Archive for Oktober, 2016


Tarikh : 21 Oktober 2016

Lokasi : Masjid Rusila Terengganu

Pengkuliah : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Sumber : Web JHEAINS

Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia yang disambut setiap kali pada bulan Oktober, ayuh kita merenung firman Allah SWT tentang anak dan zuriat keturunan, iaitu anak cucu kita:

Maksudnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa”. (Surah Al-Furqaan, ayat 74)

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan maksud ayat ini: Mereka sentiasa memohon kepada Allah SWT semoga anak isteri dan keturunan mereka tetap di dalam iman dan beramal soleh. Mereka juga memohon semoga mereka sendiri diberi ilmu yang luas dan diberi taufiq untuk mengerjakan kebajikan sehingga dapat menjadi ikutan dan contoh yang baik bagi orang yang mahu memelihara dirinya dari larangan Allah.

Hari Kanak-Kanak Sedunia sewajarnya mengingatkan kita sebagai ibu bapa dan guru atau ustaz-ustazah yang mendidik anak-anak, berkenaan kisah Luqman dan anaknya yang teramat masyhur berkenaan peringatan supaya tidak berbuat syirik atau mempersekutukan Allah SWT, firman Allah SWT di dalam AlQuran:

Maksudnya: “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya: Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”. (Surah Luqman, ayat 13)

Seterusnya Luqman menasihatkan anaknya tentang solat dan amar makruf wa nahyi mungkar, terakam dalam firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. (Surah Luqman, ayat 17)

Hari Kanak-Kanak Sedunia diharap dapat mengingatkan kita tentang anak pinak itu adalah hiasan hidup bagi ibubapa, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”. (Surah Al-Kahfi, ayat 46)

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan ayat ini: Kekayaan dan anak pinak yang ramai memanglah baik, bahkan menjadi perhiasan dunia yang sangat-sangat diperlukan. Tetapi janganlah dijadikan anak pinak dan harta benda itu untuk kesenangan dan perhiasan dunia semata-mata, bahkan hendaklah kita berjaga-jaga menjadikannya sebagai jalan dan alat bagi menerbitkan amal-amal soleh yang kekal faedahnya untuk kesenangan dan kebahagiaan kita di akhirat sama.

Sungguh beruntung orang yang dapat berusaha untuk kebaikan dunianya dan akhiratnya. Oleh itu, sebagai ibu bapa Muslim, sudah seharusnyalah kita manfaatkan segala harta dan anak pinak serta zuriat keturunan yang Allah SWT kurniakan untuk mendapatkan sebanyak-banyak kebaikan dan pahala yang sebaik-baiknya di sisi Allah SWT.

Hari Kanak-Kanak Sedunia juga mengingatkan kita bahawa anak pinak itu merupakan fitnah ujian bagi ibubapa, firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah Al-Anfaal, ayat 28)

Dalam Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menghuraikan tentang maksud ujian dalam ayat ini: Oleh itu, janganlah kamu, kerana kamu sayangkan harta benda dan kasihkan anak pinak lalu kamu terdorong melanggar perintah-perintah Allah SWT, kerana Allah SWT menyediakan pahala yang besar bagi orang yang mematuhi perintah-perintah-Nya dan mengutamakan keredhaan-Nya lebih daripada harta benda dan anak pinak yang dikasihi.

Peringatan Allah SWT ini adalah dengan tujuan supaya kita tidak terperangkap antara kasih sayang dengan batas-batas perintah dan larangan Allah SWT. Sesungguhnya beruntunglah bagi orang yang taat dan patuh perintah Allah SWT. Sebaliknya, rugilah orang yang melanggar perintah Allah SWT dengan alasan kerana sayangkan kepada harta dan anak pinak itu.

