Tag Archive: Abdul Naddin Shaddin


Sumber : http://abdnaddin.blogspot.my/2016/05/saya-tidak-pernah-mimpi-jadi-wartawan.html

“SAYA tidak pernah bermimpi jadi wartawan,” kata Haji Hussain Kasau, seorang tokoh yang banyak terlibat dalam perkembangan sejarah di negeri ini. Mantan Setiausaha Perhubungan Awam di Kementerian Kewangan Sabah ini pernah menjadi pengarang di suratkhabar tempatan seperti Daily Ekspress dan Kinabalu Sabah Times. Beliau juga pernah menjadi pengarang bagi majalah Sinar USIA, dan beberapa buah majalah yang terbit di Kuala Lumpur seperti Sarina, Keluarga, Suara Rakyat, Suara Merdeka dan Kisah Cinta.

“Semuanya terjadi secara kebetulan saja,” katanya sambil mengakui bahawa minatnya lebih banyak kepada sastera.. “Saya hanya ingin menjadi penulis”, kata penulis yang pernah menghasilkan kira-kira 41 cerpen, sebuah naskhah drama, 25 puisi dan kira-kira 15 esei kritikan dan novel Deru dan Debu. Kini beliau berjaya menyiapkan beberapa buah buku termasuk novel, buku biografi Datuk Haji Abu Bakar Titingan , travelogue Nusantara dan menyusun sepuluh buah buku koleksi ucapan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang dikumpulkannnya ketika berkhidmat sejak tahun 2003 hingga 2013.

Sebagai wartawan, Haji Hussain pernah membuat liputan di Korea, Pattani, Arab Saudi, dan bersama rakan-rakannya pernah menemubual Juara Tinju Heavyweight Dunia, Muhammad Ali. Beliau berkawan rapat antaranya dengan Tan Sri A Samad Ismail, Sasterawan Negara Dato A Samad Said, Sutan Shahril Lembang dan Haji Subky Latif.

Beliau juga pernah berkenalan dengan tokoh-tokoh seperti Mochtar Lubis (Wartawan terkemuka Indonesia), A Hashmy (Ulama dan Gabenor Aceh) HB Jassin (Paus Sastera Indonesia), Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub (mantan Ketua Menteri dan TYT Sarawak) dan mengenali hampir semua pemimpin utama di negeri ini. Namun Haji Hussain Kasau seorang personaliti yang suka merendah diri. Sebagai seorang tokoh yang lebih banyak berperanan di belakang tabir, beliau beberapa kali menolak untuk diwawancara.

Namun hatinya agak terbuka sedikit selepas diumumkan sebagai salah seorang tokoh penerima Anugerah Persuratan sempena Mahrajan Kesenian dan Persuratan Nusantara di Membakut. Haji Mohamad Hussain Kasau lahir pada 12 Februari 1949. Berkelulusan Malaysian Certificate of Education (M.C.E), personaliti yang dibesarkan di Tawau ini mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1968.

Beliau menggunakan nama pena seperti HUKS, Asgar Husain dan Hussain M Qasau, Haji Hussain juga aktif dalam aktiviti-aktiviti kebajikan dan pernah menjadi Setiausaha Pertama Pertubuhan Belia Kebangsaan Sabah (Sanya ) Cawangan Kampung Titingan, Tawau. Beliau pernah terpilih sebagai pemenang Hadiah Pertama Penulis Cerpen Terbaik pada tahun 1969, Anugerah Penulis Cerpen dan Puisi Radio Malaysia Sabah (1973) dan banyak lagi.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemubual Haji Hussain Kasau di Putatan baru-baru ini mengenai pengalamannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan sejak melibatkan diri dalam bidang seni sastera pada tahun 1968.

