Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/20/aurat-antara-bekas-mertua-dan-menantu/
AL-KAFI #406 : AURAT ANTARA BEKAS MERTUA DAN MENANTU
AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 406 (18 OKTOBER 2016 M / 17 MUHARRAM 1437 H)
Assalamualaikum Dr.
Bagaimanakah hukum aurat diantara bekas ibu mertua dan bekas menantu lelakinya? (Anak perempuan si ibu telah bercerai dengan suaminya).
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Apabila seorang lelaki bercerai daripada isterinya, hubungan mahram dengan ibu mertuanya tidak hilang dan terus menjadi mahram secara mu’abbad. Ini berdalikan kenyataan dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-23 bahawa wanita yang diharamkan berkahwin dengannya termasuklah:
وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu isteri kamu,”
Dan pengharaman ini kekal sekalipun selepas kematian atau cerai, semata-mata dengan akad, walaupun jika tidak pernah berlaku persetubuhan antara suami dan isteri, kerana ayat itu menyatakan semata-mata ibu kepada isteri tanpa mensyaratkan persetubuhan.
Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/31-32)
Justeru batas aurat antara seorang lelaki dengan bekas mertuanya ialah hukum mahram yakni antara pusat dan lutut jika aman daripada fitnah.
Walahua’lam.