Category: Isu Semasa


PANDANGAN POLITIK PAS

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43614-pandangan-politik-pas

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 19 Disember 2016.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah organisasi yang mengambil jalur tarbiyah, dakwah dan politik dengan berpegang pada panduan Al-Quran dan As-Sunnah.

PAS juga maklum bahawa suasana politik Malaysia ada ketikanya statik dan kadangkalanya dinamik. Jesteru itu, PAS  bersikap terbuka, berhati-hati dan mengambil pengalaman lalu dalam menentukan sikap politiknya terutama isu tahaluf dan kerjasama kepartian, namun PAS akan sentiasa tegas dalam prinsip.

Jelasnya matlamat PAS terlibat dalam politik adalah untuk membawa mesej menyelamatkan manusia dengan Islam sebagai cara hidup yang tidak memisahkan dunia dengan agama, di mana perkara dasar dan prinsip PAS adalah tetap manakala cara perubahan dilakukan pula boleh berbagai selagi mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Persepsi songsang yang dibina secara berterusan oleh lawan adalah kononnya PAS telah tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan Barisan Nasional yang ada pada masa kini termasuklah fitnah PAS menerima habuan “dedak” tertentu. PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai PAS.

PAS akan tetap terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam Kerajaan BN, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera. Pada masa yang sama PAS juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan umatnya.

PAS sedang mengkaji dengan mendalam setiap satu persatu kerusi dalam seluruh senarai Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negara kita. Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, sama ada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihan raya berkenaan.

PAS tidak tertakluk pada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihan raya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya. Oleh itu, PAS akan hanya membuat keputusan apabila tiba masanya yang sesuai.

PAS akan tetap terus berpegang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak PAS sebelum ini bahawa tiada sebarang kerjasama dalam apa jua bentuk dengan parti DAP dan PAN, dan mana-mana pihak yang bersikap keras terhadap Islam. Pada masa yang sama PAS sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar perjuangan PAS.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Isnin 19 Rabiul Awwal 1438 / 19 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 19/12/2016

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/12/12/hukum-menyambut-maulid-al-rasul/

BAYAN LINNAS SIRI KE-80: HUKUM MENYAMBUT MAULID AL-RASUL

Mukadimah

Alhamdulillah, dengan kedatangan 12 Rabi’ al-Awwal, ramai di kalangan umat Islam mengingati peristiwa Maulid al-Rasul SAW walaupun sesetengahnya berpendapat Rasulullah dilahirkan pada 9 Rabi’ al-Awwal. Mereka semua menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran insan agung yang mulia ini yang menjadi penyambung risalah Ilahi kepada manusia sejagat. Bersempena dengan Maulid al-Rasul pada kali ini, kami kemukakan dengan panjang lebar isu berkaitan hukum menyambutnya. Kami harapkan Bayan Linnas pada kali ini memberi satu jawapan yang tuntas kepada semua pihak.

Sejarah Sambutan Maulid al-Rasul

Sebagai mukadimah, dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah 13/136 al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja al-Muzaffar yang telah menyambut majlis Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan berkata:“Adalah Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada Rabi’ul Awal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran.

Disamping itu, beliau adalah seorang yang berhati bersih, bersemangat, berani, mempunyai semangat keperwiraan, cerdik, alim, adil. Semoga Allah merahmatinya dan memuliakan kuburnya.” Dinukilkan di sini daripada beberapa kitab bagaimana para penyair di kalangan sahabat dan lainnya memuliakan Baginda SAW samada di hadapannya atau melalui syair-syair mereka.

Antaranya:

Al-Abbas bersyair: “Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga jelas pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana terangnya cahaya dan jalan yang terpimpin.”Lihat al-Mustadrak ala al-Sahihain.

Hasan bin Thabit banyak menggubah syair di hadapan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Isu ini seringkali menjadi polemik dalam kalangan sarjana Islam.

Hukum Sambutan Maulid al-Rasul

Ada yang mengharuskannya dan ada yang sebaliknya.

Saya nukilkan sebahagian pendapat ulama:

Pertama: Hukum sambutan Maulidurrasul adalah bid’ah.

Ini dipelopori oleh sebahagian ulama. Antara hujahnya adalah:

Perayaan ini tidak pernah dilaksanakan pada generasi yang paling mulia, generasi sahabat, tabiin, tabi’ tabi’in, dan juga tidak pada generasi setelahnya. Ia adalah satu bentuk pemujaan yang melampau kepada Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW,

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “ Hamba Allah dan Rasul-Nya “ (Riwayat al-Bukhari, no. 3445)

Sambutan maulid seperti ini pasti disertai dengan berbagai bentuk kemungkaran dan hal-hal yang diharamkan dalam agama

Kedua: Hukumnya adalah dibolehkan. Syeikh Abu Shamah atau nama sebenarnya, Syeikh Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi (salah seorang Syeikh Dar al-Hadis di Damsyik) berpendapat:

Adalah dibolehkan sambutan Maulidurrasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama zaman dahulu antaranya di Irbil (salah satu wilayah di Iraq).

Antara tokoh-tokoh yang berpegang kepada keharusannya dan termasuk dalam bid’ah hasanah ialah:

Imam Jalaluddin al-Suyuti

Imam Ibn Hajar al-Haithami

Syeikh Ibn al-Hajj al-Abdari

Imam Ibn al-Battal

Al-HafizShamsuddin Muhammad bin Nasiruddin al-Dimashqi

Al-Hafiz Shamsuddin bin al-Jazari

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili

Syeikh Abdul Halim Mahmud

Syeikh Atiyyah Saqr

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan lain-lain.

Para ulama yang mengharuskan Maulid al-Rasul menggunakan hadis di bawah:

Dari Abu Qatada, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:

فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ

Maksudnya: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.”
(Riwayat Muslim, no. 1162)

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi ummatnya untuk mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW untuk berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca kisah kelahiran Baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang lain.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ

Maksudnya: “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”.
(Riwayat Muslim, no. 1017)

Hadis ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, athar mahupun ijmak ulama. Maulid al-Rasul adalah perkara baru yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu-pun di antara dalil-dalil tersebut. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak.

Selain itu, antara hujahnya adalah fatwa ulama seperti berikut:

Ibn Hajar al-Asqalani ketika ditanya tentang hukum perayaan Maulid al-Rasul menjawab: “Asal dalam amalan sambutan peringatan Maulid adalah bid’ah yang tidak diriwayatkan dari ulama Salaf al-Soleh. Akan tetapi Maulid tersebut mengandungi banyak kebaikannya. Maka barangsiapa yang berusaha meraih kebaikan dalam Maulid dan menjauhi yang buruk, maka termasuk bid’ah yang baik (hasanah). Jika tidak, maka tidak disebut bid’ah hasanah.” (Al-Haawi Lil Fataawa oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti)Imam al-Suyuti juga antara lain menyebut: “Amalan memberi makan adalah perbuatan yang baik. Dengan demikian, amalan Maulid termasuk perkara baru yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sultan al-Ulama Syeikh Izzuddin bin Abd al-Salam.”Sebenarnya al-Suhaili telah menyebut bahawa al-Abbas berkata: “Tatkala Abu Lahab meninggal dunia, aku bermimpi bertemunya selepas setahun pada seburuk keadaan lantas dia berkata: “Tidak aku dapati selepas kamu sebarang kerehatan kecuali azab diringankan daripadaku setiap hari Isnin. Yang demikian kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin dan Thuwaibah telah memberikan berita gembira kepada Abu Lahab berkenaan dengan kelahiran Nabi SAW lantas dimerdekakannya.”
(Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarah Sahih Bukhari, 9/43 – 48)Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muti’i (Mantan Mufti Mesir): “

Justeru setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan syariat(Allah) waktu tertentu dan tidak pula tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya pada setiap waktu dan tempat, dan begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat maka hukumnya Mubah/Harus, dan apa yang selainnya(yakni ada larangan) adalah bid’ah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya”(Ahsanul Kalam Fi Ma Yata’allaqu Bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, m. 74).

Syeikh Abdul Halim Mahmud: “Sambutan Maulid Nabi SAW adalah sunnah/jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya:

“Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal denganya, barangsiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya” Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalildalil yang sahih yang berpandukan padanya.

“Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai kebangkitan/keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.” (Fatawa Imam Abdul Halim Mahmud, m. 273)

Tarjih

Setelah mengamati pendapat-pendapat ulama, saya berpandangan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bid’ah hasanah tetapi hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama, antaranya:

Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.

Tiada percampuran lelaki dan perempuan.

Menutup aurat.

Tiada unsur maksiat.

Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun.

Alhamdulillah terdapat banyak kitab yang kita dapat manfaat untuk mengenali dan makrifah Rasulullah SAW.

Antaranya:

Kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri

Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibn Hisham

Kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmizi

Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Begitu juga memahami fiqhnya seperti:

Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali

Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti

Kitab Al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’ie

Kitab Al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawi oleh Syeikh Dr. Munir al-Ghadban dan lain-lain

Disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW. Antara kelebihan selawat yang sahih sebagaimana sabda Nabi SAW:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”

(Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)

Berhubung lafaz selawat yang afdhal, maka antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA yang menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Meraikan kegembiraan dan kesyukuran kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah kepada fakir miskin. Sebagai mengukuhkan kenyataan ini, suka saya petik pendapat Imam Abu Syamah. Antara lain berkata: “Termasuk perkara baru atau bid’ah yang dilakukan pada masa kita iaitu sambutan setiap tahun pada hari kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah, melakukan yang ma’ruf, menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya disamping itu, melakukan ihsan kepada golongan fakir miskin adalah tanda kecintaan dan memuliakan Rasulullah SAW dalam hati orang yang menyambutnya. Begitu juga merupakan tanda kesyukuran kepada Allah kerana diutus-Nya Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.”

Penutup

Antara tugasan Rasul adalah untuk menyatukan ummah daripada pelbagai kabilah, kaum, bangsa dan ras agar semuanya kembali mengubudiyyah kepada Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah, Rasulullah SAW menyampaikan dakwah sehingga akhirnya ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh dan dapat membina perpaduan yang mapan. Natijahnya, ummat yang bijak mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan menjadi ummat yang terkehadapan sehingga dapat memimpin dunia.

Parsi tumbang, Rom lemah dan Islam menggemakan syiarnya dan syariatnya sehingga melahirkan kerukunan sejagat. Rasulullah SAW telah menjadikan tali persahabatan dan ukhuwwah Islamiyyah sejak mula menegakkan negara Islam Madina dengan sistem mu’akhah (persaudaraan) dan diletakkan dalam Piagam Madinah. Justeru, kami menyeru kepada diri ini dan khalayak masyarakat ummah serta rakyat Malaysia agar kita bina perpaduan dan kita kukuhkannya sehingga perasaan kasih sayang terbina dan saling hormat menghormati sesama kita.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mentahqiqkan hasrat dan tema Majlis Sambutan Maulid al-Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1438H yang berteraskan Ukhuwwah Islamiyyah Asas Penyatuan Ummah.

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43561-pas-kecam-serangan-ke-atas-gereja-di-mesir

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 13 Disember 2016.

Serangan letupan yang berlaku pada hari Ahad lepas ke atas sebuah gereja (Cairo’s Coptic Cathedral) di ibu negara Mesir telah membunuh 20 orang dan mencederakan hampir 35 orang. Kejadian yang berlaku masih belum diketahui siapakah dalang di sebalik tragedi berdarah yang boleh menegangkan hubungan antara agama dan rakyat Mesir.

PAS mengecam sebarang serangan yang melibatkan kematian orang awam, warga tua, wanita, kanak-kanak dan memusnahkan bangunan kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam yang sebenar. Allah SWT berfirman:

﴿وَلَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ بَعۡدَ إِصۡلَٰحِهَا ٥٦﴾ [الأعراف: 56]

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya” [Al-A’raf: 56]

Islam agama yang syumul telah menggariskan adab dalam peperangan (jihad) dengan melarang menebang pokok dan merosakkan bangunan. Saidina Abu Bakar pernah mewasiatkan komander-komander perangnya, “Jangan menebang pokok dan menghancurkan bangunan”. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang diwarisi oleh para sahabat yang paling memahami Al-Quran, Sunnah Rasul-Nya dan roh Islam.

Islam juga mengutamakan jalan pendamaian dan menyelesaikan dengan penuh keharmonian tanpa pertumpahan darah. Jalan kekerasan dan peperangan bukan jalan terbaik untuk membina negara yang aman dan damai.

Ketegangan hubungan antara agama dan bangsa hanya membuka pintu untuk campur tangan kuasa asing dengan cita-citanya mengkucar-kacirkan umat Islam dan mengaut hasil bumi untuk dibawa pulang ke negara mereka. Selain itu, perlu berhati-hati supaya tidak masuk dalam perangkap musuh dengan provokasi yang dilakukan bagi mencetuskan huru-hara.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
13 Rabiul Awal 1438 / 13 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 13/12/2016

Tarikh : 12 Disember 2016

Lokasi : Kg Lok Urai Pulau Gaya Kota Kinabalu

Aktiviti : Khatan Nusantara, Daftar Pemilih, Ziarah Kebajikan & Edar Harakah

img_3836 img_3844 img_3851 img_3856 img_3864 img_3868img-20161212-wa0092img-20161212-wa0059 img_3902 img_3905 img_3906 img_3916 img_3918 img_3921 img_3925 img_3930 img_3946 img_3951 img_3958 img_3960 img_3964img-20161212-wa0068img-20161212-wa0095img-20161212-wa0153

 

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (al-Anbiya’: 107)

Rasulullah S.A.W diutuskan oleh Allah S.W.T untuk menyempurnakan seluruh ajaran dan syariat Islam dengan membimbing dan memimpin seluruh umat manusia untuk mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan di dunia hingga akhirat.

Bersama Baginda adalah kaum yang Allah namakan sebagai Muslim, menjadi umat wasatiyah dan terbaik di kalangan manusia, menunjukkan teladan mengharmoni dan mensejahterakan kehidupan di muka bumi.

Hakikatnya, dunia akhir zaman ini tersangat berhajat kepada umat Islam yang akan mengembalikan secara teguh seluruh seruan dan akhlak Rasulullah S.A.W untuk menyelamatkan dunia yang sedang dihimpit oleh pelbagai kezaliman dan kerosakan akibat perbuatan manusia yang jauh dari hidayah Allah.

Jelas hari ini rintihan manusia dihina, diperdagang, didera, disiksa hingga dibunuh oleh mereka yang memperhambakan. Dirampas segala hak hasil usaha, harta, kediaman, perekonomian dan tanah air oleh penjajah dengan pelbagai wajah yang sangat rakus.

Juga segala amanah diwarnai kecurangan, penyelewengan, rasuah, skandal dan salah guna kuasa oleh pemimpin yang seumpama serigala. Selain pelbagai penyimpangan agama yang menyesat dan membingungkan dari tujuan ubudiyah.

Hingga membekaskan kepada dunia hari ini dengan bayangan hitam jenayah, ketakutan, penderitaan dan bida’ah yang tiada kesudahan, pembelaan serta penjernihan.

Maka, didatangkan Islam yang pernah ditegakkan Baginda Rasulullah S.A.W sebagai penyelesaian terhadap segala kebejatan ini. Menukarkan air mata derita kepada kegembiraan, kemungkinan kepada jaminan, serta sengsara kepada bahagia di dunia dan akhirat.

Justeru, umat Islam mestilah bersatu padu terlebih dahulu dengan berpegang kepada sunnah Rasulullah dan menggenggam erat syariat Allah. Seterusnya bangkit sebagai umat yang akan menebarkan rahmat ke seluruh alam ini.

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (an-Nur: 55)

Inilah salawat akbar umat ini ke atas Baginda, yang tidak hanya diterima hadirnya dengan keraian berhimpun bercerita riwayat mengenang semata-mata. Tetapi menegakkan seluruh usaha Baginda ke atas umat manusia secara istiqamah hingga tertegaknya keadilan melalui syariat Allah S.W.T.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
11 Rabiul Awwal 1438H | 11 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 11/12/2016

Tarikh : 10 Disember 2016

Lokasi : Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan

Penceramah : Tuan Haji Abdul Aziz Abu Bakar (MAPPIM)

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/12/01/kejayaan-gerakan-islam-bersinar-di-kuwait/

Oleh: Asmaa Yusof

Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Ali Muhyiddin Al-Qurrah Daghi mengucapkan tahniah kepada calon pilihan raya Kuwait atas kejayaan memenangi hampir separuh kerusi Parlimen.

Ucapan tahniah dinyatakan dalam kenyataan rasminya tanda penghargaan atas kejayaan gerakan Islam Kuwait.

Menurut beliau, kemenangan yang diumumkan Sabtu lalu adalah satu petanda bahawa gerakan Islam masih menjadi pilihan rakyat serta menyifatkannya adalah kejayaan bagi seluruh umat Islam.

Tegasnya lagi, kemenangan Islam mestilah diisi dengan kerja keras dalam berkhidmat kepada rakyat dan negara. Beliau menggesa supaya mereka terus melengkapkan usaha dalam mempraktikkan syariah Islam di Kuwait.

Dalam pada itu, Sheikh Al-Qurrah Daghi dalam kenyataannya turut memberitahu kejayaan gerakan Islam yang harmoni adalah menjadi kebiasaan bagi rakyat Kuwait.

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/12/07/2-orang-islam-di-malaysia-tidak-berkhatan/

Oleh : Dr Muhammad Faisal Ashaari

Saya agak terkejut apabila seorang pegawai tentera mendedahkan kepada saya setiap kali pengambilan rekrut baru, terdapat sekitar 20 hingga 30 dari sekitar 700-900 calon Muslim yang tidak berkhatan. Mereka terpaksa dikhatankan selepas mereka disahkan menyertai tentera. Ini belum lagi, mereka yang tidak tahu mengucap, rukun Islam dan iman, tidak tahu membaca alfatihah dan tidak pernah membaca al-Quran. Sekiranya tidak berkhatan, bagaimana solat dan ibadat mereka?

Sewaktu menghantar anak berkhatan baru-baru ni, saya berbual dengan seorang parent yang usianya sekitar 40 tahun. Dia menyebutkan dia berkhatan dahulu sewaktu umurnya 14 tahun. Saya boleh terima realiti ini kerana itu amalan itu sudah tidak lagi berlaku kerana kebanyakan berkhatan dibawah 12 tahun. Walau bagaimanapun, masih ada lagi yang tertinggal dari ibadat berkhatan.

Mungkin ada beberapa faktor yang menyumbang kepada perkara ini seperti perceraian, kemiskinan, kedaifan, Sabah/Sarawak, dan lain-lain. Mungkin juga ada perasaan malu untuk berkhatan apabila sudah dewasa.

Permasalahannya, adakah usaha dakwah terlalu jauh dari objektifnya, pendidikan Islam masih belum mencukupi, sikap kurang tanggungjawab ibubapa/ penjaga dan masyarakat?

Jika melihat kawasan pergunungan dari sisi atas, kita akan nampak kehijauan. Apabila kita jalan di dalam kawasan berkenaan, kita akan jumpa gaung, bukit bukau, sungai, kayu yang menghalang dan lain-lain. Begitulah dakwah. 🙂

Perjalanan dakwah masih jauh.

Pautan asal
http://myfaisalonline.blogspot.my/2016/12/2-orang-islam-di-malaysia-tidak.html?m=1

penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/12/06/bedah-batin-yang-diragui/
Diterbitkan: 06 Disember 2016

SOALAN:

Assalamualaikum wbt.

Terima kasih tuan atas ruang yg diberikan. Soalam saya adalah:

Apakah hukum berubat dengan cara Bedah Batin? Terdapat kemusykilan kerana perawat ketika merawat meminta pesakit supaya mengucap dua kalimah syahadah. Tapi kaedah rawatannya iaitu bedah secara batin dikatakan bercanggah dengan Syarak kerana menggunakan bantuan Jin.

Harap tuan dapat menjelaskan tentang kemusykilan ini.

Sekian terima kasih.

(22 SEPTEMBER 2016 M / 20 ZULHIJJAH 1437 H)

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Perubatan bedah batin ini diragui perbuatannya dan setakat ini dikenalpasti melibatkan penipuan dan khurafat. Pihak Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mengeluarkan satu Garis Panduan Amalan Pengubatan Dan Perbomohan Menurut Islam menyatakan bahawa amalan bedah batin ini adalah dilarang dan tidak dibenarkan beramal kerana melibatkan pertolongan jin, dan fitnah. Rujuk http://www.muftimelaka.gov.my/…/Pengubatan_Islam_Perbomohan…

Kami bersetuju dengan pendapat tersebut dan sebaiknya masyarakat mengelakkan diri daripada mempercayai dan menggunakan khidmat bedah batin ini.

Wallahua’lam.

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/12/03/politik-antarabangsa-dunia-islam-perspektif-tuan-guru-abdul-hadi-awang/

Politik antarabangsa dunia Islam: Perspektif Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Oleh HARIS ZALKAPLI

“Dalam kemelut yang begitu celaru, umat Islam perlu kembali ke pangkal jalan, mengenali kawan dan lawan serta mengambil iktibar daripada kesalahan yang lalu. Para ulama dan pemimpin di zaman keemasan umat Islam bersatu dalam perkara rukun dan berbeza pendapat dalam masalah cabang sehingga tidak memisahkan hubungan persaudaraan agama dan kemanusiaan berbagai agama dan kaum dalam negara Islam yang luas dan besar.”

– Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Februari, 2012

Sejak dunia Islam berdepan dengan cabaran geopolitik dan pemikiran yang amat getir lebih lima tahun lalu, peranan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semakin nyata kelihatan dan dirasakan kepentingan dan keperluannya.

Kebangkitan rakyat secara besar-besaran di dunia Arab meliputi rantau Asia Barat dan Afrika Utara menimbulkan harapan dan sentimen sokongan dan kebersamaan yang kuat dalam kalangan umat Islam dan gerakan Islam khususnya.

Kebangkitan di Mesir pada 2011, yang membuka kemungkinan kepada gerakan Ikhwanul Muslimin muncul di tengah-tengah masyarakat dan menguasai tampuk pemerintahan melalui pilihan raya yang sebenar, mendorong gerakan-gerakan Islam memberikan sokongan sepenuhnya.

Prospek pemerintahan zalim Presiden Hosni Mubarak dan pemerintah-pemerintah autoritarian sekular yang lain di rantau Arab dijatuhkan dan digantikan dengan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin telah mencetuskan kegembiraan dan harapan yang besar.

Walau bagaimanapun, selepas satu tempoh, kebangkitan yang dilihat sebagai untuk kepentingan rakyat itu mula memperlihatkan satu haluan yang berbeza, dan kepentingan rakyat bukan lagi menjadi satu matlamat utamanya.

Bermula saat itu, Tuan Guru Abdul Hadi telah memperlihatkan perspektifnya yang berbeza daripada kebanyakan pandangan dan pendapat berhubung apa yang disebut sebagai kebangkitan rakyat itu.

Hakikat bahawa kuasa-kuasa serantau dan kuasa besar yang berkepentingan telah memperlihatkan bagaimana agenda mereka mula dilaksanakan pada masa itu sukar untuk dikenal pasti oleh banyak pihak termasuk pemimpin gerakan Islam sendiri.

Permainan media menetapkan jalan cerita yang dipersembahkan kepada masyarakat dunia terutama ahli-ahli gerakan Islam telah mengaburi pandangan dan menyukarkan usaha penilaian yang rasional.

Kelemahan pemahaman umat tentang kesinambungan sejarah dunia Islam terutama di rantau Asia Barat telah menjerumuskan umat ke dalam perangkap yang disusun oleh musuh dan mereka yang bersubahat dengan mereka.

Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan pendirian agar umat Islam tidak terperangkap oleh percaturan musuh ini pada awal lagi, iaitu sekitar tahun 2012 semasa konflik di Syria masih di belum sampai pada tahap yang disaksikan pada hari ini, pada masa semua pihak terlibat masih boleh menilai semula pendirian masing-masing.

Sikap teliti dan waspada serta mengutamakan pencegahan terhadap perpecahan dan mengelak diambil kesempatan oleh musuh oleh Tuan Guru Abdul Hadi ini ialah sikap yang beliau ambil dalam menilai semua perkembangan politik dunia Islam, lama sebelum pergolakan yang dikenali sebagai Arab Spring bermula lima tahun lalu.

Tuan Guru telah berperanan dalam mendamaikan konflik antara kumpulan umat Islam di Yaman yang bermula pada 2009, dan mengajak penyatuan politik dalam kalangan parti-parti politik di Indonesia.

Dalam satu tulisan pada awal tahun 2012, Tuan Guru menulis, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah keruntuhan kerajaan Uthmaniyah yang dibenarkan oleh umat Islam sendiri yang terpedaya oleh perancangan musuh, mengikut sentimen etnik dan kaum masing-masing hingga akhirnya pemerintah yang menaungi umat pada masa itu berakhir.

Lima tahun sebelum ulangtahun ke-100 kebangkitan Arab dan perjanjian rahsia Sykes-Picot 1916, Tuan Guru telah mula menyebarkan tentang pengajaran daripada perpecahan umat itu, yang menyaksikan umat dieksploit sentimen dan kepentingan masing-masing hingga berperang sesama sendiri, mengakibatkan perpecahan yang kemudian membawa kepada pelbagai kemelut lain.

Tanpa menafikan kelemahan pemerintah pada masa itu, tindakan menentang pemerintah Uthmaniyah sehingga meruntuhkan pemerintahan Islam itu akhirnya membuka kepada pelbagai akibat yang ditanggung hingga ke hari ini.

Akibat keruntuhan Daulah Uthmaniyah itu, perancangan musuh melalui Perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan wilayah Islam kepada kuasa asing terlaksana.

Menurut Tuan Guru, dalam tulisan diterbitkan pada Februari 2012 itu: “[U]mat Islam dilagakan dengan semangat kebangsaan masing-masing sehingga membantu musuh bagi menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah di abad yang lalu tanpa menafikan adanya kezaliman dan kesilapan kerajaan Uthmaniyah terhadap wilayahnya.

“Semangat nasionalisme digunakan bagi menimbulkan kebencian Arab terhadap bangsa Turki yang menguasai kerajaan Islam dimasa itu. Di atas semangat kebangsaan dengan bantuan yang melibatkan manusia seperti Lawrence (of Arabia) dan rakan-rakan Arab dibantu untuk menentang Turki Utmaniyah.

“Akhirnya kerajaan Uthmaniyah dijatuhkan dan diberi tempat kepada Kamal Ataturk mendirikan kerajaan sekular menggantikan kerajaan Islam di atas nama memajukan Turki tetapi berakhir dengan bangsat.

“Di kalangan bangsa Arab pula diupah dengan bahagian masing-masing mengikut road map Sykes-Picot dengan membahagikan di kalangan negara Barat untuk menjaganya dengan upah mengangkut hasil bumi yang kaya.

“Manakala Arab pula dibayar dengan wang yang banyak supaya kaya-raya tanpa teknologi yang dapat menguatkannya sehingga dapat berdikari dan meninggalkan sifat Islamnya supaya tidak berakhlak, tetapi terus berlindung dengan negara-negara Barat tersebut.

“Negara-negara Arab yang mendapat bahagian ini masih lagi menjadikan hari mendapat bahagian tersebut sebagai hari kebangsaan masing-masing yang disambut dengan meriahnya secara tahunan.”

Sejarah hitam keruntuhan kerajaan Islam itu merupakan satu mesej yang sering diulang-ulang oleh Tuan Guru apabila menjelaskan tentang pergolakan yang berlaku di dunia Arab, menegaskan agar umat Islam belajar dari sejarah.

Beliau turut mengutamakan penyatuan antara umat Islam, dengan mengetepikan perbezaan-perbezaan politik atau aliran dalam agama, demi kepentingan perpaduan dan kerjasama yang lebih utama bagi menghadapi cabaran dan gugatan daripada musuh.

Perspektif inilah yang menjadi antara tunjang utama sikap Tuan Guru Abdul Hadi dalam mendepani dan menangani isu umat Islam yang sedang mencabar seluruh dunia Islam pada masa kini.

Mesej penyatuan dan kepentingan mengambil iktibar dari sejarah sentiasa diberi penekanan oleh Tuan Guru, tanpa teralih perhatian oleh hal-hal yang ada kalanya ditimbulkan dan disebarkan untuk mengeruhkan lagi keadaan.

Hal ini menampakkan perspektif jelas dan berbeza Tuan Guru, pada masa semangat untuk menjatuhkan pemerintah zalim dan menggantikannya dengan kumpulan Islam sedang memuncak dan sukar untuk menerima penjelasan selain daripada kepentingan untuk bersegera berjihad menjatuhkan pemerintah zalim itu.

Pada masa itu, sentimen perbezaan mazhab telah berleluasa dan diterima ramai, sehingga tercetus pertembungan perspektif yang ketara dalam kalangan gerakan Islam, dengan pembahagian jelas antara sekutu dan musuh.

Perspektif Tuan Guru Abdul Hadi ini akhirnya terbukti sebagai satu pandangan paling tepat dalam mengambil sikap terhadap peristiwa yang berlaku di dunia Arab, yang kini sedang dilanda perang saudara, perang proksi dan konflik sektarian yang belum kelihatan hujungnya.

Apa yang sedang berlaku inilah yang ingin dielakkan oleh mereka yang memahami pergolakan yang berlaku dengan lebih mendalam, yang bukan hanya memerhatikan apa yang terzahir melalui ucapan-ucapan pihak terlibat dan dibincangkan di media.

Selepas enam tahun kebangkitan rakyat yang akhirnya membawa kepada satu konflik serantau yang rumit, sudut pandang Tuan Guru melibatkan mengambil iktibar dari sejarah, kewaspadaan terhadap perancangan musuh dan mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam telah terbukti sebagai perspektif paling tepat dalam melihat dan menangani perkembangan politik dunia Islam.

%d bloggers like this: