Sumber : Web JHEAINS

Nun jauh di Tanah Suci Makkah di ketika ini, sedang berkumandang ucapan talbiah:

لَبَّیْكَ اللَّھُمَّ لَبَّیْكَ، لَبَّیْكَ لاَ شَرِیْكَ لَكَ لَبَّیْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَشَرِیْكَ لَكَ

yang bermaksud: “Aku datang kepada-Mu ya Allah, aku datang. Aku datang dengan tidak mensyirikkan Engkau, aku datang. Sesungguhnya segala kepujian kepada Engkau, segala nikmat dari Engkau dan kerajaan kepunyaan Engkau. Tiada sekutu bagi Engkau”.

Ucapan talbiah ini dikumandangkan sebagai menzahirkan penyerahan dan pengabdian diri kepada Allah SWT, selaku Tuhan yang berhak dan layak disembah. Dan, antara jutaan umat Islam yang melafazkan talbiah itu ialah para jemaah haji dari negara kita yang seramai 22,320 orang.

Mereka adalah antara jemaah dari seluruh pelusuk dunia yang diizinkan oleh Allah SWT untuk menjadi tetamu-Nya pada musim haji tahun ini mengerjakan rukun Islam kelima. Mereka memakai ihram yang sama warnanya yang melambangkan persamaan dan perpaduan dalam mengotakan niat menyahut kewajipan menunaikan rukun dan wajib haji yang telah ditatapkan.

Maksudnya: “…Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah Haji itu), maka sesungguhnya allah Maha kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (S. Ali- Imran: 97).

Sehubungan itu, peluang melaksanakan kewajipan ibadah haji yang disyariatkan oleh Allah ini merupakan satu nikmat yang besar dan amat bernilai. Ini kerana, selain dapat menyempurnakan kemuncak rukun Islam, ia juga memberi ruang kepada para jemaah untuk berkenal-kenalan dan mengeratkan ukhuwah dengan para jemaah dari seluruh dunia. Ibadah yang diwajibkan hanya sekali dalam seumur hidup ini juga memberi ruang dan kesempatan kepada para jemaah untuk melihat sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Allah SWT di tanah suci sekali gus berpeluang melawat tempat-tempat bersejarah di sana.

Selaku saudara seagama, marilah kita doakan para jemaah haji yang menjadi tetamu Allah SWT pada musim haji tahun ini beroleh ganjaran haji mabrur, yakni darjat haji yang mulia dan tertinggi di sisi Allah SWT. Segala dosanya akan terampun seperti bayi baru dilahirkan ibunya, manakala imannya semakin kuat dan amal ibadatnya juga semakin meningkat. Mudah-mudahan, mereka dapat pula membawa cermin kemabruran itu ke dalam lingkungan keluarga masing-masing, jiran tetangga, masyarakat dan seluruh tanah air agar terhindar daripada perbuatan dosa dan maksiat.

Seterusnya, berupaya memberi contoh teladan dalam melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah sikap negatif pada diri kepada bersikap positif. Bagi yang belum lagi berpeluang menyahut panggilan Baitullah, berusaha dan berazamlah bersungguh-sungguh untuk mendapatkan haji mabrur apabila tiba giliran untuk menjadi tetamu Allah SWT kelak.

Ketahuilah bahawa Muslim yang mendapat haji mabrur akan beroleh balasan syurga. Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Dari umrah ke umrah adalah penghapus dosa di antara kedua-duanya. Dan haji mabrur ada balasannya iaitu syurga.” (HR Bukhari dan Muslim).

Sementara para jemaah haji mengerjakan wukuf di Padang Arafah, kita di tanah air merayakan Aidiladha dengan melakukan ibadat korban menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, lembu, kerbau dan unta. Ia adalah sebagai memperingati, menghayati dan mencontohi sifat ketaqwaan Nabi Ibrahim AS dalam menyahut perintah Allah SWT agar ‘menyembelih’ anaknya Nabi Ismail AS. Demikian juga dengan sifat ketaatan Nabi Ismail AS yang redha menerima perintah Allah SWT itu tanpa protes juga harus dijadikan ibrah serta ikutan dalam proses mentarbiah diri menjadi insan Muslim yang muttaqin.

Walaupun kita barang kali tidak diuji dengan situasi yang memerlukan pengorbanan besar seperti Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS, namun kisah tersebut sarat dengan pengajaran agar manusia bersedia melakukan pengorbanan dalam kerangka mencapai darjat taqwa di sisi Allah SWT bagi memastikan kehidupan di dunia dan di akhirat kelak lebih bermakna.

Dengan kata lain, pengertian ibadah korban tidak harus disempitkan hanya kepada pengorbanan menyembelih binatang pada hari raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik sematamata. Ibadah korban harus dilihat dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh sehingga mencakupi kebaktian kepada Allah SWT selaku Pentadbir seluruh alam, berbakti kepada manusia, memelihara alam sekitar dan sebagainya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya).” (S. Ali-Imran: 133-135).

Berpandukan kepada mafhum firman Allah SWT tersebut, manusia perlu berkorban bagi mencapai darjat taqwa dan mendapat balasan syurga. Antara pengorbanan yang dituntut itu adalah:

Pertama, berkorban dari segi tenaga dan masa, yakni memanfaatkan tenaga serta masa hidup di dunia ini untuk mengerjakan amal-amal soleh.

Kedua, berkorban dari segi harta, yakni bersifat pemurah mendermakan atau membelanjakan harta pada perkara-perkara yang berkebajikan seperti membantu orang miskin dan mangsa bencana.

Ketiga, berkorban dari segi emosi, yakni menahan sifat pemarah dan bersedia memaafkan kesalahan orang.

Keempat, berkorban mengikis perasaan ego dan rasa banga diri dengan segera bermuhasabah diri dan bertaubat kepada Allah SWT.