darussyifa-sabah-9-14-1024x550

Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/09/16/tuan-guru-dato-dr-haron-din-pelopor-perubatan-islam-di-malaysia/

Ilmu perubatan Islam bukanlah suatu yang asing bagi diri Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Ilmu perubatan ini didedahkan kepada beliau seawal umurnya belasan tahun lagi.

Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din mewarisi ilmu perubatan Islam daripada ayahanda tercinta. Ayahanda Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din berasal dari Patani dan menetap di Kampung Bohor Mali, Perlis. Beliau merupakan seorang pengamal perubatan yang melibatkan diri dalam dunia perubatan dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran, hadis dan doa-doa.

Daripada 10 orang adik-beradik, hanya Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din yang menunjukkan minat dalam bidang rawatan Islam ini, menyebabkan ayahandanya sering membawanya ketika merawat. Pengalaman yang dilalui oleh orang tuanya ketika merawat sama ada di rumah atau dijemput merawat pesakit secara tidak langsung melibatkan diri Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din dalam dunia perubatan walaupun umurnya ketika itu begitu muda.

Ayahanda beliau merupakan perawat yang disegani di kampung serta di kawasan sekitarnya. Sebagai tanda hormat, orang kampung telah mengelarnya Lebai Din. Tuan Guru Haron Din amat mengkagumi kejayaan ayahnya merawat orang gila, dirasuk dan juga penyakit kronik yang lain. Kekaguman melihat kejayaan ayahnya telah menyuntik keinginan beliau untuk mengikuti jejak langkah ayahandanya itu.

Setelah meningkat dewasa, beliau memujuk ayahnya supaya menurunkan ilmu yang dimilikinya kepada beliau. Ketika itu umur beliau baru belasan tahun dan masih menuntut di Sekolah Arab Al-‘Alawiyah. Walaupun beliau sering mengikuti bapanya merawat pesakit tetapi ayahnya tidak begitu mudah menurunkan ilmu yang dimilikinya serta berpesan agar anaknya itu mendalami ilmu agama terlebih dahulu. Beliau hanya diajar ilmu perubatan ketika berada pada akhir pengajian sekolah menengah di mana ilmu yang diajar hanyalah asas pengubatan sahaja.

Sebagai seorang murid, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din yakin terhadap dirinya walaupun menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Beliau juga berkeyakinan bahawa beliau dapat memberi khidmat pertolongan dengan baik kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, di samping belajar daripada ayahnya, beliau berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya. Selain bapanya, ahli keluarga beliau yang lain juga mahir dalam bidang perubatan Islam. Antaranya ialah bapa saudara beliau sendiri; iaitu Ustaz Said bin Ali.

Keluarga Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din memiliki banyak khazanah ilmu perubatan. Kunjung-mengunjung antara keluarga di Perlis dan Patani terus berlaku dan mereka sering berbincang tentang kaedah dan petua perubatan. Beliau selalu mendampingi ayahnya dan secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada beliau tentang ilmu perubatan.

Ketika belajar di Mesir, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din tertarik dengan kaedah rawatan yang diguna oleh Dr. Kamal yang dikenali sebagai hipnotisme. Setelah kembali ke tanah air, beliau berpeluang belajar dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi. Kaedah Haji Mursidi hampir sama dengan kaedah yang dimiliki oleh Dr. Kamal yang beliau kagumi itu.

Selain belajar melalui kitab dan pengalaman, Tuan Guru Haron Din juga mendalami ilmunya daripada alim ulamak yang menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah Almarhum Dr Al-Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi, seorang ulamak dari Malaysia yang menetap di Mesir.

Pemergian Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din buat kali kedua ke Mesir untuk mendapat ljazah Doktor Falsafah (1971-74) telah memberi peluang kepadanya untuk berdampingan dengan Dr Al-Sheikh Muhammad Idris Al-Marbawi. Antara doa yang dipelajari ialah doa penerang hati. Latar belakang doa ini ada kaitan dengan sunnah Rasulullah SAW.

Selain itu beliau juga berguru dengan Al-Syeikh Muhammad Bayumi, seorang yang alim dan sering berada dan mengajar di Masjid Al-Azhar. Ketika di Mesir pada awal 70-an, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang.

Bapak Mokhtar Lintang atau Pak Mokhtar adalah perawat yang menggunakan kaedah Islam. Kesempatan tersebut telah digunakan oleh beliau untuk menimba ilmu perubatan seberapa banyak yang boleh.

Sekembalinya ke Malaysia, ketika tinggal di Taman Bangi, Kajang, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din dikunjungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leh. Beliau mengaku sebagai seorang perawat yang terkenal di Langkawi.

Beliau telah mengajar beberapa kaedah rawatan kepada Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din. Antaranya ilmu berkaitan dengan penyakit barah, ketumbuhan, kayap, demam panas, penyakit kulit dan sebagainya. Beliau telah tinggal bersama dengan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din selama beberapa ketika.

Selain itu, Perlis tempat kelahiran Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din sememangnya mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan. Terdapat seorang perawat bernama Tok Omar yang banyak menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan di samping ayat-ayat Al-Quran.

Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din telah berkesempatan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan daripada beliau. Selain itu, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din juga berpeluang belajar dengan Tahir Abdullah yang dikenali dengan gelaran Tok Lang Kiang antaranya telah mengajar Tuan Guru Haron Din cara mengeluarkan sampah dari mata.

Perawat-perawat lain yang pernah mengajar Tuan Guru Haron Din adalah Pak Andak Noh dan Haji Husin atau dikenali sebagai Tuk Chin. Pak Andak Noh telah menurunkan ilmu mengeluarkan benda tajam dari badan manusia seperti besi, serpihan kaca, terkena racun dan sebagainya.

Ilmu yang diamalkan oleh Tuk Chin pula adalah ilmu yang dinamakan Laduni; iaitu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT khusus kepada orang yang tertentu. Sememangnya, perubatan Islam adalah ilmu berdasarkan syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang iaitu fizikal dan spritual.

Penekanan yang menjadi keutamaan Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din ialah rawatan dengan menggunakan doa-doa yang berdasarkan Al-Qur’an, hadis Rasulullah SAW dan doa-doa lain yang jelas maknanya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sungguhpun telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam, namun Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din masih lagi mencari ilmu baru dalam merawat pesakit.

Beliau sentiasa bertanya mereka yang arif dalam bidang ini di samping membaca pelbagai buku untuk menambahkan pengetahuan. Tidak semua kaedah yang dipelajari itu dipratikkan, hanya yang bertepatan dengan syariat sahaja akan diamalkan.

Dengan menyedari kepentingan pengubatan Islam dalam masyarakat, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din telah menubuhkan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia atau lebih dikenali dengan nama Darussyifa’ yang merupakan pelopor terawal dalam bidang pengubatan Islam di Malaysia.

Dengan berteraskan syariat Islam, Darussyifa’ telah mengorak langkah ke arah perkembangan pengubatan Islam khusus di Malaysia melalui pelbagai saluran. Bahkan, Darussyifa’ turut mendapat perhatian daripada negara-negara lain dalam usaha memartabatkan pengubatan Islam di mata dunia.

Darussyifa’ telah ditubuhkan pada tahun 1988 dan diluluskan pendaftarannya pada tahun 1989. Mengenai perkembangan pusat perubatan Islam itu, Darussyifa’ telah berjaya menubuhkan lebih 65 Pusat Rawatan Darussyifa’ di seluruh Malaysia termasuk 13 kelas pengajian di hampir setiap negeri.

Sehingga akhir tahun 2012, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din telah mengijazahkan lebih daripada 6000 orang graduan Darussyifa’.

Advertisements