Tarikh : 15 Oktober 2016

Lokasi : Dewan Perkumpulan Perempuan, Sembulan

20161015_083757 img-20161015-wa0062 img-20161015-wa0146img-20161015-wa0065

Tarikh : 14 Oktober 2016

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah Pekan Bongawan

20161014_172637 20161014_203640 20161014_204834

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/11/konflik-asia-barat-pertembungan-amerika-syarikat-dan-rusia-dari-perang-dingin-kepada-perang-sebenar/

Konflik Asia Barat: Pertembungan Amerika Syarikat dan Rusia Dari Perang Dingin kepada Perang Sebenar

Selepas Perang Dunia Kedua yang menyaksikan kekalahan Jerman dan Jepun, muncullah dua kuasa besar dunia; Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, dua kuasa besar yang memiliki senjata nuklear yang bukan sahaja boleh memusnahkan kedua-dua negara bahkan dunia keseluruhannya. Era 1940-an sehingga 1980-an menyaksikan pertembungan antara kedua-dua kuasa besar ini sehingga melahirkan blok Barat yang mewakili AS dan blok Timur yang mewakili Kesatuan Soviet. Pertembungan antara kedua-dua blok ini merentasi benua bukan sahaja benua Eropah bahkan juga Asia, Afrika, Amerika Selatan dan tidak terkecuali juga Dunia Islam.

Era Perang Dingin

Era ini dinamakan era Perang Dingin kerana tidak berlaku peperangan sebenar, yang berlaku ialah perang diplomasi, perang mulut, perang media, perang proksi dan seumpamanya. Masing-masing berlumba membuat pelbagai jenis senjata untuk menunjukkan kekuatan dan kehebatan tanpa menghiraukan batas-batas manusiawi. Justeru medan perang diwujudkan untuk menguji senjata masing-masing. Dalam tempoh 40 tahun tidak kurang tiga peperangan besar berlaku yang mengorbankan ratusan ribu nyawa manusia.

Pada awal 1950-an berlakunya Perang Korea apabila Korea Utara yang menjadi proksi kepada Kesatuan Soviet menceroboh Korea Selatan seterusnya mengheret AS untuk masuk campur. Selepas berakhirnya Perang Korea berlaku pula Perang Vietnam yang menyaksikan kekalahan AS dan proksinya. AS menerima tamparan hebat dengan kekalahan ini yang mengorban dan mencederakan ribuan tenteranya. Kesatuan Soviet yang gembira dengan kemenangannya di Vietnam merasakan keperluannya untuk meluaskan lagi penguasaannya maka berlakulah pencerobahannya ke atas Afghanistan tidak lama selepas itu.

Pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan mempunyai agenda yang tersurat dan tersirat. Agenda yang tersurat ialah strategi geopolitik Soviet untuk menguasai bumi Afghanistan yang kaya dengan hasil buminya khususnya minyak dan uranium. Dalam masa yang sama juga hasratnya ialah meneruskan penaklukan kepada jiran Afghanistan di sebelah utara, Pakistan bagi mendapat akses ke atas Lautan Hindi dan Teluk Parsi yang didominasi oleh AS dan sekutu Baratnya.

Agenda yang tersirat ialah strateginya untuk mengekang kebangkitan Islam selepas berlakunya Revolusi Islam Iran (kedua-dua Afghanistan dan Pakistan ialah jiran Iran di sebelah timur) yang menjatuhkan Shah Iran. Soviet atau AS bersatu dalam memerangi Islam tanpa mengira apa warna mazhab dan pegangan umat Islam yang mahukan kepada perubahan politik Islam. Itulah yang berlaku sebelumnya apabila semua kuasa-kuasa besar dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua berpakat untuk menjatuhkan kerajaan Islam Uthmaniyah dan seterusnya membahagikan wilayah-wilayah dunia Islam sesama mereka dengan mengapikan senjata semangat perkauman dan pertembungan mazhab.

Penaklukan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan berakhir dengan kekalahannya hasil daripada permainan AS yang memberikan sokongan dana kewangan dan ketenteraan kepada kumpulan-kumpulan Islam yang berpengkalan di sempadan Afghanistan-Pakistan bagi memerangi tentera Soviet. Ejen-ejen CIA dihantar untuk melatih pejuang-pejuang dengan menggunakan senjata-senjata canggih AS yang terhad. Kekalahan Kesatuan Soviet ini memberi tamparan yang sangat hebat sehingga menyebabkan berkecai kesatuannya pada tahun 1991 yang akhirnya mengembalikannya kepada negara asalnya iaitu Rusia.

