Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/11/07/mencongak-masa-depan-indonesia-pasca-demonstrasi-aman-aksi-bela-islam-ii/

Demonstrasi besar-besaran ‘Aksi bela Islam II’ di Jakarta pada 4 Oktober 2016 menunjukkan kemarahan umat Islam Indonesia terhadap gabenor Jakarta beragama Kristian bernama Basuki Tjahaja Purnama dan dikenali sebagai Ahok. Beliau menjawat jawatan sebagai Gabenor DKI Jakarta pada 19 November 2014 menggantikan Joko Widodo.

Punca kemarahan terhadap Ahok adalah berkaitan dengan ayat al-Qur’an surah al-Maidah (5:51):

‎يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

Ayat ini secara jelas menyebut orang Kristian tidak boleh menjadi teman rapat. Ayat ini sangat mengena terhadap Ahok yang menubuhkan kumpulan penyokong sukarela yang dinamakan Teman Ahok. Kumpulan ini diwujudkan untuk menjalankan kempen bagi mengekalkan kedudukan sebagai gabenor Jakarta bagi penggal kedua.

Pemilihan nama ‘Teman Ahok’ diambil peluang oleh lawan politik Ahok dan Ahok sangat terkesan dengan kempen ini sehingga mengeluarkan kata-kata sensitif iaitu ‘jangan diperbodohkan surah al-Maidah ayat 51 ini. Oleh demikian, para ulama Indonesia terutamanya ulama terkenal KH Abdullah Gymnastiar menyerunya untuk meminta maaf secara terbuka.

Malangnya, permohonan minta maaf Ahok tidak mendapat sambutan kerana para penyokong Ahok terus menerus mempertahankan kenyataan Ahok. Begitu juga, Presiden Indonesia Joko Widodo yang juga masuk campur isu ini tidak meredakan kemarahan umat Islam Indonesia khususnya kemarahan umat Islam Jakarta.

Akhirnya, pada hari jumaat tanggal 4 November 2016 merupakan hari tunjuk perasaan marah rakyat Indonesia yang berjaya berhimpun lebih 1 juta peserta. Jumlah ini merupakan mesej jelas reaksi umat Islam di Indonesia terhadap isu Ahok yang juga digelar isu penista al-Qur’an.

Isu ini benar-benar menggambarkan kejatuhan imej bersih Ahok dan kemungkinan besar Ahok akan kalah dalam persaingan merebut jawatan gabenor Jakarta. Isu ini juga sedikit sebanyak menjatuhkan kredibiliti Presiden Joko Widodo kerana kegagalannya menyelesaikan kemelut ini. Tambahan pula, Ahok merupakan orang kanan beliau ketika menjawat jawatan gebenor Jakarta.

Kesan demonstrasi ini tidak hanya tertumpu di sebelah Ahok dan Joko Widodo. Tetapi lebih dari itu menunjukkan kekuatan penganjur bersama demonstrasi iaitu Front Pembela Islam (FPI). FPI dilihat mampu mempunyai sokongan ramai dan menjadi kuasa pendesak utama di Indonesia.

FPI ditubuhkan oleh Habib Muhammad Rizieq Syihab pada 17 Ogos 1998. Kumpulan ini mempunyai latarbelakang sokongan pihak tentera dan polis Indonesia kerana penubuhannya dengan kerjasama Komander Wiranto dan didakwa turut mendapat dana daripada pihak polis.

Namun, kumpulan ini dilihat radikal kerana kumpulan ini mengajak ke arah pengamalan undang-undang Islam di Indonesia. Kumpulan ini menjadi pendesak penting bagi menghentikan gerakan LGBT dan agama Bahai Ahmadiah, pengharaman majalah Playboy dan penjualan arak.

FPI sewajarnya menjadi parti pembangkang penting di Indonesia dengan kemampuannya menghimpun ratusan ribu peserta demonstran. FPI turut memberi amaran jikalau isu penista al-Qur’an ini tidak diselesaikan dengan cara baik, demonstrasi lebih besar dengan penyertaan lebih ramai akan menjadi pendesak utama.

FPI mampu menjadi pendesak Indonesia. Malah, FPI boleh mengorak langkah mengatur strategi bagi menghadapi pilihanraya tahun depan. Tidaklah keterlaluan jikalau slogan perlaksanaan Syariat Islam menjadi asas utama bagi menggempur Pemilihan Umum 2017 (PEMILU 2017).

Oleh demikian, mungkin FPI perlu bekerjasama dengan Nadhah Ulama (NU), Muhammadiyyah, Hizbut Tahrir dan gerakan-gerakan yang lain bagi memperoleh undi yang besar sebagaimana kerjasama ini dapat menghimpunkan umat Islam Indonesia seramai 1 juta peserta. Sekaligus, kerjasama ini dapat menjatuhkan Jokowi-Ahok dalam PEMILU 2017.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman
Akademi al-Ghazali

Advertisements