Tag Archive: Abu Nuha Corner


Page FB

Saya melancarkan halaman (page) facebook ‘Abu Nuha Corner’ pada 31 Mei 2013. Insya Allah di sini aktiviti rasmi khususnya aktiviti dakwah bergambar akan dikongsikan. Jom pakat ‘like’.

ABU NUHA CORNER : AZAM 2012

1. Saya masih baru dalam dunia blog. Baru bermula pada julai tahun 2008, kira-kira tiga setengah tahun yang lalu. Dalam tempoh itu saya masih mencuba dan mencuba. Pernah saya catatkan, harapan saya di awal pembinaan blog ini kalau blog saya hanya dilayari oleh kawan-kawan dan keluarga terdekat sehari dalam 15 orang pun sudah best!

2. Blog ini secara asasnya mencatatkan aktiviti dakwah yang melibatkan saya dan kawan-kawan. Sama ada saya menjadi penceramah, atau jadi pemandu kepada penceramah, atau sekadar hadir di majlis ceramah dan tangkap gambar. Ia kemudian dikembangkan sedikit demi sedikit tentang aktiviti atau perkembangan dakwah di mana sahaja yang saya ingin hebah dan kongsikan. Ya, yang penting saya suka dengan aktiviti itu dan saya mahu berkongsi dengan pembaca.

3. Sejak akhir-akhir ini, saya tidak dapat menafikan kesibukan dan keletihan yang menimpa saya. Terutama sejak dua bulan di Maahad, jujurnya saya letih dengan otak yang terpaksa ligat mengingati hafazan anak-anak didik saya yang baik-baik dan comel-comel ini. Pagi dengan kelas tasmik, selepas itu kelas subjek tertentu dan sebelah petang kami mengulangkaji hafazan dan saya menjadi pemantau mereka.

4. Sebelah maghrib saya berkuliah dan ada kalanya selepas isyak mempunyai aktiviti lain. Ada kelas mengaji al-Quran, menghadiri kuliah selepas isyak di Masjid Negeri (mana-mana yang sempat), mesyuarat aktiviti bersama sahabat-sahabat, sehingga lewat malam. Bahkan aktiviti terkini ialah bertemu dan menyampaikan sumbangan makanan dan minuman kepada para gelandangan. Ia aktiviti yang dilakukan sekitar 11 malam keatas, kerana waktu sebelumnya sebahagian mereka belum berada di lokasi berkenaan.

5. Ada masanya memang saya berada awal di rumah sekitar 8.30 malam jika selesai kuliah maghrib dan tiada aktiviti sesudahnya. Antara masa yang sendat, saya pulang antara 2-3 pagi. Konon-kononnya saya mahu sesudah itu mahu mengemaskini blog, memasukkan artikel dan cerita terbaru, tapi kadang-kadang belum pun pintu kereta dibuka, saya tertidur di tempat duduk kereta. Adakalanya, baru masuk ke pintu rumah, saya duduk di sofa, baru membuka laptop dan mata saya pun tertutup sehingga pagi. Kalau naik ke bilik, saya tidak tahan dengan godaan tilam dan bantal walaupun kadang-kadang saya tertidur di atas lantai.

6. Maafkan saya kerana membuatkan ramai pembaca tertunggu-tunggu. Saya wajar berterima kasih kepada kalian kerana untuk tahun 2011, statistik blog ini berjumlah 235,288 kemasukan dengan purata harian seramai 645 pengunjung. Jumlah terendah pada 2011 ialah pada januari seramai 14,628 dan yang paling ramai pada 27,549 pada bulan november. Ia tidaklah seramai pengunjung blogger terkenal Mazidul Akmal Sidek atau Dr Kamil Ibrahim yang saya suka membaca entri-entri mereka. Walaubagaimanapun ia jauh lebih ramai berbanding hasrat awal saya yang bercita-cita jumlah pembaca seramai 15 orang sehari!

7. Sekadar yang saya maklum dan diakui sendiri oleh khalayak pelayar blog ini, dengan rendah diri saya mensyukuri atas perkongsian maklumat ini. Sekadar menyebut beberapa nama, terima kasih saya kepada pembaca blog ini daripada kalangan teman-teman penjawat awam dan swasta, penduduk bandar dan kampung. Terima kasih kesudian seorang mekanik, abang nelayan, anak muda di Kota Belud, pak imam di daerah Pitas, tuan peguam di Kota Kinabalu, para ibu suri rumahtangga, pelajar-pelajar sekolah, siswa-siswi Azhariyyun di Mesir dan Jordan (khususnya) dan lokasi U lain di seluruh negara, teman ‘penggali’ minyak di ceruk Sudan, ketua-ketua jabatan (semoga mereka tersenyum) dan seluruh pembaca yang dikasihi.