Di samping itu,beliau juga menceritakan serba sedikit beberapa peristiwa sejarah penting di negeri ini, “hanya sedikit saja, kerana selengkapnya nanti ada dalam buku saya,” katanya yang makin bersemangat untuk menyiapkan penulisan untuk buku-bukunya.Wartawan Sasterawan yang juga seorang pencinta buku ini memiliki perpustakaan sendiri Arena Pustaka Subhan Amanna Gappa di Puncak Iqra Papar yang menyimpan lebih 3,000 judul buku. Ikuti petikan wawancara bersama beliau:

UTUSAN BORNEO (UB) : Di kalangan wartawan, bapak dikenali sebagai seorang wartawan. Di kalangan sasterawan bapak juga dikenali sebagai penulis. Baru-baru ini tuan juga terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Persuratan dan Kesenian Nusantara di Membakut. Apa komentar tuan?

HAJI HUSSAIN KASAU (HK): Sebenarnya saya sudah lama tidak berada dalam arus sastera perdana. Itu sebabnya saya agak terkejut apabila diberitahu bahawa saya terpilih sebagai seorang tokoh penerima Anugerah Tokoh Mahrajan Kesenian dan Persuratan Islam Nusantara yang diadakan di Membakut. Dari segi karya, saya menghasilkan sebanyak 41 buah cerpen, 20 hingga 25 buah puisi, kira-kira 15 esei kritikan, satu drama, buku biografi dan sebagainnya. Kini saya sedang menyiapkan buku travelogue, novel yang sudah lama disiapkan tapi dirombak semula, dan banyak lagi.

UB: Biasanya di mana bapak mendapatkan ilham untuk berkarya?

HK: Cerpen-cerpen yang saya buat 90 peratus adalah pengalaman peribadi. Saya fiksikan pengalaman nyata. Semua karya yang saya hasilkan adalah pengalaman peribadi yang nyata. Bukan rekaan. Namun saya sendiri tidak menyimpan karya-karya itu.Bagi saya, setelah karya itu dihasilkan ia adalah untuk masyarakat. Bukan untuk saya lagi. Sebahagian karya saya masih tersimpan di Arkib dan Pusat Dokumentasi di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai drama yang bapak hasilkan?

HK: Drama satu-satunya yang saya hasilkan ialah Kembali Ke Jalan Tuhan, yang dipentaskan di Panggung Kong Fah Tawau pada tahun 1968. Ia satu-satunya drama yang dipentaskan di panggung wayang. Pada malam pementasan itu, saya tempah panggung wayang itu untuk drama. Filem yang sepatutnya ditayangkan pada malam itu tidak ditayangkan untuk memberi laluan kepada pementasan drama.

Anehnya pawagam itu penuh. Lebih banyak orang datang menonton drama daripada filem. Hasil kutipan tiket pun amat memberangsangkan. Dapat banyak pendapatan. Semua tempat duduk saya bayar penuh. Saya juga mampu bayar honorarium kepada pelakon. Itulah kenangan yang sukar terulang. Untuk pertama kalinya saya tampilkan pelakon mengaji di atas pentas. Saya menyelitkan banyak agama dalam drama itu. Ada selingan muzik.

UB: Apa anugerah yang pernah bapak perolehi?

HK: Saya pernah terpilih sebagai pemenang Hadiah Pertama Penulis Cerpen Terbaik pada tahun 1969, Hadiah Sastera sajak 1972, Anugerah Penulis Cerpen dan Puisi Radio Malaysia Sabah (1973) dan banyak lagi.

UB: Oh ya. Bagaimana bapak mula terlibat dalam bidang kewartawanan?

HK: Semuanya terjadi secara kebetulan. Waktu itu saya berkunjung ke Daily Ekspress untuk berjumpa rakan-rakan. Masa itu saya sudah menulis sedikit. Tiba-tiba telefon berdering. Pemanggil menyatakan bahawa Saidi Lampoh ketika itu penolong pengarang kepada Herman Noor Ayub dikehendaki polis. Saidi ditangkap gara-gara puisi. Saya yang sedang berkunjung itu diminta untuk ambil alih tempat Saidi untuk menggantikan beliau buat sementara.

