Tag Archive: Abdul Aziz Bari


“INI BAJU KUNING TANGKAP”

Sumber : http://malaysiakini.com/news/196784

Catatan oleh : DR ABDUL AZIZ BARI pakar perlembagaan dan bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau antara yang ditahan semasa perhimpunan BERSIH Sabtu lalu. Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmiMalaysiakini.

****

SAKSI MATA Saya ditahan sekitar jam 350 petang semalam dekat OCBC ketika hendak pergi basuh muka di paip di situ. Penguatkuasa DBKL dan polis ramai-ramai keroyok saya dan menjerit: “Ini baju kuning tangkap!”. Saya tak kenal atau ingat identiti mereka tetapi saya terus diseret dan dimaki hamun.

Mereka kelihatan hendak mengejar orang lain tetapi bila mereka gagal mereka terus cekup saya hanya kerana saya pakai baju kuning BERSIH! Aneh. Sejak bila pakai baju kuning satu jenayah di Malaysia? Itu sudah cukup jelas untuk memberi kita isyarat tentang integriti polis dan agensi lain termasuk DBKL.

“Tua tak sedar diri, dah tua duduk rumah sajalah.”

Itulah antara ejekan yang saya dengar sewaktu diheret oleh anggota polis untuk dikumpul di depan DBKL. Kemudian saya ada mendengar rungutan yang polis turut mengejek kami: “Ini semua anjing Anwar Ibrahim”. Sewaktu diheret polis mengugut seorang petugas media yang cuba mengambil gambar saya ditangkap. Begitu juga ketika kami semua dikumpul dekat Kelab Diraja Selangor.

Macam samseng

Pelik, adakah undang-undang menyekat orang ambil gambar di negara ini? Seorang pelajar fotografi mengadu kameranya yang berharga ribuan ringgit dimusnahkan oleh seorang anggota polis. Umumnya saya lihat polis bertindak ganas dan memihak kepada Umno-BN. Pada saya hari itu polis kelihatan macam samseng PERKASA. Mereka nampak jelas marah dengan Pakatan Rakyat.

Tetapi yang lucunya bila saya tinggikan suara dan tanya undang-undang apa yang mereka gunakan anggota polis tersipu-sipu dan cepat-cepat beredar. Ini berlaku ketika kami dihimpun macam pendatang asing dekat Kelab Diraja Selangor. Itulah gelagat anggota polis berpangkat rendah yang mulanya cuba tunjuk garang dan samseng. Para pegawai mereka duduk jauh-jauh.

Pada satu peringkat saya jerit seorang pegawai supaya segera beri rawatan kepada seorang Orang Kena Tahan (OKT) yang terbaring kesakitan. Pegawai ini panik dan tak tahu buat apa-apa. Saya kata, “awak ada budi bicara dan kalau orang ini mati awak akan disoal.”

Pegawai ini pucat tak terkata apa-apa.

Itu semua menunjukkan pasukan polis ini jahil dan keliru dan takut dengan kerajaan Umno-BN. Mereka hanya berani bila mereka bergerak dalam gerombolan. Mereka mungkin tak ada akses kepada Internet dan hanya dengar arahan bos mereka saja. Sikap samseng dan mentaliti gerombolan pasukan polis ini kelihatan apabila ada tahanan baru sampai.

Tahanan ini akan dibawa melalui kumpulan anggota polis pangkat rendah dan ketika inilah anggota polis ini akan mengambil kesempatan mengejek dan memaki hamun tahanan yang sudah lemah longlai diheret itu. Ada juga yang akan mengambil kesempatan menumbuk, menyepak dan menampar tahanan itu. Pada satu tahap seorang anggota Unit Amal PAS yang sedia ditahan bersama kami diseret ke dalam gerombolan anggota polis itu. Riuh rendah kedengaran di sebalik van dan trak itu.

Apa yang kelihatan apabila anggota Unit Amal itu diseret kembali ke dalam kumpulan, beliau lembik; mungkin telah dipukul oleh anggota-anggota polis yang menyeringai macam singa dalam kandang menunggu mangsa itu. Dalam garang dan samseng itu polis ini tidak tahu apa-apa. Ketika di Kelab Diraja Selangor, saya lihat pihak polis panik bila kami ramai-ramai tanya sama ada kami ini ditahan atau ditangkap. Maklumlah konstabel dan koperal apa tahu.

Pegawai pun tidak berani duduk dekat sebab ada OKT yang tanya soalan dalam bahasa orang putih. Lucu. Masa di DBKL seorang sarjan yang tadinya kasar dan sombong mula berlembut apabila makin ramai di kalangan tahanan yang panggil saya “profesor”.

Gambaran kebodohan dan ketakutan

Sewaktu di Pulapol, Ketua CID Bukit Aman Datuk Seri Bakri Zinin ada datang. Bukan main lagilah Cawangan Khas (SB) dan komando polis mengiringi dia. Begitu juga pegawai-pegawai lain yang datang bersama. Berdesup-desup mereka tabik dan hentak kaki. Itulah agaknya gambaran kebodohan dan ketakutan mereka. Ikut perintah orang atas tak kira apa.

Di Pulapol peguam tak dibenarkan masuk langsung. Dan suasana dalam khemah kelam, di situ tak teratur. Pihak polis macam tak pasti apa yang perlu dibuat sedangkan ini bukan kali pertama mereka menangani demonstrasi BERSIH. Ini jauh berbeza dengan imej tenteram yang cuba ditunjukkan oleh media milik Umno-BN termasuk RTM.

Satu lagi yang saya nampak ialah majoriti anggota polis yang bertugas ialah Melayu. Ada segelintir India dan Cina. Tapi yang bongkak, sombong dan ganas ialah Melayu dan India. Mereka inilah yang bongkak dan ganas. Anggota Cina amat tertib dan beradab. Para pegawai meskipun ramai Melayu tidaklah sombong sangat. Mungkin kerana mereka mudah dikenali melalui uniform mereka.

Sewaktu di Pulapol saya dibawa ke meja Cawangan Khas (SB). Meskipun saya ditanya soalan-soalan yang saya kira aneh, ia tidak lama. Saya tidak tahu kenapa. Mungkin kerana mereka tidak mahu berdebat dengan saya.

Pesta pukul orang

Atau mungkin mereka simpati. Mereka ada bertanya sama ada saya disakiti. Saya kata saya cuma sakit hati. Saya sempat sebut pada mereka: “Wah hari ni polis berpesta pukul orang.” Saya sakit hati kerana polis tidak peduli hak asasi rakyat. Buktinya cukup banyak. Ada yang mengadu dicekup sewaktu sedang makan dalam dalam restoran. Ada yang ditangkap ketika di lobi hotel. Dan ada juga yang ditahan ketika dia hendak membeli tiket di stesen LRT.

Mereka berada jauh dari Dataran Merdeka yang diisytihar kawasan larangan. Mereka juga sudah bersurai. Mereka dipukul dan diheret oleh polis hanya kerana mereka pakai baju kuning. Malah ada yang tidak pakai baju kuning pun dicekup sama. Ertinya hari itu polis geram dengan orang ramai. Polis sudah menjadi seolah-olah kaki pukul Umno-BN dan gerombolan anti-Bersih. Ini salah di sisi undang-undang. Apa lagi perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan utama negara.

Pasukan polis, sebagaimana cabang-cabang perkhidmatan awam yang lain termasuk angkatan tentera, perlu bersikap berkecuali dan menjaga undang-undang. Tanggapan saya terhadap polis, khususnya selepas BERSIH 3.0, mereka jahil, keliru dan tertekan. Akhlak mereka juga rendah. Ini ternyata bila Suruhanjaya Dzaidin sendiri merakamkan bahawa pasukan polis antara agensi kerajaan yang paling korup di negara ini.

Sebab itu saya tidak hairan apabila polis gagal membezakan antara menjunjung undang-undang dengan mengampu atau mempertahankan Umno-BN. Apa pun jika lihat gambar besar kita itu semua tidak memeranjatkan. Kalau para hakim dan anggota Suruhanjaya Pencegahan SPR yang dilindungi oleh perlembagaan secara jelas pun takut dengan Umno-BN siapalah anggota-anggota polis ini.

 

Program bertajuk Wacana Rakyat : Perlembagaan Persekutuan dan 20 Perkara bersama Prof. Dr Abdul Aziz Bari di Likas Square Kota Kinabalu pada 19 November 2011, antara jam 9 pagi hingga 3 petang bersama kira-kira 100 hadirin pelbagai latar belakang, antaranya para peguam, aktivis politik, veteran dan orang muda tidak kira muslim dan non muslim. Semoga perkongsian ini membuka minda para penonton.

 

 

USRAH MALAM SABTU

Usrah terakhir tahun ini diadakan di rumah seorang sahabat kami yang baru membeli sebuah rumah di Jalan Muzium dengan harga kira-kira RM400 ribu beberapa minggu lalu. Cantik dan agak luas ruang dalamnya. Sesuailah beliau sekeluarga menjemput sahabat-sahabat berkenduri kesyukuran di rumah. Keluarga muda ini saya kenali sangat optimis dan komited dengan program-program dakwah yang diadakan sekitar Kota Kinabalu.

Saya tersenyum bila saya dimaklumkan bahawa ketika Ramadhan lalu, beliau membuat tinjauan akhir sebelum memutuskan membeli rumah tersebut, justeru ketika berada di rumah itu terdengar sayup tazkirah zuhur Ramadhan yang sedang saya sampaikan dari Masjid Negeri Sabah. Alhamdulillah, maknanya antara perkiraan sebelum membeli rumah itu ialah mereka dapat mendengar seruan azan dan tazkirah dari corong Masjid Negeri Sabah.

Majlis yang sama juga diadakan untuk meraikan beberapa sahabat yang akan berpindah setelah beberapa tahun berada di Sabah. Dr Adlin Zafrulan Zakaria akan kembali ke Kelantan setelah 6 tahun di Sabah. Beliau selama tempoh itu bertugas di Hospital Queen Elizabeth dan pernah menjadi pengerusi PERKIPS hospital berkenaan. Di Masjid Negeri Sabah, beliau pernah beberapa kali saya pelawa menyampaikan tazkirah zuhur di dalam dan di luar Ramadhan yang berkait dengan isu-isu kesihatan seperti solat daripada perspektif kesihatan, bahaya rokok dan lain-lain.

Saudara Nazir Ramlan yang bertugas di Petronas Kota Kinabalu juga sekeluarga akan berpindah ke ibu negara. Beliau sekeluarga adalah tetamu setia Surau Taman Austral dan sering menyertai kuliah-kuliah termasuk kuliah Tajwid al-Quran yang saya bimbing setiap rabu malam khamis. Di petronas jika apa-apa pertandingan majlis tilawah al-Quran, merekalah suami isteri menjadi peserta. Ini saya ketahui sebab saya beberapa kali menjadi juri dalam majlis tilawah mereka.

Majlis juga disekalikan untuk menyampaikan hadiah dan cenderamata pihak usrah kepada sahabat-sahabat yang menimang cahayamata baru sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Antara yang menerima ialah keluarga Ustaz Mad, Ustaz Shazali, Ustaz Sabri, Ustaz Mujib, Ustaz Jumat, Ustaz Mizan dan kami juga. Cenderamata disampaikan oleh Ustaz Azam selaku penasihat surau. Di akhir majlis sedang makan-makan, kami dikejutkan dengan ketibaan rombongan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang mengadakan program di Kota Kinabalu. Banyak jugalah sembang-sembang kami berkenaan hal ehwal semasa.

%d bloggers like this: