datuk-haji-abdul-ghaffar-rijim-5

Suasana ceria tenang buat kami yang sedang berbengkel penghakiman tilawah al-Quran bertukar suram dan hening seketika apabila dimaklumkan khabar duka kehilangan seorang otai dan lagenda qari negeri Sabah Ybhg Datuk Haji Abd Ghaffar Rijim di Beaufort tengahari semalam. Beliau berumur 63 tahun, merupakan penghafaz al-Quran yang pertama di Sabah, serta pernah menjuarai MTQ peringkat negeri sebanyak 7 kali pada zaman kegemilangannya.

Kelopak mata saya berkocak mengenang beliau, meskipun saya tidak akrab dengannya, saya boleh bersembang elok sesekali berhubung atas urusan undangan sebagai hakim tilawah daerah tertentu dan biasanya beliau tidak pernah menolak pelawaan itu. Beliau juga pernah menghubungi saya antaranya urusan berhubungan dengan sahabat lamanya Ustaz Haji Mohd Ilham, rakan sepengajian beliau di Kuala Lumpur dahulu.

Terakhir kami bertemu ialah pada jun 2012 sudah, apabila rombongan maahad berziarah ke rumah beliau dan menemuramah beliau untuk keperluan majalah maahad tahfiz yang kini masih dalam proses percetakan. Meski majalah maahad itu tentang maahad, saya mahukan temuramah beliau dimuatkan agar pembaca mengetahui sejarah hidup beliau. Saya masih tidak dapat membayangkan pada akhir tahun 60an, ada seorang pemuda dari Beaufort boleh menyertai Maahad Tahfiz di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Semoga Allah SWT membalas jasa baik beliau menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat seluruhnya. Tilawahnya telah menggamit hati sanubari para pendengar dan peminat tilawah sehingga ada orang yang terdorong untuk belajar pula tentang al-Quran. Saya ingati nasihati beliau supaya ahli al-Quran terus menuntut ilmu dan menyebarkannya dengan cara mengajar al-Quran kepada ummat mengikut kemampuan masing-masing.

Saya bersaksi kepada Allah SWT sepanjang pengetahuan saya, beliau adalah seorang insan yang baik hati dan budinya. Ya Allah, ampunilah dosa dan kesilapan beliau dan tempatkan beliau bersama orang-orang yang soleh.  Janazah beliau disemadikan di Beaufort sekitar jam 10 malam tadi. Al-Fatihah.