Sumber : Web JHEAINS

“Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);” (S. AlFajr: 1-2).

Mafhum ayat ini menjelaskan bahawa Allah SWT menganugerahkan pada sepuluh malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain. Kenyataan ini diperkukuhkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada harihari yang sepuluh ini. Sahabat bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Jawab Rasulullah SAW, “Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid”. (HR Al-Bukhari).

Firman Allah SWT dan sabda Rasulullah yang menjelaskan perihal kelebihan dan keistimewaan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah ini merupakan galakan kepada umat Islam supaya memperbanyakkan amal soleh. Antara amalan yang sunat dilakukan dan digalakkan ialah:

Pertama, mengerjakan ibadah puasa, terutama sekali pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun yang lalu dan yang akan datang. Ini sebagaimana Hadith daripada Abi Qatadah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa pada hari Arafah menghapuskan dosa setahun yang lalu dan yang akan datang.” (HR Muslim).

Kedua, memperbanyakkan zikir, yakni bertahlil, bertakbir dan bertahmid. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari harihari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (La-ilaha-illallah), bertakbir (Allahu Akbar) dan bertahmid (Alhamdulillah). (HR Ahmad).

Ketiga, Menyambut dan merayakan Aidiladha atau Hari Raya Korban (hari Nahr), pada 10 Zulhijjah. Ia disambut dengan menunaikan solat hari raya secara berjemaah pada pagi 10 Zulhijjah, mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib supaya mendapat pengajaran daripadanya dan disusuli dengan pelaksanaan ibadah korban. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya perkara pertama yang kita mulakan pada hari ini (Aidiladha) ialah kita solat kemudian menyembelih (binatang korban). Oleh itu, sesiapa yang melakukan sedemikian dia telah menepati sunah kami. Sesiapa yang menyembelih sebelum solat, sesungguhnya sembelihan itu hanyalah menjadi daging untuk diberikan kepada keluarganya (sedekah) bukan termasuk binatang korban.” (HR Muslim).

Advertisements