Archive for 23 Oktober 2016


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42796-istiqamah-ustaz-hashim-menuju-persada-mursyidul-am

Perjuangan Istiqamah Ustaz Haji Hashim Jasin Menuju Persada Mursyidul Am PAS Keempat

Saya mula mengenali dengan rapat al-fadhil Ustaz Haji Hashim Jasin ketika Pilihan Raya Kecil Arau pada 4 Julai 1998. Sebelum itu, hubungan kami hanya sebagai pemimpin dengan ahli, tetapi sejak Jun 1998 sepanjang kempen pilihan raya kecil itu sehingga menjadi wakil rakyat, saya mengenali beliau dengan rapat. Saya juga rapat dengan pemandu beliau ketika menjadi Ahli Parlimen Arau yang kami mesra dengan panggilan ‘Pak Teh,’ yang sentiasa setia membawa Ustaz Hashim Jasin ke mana-mana dengan Proton Wira putih yang beliau beli dengan ihsan Haji Ismail Ahmad HPA.

Hubungan rapat saya dengan Almarhum Ustaz Haji Hassan Shukri juga membolehkan saya mengetahui banyak sisi rahsia Ustaz Haji Hashim Jasin, seorang pemimpin yang tenang, peramah, suka berseloroh tetapi tajam pandangan politiknya. Ustaz Hassan Shukri adalah teman sekuliah beliau di Baghdad, selain Bapak KH Abdul Rahman Wahid (Gus Dur), pemimpin Nahdatul Ulamak yang pernah menjadi Presiden Republik Indonesia itu. Ustaz Hashim Jasin ke Baghdad pada 1964 kerana biasiswa yang diberikan oleh Presiden Abdul Salam Arif (1963-1966), Presiden Iraq yang mendukung perjuangan Ikhwanul Muslimin ketika itu melalui Pak Yusof Rawa, konsulat Iraq di Pulau Pinang. Pak Yusof Rawa menyerahkan biasiswa ini kepada PAS untuk mengirimkan 10 pemuda PAS melanjutkan pelajaran di Iraq. Begitulah bermulanya intimak Ustaz Hashim Jasin bersama PAS.

Zaman Muda Mursyidul Am PAS

Ustaz Hashim Jasin dilahirkan di Kampung Changkat Jawi, Arau, Perlis pada 1 Ogos 1939. Pada mulanya beliau belajar di Sekolah Melayu Jelempuk selepas Perang Dunia Kedua, sebelum memasuki Madrasah Alawiyah, Arau pada 1950. Ketika berada di Madrasah Alawiyah, beliau mula terdedah dengan pergerakan Islam apabila bekas Setiausaha Ikhwanul Muslimin Kaherah, Sheikh Taqiyuddin Qandil menjadi guru di sini. Sheikh Taqiyuddin Qandil berperanan menggerakan pelajar Islam di Madrasah Alawiyah, Arau dan Maktab Mahmud, Alor Setar sehingga tertubuhnya Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) dan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) pada 1954, yang merupakan sayap pelajar PAS ketika itu. Tokoh lain yang berpengaruh di Arau ketika ini ialah Sheikh Abu Bakar al-‘Asyari, Imam Masjid Arau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis. Pada 1958, PAS telah melantik Ustaz Abu Bakar Hamzah yang berasal dari Sanglang, Perlis sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, manakala bekas Yang Dipertua Persatuan Imam Seluruh Perlis, Ustaz Ahmad Long merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis ketika ini.

Setelah menamatkan pengajian beliau di Madrasah Alawiyah, Ustaz Hashim Jasin mengikuti abangnya, Ustaz Ibrahim Yasin aktif bersama PAS sehingga dilantik menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis pada 1962. Ustaz Ibrahim Yasin adalah calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1959, sebelum menjadi pensyarah UKM. Setelah dua tahun mengetuai Dewan Pemuda PAS Perlis, beliau terpaksa berundur kerana melanjutkan pengajian di Iraq. Dengan biasiswa Kerajaan Iraq, 10 orang pemuda PAS telah bertolak ke Baghdad pada 1964. Antara mereka ialah ialah Ustaz Hassan Shukri (bekas Timbalan Presiden PAS), Ustaz Dato’ Mohamad Daud Iraqi (bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat), Ustaz Ishamuddin Ahmad (bekas ADUN PAS, abang Mufti Kedah sekarang), Ustaz Dato’ Sheikh Azmi Ahmad (bekas Mufti Pulau Pinang, pernah menjadi Naib Presiden PKN), Ustaz Dahlan Mohd Zain (pengasas ABIM Perlis), Ustaz Abdul Rahim Mohd Zain (pensyarah UM), Prof Hasbullah Kasban (pensyarah UTM) dan dua yang lain. Turut menyertai mereka ialah Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid (bekas Pesuruhjaya PAS Melaka). Mereka kemudiannya menubuhkan Persatuan Melayu Iraq di mana Ustaz Hashim Jasin adalah antara ahli jawatankuasanya antara 1964 hingga 1968.

Tarbiyah Ikhwan

Penghijrahan Ustaz Hashim Jasin dari Perlis ke Baghdad rupanya telah memperkukuhkan lagi pengaruh Ikhwanul Muslimin ke atas beliau. Beliau bersama pelajar-pelajar yang dihantar oleh PAS ke Baghdad telah mengikuti tarbiyah Ikhwanul Muslimin cawangan Iraq. Murabbi mereka yang terkenal termasuklah Sheikh Solleh Ali Abu Mun’im dan Dr Abdul Karim Zaidan. Melalui Persatuan Melayu Iraq, program-program tarbiyah disusun mengikut method dan silibus Ikhwanul Muslimin bagi membentuk abna’ul harakah yang mendukung perjuangan Islam. Mereka mengikuti usrah dan halaqat ilmu termasuk ilmu bahasa dan siyasah selama empat tahun. Hasil tarbiyah ini, hampir seluruh kelompok mereka menjadi tokoh-tokoh gerakan Islam yang ternama di Malaysia.

Penglibatan dalam tarbiyah Ikhwan ini adalah lanjutan tarbiyah Ikhwan yang telah diikuti di Madrasah Alawiyah yang dimurabbikan oleh Sheikh Taqiyuddin Qandil. Sezaman dengan Ustaz Jamaluddin Amini Marzuki, Ustaz Jaiz Anwar, Ustaz Johari Ahmad dan juga Ustaz Fadzil Mohd Noor yang mengikuti tarbiyah yang sama di Maktab Mahmud, Ustaz Hashim Jasin telah menerima pengaruh awal Ikhwan. Tokoh yang sangat terpengaruh dengan Ikhwan di Perlis ketika itu ialah Ustaz Abu Bakar Hamzah, yang pada asalnya Ketua Pemuda Umno Perlis, menyertai PAS pada 1955 kerana mendapati Umno tidak mengikuti landasan Ikhwan. Ustaz Abu Bakar Hamzah dan Sheikh Taqiyuddin Qandil berperanan besar mengembangkan pengaruh Ikhwan di Perlis. Pada 1958, ketika Ustaz Abu Bakar Hamzah menjawat sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, beliau mengunjungi Ikhwanul Muslimin di Kaherah untuk membentuk hubungan rasmi PAS dengan Ikhwanul Muslimin. Sejumlah karya as-Syahid Hassan al-Banna telah dibawa pulang ke Tanah Melayu dan diterjemahkan oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah. Pada 1963, ketika Ustaz Hashim Jasin menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Dewan Pemuda PAS Pusat telah memutuskan supaya karya as-Syahid Hassan al-Banna, Usul ‘Isyriin yang diterjemah oleh Ustaz Abu Bakar Hamzah telah dijadikan teks tarbiyah rasmi PAS.

Melanjutkan proses tarbiyah yang lebih dekat dengan Ikhwan di Iraq rupanya mempunyai pendekatan yang berbeza. Kemasukan mereka ke Universiti Baghdad dengan dukungan Presiden Abdul Salam Arif, seorang simpati Ikhwan dalam kelompok Kesatuan Sosialis Arab. Tetapi kematian Presiden Abdul Salam Arif pada 13 April 1966 telah menjejaskan kedudukan Ikhwanul Muslimin di Iraq. Walaupun Presiden Abdul Rahman Arif tidak memberikan tekanan besar, tetapi penguasaan Parti Ba’ath mulai 17 Julai 1968 telah memberikan tekanan yang sangat hebat kepada Ikhwanul Muslimin Iraq. Agak bernasib baik, kerana mereka berjaya menamatkan pengajian pada akhir 1968 dan pulang ke Malaysia dengan selamat untuk melanjutkan perjuangan.

Mendukung Perjuangan

Setelah menamatkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang syariah dan bahasa Arab di Universiti Baghdad pada 1968, Ustaz Hashim Jasin telah kembali ke Malaysia dan terus aktif bersama PAS. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS pada 1968-1971, sebelum diberikan amanah sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis pada 1971-1973. Pada mulanya beliau berkhidmat sebagai Pegawai Agama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) sejak 1969, tetapi mula berkhidmat sebagai Pegawai Agama Felda mulai 1972 yang memaksa beliau meninggalkan Perlis. Pada awalnya, berkhidmat di Felda akan memudahkan beliau untuk aktif kerana Felda adalah agensi di bawah Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda selaku Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas. Setelah PAS dipecat dari BN pada akhir 1977, kegiatan politik beliau mulai terbatas. Beliau berkhidmat dengan Felda sehingga bersara pada 1989. Kedudukan beliau sebagai Pegawai Felda menghalang beliau memegang jawatan utama dalam PAS.

Persaraan beliau dari Felda telah membolehkan beliau aktif semula dan terus dilantik sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perlis pada 1989 dan menjadi Naib Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, sebelum memangku jawatan Ketua Dewan tersebut pada 1990. Mulai 1991, Ustaz Hashim Jasin dilantik semula sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis, sekali gus menduduki Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Ulamak PAS Pusat. Setelah PAS memindahkan Pejabat Agungnya ke Taman Melewar pada 1987, Dewan Ulamak PAS Pusat dan Dewan Pemuda PAS Pusat telah membeli sebahagian tanah Markaz Tarbiyah PAS Pusat itu atas nama beliau, sehingga dibangunkan pejabat tersebut. Pada 1994, beliau dilantik pula sebagai Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, jawatan yang dipegang sehingga sekarang, walaupun beliau telah melepaskan jawatan-jawatan lain sejak 2008 kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Mursyidul Am PAS

Kematian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Prof Dr Haron Din pada 16 September 2016, telah menimbulkan persoalan besar, siapakah yang layak menggantikan beliau sebagai Mursyidul Am PAS. Jawatan ini adalah tertinggi dan paling berprestij dalam PAS, sekali gus menjadi rujukan umat Islam di Malaysia. Menggantikan legasi yang ditinggalkan oleh Pak Yusof Rawa (1987-1994), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (1994-2015) dan Tuan Guru Prof Dato’ Dr Haron Din (2015-2016) adalah tugas yang sangat berat bagi ulamak-ulamak dalam PAS. Penolakan jawatan tersebut oleh Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob selaku Timbalan Mursyidul Am PAS jelas menggambarkan beratnya beban jawatan tersebut.

Majlis Syura Ulamak PAS pada 9 Oktober 2016, setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, telah secara ijmak berpandangan bahawa tokoh yang paling layak menduduki jawatan Mursyidul Am PAS ialah Ustaz Haji Hashim Jasin, ulamak yang berusia 77 tahun ini. Dengan latar belakang pendidikan agama beliau di Madrasah Alawiyah dan Universiti Baghdad, kemudian latar belakang tarbiyah Ikhwan yang diterimanya sepanjang 1950-an hingga akhir 1960-an sebelum berpadu dengan tarbiyah haraki dalam PAS, juga pengalaman kepemimpinan beliau dalam PAS sejak 1962 hingga 2008 yang bercantum dengan pengalaman profesional semasa berkhidmat dalam JAIPs dan Felda, maka beliau mempunyai kedudukan terbaik untuk menyambung kepemimpinan PAS.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS – HARAKAHDAILY 11/10/2016

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/10/11/pengistilahan-liberalisme-dan-pluralisme/

Ramai minta respon saya mengenai definisi liberalisme dan pluralisme yang dibuat oleh pro-SIS (Sister in Islam) dan pro-JIL (Jaringan Islam Liberal). Sebenarnya, saya tidak mahu mengendahkan definisi-definisi sedemikian kerana:

1. Bahasa kegunaan setiap orang sangat bergantung kepada definisinya sendiri iaitu bergantung kepada tempat dan bidang. Sesuatu definisi ada berkaitan dengan bahasa dan ada berkaitan dengan bidang tertentu. Justeru, kalaulah fatwa mengeluarkan istilah, hendaklah definisi merujuk kepada fatwa.