8. Tahun 2012, saya berazam untuk memperbaiki masalah-masalah ini dan menaiktaraf isi kandungan di dalamnya dengan catatan : ia tidak akan selesai serta merta, tetapi berdikit-dikit dan bersederhana, bimbang-bimbang saya tidak dapat menunaikannya kalau azam terlalu tinggi. Antara cadangan setelah saya berbincang dengan beberapa teman blogger ialah :

* Blog ini akan kekal dengan nama dan niat asalnya, (sebagai pintu gerbang) tetapi pemilikannya akan saya kongsikan dengan sahabat rapat yang boleh saya percayai. Mungkin sebahagian artikel sesekali akan disumbangkan atau diedit oleh sahabat saya ini untuk kerja-kerja kemaskini. Saya memerlukan orang yang sefikrah, tahu cara penulisan saya dan yang penting juga minat dunia blog serta tahu adab-adabnya. Mungkin jika perlu ada pembahagian tugas, saya hanya kemaskini artikel melibatkan aktiviti peribadi dan dakwah saya, sementara dia mengemaskini entri isu semasa dan lain. Bila bermula,  bergantung kepada perbincangan dan persetujuan bersama. Siapa dia, terpaksa dirahsiakan atas permintaan beliau kerana ingin membantu menurut kemampuannya.

* Saya juga sedang belajar-belajar mengedit video untuk saya kongsikan bersama di blog ini. Sebenarnya sudah lama saya ada handycam sendiri, sudah banyak merakam aktiviti ceramah atau kuliah, tetapi tidak berkesempatan untuk mengedit dan mengongsikannya di blog ini. Ya, sedangkan update blog saja saya sudah keterbatasan masa, tetapi saya tetap mahu mencuba dan meneroka ilmu baru. Insya Allah Abu Nuha Corner akan membuat akaun youtube sedikit masa lagi.

* Saya mengambil sedikit masa juga untuk meninjau semula ruang-ruang yang boleh diedit di dalam blog ini. Barangkali mau merubah warna tema, sekadar untuk menceriakan pandangan pembaca; juga menambahkan butang ‘share’ agar lebih ramai dapat berkongsi penulisan ini dan mengetahui catatan terbaru terutamanya melalui facebook nanti.

9. Sebenarnya tidak banyak perubahan kecuali latar dan perkongsian blog. Insya Allah selebihnya akan berjalan seperti biasa. Terima kasih atas kebersamaan semua. Saya kira cukup sekadar itu dahulu, nanti akan ditambah lagi jika perlu..

3 TAHUN DI DUNIA SIBER


Syukur kepada Allah SWT yang memberi kesempatan untuk saya meneruskan penulisan dan catatan di lewat blog Abu Nuha Corner ini yang sudah genap 3 tahun di arena siber. Sungguh saya tidak menduga blog ini boleh bertahan dan mendapat sambutan yang saya tidak sangka.  Ada beberapa kekuatan untuk saya mencari masa mengemaskini blog ini walaupun selalu terlewat kerana kesibukan kerja seharian.

Antaranya, memikirkan blog sebagai wadah dan medan dakwah, menyampaikan maklumat. Walaupun saya mengakui tidak semua tajuk dan isi sesuatu entri itu mengandung unsur dakwah, ia kadang-kadang hanya sebagai tarikan dan umpan kepada sasaran tertentu saya agar mereka terus membaca artikel-artikel yang lain pula. Kedua, banyaknya aktiviti yang saya kira perlu dikongsi bersama – sama ada aktiviti melibatkan penyertaan saya atau tidak yang perlu disebarkan sebagai memenuhi tuntutan menyebarkan kebaikan dan bertolong-tolongan dalam perkara kebajikan dan taqwa.

Ketiga, motivasi saya selain pahala dan ganjaran Allah SWT ialah sokongan dan trafik yang sentiasa stabil yang saya perolehi setiap hari. Orang kata, kalau di jalanraya pengguna sentiasa mengharapkan jalanraya yang lengang, tetapi dalam dunia blogging, kesesakan dan kesibukan adalah sesuatu yang digemari. Lebih ramai pembaca dan pelayar maka lebih bagus. Bukan populariti yang dicari tetapi indahnya sekiranya maklumat yang baik dapat diketahui ramai.

Saya malu juga berkongsi statistik harian pengunjung kerana tidak seramai pengunjung ke blog-blog terkenal tetapi buat masa ini saya kira memadai dan saya yakin ia terus akan bertambah daripada masa ke masa. Terima kasih sokongan rakan-rakan di luar negara seperti di Mesir, Jordan, Sudan dan lain-lain. Saya tidak menyangka ada pelayar setia blog ini dari hujung peta Sabah di Pitas, sebuah ceruk kampung di Kota Belud, desa terpencil di Tawau, pembaca dari sebuah pulau di Semporna dan lain-lain.

Sejuta penghargaan kepada pembaca daripada kalangan penjawat awam di sekitar Kota Kinabalu terutama yang pernah saya kunjungi, ketua-ketua pelbagai jabatan yang menghantar nota sokongan baik dari Sabah atau tanah Semenanjung, rakan-rakan jamaah masjid dan surau yang sangat setia dan mendukung serta memberi maklumat berharga, serta  paling istimewa sahabat baik (SB) yang kerjanya memantau blog ini. Saya teringat firman Allah yang bermaksud :

“Sesiapa yang berbuat kebaikan walaupun sebesar zarrah, ia akan melihatnya (ganjarannya pada hari kiamat). Sesiapa yang berbuat kejahatan walaupun sebesar zarrah, ia juga akan melihatnya (akibatnya pada hari kiamat)”.

ABU NUHA CORNER : BENCI TAPI RINDU

Saya menyedari bahawa blog saya ini bukanlah hebat dan terkenal mana. Ia hanya berlegar di sekitar keluarga, kawan-kawan di surau, masjid atau jabatan dan mereka yang suka membaca atau mengetahui aktiviti dakwah kecil-kecilan yang saya sertai bersama kawan-kawan, baik di jabatan atau dalam persatuan. Sesekali saya muatkan juga artikel berkenaan isu-isu semasa dan siasah negara sebagai tanda prihatin dan dakwah saya kepada para pembaca yang saya hormati.

Saya juga menyedari ada kategori atau jenis pembaca tetap dan pembaca tidak tetap ke blog ini, barangkali begitu jugalah dengan blog orang lain. Pembaca tetap saya adalah seperti yang saya jelaskan di atas, manakala pembaca tidak tetap seperti mereka yang sekadar mencari maklumat tertentu untuk keperluan masing-masing. Pelayar blog ini saya sedari bertambah sedikit demi sedikit, pelayar tidak tetap ada yang menjadi pembaca tetap.

Boleh jadi saya syok sendiri mengatakan bahawa kekuatan blog ini ialah saya suka memasukkan artikel kebanyakkannya aktiviti dakwah sekitar yang saya sertai dan disertai dengan foto yang memaparkan wajah orang. Ia kemudiannya saya maklumkan kepada penganjur dan dipanjangkan pula kepada audien atau rakan-rakannya. Demikian antara strategi mudah saya memasarkan blog ini.

Saya tiada niat untuk kepentingan perniagaan atau apa-apa bisnes peribadi kerana saya bukan ahlinya. Ia semata-mata kerana dakwah dan kepuasan diri sendiri apabila ramai orang membaca tulisan dan menatap foto-foto di sini. Saya suka memanjangkan promosi aktiviti dakwah agar saya mendapat pahala kebaikan tersebut. Walaupun facebook semakin mendapat tempat di kalangan pelayar internet, saya yakini berdasarkan statistik, blog juga ada dunianya tersendiri. Saya turut berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang tolong mempromosi blog ini kepada orang lain.

Itu tentang kesukaan orang berkenaan blog ini.

Saya tersenyum sendiri apabila dikhabarkan kisah pembenci blog ini. Pembenci Abu Nuha Corner, ramai juga yang saya kenali dan sudah tentu tidak sedikit yang tidak saya ketahui. Yang ingin saya ceritakan ini, ia bukan orang jauh, dan bukan orang asing dengan saya. Saya baik dengan dia, dan saya berharap dia juga baik dengan saya. Orang tersebut mempunyai jasa yang tidak akan saya lupakan, insya Allah.

Berita yang saya terima, bencinya bukan main kepada blog ini apatah lagi kalau tulisan tertentu melibatkan kepentingan seseorang atau organisasi tertentu pula. Sesudah membaca, dia lapor ke sana sini, ‘kau tidak bacakah blog si anu…’, melepaskan geramnya barangkali. Saya dengar kisah ini beberapa kali. Saya senyum lagi. Saya senyum sebab dalam bencinya membaca tulisan di sini, dia tetap juga membacanya.

Benci tapi rindu.

DUA TAHUN BERSAMA


1. Segala puji milik Allah SWT yang memberikan nikmat umur, nikmat kelapangan masa dan nikmat berkarya kepada saya sehingga blog Abu Nuha Corner mencapai ulangtahun keduanya hari ini.

2. Penghargaan yang tidak terhingga terhadap isteri yang dikasihi, Ummu Nuha yang  memahami keadaan suaminya yang suka menulis khususnya di arena blog ini. Juga kepada anak-anak yang selalu mengusik dan menekan-nekan keybord laptop ini. Anakanda Nuha juga pada awalnya selalu kehairanan, “kenapalah banyak betul tulis Abu Nuha Corner?”, soalnya.

3. Terima kasih juga atas sokongan sahabat-sahabat yang menjadi pendukung setia dan pembaca tetap kepada blog ini. Juga kepada para pembaca yang dikenali atau tidak yang memberikan reaksi terhadap tulisan-tulisan di sini. Setakat yang saya ketahui, ada rakan-rakan pembaca tetap dari seluruh negara dari Perlis hingga ke Sabah, khususnya dari Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

4. Saya mendapati melalui tinjauan rambang, pembaca blog ini kebanyakannya adalah penjawat awam, khususnya di negeri Sabah dan juga di negeri-negeri lain. Begitu juga rakan-rakan pendakwah di seluruh negara, adik-adik dan rakan-rakan di Timur Tengah.

5. Terdapat juga jabatan-jabatan tertentu yang menjemput saya berceramah sempena perayaan hari kebesaran Islam, mendapat maklumat awal berkenaan saya melalui blog ini.

6. Terdapat sedikit tekanan sepertimana pernah saya ceritakan pada ulangtahun pertama dahulu dan tekanan itu masih berulang. Terdapat juga beberapa provokasi nakal yang cuba menyakat dan mengganggu blog ini melalui komentar mereka. Namun di pihak keselamatan terutama rakan-rakan yang ada di dalam sana, turut memberi sokongan bahkan mereka ramai-ramai membaca artikel yang ada. Teruskan, kata mereka.

7. Saya dimaklumkan, diantara pembaca tetap blog ini ialah beberapa pengarah dan pegawai tinggi jabatan kerajaan peringkat negeri dan persekutuan, para peguam sivil dan syariah, wartawan dan pengamal media kerajaan dan alternatif, guru-guru sekolah dan pensyarah universiti, siswa siswi pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara dan tidak ketinggalan pihak keselamatan.

8. Yang jelas, sebahagian besar pembaca blog ini adalah orang-orang muda yang mendominasi dunia siber, khususnya adik-adik di universiti yang sedang membina fikrah Islamiah dan idealisme perjuangan mereka.

9. Insya Allah, saya akan terus berkarya menurut kemampuan saya. Maklumlah akhir-akhir ini saya sering terlewat memasukkan bahan meskipun banyak cerita dan foto hendak dikongsi bersama.

10. Buat ‘pembubut’ maklumat blog ini, sebenarnya pengunjungnya tidaklah terlalu memberangsangkan jika dibanding pada tahun yang pertama. Hanya purata pengunjungnya sekitar 300-500 sehari. Turun dan naik kunjungan bergantung kepada isu yang dipaparkan dan hari-hari tertentu. Biasanya hujung minggu kunjungan sedikit berkurangan kecuali ada isu menarik menjadi carian ramai.

11. Buat masa ini saya masih mengekalkan tema dan niat asal blog ini diwujudkan, iaitu majoritinya menyiarkan catatan perjalanan khususnya program dakwah yang saya sertai. Hanya sesekali kisah kekeluargaan, sorotan isu semasa, dan lain-lain yang diselitkan. Terlalu jarang saya memaparkan artikel copy paste dari blog lain kecuali saya berminat untuk mengambil dan mengongsikan bersama.

12. Semoga kesempatan dan ruang masa masih menyebelahi saya untuk menulis, walaupun kadang-kadang agak keletihan kerana undangan yang mula meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan. Terima kasih atas sokongan semua. Saya sangat menghargainya.

GANGGUAN KECIL


Ini bukan pertama kali blog kecil Abu Nuha Corner diganggu.

Satu ketika blog ini pernah juga cuba diusik kata kuncinya. Mujur pihak wordpress ada memaklumkan melalui emel akan gangguan berkenaan.

Sejak blog ini diaktifkan, ternyata komentar-komentar hangat juga memeriahkan bahkan sesekali mencemarkan ruangan yang disediakan.

Ada komentar yang panas tetapi bernas saya luluskan untuk ditayang. Namun yang agak kurang ajar saya abaikan saja. Kadang-kadang kasihan, nanti dibalas pula oleh komentar pembaca lain yang bertambah emosi.

Ada pengomentar panas dan kononnya ganas ini saya dapati orang baru dalam dunia blogging. Manakan tidak, mula-mula menyamar dengan nama lain, kemudian mengirim komentar kedua dengan nama lain pula.

Yang lucunya, nombor IP adalah nombor yang sama. Nak mengelentong pun, biarlah bijak. Boleh jadi mereka pun tak faham apa itu IP pun, yang dengan nombor IP tu sebenarnya lokasi mereka boleh dikesan.

Tapi kita bukan nak buang masa melayan dan mencari orang sebegini. Dengan tindakan mereka itu berkali-kali dan berulang menyebabkan kebodohan mereka terserlah. (Lepas ni kalau baca maklumat mesti dia kata dalam hati, alamak! Rupanya..).

Walaubagaimanapun atas perikemanusiaan, kalau komentarnya bersesuaian, saya akan siarkan juga walaupun ada komentar yang mengkritik saya sendiri. Kalau tidak, wassalamlah.

1. Alhamdulillah, tarikh ini setahun lalu, saya memulakan blog yang diberi tagline Abu Nuha Corner. Saya sendiri tidak menyangka bahawa blog ini  mampu bertahan sehingga hari ini. Saya bukanlah sesiapa, dan tanpa izinNya serta sokongan pembaca, Abu Nuha Corner tidak akan bertahan. Blog ini bukanlah blog yang hebat, saya hanya mengambil sedikit ruang membuat pahala.

2. Asbabul wurud kepada wujudnya blog ini ialah apabila saya dilarang menulis khutbah untuk jabatan sendiri. Saya juga ditegah berkhutbah dan berkuliah khususnya di Masjid Negeri. Tidak semena-mena, idea memiliki blog sendiri lahir sebagai alternatif untuk meluaskan lagi pasaran dakwah.

3. Sehingga saat ini, 754 artikel disiarkan, 379 komen dan 57,477 hit masuk ke blog ini. Jumlah pengunjung teramai ialah pada jumaat lalu, seramai 402 orang. Purata harian pengunjung sekitar 300 orang.

4. Saya terharu apabila mendapati ada rakan-rakan dan pengunjung yang menjadikan blog ini sebagai homepage internet masing-masing. Begitu juga terdapat blogger yang memasukkan blog ini ke dalam pautan mereka, walaupun saya tidak mengenali mereka. Terima kasih!

5. Sejak 2-3 hari lalu, bersama beberapa blog rakan yang lain, blog ini telah disenaraimasuk dalam pautan tranungkite.net yang masyhur itu.

6. Terdapat beberapa tekanan, khususnya daripada SB kepada pentadbiran jabatan tempat saya bertugas. Saya belum dipanggil mengadap lagi. Tetapi saya telah dibisikkan agar memperlahankan aktiviti blog, khususnya artikel berkaitan politik negara.

7. Insya Allah, dengan kudrat kurniaan Allah SWT, saya akan terus menulis. Menulis berkenaan apa sahaja yang ingin saya tulis. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada saya untuk menulis dan berkarya, dan kepada para pembaca untuk membaca dan menghayatinya.

8. Saya juga mendapat tahu sudah ada penagih kepada blog ini khususnya di jabatan-jabatan kerajaan, sanak saudara, jamaah masjid dan surau yang saya berkuliah dan berceramah di sana. Saya tidak akan menghampakan mereka.

Terima kasih atas sokongan semua. Jumpa lagi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, Johor.

%d bloggers like this: