Sumber : Web JHEAINS

Setiap dari kita tidak terlepas daripada menghadapi ataupun ditimpa ujian hidup. Berlegar dari ujian yang paling besar hinggalah ujian paling kecil, semuanya tetap dinamakan ujian atau masalah. Cuma ujian atau masalah yang dihadapi itu mungkin berbeza. Bagaimana cara untuk mengatasinya juga merupakan satu ujian.

Namun, sebagai orang yang beriman kepada qada dan qadar Ilahi harus menginsafi bahawa setiap ujian mahupun masalah yang menimpa mungkin sebahagian daripada cara Allah SWT mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya.

Sebab, manusia biasanya sering lupa serta lalai dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT apabila hidup dilimpahi kesenangan dan kemewahan. Melalui berbagai bentuk ujian seperti penyakit, kemiskinan, bencana alam dan sebagainya, diharap akan kembali mengingatkan manusia terhadap keadaan hidupnya selama ini sama ada mengikuti peraturan atau landasan ditetapkan Allah SWT ataupun sebaliknya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan? Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian demikian, nyata apa diketahui Allah mengenai orang yang sebenarnya beriman, dan nyata pula apa diketahui-Nya mengenai orang yang berdosa.” (S. AlAnkabut: 2-3).

Sehubungan dengan mafhum firman Allah SWT tersebut, ujian atau dugaan yang datang adalah dari Allah SWT, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang kita lakukan atau untuk mengangkat darjat kita di sisiNya. Jadi, apabila ditimpa atau berhadapan dengan sesuatu ujian, cuba bawa bertenang, bersabar dan jangan berputus asa untuk mencari jalan mengatasinya. Allah SWT tidak menguji hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaannya untuk menghadapinya.

Kerana itu, iringilah setiap ikhtiar menangani masalah dan ujian hidup yang dihadapi dengan doa memohon pertolongan daripada Allah SWT sebagaimana dianjurkan oleh al-Quran:

Yang bermaksud: “Dan minta pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk.” (S. AlBaqarah: 45).

Dalam tempoh beberapa bulan sejak akhir-akhir ini, berlaku kes mengamuk dan membunuh yang membabitkan golongan penghidap masalah kesihatan mental. Lebih menyedihkan, ia berlaku dalam kalangan ahli keluarga seperti mana yang terjadi di Melaka dan Kedah. Jika dahulu, kes-kes seumpamanya dianggap kes terpencil, namun pada hari ini ia dilihat sebagai gejala yang membimbangkan kerana ia mengancam nyawa dan ketenteraman awam.

Tambahan pula, data menunjukkan satu daripada tiga rakyat negara ini yang berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah berkaitan mental. Dapatan ini berdasarkan kepada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan tahun lalu yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, di mana kira-kira 30 peratus atau 4.2 juta rakyat negara ini mengalami masalah kesihatan mental. Ia menunjukkan kenaikan dua kali ganda berbanding 10 tahun lalu (10.6 peratus pada 1996 dan 11.2 peratus pada 2006).

Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan dua kali ganda masalah kesihatan mental sepanjang 10 tahun lalu adalah krisis kewangan, tiada pekerjaan, tekanan dalam pekerjaan, isu keluarga seperti masalah perhubungan, perceraian, kurang kemahiran keibubapaan, keganasan, dan salah guna dadah serta faktor persekitaran.

Hasil kajian ini amat merisaukan kerana ia membabitkan golongan belia yang berumur 16 hingga 19 tahun, iaitu golongan masyarakat yang menjadi pewaris masa hadapan negara ini. Pada usia 16 hingga 19 tahun, mereka sepatutnya memberi fokus untuk menimba ilmu pengetahuan serta melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran bagi melangkah masuk ke alam pekerjaan dan bukannya masuk keluar hospital bahagia untuk mendapatkan rawatan.

Yang pasti, masalah kesihatan mental bukan sahaja suatu ujian kepada pesakit, malahan ia juga suatu ujian kepada keluarga, masyarakat dan pemerintah. Atas hakikat itu, kes kesihatan mental yang semakin merisaukan itu perlu segera ditangani kerana ujian atau masalah kecil apabila tidak dicegah dengan baik dan segera boleh membawa kepada mudarat yang lebih besar.

Ini bermakna, jumlah pesakit masalah kesihatan mental dalam masyarakat akan terus bertambah selari dengan peningkatan kes perceraian, penyalahgunaan dadah, ketidaktentuan ekonomi dan sebagainya jika tidak dilaksanakan sebarang langkah pencegahan. Memang agak mustahil untuk mewujudkan keadaan sifar masalah kesihatan mental, tetapi usaha ke aarah mengurangkannya perlu dilakukan tanpa noktah.

Dalam hubungan ini, institusi keluarga khususnya para ibu bapa boleh memainkan peranan dengan berusaha mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang boleh menjadi punca gangguan kesihatan mental seperti perceraian dan keganasan rumah tangga.

Seiringan itu, ibu bapa juga harus bersifat penyayang kepada semua anak tanpa mengira jantina, usia, prestasi pembelajaran dan status kesihatannya. Manakala, anak atau anggota keluarga yang mempunyai tandatanda gangguan kesihatan mental hendaklah segera dirujuk kepada pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Pada masa sama, anggota masyarakat diharap tidak menambah tekanan kepada mereka yang menghidap gangguan kesihatan mental. Tindakan melabel atau memanggil mereka “gila” atau mengherdik, memaki dan mempersenda mereka tidak akan dapat merawat masalah kesihatan mereka, malahan memungkinkan mereka lebih tertekan yang boleh menatijahkan mereka bertindak agresif dan ganas.

Maka, sebaiknya anggota masyarakat yang sihat dan berkeupayaan membantu para pesakit mental menjalani hidup lebih sempurna dengan menanggapi mereka sebagai insan biasa seperti kita yang sihat yang perlu perhatian dan layanan secara manusiawi. Dengan kata lain, kalau tidak mampu untuk merawat dan menggembirakan mereka, jangan pula menambah dukanya.

Advertisements