Saya sebenarnya tidak mimpi dunia kewartawanan. Saya hanya mahu menjadi penulis. Minat saya kepada sastera saja. Begitu saja saya menjadi seorang wartawan secara kebetulan. Saya yang duduk duduk bersembang ketika itu diminta tolong ambil alih tugas Saidi. Setelah satu bulan begitu, Saidi yang sudah marah sangat dengan Tun tidak meneruskan tugasnya sebagai pembantu pengarang. Saya terpaksa meneruskan tugas sebagai pengarang.

UB: Lama bertugas di sana?

HK: Tidak lama. Satu hari saya melakukan kesilapan menyiarkan ucapan Tun. TS Hamid menghantar teks ucapan itu kepada saya. Sepatutnya ucapan itu embargo. Saya tidak diberitahu. Saya siarkan ucapan itu di muka depan Daily Ekspress, padahal Tun Mustapha ketika itu belum berucap lagi. Kemudian saya dipanggil, dapat arahan daripada Tun. Saya pun pergi dengan rasa takut. Saya tidak dihukum sebaliknya diminta membantu Allahyarham TS Hamid di Sinar USIA dengan gaji kira-kira RM1,000 sebulan. Satu jumlah yang besar ketika itu.

Saya bantu TS Hamid dan menjadi pengarang bahagian Bahagian Bahasa Melayu. Masa itu pengalaman tidak ada. Terpaksa belajar. Di Sinar USIA, saya selalu menulis rencana editorial. Saya pernah tulis satu rencana bahawa tidak ada pertentangan agama antara Muslim dengan bukan Muslim. Begitu kira-kira tajuknya. Masa itu, Prof MT Kandil sudah berada di USIA. Beliau panggil saya, Hussin, tulisanmu terlalu jauh ke hadapan, jangan menulis begini. Kerana merasa kurang selesa saya berhenti.

UB: Ketika bekerja di Sinar USIA itu mungkin banyak pengalaman yang diperolehi?

HK: Banyak pengalaman ketika bekerja di USIA. Masa itu saya tinggal di Sembulan. Tan Sri Pandikar Amin (Speaker Dewan Rakyat) Tun Juhar (TYT sekarang) selalu pergi ke rumah saya di Sembulan sepulangnya mereka dari England. Saya selalu mendapatkan inspirasi dari perbincangan-perbincangan itu. Dari sana saya berkembang. Saya ingat dari anak Semporna yanhg belajar dari London, Abdul Rahman dari Sipitang, juga belajar dari London yang sering singgah rumah. Dari pergaulan-pergaulan dengan mereka saya berkembang.

UB: Selepas berhenti dari USIA, di mana bapak bekerja?

HK: Saya berhijrah di Kuala Lumpur dan bekerja di sana. Saya menjadi pengarang Sarina, Keluarga dan Kisah Cinta. Di Kuala Lumpur, saya berkawan rapat dengan Haji Subky Latiff, seorang wartawan tersohor. Selain itu, ketika bekerja di sana, saya berkawan rapat dengan Tan Sri A Samad Ismail, Dato A Samad Said, sasterawan Negara dan Sutan Shahril Lembang. Selepas A Samad Ismail ditangkap, saya menderita.

Dua minggu saya diinterogasi oleh Polis, haru hari mereka datang untuk bertanya hubungan saya dengan Pak Samad. Saya dituduh sosialis juga. Akhirnya saya jadi berkawan dengan Inspektor Zainudin yang menyiasat saya. Selepas bersara beliau tinggal di Labuan.

UB: Mungkin banyak pengalaman ketika bertugas sebagai wartawan. Boleh ceritakan sedikit?