2. Sesuatu yang dipelajari dalam dunia akademik, pandangan atau idea hendaklah merujuk kepada penulisan terdahulu. Jikalau seseorang dapat menghasilkan pandangan baru, hendaklah dikemukakan bukti yang merujuk kepada pandangan terdahulu. Pro-SIS dan Pro-JIL hanya menanggapi idea tanpa merujuk dan menganalisis pandangan-pandangan terdahulu.

3. Bukan semua idea hanya wujud dalam tulisan, bahkan penggunaan istilah merujuk kepada pengalaman. Seperti definisi mengenai durian, tidak perlu merujuk kepada buku. Pengalaman diri telah mengenali durian sebelum dapat istilah dalam kamus-kamus bahasa dikemukakan. Namun, pengalaman sedemikian hendaklah dibuktikan agar dapat difahami orang lain.

4. Orientalis, sekularis dan liberalis sememangnya menyukai permainan bahasa. Meletak lebel-lebel tertentu sehingga masyarakat hanya bercakaran pada bahasa bukan inti perbincangan. Pro-SIS dan Pro-JIL berbalah mengenai istilah liberal dan pluralisme sehingga melupakan kesalahan dan kesesatan yang SIS dan JIL lakukan.

Oleh demikian, rujuklah definisi fatwa kepada badan fatwa tersebut. Hendaklah bertanya dan meminta pandangan dari mereka. Janganlah mendabik dada dan terpersona dengan kedudukan diri sehingga sanggup menuding kepada ilmuan yang tentu mahir dalam bidangnya.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

—-

Istilah “Liberalisme” dan “Pluralisme” Menurut JAKIM

Dahulu, beberapa MP Pakatan Rakyat melakukan tindakan yang boleh dianggap jahil dan tiada sensitiviti dengan mempertikaikan istilah liberalisme dan pluralisme yang digunakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lebih khusus kepada Majlis Agama Islam. Oleh demikian, definisi yang jelas sangat diperlukan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM 2009: 15-17) telah mewartakan pengharaman pemikiran liberal melalui Muzakarah Kali Ke-74 pada 25-27 Julai 2006 memutuskan bahawa gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspe akidah dan syariah.

Pluralisme yang dimaksudkan oleh JAKIM adalah “menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung”.

Manakala liberalisme yang dimaksudkan JAKIM adalah meliputi fahaman-fahaman dari aspek akidah dan syariah. Dari aspek akidah, faktor penyelewengan adalah berpegang kepada konsep pluralisme, akal manusia merupakan wahyu dan meragui ketulenan al-Qur’an. Manakala dari aspek syariah, faktor penyelewengan adalah mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Qur’an dan al-Hadith, menggesa tafsiran baru, mempertikaikan kriteria dan akhlak kenabian, sikap terhadap ilmu-ilmu Islam dan sikap terhadap hukum.

Berikut adalah salinan memperincikan fatwa tersebut:

i. Gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang
didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah seperti berikut:

Aspek Akidah

a. Berpegang Kepada Konsep Pluralisme
Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.

b. Akal Manusia Adalah Wahyu
Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis danwahyuyang tidak bertulis.Wahyubertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.

c. Meragui Ketulenan Al-Quran
Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad S. A. W. yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

Aspek Syariah

a. Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Qur’an Dan Al-
Hadith

Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.

b. Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat

Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.

c. Mempertikaikan Kriteria Dan Akhlak Kenabian

Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.

d. Sikap Terhadap Ilmu-Ilmu Islam

Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al- Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran
Islam.

e. Sikap Terhadap Hukum

Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil
tujuan hukum bukan bentuk hukum. Manakala implikasi kepada fatwa ini disebut “Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam”.

Sumber:
Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM). 2009. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Kuala Lumpur: Visual Print Sdn. Bhd.
Sebarkan untuk manfaat umat Islam.

Dr. Muhammad Atiullah bin Othman

%d bloggers like this: