Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/26/myanmar-rohingya-dan-kepentingan-kuasa-asing/

Oleh: HARIS ZALKAPLI

Konflik di Myanmar melibatkan genosid etnik Rohingya mempunyai satu dimensi persaingan kuasa-kuasa besar, dan dasar luar Naypidaw yang lebih pragmatik dalam hal kepentingan politik dan ekonomi negara.

Dimensi ini menambah, dan pada masa sama menyumbang kepada halangan dalam menangani masalah negara itu, yang tidak berdepan tekanan kuat Asean melibatkan isu genosid, pada masa sama terus membina hubungan baik dengan kuasa-kuasa dunia.

Selama dua dekad sehingga 2011, Myanmar berstatus negara pariah di arena antarabangsa, ekoran dipinggirkan oleh Barat, terutama Amerika Syarikat yang menentang pemerintah junta tentera negara itu.

Sepanjang tempoh itu, China menjadi sekutu dan penaung Myanmar, memberi sokongan politik dan melabur berbilion dolar dalam pelbagai projek terutama melibatkan sumber asli.

Myanmar bergantung sepenuhnya pada China, yang kelihatan memberikan talian hayat kepada negara Asia Tenggara itu, dan pada masa sama menggunakan jumlah besar sumber-sumber alam Myanmar.

Walau bagaimanapun, pergantungan ini menghadkan potensi perkembangan ekonomi Myanmar yang mempunyai banyak kelebihan termasuk dari sudut kedudukan geografi dan sumber alam.

Pada masa sama, selepas dua dekad di bawah pengaruh China, Myanmar menyedari kelebihan dimilikinya, dan bergerak ke arah memulihkan status antarabangsanya.

Pada 2011, perubahan besar berlaku di Myanmar, selari dengan perubahan dilaksanakan pemerintah untuk menjadikan negara itu lebih demokratik dan memulihkan status di peringkat antarabangsa.

Pada September tahun itu, kerajaan Myanmar menghentikan projek mega empangan hidro elektrik Myitsone, projek bernilai AS$3.6 bilion yang menjadi simbol kuasa ekonomi dan geopolitik China di Myanmar.

Projek itu, di kawasan utara berdekatan sempadan China ialah satu daripada pelaburan-pelaburan besar China untuk memenuhi keperluan tenaganya yang terus meningkat.

Perkembangan itu menandakan satu perubahan besar dalam dasar luar baharu Myanmar, yang mula berubah daripada pemerintahan tentera kepada pemerintahan campuran awam dan tentera.

Tanda paling menarik perhatian berlaku pada hujung tahun 2011, apabila Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton mencatat sejarah melawat Myanmar, membincangkan perubahan-perubahan yang dirancang pemerintah Myanmar dan memulakan pemulihan hubungan Washington-Naypidaw.

Perubahan ke arah lebih demokratik itu menyaksikan Myanmar mula mengimbangi kedua-dua kuasa besar AS dan China, menunjukkan kesediaan Myanmar mengambil langkah drastik mengurangkan pergantungan pada China.

Tindakan Myanmar itu menjejaskan sedikit hubungan dengan China, tetapi kepentingan Myanmar kepada China mengawal keadaan daripada merosot lebih teruk.

Perkembangan sejak 2011 menjelaskan kepentingan Myanmar kepada AS dan negara-negara kuasa serantau, terutama China dan juga India.

Walaupun hubungan dengan China merosot, pengaruhnya di Myanmar masih kuat, dengan pelaburan dan pelbagai projek pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan.

Beijing dilihat masih cuba menggerakkan semula projek empangan Myitsone, yang selain boleh menjadi sumber tenaga elektrik China, juga memberikan hasil pendapatan ratusan juta dolar AS kepada Myanmar setiap tahun.

Myanmar juga salah sebuah negara ahli pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB), institusi yang menyokong projek mega merentasi Asia hingga ke Eropah yang sedang diusahakan oleh China, One Belt, One Road.

Kedudukan geografi Myanmar di antara China di sebelah timur laut dan Teluk Bengal dan Lautan Hindi menjadikan Myanmar satu laluan penting kepada China.

China setakat ini telah berjaya dalam kerjasama dengan Pakistan dengan satu projek utamanya, pelabuhan Gwadar di pesisir Laut Arab berhampiran Teluk Parsi telah mula beroperasi.

Kedudukan geografi kedua-dua Pakistan dan Myanmar mempunyai kepentingan bukan sahaja dari segi perdagangan tetapi juga keperluan ketenteraan kepada China.

China juga mengawasi India, jiran Myanmar di sebelah barat yang turut mempunyai kepentingan dan telah pun melabur berbilion dolar, tetapi jauh di belakang China.

Kedudukan geografi dan sumber ini menjadi satu faktor penting mendorong AS berusaha menghakis pengaruh China di Myanmar dan membina hubungan lebih baik dengannya, walaupun dilakukan secara berperingkat.

Hubungan rapat Aung San Suu Kyi, pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan dengan Hillary Clinton dan, dan dengan Presiden Barack Obama yang ditunjukkan melalui lawatan pemimpin Myanmar itu ke Washington pada September lalu memberi gambaran nilai hubungan Myanmar-AS.

Tetapi, pihak tentera yang berpengaruh masih mengekalkan hubungan baik dengan China, dan Suu Kyi sendiri menyedari keperluan menjaga hubungan dengan kedua-dua Beijing dan Washington, yang dikunjungi beberapa bulan lalu untuk mengukuhkan hubungan.

Beliau melawat kedua-dua Beijing dan Washington dalam satu tempoh yang singkat – pada Ogos (Beijing) dan September (Washington) – mengelakkan daripada persepsi mengabaikan mana-mana pihak, memberi gambaran kepentingan kedua-dua kuasa itu.

Hal ini menjelaskan kenapa tidak ada pihak yang bertindak tegas terhadap kekejaman dan genosid dilakukan pemerintah dan pelampau Buddha di negara itu terhadap etnik Rohingya.

Tidak ada kuasa berpengaruh yang mempunyai kepentingan untuk menangani tindakan kejam pemerintah Myanmar itu, yang kini sedang dalam fasa terbaru penghapusan etnik Rohingya.

Kuasa-kuasa terbabit tidak mahu menjejaskan hubungan dengan pemerintah Myanmar, yang kini melalui dasar luar barunya mempunyai kelebihan dalam menangani negara-negara berpengaruh termasuk AS dan China.

Asean yang tidak mahu terlibat dalam politik dalaman negara anggota turut menyebabkan keadaan menjadi semakin parah, ekoran tidak ada sebarang tindakan tegas negara-negara jiran.

Advertisements