HK: Ketika menjadi wartawan, saya pernah meliputi lawatan Juara Heavyweight Dunia Muhammad Ali di Kota Kinabalu pada tahun 1973. Itu antara pengalaman manis ketika menjadi wartawan. Saya pernah juga terpilih untuk membuat liputan mengenai penerbangan Haji dari Sabah pada tahun 1975. Tapi saya hanya sampai di Jeddah saja pada masa itu. Tidak ikut menunaikan haji.. Satu lagi ialah ketika saya terpilih sebagai wartawan Sabah dalam penerbangan pertama Mas ke Seoul Korea pada 1979.

UB: Boleh ceritakan sedikit pengalaman di Korea?

HK: Sesampainya di Korea, saya dapat jemputan dari Kedutaan Korea. Saya dipanggil kerana dalam pasport saya dinyatakan bahawa saya bekerja sebagai wartawan. Rupanya mereka meminta saya agar menulis baik baik mengenai Korea. “Tulis bagus-bagus mengenai Korea” katanya. Saya berada di Korea untuk menghadiri Perasmian Masjid dan mengikuti seminar Minoriti Islam.

Mulanya saya sendiri yang mendapat jemputan untuk menghadiri program di sana. Tetapi kemudian pemergian saya itu tidak menyenangkan setengah pihak. Akhirnya pemergian saya di sana ditanggung oleh kerajaan dan diberikan wang poket USD3000. Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika tiba di Hong Kong. Ketika check in di Hotel, saya mendapat keistimewaan terlebih dahulu dan dipanggil lebih dulu kerana di pasport saya tertulis journalist.

UB: Apa kesan terhadap arwah Tun Mustapha?

HK: Sebenarnya saya tidak banyak mengenalinya secara rapat kerana beliau banyak berada di luar negara masa itu. Beliau seorang yang luar biasa. Seorang karismatik. Berada di hadapannya kita rasa kaku dan kelu. Melihat wajahnya saja, kita merasakan betapa beliau seorang yang karismatik.

UB: Bagaimana pula mula perkenalan dengan Datuk Musa (Datuk Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah).

HK: Saya berkenalan dengan beliau secara kebetulan. Ketika itu saya membantu Allahyarham K Bali untuk menyiapkan Buletin Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS). Saya tulis satu artikel. Artikel itu menarik perhatian Datuk Musa yang ketika menjadi Yang Di Pertua DPBS. Beliau mencari saya kerana artikel yang saya tulis itu. Sejak itulah saya mula mengenali beliau sebagai seorang yang amat baik, berwawasan dan penuh komited.

UB: Selepas bersara, apa yang bapak lakukan mengisi masa lapang?

HK: Saya banyak mengembara jelajah Nusantara. Saya menyiapkan beberapa buah buku termasuk novel saya yang saya sunting semula, buku perjalanan, biografi Datuk Abu Bakar Titingan dan buku Kumpulan Ucapan Datuk Musa Haji Aman dari tahun 2003 hingga 2013 sebagai hadiah saya kepadanya.

UB: Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman dengan kami. Sebagai seorang wartawan pasti punya segudang pengalaman yang menarik.

HK: Saya sebenarnya tidak pernah bermimpi menjadi wartawan. Minat saya kepada sastera. Saya hanya mahu menjadi penulis saja. UTUSAN BORNEO 28. 5.2016

Sumber : http://abdnaddin.blogspot.com/

Apa perasaan saudara ketika menjejakkan kaki ke Pattani? Apakah saudara tidak takut berkunjung ke tempat kami ketika baru dua minggu yang lalu terdapat letupan bom yang menyebabkan rakyat Malaysia mati? Apa perkara yang menarik perhatian saudara di selatan Thai?

Begitulah kira-kira beberapa pertanyaan yang diajukan oleh mahasiswa Prince of Songkla University kepada saya ketika sesi soal jawab dalam majlis forum itu. Memang terdapat pertanyaan lain seperti Asean Community 2015 dan implikasinya kepada masyarakat minoriti dan sebagainya.Tetapi pertanyaan mengenai apakah saya tidak takut untuk berkunjung ke selatan, apakah perasaan saya, apakah yang menarik perhatian saya sepanjang berada di Sungai Golok, di Narathiwat, di Yala, di Pattani, sesungguhnya sempat membuat saya berfikir, apakah saya perlu berterus terang atau berbasa basi menjawab soalan mereka.

Saya memilih untuk berkata sejujur-jujurnya. Ya, saya memang merasa bimbang. Bimbang mengenai keselamatan apatah lagi ketiga wilayah itu masih berada dalam keadaan darurat. Kehadiran pos pemeriksaan tentera setiap jarak satu batu juga membuat kami merasa cemas. Apakah saya berasa takut untuk mati? Saya fikir kalau sudah ajal, dimana pun kita bersembunyi, meskipun dalam peti, kita tetap akan mati jika telah tiba waktunya.

Namun jawapan yang saya berikan ialah rasa takut dan bimbang tidak dapat mengatasi keinginan untuk bertemu dengan saudara-saudara sebangsa dan seagama. Apa salahnya kami berkunjung ke wilayah yang mempunyai penduduk hampir dua juta keturunan Melayu itu. Itu sebabnya, sebaik menerima undangan daripada Pusat Studi Nusantara, Jurusan Pengajian Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Prince of Songkla University,untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Mengenai Pengajian Melayu kali Pertama 2011, saya terus menyatakan persetujuan untuk menyumbangkan makalah dan bercakap mengenai suku bangsa Iranun di Sabah, masyarakat berbilang kaum di Sabah, puisi perdamaian dan turut diminta berbicara mengenai pengamatan saya terhadap perjuangan umat Islam di Mindanao.

Ketika tiba di sempadan Malaysia-Thailand dan memasuki wilayah bergolak itu jam sudah menunjukkan 7.00 malam waktu Malaysia. Di Thailand, satu jam lebih lambat, walaupun hanya dipisahkan sebuah sungai. Sungai Golok. Selepas pemeriksaan Imigresen, van yang kami naiki memecut ke hala daerah Bachok, Narathiwat. Suasana persengketaan dapat dirasakan sebaik kita melihat tentera mengadakan sekatan dan mendirikan beberapa pos pemeriksaan sepanjang perjalanan itu.

Kedudukan Pattani dalam dunia Melayu amatlah penting. Jika sejarahnya ditelusuri sejak Kerajaan Pattani didirikan pada abad ke XIV dan XV, sejak Pya Tu yang kemudian menukar gelarnya menjadi Sultan Ismail Syah Zilulllah Fil Alam setelah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Pasai, hingga Kerajaan Melayu Pattani diperintah raja-raja perempuan (1584-1624),pemerintahan Raja Kuning (1635-1688)perlawanan menentang Siam pada 1791 dan 1808 yang mengalami kegagalan, hingga mengakibatkan wilayah Pattani dipecah kepada tujuh daerah,  dan peristiwa berikutnya seperti serangan Siam ke atas Kedah pada 1821, zaman pemerintahan Chulalongkorn hingga berakhirnya kuasa raja Pattani dimulai dari Tengku besar (1842) hingga Tengku Abdul Kadir (1902).

Penentangan dan perlawanan masyarakat Melayu Patani kerana ketidakpuasan mereka terhadap perlakuan kerajaan Siam tidak terus berlanjut.Berlaku beberapa pemberontakan kecil pada 1910 dan 1911 dan Pemberontakan yang agak besar pada 1923 akibat pemaksaan Akta Pelajaran 1921 yang memaksa anak-anak Melayu Pattani memasuki Pendidikan Kebangsaan siam menggunakan pengantar bahasa Siam.

Namun apa yang lebih menyakitkan ialah apabila Pibul Songgram melancarkan program Rathaniyom pada tahun 1939. Pada masa inilah istilah Siam diganti menjadi Thailand. Bagi masyarakat Melayu Pattani, program Rathaniyom 1939 ini mendatangkan musibah yang besar kerana mereka tidak lagi dibenarkan menggunakan nama Melayu, berpakaian Melayu, bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu. Pada 1944, jawatan Kadhi dihapuskan dan masalah berkaitan dengan perkahwinan dan harta pusaka diuruskan melalui undang-undang sivil.

Setelah menyedari program ini mampu melenyapkan identiti dan budaya Melayu Patani , Haji Sulung Abdul Kadir yang kembali ke Patani pada tahun 1930 selepas menamatkan pendidikan di Mekah menceburi bidang pendidikan dan politik. Bagaimanapun resolusi 7 perkara yang diusulkannya pada 1947, ditolak kerajaan Thai dan akibatnya pada 16 Januari 1948, Haji Sulong, anak lelaki dan empat pengikutnya ditangkap dan dibunuh.

Sejak itu, penentangan masyarakat Melayu Islam Patani untuk mendapatkan autonomi daripada Thailand selalu muncul walaupun kebanyakannya menemui kegagalan.Tetapi masyarakat Patani kembali bangkit menuntut hak-haknya, layanan yang dirasakan kurang adil terhadap masyarakat Melayu dan sebagainya. Berbagai pertubuhan seperti Gerakan Rakyat Patani yang diasaskan Haji Sulong 1947, Gerakan Melayu Patani Raya (Gempar) 1948, Barisan Islam Pembebasan patani (BIPP) 1959, Barisan Revolusi Nasional 1960, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN-Kongres 1970, , Patani United Liberation Organization (PULO) 1968 dan Gerakan Mujahidin Patani (GMP) yang ditubuhkan pada 1989. Pada tahun 1989 juga, Barisan Bersatu Kemerdekaan patani (BERSATU) ditubuhkan sebagai organisasi yang memayungi seluruh perjuangan rakyat Patani.

Wilayah Patani mendapat sorotan antarabangsa sejak terjadinya peristiwa Takbai pada 25 Oktober 2004. Sejak itu hubungan antara etnik semakin longgar dan tidak erat sejak peristiwa yang melukakan itu. Keadaan di selatan masih kurang stabil. Sebenarnya seminar antarabangsa yang diadakan itu, antara lain bertujuan untuk mengembalikan semula hubungan baik antara etnik di wilayah itu. Mereka berharap dapat belajar daripada pengalaman negara-negara rumpun Melayu seperti Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dalam hubungan etnik di negara mereka.

Sebenarnya banyak perkara menarik sepanjang berada di Narathiwat, Yala dan Pattani pada 24 hingga 27 September itu.Kita dapat menyaksikan betapa baik dan istimewanya layanan yang diberikan oleh masyarakat Melayu di tiga wilayah itu. Betapa generasi muda hampir tidak dapat bertutur dalam bahasa mereka sendiri iaitu bahasa Melayu. Betapa kentalnya mereka memegang teguh pegangan agama, betapa mereka masih melestarikan tulisan jawi di papan tanda kedai, iklan dan sebagainya seperti yang dapat dilihat di Yala, dan hakikat bahawa peristiwa letupan bom banyak berlaku di kelab malam dan kehidupan harian masyarakat yang berjalan seperti biasa.

Saya memberitahu betapa Patani telah memberikan sumbangan yang besar terhadap dunia Melayu. Betapa pentingnya semua pihak mempromosi kedamaian. Bahawa hidup ini bertambah keindahannya apabila semua orang memeluk kedamaian dalam impiannya.Alangkah indahnya kehidupan tanpa permusuhan, dendam dan kebencian. Alangkah mulianya kehidupan jika semua orang mendapat layanan yang sama secara saksama, tiada sebarang tekanan, tiada sebarang diskriminasi, tiada perasaan saling curiga dan sebagainya.

Apakah perasaan saudara ketika menjejakkan kaki ke negeri kami? Sebenarnya agak sukar saya menggambarkannya.

%d bloggers like this: