P6060270Secara jujurnya, semalam saya terlambat sedikit hadir solat Jumaat. Saya hanya mendapat ‘hadiah’ telur ayam kerana masuk masjid ketika khutbah baru bermula.

Kegemaran saya sejak setahun ini ialah berjalan merata masjid secara bergilir-gilir. Semalam, saya berjumaat di Masjid Bandaraya, Likas. Khatibnya ialah Imam Daerah, Hj Aslie Abdul Karim. Seperti biasa, suaranya jelas dan lantang.

Saya tidak berhajat mengulas khutbah  beliau. Tetapi saya begitu tidak selesa melihat gelagat beberapa orang yang saya kenali sebagai AJK dan orang kuat masjid yang asyik bersembang di beranda masjid ketika khatib sedang berkhutbah.

Saya tidak pasti adakah mereka mengetahui larangan bercakap-cakap ketika imam sedang berkhutbah. Yang saya perhatikan, macam mereka selesa dan seronok pula berbual-bual tanpa rasa bersalah, sedang orang ramai lalu lalang masuk ke dalam masjid.

Rupa-rupanya mereka berdiri di luar menanti kehadiran pemimpin yang khabarnya sering lambat hadir ke masjid. Biasanya hamba Allah itu hadir sekitar 12.45-12.50 dan kemudian melucur laju ke saf pertama.

Dalam masa menunggu-nunggu itulah beberapa AJK ini bersembang-sembang.