Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/11/pengistilahan-liberalisme-dan-pluralisme/

Ramai minta respon saya mengenai definisi liberalisme dan pluralisme yang dibuat oleh pro-SIS (Sister in Islam) dan pro-JIL (Jaringan Islam Liberal). Sebenarnya, saya tidak mahu mengendahkan definisi-definisi sedemikian kerana:

1. Bahasa kegunaan setiap orang sangat bergantung kepada definisinya sendiri iaitu bergantung kepada tempat dan bidang. Sesuatu definisi ada berkaitan dengan bahasa dan ada berkaitan dengan bidang tertentu. Justeru, kalaulah fatwa mengeluarkan istilah, hendaklah definisi merujuk kepada fatwa.

2. Sesuatu yang dipelajari dalam dunia akademik, pandangan atau idea hendaklah merujuk kepada penulisan terdahulu. Jikalau seseorang dapat menghasilkan pandangan baru, hendaklah dikemukakan bukti yang merujuk kepada pandangan terdahulu. Pro-SIS dan Pro-JIL hanya menanggapi idea tanpa merujuk dan menganalisis pandangan-pandangan terdahulu.

3. Bukan semua idea hanya wujud dalam tulisan, bahkan penggunaan istilah merujuk kepada pengalaman. Seperti definisi mengenai durian, tidak perlu merujuk kepada buku. Pengalaman diri telah mengenali durian sebelum dapat istilah dalam kamus-kamus bahasa dikemukakan. Namun, pengalaman sedemikian hendaklah dibuktikan agar dapat difahami orang lain.

4. Orientalis, sekularis dan liberalis sememangnya menyukai permainan bahasa. Meletak lebel-lebel tertentu sehingga masyarakat hanya bercakaran pada bahasa bukan inti perbincangan. Pro-SIS dan Pro-JIL berbalah mengenai istilah liberal dan pluralisme sehingga melupakan kesalahan dan kesesatan yang SIS dan JIL lakukan.

Oleh demikian, rujuklah definisi fatwa kepada badan fatwa tersebut. Hendaklah bertanya dan meminta pandangan dari mereka. Janganlah mendabik dada dan terpersona dengan kedudukan diri sehingga sanggup menuding kepada ilmuan yang tentu mahir dalam bidangnya.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

—-

Istilah “Liberalisme” dan “Pluralisme” Menurut JAKIM

Dahulu, beberapa MP Pakatan Rakyat melakukan tindakan yang boleh dianggap jahil dan tiada sensitiviti dengan mempertikaikan istilah liberalisme dan pluralisme yang digunakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lebih khusus kepada Majlis Agama Islam. Oleh demikian, definisi yang jelas sangat diperlukan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM 2009: 15-17) telah mewartakan pengharaman pemikiran liberal melalui Muzakarah Kali Ke-74 pada 25-27 Julai 2006 memutuskan bahawa gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspe akidah dan syariah.

Pluralisme yang dimaksudkan oleh JAKIM adalah “menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung”.

Manakala liberalisme yang dimaksudkan JAKIM adalah meliputi fahaman-fahaman dari aspek akidah dan syariah. Dari aspek akidah, faktor penyelewengan adalah berpegang kepada konsep pluralisme, akal manusia merupakan wahyu dan meragui ketulenan al-Qur’an. Manakala dari aspek syariah, faktor penyelewengan adalah mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Qur’an dan al-Hadith, menggesa tafsiran baru, mempertikaikan kriteria dan akhlak kenabian, sikap terhadap ilmu-ilmu Islam dan sikap terhadap hukum.

Berikut adalah salinan memperincikan fatwa tersebut:

i. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang
didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

Aspek Akidah

a. Berpegang Kepada Konsep Pluralisme
Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu
Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis danwahyuyang tidak bertulis.Wahyubertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulenan Al-Quran
Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad S. A. W. yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-
Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al- Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran
Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil
tujuan hukum bukan bentuk hukum. Manakala implikasi kepada fatwa ini disebut “Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam”.

Sumber:
Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM). 2009. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Kuala Lumpur: Visual Print Sdn. Bhd.
Sebarkan untuk manfaat umat Islam.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

Advertisements