Selepas merosot dan berkecainya Kesatuan Soviet bermula akhir dekad 1980-an; AS menjadi kuasa besar tunggal. Bermulanya era 1990-an yang digelar dengan New World Order. Era kuasa besar tunggal AS yang melakar penguasannya bukan sahaja melalui ketenteraan bahkan juga menjangkau ekonomi dan budaya melalui perjanjian-perjanjian ketenteraan dan ekonomi yang menyebabkan dunia berada di bawah telunjuk AS. Dalam era ini Rusia umpama “kucing kurap”; dipimpin oleh presiden-presiden yang lemah bermula daripada Mikhail Gorbachev sehinggalah Boris Yeltsin. Bergelut dengan kemelut ekonomi dan masalah-masalah dalaman khususnya wilayah-wilayah yang menuntut kemerdekaan daripada Rusia.

Kebangkitan Semula Rusia

Rusia mendapat nafas baru selepas Vladimir Putin memegang tampuk pemerintahan sebagai presiden. Cita-citanya untuk mengembalikan kegemilangan era Rusia di zaman tsar dan menjadikan Rusia kuasa besar dunia mendorongnya untuk meluaskan cengkamannya dalam politik Rusia. Presiden Putin berjaya memulihkan masalah dalaman Rusia khususnya dari sudut ekonomi dan penyelesaian di wilayah-wilayah yang bergolak seperti Chechnya dan Daghestan.

AS berusaha untuk menyekat kebangkitan semula Rusia dengan campurtangannya secara langsung dalam politik Georgia dan Ukraine, dua negara bekas Soviet yang berpengaruh dan berkedudukan strategik. AS meyokong sejak daripada awal penubuhan Georgia sebagai rakan strategik. Rusia yang sedar akan bahaya ini akhirnya bertindak menceroboh Georgia pada tahun 2008 dan dengan campurtangannya berjaya menjatuhkan Presiden Mikhail Saakashvilli yang menjadi sekutu rapat AS pada akhir 2012. Begitu juga usaha AS untuk menyokong Ukraine menemui kegagalan selepas mendapat tentangan hebat daripada Rusia. Usaha-usaha yang dilakukan oleh AS ini umpama menyocok jari ke dalam lubang hidung beruang yang sedang tidur.

Rusia kembali membina kekuatannya satu persatu sama ada dari sudut ketenteraan dan politik antarabangsa dengan membina jaringan baru untuk berdepan dengan AS. Hubungan eratnya dengan China diperkukuhkan bagi mendepani kuasa hegomoni ekonomi AS.

Asia Barat: Medan Pertembungan Baru

Selepas kejatuhan Kesatuan Union pada 1989; satu persatu negara-negara yang bernaung di bawahnya gugur berkecai termasuklah di Asia Barat. Yaman Selatan yang dahulunya diperintah oleh kerajaan Komunis proksi Soviet berakhir selepas penyatuannya dengan Yaman Utara sehingga terbentuknya Republik Yaman pada tahun 1994. Walaupun begitu Rusia mengambil sikap untuk berbaik dan terus membina hubungan dengan mana-mana negara yang berseteru dengan AS. Dalam konteks ini Rusia sentiasa menjaga hubungannya dengan Republik Islam Iran dan negara-negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan Iran khususnya Syria.

Selepas berlakunya Arab Spring pada awal 2011 yang menumbangkan pemerintah-pemerintah diktator di Tunisia, Mesir dan Libya; di peringkat awalnya Rusia tidak menunjukkan minat yang mendalam untuk masuk campur kerana masih lagi sukar untuk melupai luka yang pernah dialami di Afghanistan. Akan tetapi polisi ini berubah selepas menyedari perkembangan ini akan menjejas kepentingannya untuk jangka masa panjang khususnya bagi merebut Asia Barat yang mempunyai kedudukan strategik dan kaya dengan hasil bumi khususnya petroleum.

Selepas Presiden Mohammad Mursi digulingkan oleh Jeneral Abdel Fatah as-Sisi, Rusia dengan cepat menyokong Sisi yang seolah-olah diketepikan oleh AS. Tidak berapa lama selepas Sisi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir, Putin menerima kunjungan beliau di Moscow dan mengeratkan lagi hubungan antara Mesir dan Rusia khususnya dari sudut ketenteraan.

Adapun hubungan Rusia dan Turki tidaklah sebaik mana, kerana sudah sedia maklum Turki adalah rakan sekutu AS dan menjadi ahli kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). Akan tetapi Rusia bijak mengambil peluang apabila melihat AS dan EU mengkhianati Turki dalam isu kumpulan militan Kurdi PKK dan ketegangan yang tercetus apabila sebuah jet pejuang Rusia ditembak oleh Turki.

Memandangkan sikap dan tindakan kerajaan Turki pada masa krisis itu dan kemudian perkembangan terkini selepas cubaan rampasan kuasa, kebarangkalian sangat kuat pihak yang memberikan arahan untuk menembak jatuh jet pejuang Rusia adalah pengikut-pengikut Fethullah Gulen yang memegang posisi penting dalam tentera dan bukannya Erdogan. Insiden ini adalah perancangan AS untuk mengheret Turki ke lembah peperangan dengan Rusia di Syria. Akan tetapi ketentuan Allah menjangkau perancangan manusia apabila gagalnya cubaan rampasan kuasa oleh pihak tentera yang dipimpin oleh Jeneral Akin Ozturk, Ketua Turus Tentera Udara Turki.

Kegagalan cubaan rampasan kuasa ini memberi bonus kepada Rusia untuk merapatkan hubungan dengan Turki yang jelas dikhianati oleh AS. Beberapa hari selepas insiden kegagalan cubaan rampasan kuasa ini, Presiden Erdogan mengadakan lawatan ke Rusia menyebabkan AS berputih mata lagi. Akan tetapi semua pihak masih keliru dengan pendirian Turki yang masih lagi mengambil sikap tidak jelas dalam hubungannya dengan AS dan Rusia.

Dalam isu Syria dan Yaman, peringkat awalnya Rusia mengambil langkah berhati-hati sehinggalah pada pertengahan 2015 Rusia dengan jelas mengisytiharkan penglibatannya secara langsung khususnya dalam krisis di Syria. Dalam tempoh beberapa hari ini ketegangan makin memuncak apabila usaha-usaha damai menemui jalan buntu dengan kedua-dua pihak menuding jari antara satu sama lain.

Pihak yang paling untung dalam krisis yang berlaku ini ialah negara haram Israel. Ketika seluruh dunia tertumpu kepada isu Syria, Iraq, dan Yaman, negara haram ini boleh melaksanakan agenda menyahudikan (Judaization) Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa dengan selesa. Akan tetapi hakikat sebenarnya; Israel sentiasa memerhati perkembangan yang berlaku dan tidak akan teragak-agak untuk terlibat secara langsung dalam krisis ini. Ini terbukti apabila Israel memberikan bantuan logistik dan senjata kepada beberapa kumpulan Syria dan mendorong mereka untuk melanggar beberapa gencatan senjata yang berlaku baru-baru ini.

Dengan perkembangan yang begitu pantas berlaku ini, saya menjangkakan dalam tempoh setahun dari sekarang akan berlaku pertembungan secara langsung antara AS dan Rusia. Kebuntuan kedua-dua kuasa ini untuk berbincang bagi menyelesaikan isu Syria akan membawa kepada pertembungan secara langsung. Dalam beberapa hari ini Rusia menambah kekuatan ketenteraannya di Syria khususnya peluru berpandu antipesawat S 300 dan S 400. Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataannya menyebut bahawa; Rusia tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan pesawat AS jika sekiranya ia mengambil sikap menyerang tentera Syria.

AS pula berada di persimpangan jalan dalam menghadapi kebangkitan Rusia ini. Pertembungan dalam pentadbiran AS makin meruncing antara pihak yang mahukan pendekatan keras dan satu pihak lagi yang mahukan pendekatan lembut dan diplomasi. Pentadbiran Barack Obama dilihat lemah dan lembut sehingga gagal untuk menangani kebangkitan Rusia apabila satu-persatu perang diplomasi antara kedua-dua kuasa ini dimenangi oleh Rusia.

Apa yang pasti pertembungan antara dua kuasa besar ini bukan lagi pertembungan Perang Dingin bahkan perang sebenar yang sangat berpotensi membawa kepada perang serantau mahupun Perang Dunia Ketiga.

( 9 Muharram 1438 H / 10 Oktober 2016 M )

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Pengerusi Lajnah Al-Quds Malaysia

Tarikh : 14-16 Oktober 2016

Lokasi : Balai Islam Pernu, Telok Mas, Melaka.

CABARAN DISAMBUT

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/42856-cabaran-disambut

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 17 Oktober 2016.

SAYA membaca satu laporan berita daripada akhbar Malay Mail Online bertajuk “Interfaith group urges MPs to reject Hadi’s Bill, says will empower hudud” menyebut bahawa The Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) menyeru ahli Parlimen Malaysia menolak RUU 355.

Bagi pihak umat Islam, saya terlebih dahulu mengajak semua pihak yang terlibat dengan kenyataan tersebut dan dalang yang berada di belakangnya daripada parti politik supaya kembali kepada perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai dalam mana-mana Bahagian Persekutuan.

Marilah kita menghargai jasa pemimpin semua kaum dan agama yang telah berjaya memasukkan perkara ini dalam Perlembagaan Persekutuan. PAS yang tidak menyertai Perikatan (Umno, MCA dan MIC) adalah satu-satunya parti pembangkang yang telah wujud dan mempunyai hanya satu kerusi dalam Pilihan raya Umum pra kemerdekaan tahun 1955, ketika parti-parti lain khususnya dalam Pakatan Harapan belum dilahirkan di alam dunia ini.

Hudud terus menjadi senjata sejak zaman berzaman, walaupun RUU 355 bukan hukum hudud. Perkara yang tercakup dalam RUU 355 adalah bagi memperkenalkan konsep kehakiman dalam Islam.

Ya! Semua undang-undang adalah wajib melalui proses kehakiman yang adil termasuk hudud. Adakah mereka fahami bahawa Islam ini adalah agama kelam kabut yang tidak ada sistem kehakimannya, maka penganut Islam bergantung kepada tunjuk ajar warisan penjajah semata-mata?

Undang-undang Islam merangkumi seluruh kehidupan manusia daripada sudut individu, keluarga, kemasyarakatan, negara sehinggalah antarabangsa. Maka tidak adil terhadap Islam, kalau hukuman hudud terus sahaja dipotong tangan, seolah-olah hukum Islam termasuk hukum keluarga tidak perlu kepada proses kehakiman yang adil (mahkamah).

Adalah menjadi hak kepada umat Islam untuk beramal dengan agamanya sendiri tanpa gangguan daripada pihak agama lain yang kita juga menghormati kedudukan mereka untuk bebas beramal dengan agama mereka di bumi Malaysia ini.

RUU 355

Pada masa sekarang, bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah adalah sangat terbatas. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah adalah mempunyai bidang kuasa mengenai kesalahan-kesalahan setakat yang diberi oleh undang-undang Persekutuan. Mengikut Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atauSyariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965, Mahkamah Syariah hanya diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Bidang kuasa itu telah ditambah pada tahun 1984 dengan pindaan kepada akta itu dan Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa mengenai kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau rotan tidak lebih enam sebatan atau gabungan hukuman itu. Bidang kuasa ini masih rendah dari bidang kuasa Majistret Kelas Pertama yang biasanya boleh membicarakan kes yang boleh dihukum dengan penjara sepuluh tahun dan boleh menjatuhkan hukuman lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau sebat dua belas kali atau gabungannya.

Satu lagi pindaan yang dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 ialah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan. Dengan pindaan itu, dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam fasal itu mengenai seorang Majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang hakim Mahkamah Syariah.

Oleh kerana itu jika seorang ditangkap bagi kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah dan ia tidak dilepaskan orang itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang hakim syariah dengan segera, sekiranya tiada apa-apa sebab yang berpatutan, walau bagaimanapun dalam tempoh dua puluh empat jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa hakim syariah itu. Sekurang-kurangnya pindaan itu telah menyamakan kuasa hakim Mahkamah Syariah dalam perkara itu dengan kuasa Majistret.

Tegasnya, RUU 355 adalah hak bagi penganut Islam sahaja. Maka saya menyeru supaya umat Islam bersabar dengan agama mereka berpandukan al-Quran (kitab suci yang mereka imani), Sunnah (amalan Nabi Muhammad S.A.W mengikut al-Quran), termasuk dalam hubungan masyarakat majmuk di Malaysia kerana konsepnya yang kekal.

Walaupun kewujudan masyarakat majmuk di sini adalah ciptaan penjajah mengikut acuannya bagi agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ (سورة الحجرات: 13)

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujurat: ayat 13)

Kita diwajibkan berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama. Dalam masa yang sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan dengan cara terbaik, khususnya bersama penganut yang mempunyai kitab suci. Firman Allah SWT:

وَلَا تُجَٰدِلُوٓاْ أَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ إِلَّا بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡۖ وَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا بِٱلَّذِيٓ أُنزِلَ إِلَيۡنَا وَأُنزِلَ إِلَيۡكُمۡ وَإِلَٰهُنَا وَإِلَٰهُكُمۡ وَٰحِدٞ وَنَحۡنُ لَهُۥ مُسۡلِمُونَ (سورة العنكبوت: 46)

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Kitab) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah Al-Ankabut: ayat 46)

Demi melihat kepada penyelesaian terhadap gejala jenayah dan keruntuhan akhlak yang melanda dunia, termasuk negara kita Malaysia yang tercinta ini, maka saya mengajak kumpulan berbagai agama itu supaya kembali kepada kitab suci agama masing-masing, supaya mengambil sudut undang-undang yang ada di dalamnya dan mengkaji perbandingan dengan undang-undang Islam termasuk hudud dan perbandingannya dengan undang-undang warisan penjajah yang tidak ada dalam kitab suci semua agama. Sila tunjukkan kepada kami.

Kami mengajak pihak lain supaya melihat Islam secara langsung daripada sumber kitab suci al-Quran secara budaya ilmu yang bijak dan sihat. Bukannya budaya ISIS dan Daesh berhujahkan senjata tanpa ilmu seperti yang dipaparkan oleh Barat dan medianya yang merancang terhadap Islam dan penganutnya yang dizalimi.

Jangan zalimi Islam dan penganutnya sehingga melangkah sempadan.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG 
Presiden PAS
16 Muharam 1438 / 17 Oktober 2016 – HARAKAHDAILY 17/10/2016

Tarikh : 12 Oktober 2016

Lokasi : Pekan Kundasang

img-20161012-wa0038 img-20161012-wa0052 img-20161012-wa0053 img-20161012-wa0141

GERAI TOMYAM KIABURI, RANAU

Tarikh : 11 Oktober 2016

Lokasi : Kiaburi Ranau

Saya rekomen makan tomyam di Gerai Tomyam Kiaburi, Ranau milik sahabat kami Ustaz Ratib Duraman. Gerainya kecil saja tapi sentuhan tomyamnya.. aduh.. seperti mahu datang lagi sekali. Kami bersembang panjang di situ sehingga jam 11 malam. Menambah selera kami, apabila peniaga muda Jubair yang belanja kami. Kami makan free sajja. Hahaha.. Hubungi Ustaz Ratib 010 3370120

img-20161012-wa0036 img-20161012-wa0057 img-20161012-wa0058

Tarikh : 14 Oktober 2016

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas

Selesai solat jumaat di Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas, saya berjumpa dan bersalaman dengan Tuan Hj Karim Datuk Abd Rahman, 73 tahun. Nampaknya beliau masih mengingati saya.

“Kamu dulu pelajar pertama Maahad Tahfiz kan”, katanya sambil saya mengangguk. Seingat saya beliau pernah menyandang Timbalan Pengarah JHEAINS. Beliau bersara tahun 1998 ketika kami masih menuntut di maahad yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah. Tentunya beliau ada peranan penting di sebalik penubuhan maahad ini. Beliau juga menyebut beberapa nama kawan-kawan seangkatan kami yang masih diingatinya.

20161014_130752

%d bloggers like this: