Sumber : Web JHEAINS

Tahun baru 1438 Hijriah sudahpun menjelang. Dan pastinya, umur kita semakin meningkat manakala jangka hayat semakin berkurang. Ini mengisyaratkan kepada kita agar meraikan kehadiran tahun baru ini dengan niat memperbaiki kualiti dan kuantiti amal wajib dan sunat.

Seterusnya bermuhasabah, yakni mengaudit diri sejauh mana kesiapsediaan dalam menempuh pelbagai agenda dan gelombang hidup di dunia ini sebelum berhijrah ke alam barzakh menuju akhirat. 2 Seperti halnya dengan seorang pemandu ataupun tuan punya kenderaan, dia perlu memeriksa keadaan kenderannya setiap hari – memeriksa keadaan kebersihan luar dan dalamnya, memeriksa keadaan tayar, brek, minyak dan sebagainya bagi mempastikan kenderaan tersebut berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan menuju destinasi.

Maka demikianlah juga halnya yang harus kita lakukan ke atas diri kita, iaitu menilai tahap keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan memeriksa serta menilai kuantiti dan kualiti amal serta usaha baik yang telah dilakukan selama ini. Andai kata kita masih lalai atau jarang-jarang mengerjakan suruhan Allah SWT seperti solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, zakat dan sebagainya, maka ia bermakna tahap keimanan dan ketaqwaan kita masih lemah.

Namun, jika kita tekun dan konsisten mentaati segala suruhan dan larangan Allah SWT dalam apa jua situasi dan kondisinya, ia adalah antara petanda keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT bersemi di hati.

Maksud firman Allah SWT:  “Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.” (S. Al-Anfal: 2-3).

Jelas dari mafhum firman Allah SWT tersebut, kualiti iman yang menentukan tahap ketaqwaan dan kepatuhan seseorang hamba kepada Allah SWT. Kuat atau lemahnya iltizam untuk memperbaiki keadaan diri daripada kurang baik kepada baik, daripada baik kepada keadaan yang lebih baik juga bergantung kepada kualiti iman seseorang. Jadi, tepuklah dada dan nilailah kualiti iman masing-masing selain berusaha menyuburkan dan meningkatkan kualiti iman agar terpahat kukuh kepercayaan serta keyakinan terhadap kewujudan dan kekuasaan Allah SWT selaku Pencipta dan Pentadbir seluruh alam ini.

Keimanan kepada Allah SWT disuburkan dengan menjadikan “cinta/kasih” kepada Allah SWT mendasari setiap amal dan perbuatan yang dilakukan. Perasaan cinta dan kasih kepada Allah SWT diterjemahkan melalui pematuhan terhadap semua syariat-Nya. Ia termasuk mentaati serta mencontohi Rasulullah SAW selaras firman Allah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah SWT maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (S. Ali Imran: 31).

Ayat ini menjelaskan bahawa satu dari cara bagi menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada Allah SWT ialah dengan mengamalkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Mereka yang mengasihi Allah SWT dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya pasti akan dikasihi Allah SWT jua.

Seseorang yang dikasihi Allah SWT akan cenderung serta gemar melakukan amal-amal soleh kerana beroleh kurniaan taufik dan hidayah-Nya. Rasulullah SAW diriwayatkan pernah menyatakan perihal ini melalui sabdanya yang antara lain bermaksud:

“Bila Allah menghendaki seorang hamba-Nya kebaikan, Dia akan menjadikan hamba-Nya beramal. Sahabat bertanya, “Bagaimana Allah menjadikan dia beramal?” Rasulullah bersabda lagi: “Allah mencurahkan taufik dan hidayah-Nya yang membawa rasa ingin mengubah dirinya ke arah suka beramal yang baik sebelum datang kematiannya.”

Ketibaan tahun baru Hijriah yang ditandai dengan perayaan Maal Hijrah di negara kita merupakan wadah mengajak umat Islam menggarab semangat serta nilai positif yang terkandung dalam peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat dari Makkah ke Madinah. Ia penting mengingat bahawa semangat dan sikap positif berkenaan beserta keyakinan terhadap pertolongan dan petunjuk Allah SWT membolehkan hijrah Rasulullah SAW menatijahkan kejayaan yang besar dan bermakna dalam sejarah perkembangan Islam dan umatnya.

Umat Islam yang pada permulaan hijrah hanya merupakan kumpulan minoriti dan serba kekurangan berubah menjadi umat yang kuat, maju dan dihormati hasil anjakan sikap mahu mentransformasi keadaan diri dan ummah ke arah yang lebih baik bertunjangkan ajaran Islam yang syumul.

Semangat serta sikap mahu dan sanggup melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik, betul dan syumul lahir dari kesungguhan mentauhidkan Allah SWT, kesungguhan berukhuwah, kesungguhan bersatu padu, kesungguhan membudaya ilmu, kesungguhan mencapai kemajuan, kesungguhan mempertahan kedaulatan negara dan sebagainya.

Ia adalah iktibar untuk tingkat prestasi dalam semua dimensi kehidupan dan mengelak kontraversi bagi memperoleh redha Ilahi supaya selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Oleh sebab itu, meskipun peristiwa hijrah Rasulullah tersebut kini hanya tinggal nostalgia untuk diambil pengajaran dan iktibar, namun semangat hijrah dan keperluan untuk berhijrah sentiasa relevan terutama sekali bilamana keadaan memerlukan.

Perubahan serta transformasi untuk tingkat prestasi ke arah yang lebih tinggi dan baik merupakan suatu usaha yang berterusan bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Advertisements