengan cadangan kepada Majlis Syura Ulamak PAS supaya menimbang untuk memutuskan tahaluf Siyasi dengan DAP di samping memperkukuhkan Pakatan Rakyat bersama PKR.

Usul ini, pastinya menerima reaksi agresif DAP yang seolah olah lupa akan tindakan mereka dalam 2-3 bulan yang lepas yang CEC DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS dan sayap dan beberapa DAP Negeri juga memutuskan hubungan dengan PAS.

Turut membelasah PAS ialah tokoh tokoh yang sebelum ini berbeza pendekatan dan pendapat dengan Presiden PAS yang menggunakan media media lain seperti Malaysiakini, The Malaysia Insider dan juga roketkini untuk melepaskan geram terhadap kekalahan dalam perebutan jawatan dalam muktamar yang lalu.

Apa Seharusnya PAS lakukan?

PAS yang dipimpin dengan barisan baru yang teguh di belakang kepimpinan seharusnya melangkah gagah ke depan tanpa menghiraukan lagi suara suara sumbang yang tidak puas hati dengan perkembangan terbaru PAS.

Kesepaduan dalam barisan baru hari ini adalah aset penting dalam mengukuhkan PAS dan perjuangan ISLAM yang menjadi dasar dan prinsipnya. Dengan keutuhan yang ada kepada pimpinan dan akar umbi yang menyeluruh di seluruh pelosok negara boleh terus digilap dengan perjuangan Islam yang dilaungkan selama ini. Perjuangan meletakkan Islam sebagai Penyelesaian kepada masalah dunia hari ini tidak boleh lagi diganggu gugat dari dalam.

Masalah negara yang berpunca dari tadbir urus Umno dan BN sebelum ini perlu diambil kira oleh PAS untuk menyediakan penyelesaian alternatif secara Islam. PAS boleh mula mengorak langkah dengan mengukuhkan dakwah Islam dan Mukjizat al-Quran tatkala PAS hari ini menjadi tumpuan media dengan pelbagai tuduhan dan cerita palsu.

Kita boleh lihat daripada perspektif yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW di Mekah. Ketika Nabi dituduh sebagai orang gila, ahli sihir dan tidak siuman. Tuduhan-tuduhan itu menyebabkan Nabi Muhammad SAW menjadi tanda tanya bagi orang yang mempunyai mata hati yang cerah dan jernih dalam mencari kebenaran.

Reputasi melalui propaganda buruk itu bertukar kepada tumpuan bijak pandai mendapat cerita sebenar dari Muhammad bin Abdullah SAW. Apa yang Nabi terangkan tidak lain hanyalah Penyelesaian ALLAH iaitu wahyu AL Quran sebagai panduan penyelesaian masalah Umat dunia waktu itu yang mengalami keruntuhan moral dan nilai nilai kemanusiaan.

Maka, mengambil iktibar ini, PAS tidak boleh berhenti mengutarakan Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai penyelesaian. Kesepaduan di bawah Kepimpinan Ulama yang dipimpin Majlis Syura Ulamak mendapat sinar dengan kepimpinan Baru pasca muktamar ke 61.

DAP, PASMA dan Pakatan Baru Politik?

Perkembangan serangan DAP dan desas desus parti orientasi Islam baru yang mungkin ditubuhkan dalam sedikit masa tidak akan memberi kesan besar kepada Perjuangan PAS. Reputasi DAP yang bertalu talu menyerang PAS sehingga keluar dari norma norma demokrasi menyebabkan ketakutan kepada sebahagian rakyat yang tidak suka kepada tindakan agresif dan dolak dalik.

Mereka yang berasosiasi dengan Politik DAP dalam waktu terdekat ini akan menerima tempias buruk kerana tindakan DAP mutaakhir ini. Bahkan penubuhan parti Politik baru pula pasti akan mengulangi sejarah Hamim, Berjasa dan S46 yang sudah berkubur ditelan zaman.

Layanan PAS kepada DAP dan rakan rakan yang lain boleh diteruskan dengan cara yang lain. PAS masih boleh lagi menghormati pimpinan yang senyap dan menghormati PAS. DAP bukan lawan PAS dalam medan pilihan raya. Lawan PAS dalam pilihan raya adalah Umno dan BN. Manakala DAP berhadapan dengan GERAKAN, MCA, PPP, MIC dan lain lain.

DAP terpaksa berhadapan dengan banyak pihak dalam pertembungan pilihan raya, sedangkan PAS tidak begitu rugnsing, kerana cabaran yang dihadapi zaman berzaman adalah Umno/BN yang sudah difahami pendekatan dan strategi mereka.

Kesimpulan

PAS berada atas landasan yang betul dalam membawa Perjuangan Islam tanpa tergugat dengan krisis dalaman lagi. Krisis yang sebelum ini berada di dalam, sudah dikeluarkan dan berada di pinggiran. Tinggal lagi, PAS perlu memenuhi syarat Allah untuk mencapai kemenangan iaitu terus istiqamah membawa seruan Islam sebagai dasar perjuangan. – HARAKAHDAILY 10/6/2015

Penulis ialah KP DPP Kuala Selangor

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31897-menulenkan-semula-seruan-islam

AHMAD HAKIMI OTHMAN | 05 November 2014.

AKHIR-akhir ini, kita dikejutkan dengan fenomena pembaharuan nilai dalam agama. Umat Islam didatangkan dengan berbagai variasi isu-isu semasa dengan bertalu talu dan mengelirukan. Sama ada dari sudut pemikiran akidah, ekonomi ataupun politik.

Dalam politik, arus liberalisasi demokrasi dan modernisasi menyebabkan lahirnya pemikiran Liberalisme yang menumpukan kepada nilai hak manusia berbanding tanggungjawab manusia sebagai khalifah dan hamba kepada Sang Pencipta Alam.

Dalam sudut sosial, dibangkitkan isu kesamarataan dan masyarakat Plural sehingga menyebabkan penyamaan hak-hak agama dan Nilai Islam lantas melahirkan fahaman Pluralisme.

Kejahilan nilai agama juga menyebabkan sensitiviti agama dan adat umum dicabar bagi merealisasikan impian kesaksamaan menurut relatif moral dunia yang kadang kadang tidak selari dengan Islam. Namun, kalau ditinjau dari sudut sejarah perkembangan Islam, apakah ini tidak pernah berlaku?

Dakwah awal Nabi SAW, dakwah millah Ibrahim al-Haneef

Fasa dakwah Nabi Muhammad SAW di Mekah dapat kita fahami dengan wahyu-wahyu Quran yang diturunkan di era Makkiyah. Malah, uslub Nabi SAW ketika di Mekah penuh dengan tata tertib dalam masyarakat yang sudah jauh jatuh dalam lembah jahiliyyah dan kesesatan beragama.

Quraisy mengenali ajaran Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, malah syiar-syiar agama Ibrahim terus dikekalkan seperti ibadah haji. Namun begitu syiar-syiar itu telah diinovasi mengikut nilaian mereka yang telah berubah mengikut zaman.

Apabila berdakwah tentang keaslian agama, Quran merekodkan Arahan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dengan agama Nabi Ibrahim kepada bangsa Quraisy dan juga ahli kitab.

Firman Allah dalam ali-Imran ayat 94-95 maksudnya:

(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (94) Katakanlah (wahai Muhammad): Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid) dan bukanlah dia dari orang-orang musyrik. (95)

Daripada wahyu Quran ini, uslub dakwah awal Nabi Muhammad SAW ialah untuk kembali mengenangkan bahawa Islam yang sebenar ialah Islam sama dibawa oleh Nabi Ibrahim AS yang Haneef (suci murni). Nilai sebenar Islam mesti diingatkan kembali dengan seruan yang asal yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS untuk tidak menyekutukan Allah dan berserah segalanya kepada Allah SWT.

Namun begitu, Quraisy dan ahli kitab bertindak sebaliknya. Mereka telah menukar agama mereka dengan nilai duniawi yang selaras dengan nafsu dan cara hidup yang mereka pilih. Mereka merasakan memilih cara sebenar Islam menyusahkan dalam muamalat harian mereka dan cara sosio politik yang telah sebati dalam hidup mereka.

Seruan nilai dalam arus semasa

Yang berlaku dalam urusan agama hari ini telah dicemari dengan banyak doktrin sekular yang telah diperbaharui. Pengamal sekular mutaakhir ini tidak lagi menyeru kepada pemisahan politik dan agama, tetapi menyeru untuk menyamakan nilai agama dengan nilai duniawi yang dikongsi oleh kebanyakan manusia faham.

Nilai-nilai politik disebut dengan Good Governance (tadbir urus baik) tanpa mengira ia mengikut asas Islam atau materialisme duniawi. Nilai-nilai sosial pula dinilai dengan hak-hak asasi manusia sehingga menenggelamkan tanggungjawab insan terhadap pencipta yang menatijahkan berkelakuan baik sesama makhluk.

Tindakan-tindakan menekankan nilai yang sama ini akhirnya menyebabkan syiar akidah Islam semakin longgar pada akhir zaman. Keadaan ini seumpama yang telah berlaku pada zaman awal kebangkitan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

Masyarakat Quraisy tenggelam dalam mengejar keuntungan perdagangan, akhirnya telah melupakan ikatan asas agama yang dibawa Nabi Ibrahim AS. Akhirnya keadilan dan kesaksamaan sosial ketika itu difaham atas dasar kebendaan dan moral semata-mata seperti mana yang direkodkan dalam sejarah terjadinya Hilful Fudul ketika Nabi Muhammad SAW berumur belasan tahun sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul akhir zaman.

Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah agama dan cara hidup yang sempurna. Malah, al-Quran sebagai panduan telah dijamin sendiri oleh Allah sebagai panduan yang akan kekal sehingga akhir zaman. Tata cara hidup dan panduan menjalani kehidupan dihamparkan dengan secara sempurna tanpa perlu memikirkan inovasi lain dalam kehidupan beragama. Malah, cara berdakwah juga turut ditunjukkan oleh peribadi Nabi Muhammad SAW.

Menulenkan semula seruan Islam

AKhirnya, penting untuk kita sedar pada akhir zaman ini untuk terus kembali kepada cara yang pernah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang menjadi qudwah umat Islam dalam kehidupan beragama. Usah terikut-ikut dengan seruan yang telah bercampur dengan doktrin barat yang telah memisahkan manusia supaya kembali kepada panduan agama dalam menjalani kehidupan seharian.

Contoh seruan Nabi menyeru kepada agama Ibrahim yang Haneef perlu dicontohi pada akhir zaman ini dengan menyeru secara berterusan untuk terus kembali kepada perkara asas dalam Quran dan Sunnah yang menjadi sumber kehidupan beragama umat Islam.

HARAKAHDAILY 5/11/2014

%d bloggers like this: