Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43614-pandangan-politik-pas

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 19 Disember 2016.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah sebuah organisasi yang mengambil jalur tarbiyah, dakwah dan politik dengan berpegang pada panduan Al-Quran dan As-Sunnah.

PAS juga maklum bahawa suasana politik Malaysia ada ketikanya statik dan kadangkalanya dinamik. Jesteru itu, PAS  bersikap terbuka, berhati-hati dan mengambil pengalaman lalu dalam menentukan sikap politiknya terutama isu tahaluf dan kerjasama kepartian, namun PAS akan sentiasa tegas dalam prinsip.

Jelasnya matlamat PAS terlibat dalam politik adalah untuk membawa mesej menyelamatkan manusia dengan Islam sebagai cara hidup yang tidak memisahkan dunia dengan agama, di mana perkara dasar dan prinsip PAS adalah tetap manakala cara perubahan dilakukan pula boleh berbagai selagi mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Persepsi songsang yang dibina secara berterusan oleh lawan adalah kononnya PAS telah tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan Barisan Nasional yang ada pada masa kini termasuklah fitnah PAS menerima habuan “dedak” tertentu. PAS tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai PAS.

PAS akan tetap terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam Kerajaan BN, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera. Pada masa yang sama PAS juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan umatnya.

PAS sedang mengkaji dengan mendalam setiap satu persatu kerusi dalam seluruh senarai Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negara kita. Keputusan di kawasan mana PAS bertanding, sama ada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera PAS di setiap kedudukan kawasan pilihan raya berkenaan.

PAS tidak tertakluk pada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihan raya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya. Oleh itu, PAS akan hanya membuat keputusan apabila tiba masanya yang sesuai.

PAS akan tetap terus berpegang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulamak PAS sebelum ini bahawa tiada sebarang kerjasama dalam apa jua bentuk dengan parti DAP dan PAN, dan mana-mana pihak yang bersikap keras terhadap Islam. Pada masa yang sama PAS sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar perjuangan PAS.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Isnin 19 Rabiul Awwal 1438 / 19 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 19/12/2016

Advertisements