Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/08/10/maqasid-syariah-vs-hawa-nafsu/

Maqasid Syariah vs. Hawa Nafsu
Oleh: Imran al-Malizi

Ketika Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkunjung ke Jordan pada bulan April tahun ini, satu majlis ramah mesra dengan para pelajar diadakan di Universiti Yarmouk. Salah seorang pelajar bukan aliran syariah bertanya soalan mengapa sebahagian golongan agamawan tidak terbuka dengan golongan yang menerima pakai ‘maqasid’ dan melabel mereka sebagai ‘liberal’?

Seperti biasa, Dr. Zulkifli amat cermat dalam menyusun kata-kata dan memilih perkataan. Antara jawapan beliau yang saya masih ingat; “Apa yang menjadi masalahnya ialah ada golongan menjadikan maqasid sebagai dalil syarak. Maqasid bukanlah dalil-dalil syarak.”

Mendengar jawapan beliau itu membuatkan saya mengangguk dan tersenyum dari jauh.

Ya, maqasid adalah hasil dan natijah daripada pelaksanaan hukum-hukum syarak. Bagi pembaca yang pertama kali membaca tulisan ini, sila rujuk artikel awal bertajuk; “Kekeliruan Maqasid Syariah; Dapatkan kenyang dahulu, baru cerita tentang makan?”

Sila klik:
[http://ulamasedunia.org/2016/08/06/kekeliruan-maqasid-syariah-dapatkan-kenyang-dahulu-baru-cerita-tentang-makan/ ]

[http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/42028-keliru-maqasid-syariah-kenyang-dulu-baru-makan]

Adakah Syariah itu hudud semata-mata?

Ada yang berkata seolah-olah saya menganggap syariah itu hanya hudud. Mungkin mereka tidak membaca tulisan saya sebelum ini secara penuh atau memilih perenggan tertentu untuk mengkritik.

Saya telah menukilkan secara jelas bahawa syariah itu merangkumi segala apa yang diturunkan oleh Allah berupa hukum-hakam yang berkaitan dengan akidah, amalan dan akhlak. Bahawa seluruh hukum-hakam yang diturunkan dari sisi Allah adalah dianggap sebagai syariah.

Dalam tulisan terdahulu, saya menyentuh banyak tentang hudud dan RUU 355 yang berkaitan dengan kesalahan jinayah syar’iyah kerana telah tersebar ungkapan yang merosakkan berbunyi: “Tegakkan maqasid syariah dahulu, baru cerita tentang hudud”.

Hakikatnya, saya hanya respon terhadap kenyataan ahli-ahli politik (bukan seorang) yang secara yakin menerima Maqasid Syariah dan tidak mahu kepada hudud. Bukankah hudud itu sebahagian daripada syariah?

Ilmu Fiqh (Fekah), Usul al-Fiqh dan Maqasid Syariah

Bagi orang awam, kita hanya dituntut mempelajari ilmu yang bersifat fardu ain, termasuk ilmu fiqh (fekah) yang berkaitan dengan urusan seharian seperti ibadat, muamalat dan lain-lain.

Kita perlu mengetahui hukum halal atau haram, sah atau batal, wajib, sunat, harus, makruh dan haram tanpa dibebankan untuk mengetahui dalil-dalilnya dan mengkaji secara terperinci. Perbahasan dalil-dalil hukum merupakan lapangan ilmu bagi mereka yang mempelajari ilmu-ilmu syariah secara khusus iaitu apa yang dinamakan ilmu Usul al-Fiqh.

Dengan Usul al-Fiqh, barulah kita mengetahui asas-asas bagaimana sesuatu hukum itu terhasil dan mengapa ada hukum yang disepakati oleh para ulama dan mengapa berlaku perbezaan pendapat sehingga terdapat berbeza-beza mazhab fekah. Ini jelas menunjukkan medan ilmu ini bukan untuk diharungi oleh orang-orang kebanyakan.

Menurut para ulama Usul al-Fiqh, dalil-dalil syarak yang disepakati ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Manakala yang tidak disepakati ialah al-Istihsan, al-Istishab, al-Masalih al-Mursalah, al-‘Uruf, ‘Amal Ahlil-Madinah, Qaul as-Sahabiy, Syar’ man Qablana, al-Istiqra’ dan al-Akhzu bi Aqalli ma Qiila.

Istilah-istilah ini mungkin asing bagi kebanyakan orang. Mungkin ada yang sekadar pernah mendengarnya sahaja. Tidak mungkin semua orang wajib menguasai dalil-dalil ini semata-mata untuk mengetahui cara berwudhu, solat, zakat, puasa, haji, jual beli, sewa menyewa, nikah, talak dan lain-lain yang berkait dengan realiti kehidupan mereka.

Mereka hanya perlu bertanya hukum kepada mereka yang berkelayakan, sama ada guru-guru agama, para ulama atau mufti setempat.

Begitulah jika kita mendapatkan ubat di farmasi, kita hanya perlu mendapatkan senarai ubat-ubatan setelah diperiksa (diagnosis) oleh doktor dan memakan ubat mengikut nasihatnya. Kita tidak perlu mengkaji kandungan kimia dalam ubat atau perlu melawat kilang di mana ubat itu dihasilkan.

Kita tidak perlu jadi lebih pandai daripada doktor. Juga tidak mungkin kita ikut arahan doktor lain yang tidak memeriksa penyakit kita. Sedangkan para doktor juga masing-masing ada bidang kepakaran dan pengkhususannya.

Oleh itu, jika golongan yang tiada asas dan kelayakan turut campur tangan dalam perbahasan ilmu maqasid ini, seumpama semua orang juga layak menjadi doktor, pakar bedah, jurutera, arkitek, pakar nuklear, pakar astronomi dan lain-lain.

Maqasid Syariah bukanlah dalil-dalil syarak untuk mengeluarkan hukum-hakam. Maqasid Syariah adalah satu cabang ilmu yang penting bagi mereka yang mendalami ilmu Usul al-Fiqh, terutamanya apabila berdepan dengan masalah-masalah baru. Ilmu maqasid ini dapat membantu seseorang mufti untuk berijtihad bersesuaian dengan realiti semasa dan setempat.

Dia perlu tahu dalil yang qath’i (putus dan tetap hukumnya) dan dalil yang zhanni (samar dan terbuka kepada penafsiran hukumnya). Tanpa memenuhi kriteria-kriteria tertentu, ilmu maqasid akan jadi ‘permainan’ di celah-celah jari golongan yang mengikut hawa nafsu.

Maqasid Syariah vs. Hawa Nafsu

Orang yang berbicara tentang maqasid perlu mahir tentang hukum-hakam syariah dan perbahasan fiqh dari asas-asasnya. Bukan secara jalan pintas menjadi ‘pakar’ maqasid tanpa mengikut susunan abjadnya.

Maqasid tidak boleh menggantikan apatah lagi membatalkan dalil-dalil syarak. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, tidak mungkin maqasid bercanggah dengan dalil-dalil syarak. Sepatutnya orang yang berbicara tentang maqasid syariah adalah orang yang berpegang teguh dengan syariah dan berdiri bersama-sama pelaksanaannya.

Ada penulis yang mengkritik penegakan syariah tidak seharusnya berlandaskan hawa nafsu dan mengharapkan manfaatnya secara tergesa-gesa kerana hakikatnya syariat diturunkan adalah untuk mengeluarkan manusia daripada hawa nafsu sehinggalah mereka kembali tunduk mengabdikan diri kepada Allah.

Mereka ini lupa, manusia banyak mengikut hawa nafsu kerana tidak menjalankan undang-undang syariah. Adakah dengan menggunapakai undang-undang jahiliyyah (Common Law of England atau Code civil des Français) dan meminggirkan syariah itu satu bentuk pengabdian kepada Allah?

Saya memetik semula hujah al-Imam Ibn ‘Asyur (1393H) tentang Maqasid Syariah, menurutnya tanpa melaksanakan syariah, manusia tidak akan dapat menolak kejahatan melainkan akan berlaku kejahatan, sebagaimana diisyaratkan oleh firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِفْ فِي الْقَتْلِ

“Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu,” (Al Isra: 33)

Sesungguhnya Allah Ta’ala berfirman lagi:

وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka.”(Al-Maidah: 49)

Sehingga Allah menyatakan:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah?” (Al-Maidah: 50)

Ayat ini membawa perintah ingkar dan ancaman terhadap setiap orang yang berbisik dalam dirinya sendiri, bergembira dalam keadaan begitu (meninggalkan syariah), walaupun ayat ini turun dengan sebab yang khusus. Di antara sejumlah hukum jahiliyyah ialah (waris) mangsa mengambil jalan membalas dendam.[Maqasid al-Syariah al-Islamiyah, Dar al-Salam, cet.6, 1435H, hal.232]

Ini bermakna, jika tidak dilaksanakan hukum qisas, manusia berada dalam undang-undang jahiliyyah atas nama apa sekali pun. Bolehkah undang-undang sivil menyelesaikan isu ini?

Sedangkan dalam kes bunuh, keluarga mangsa tidak mendapat apa-apa pampasan dan jika ada denda sekalipun hanya dibayar kepada pihak kerajaan lalu keluarga mangsa menggigit jari! Adakah dosa si pembunuh terampun dengan hukuman ciptaan manusia tanpa pengampunan waris si mati?

Memahami nas atau teks syariat (fiqh al-nusus)
Antara syarat mendalami ilmu maqasid ialah memahami nas (fiqh al-nusus). Iaitu memahami teks al-Quran atau hadith. Saya bawakan satu lagi ayat semisal surah al-Maidah, ayat 49 di atas. Perhatikan ayat ini:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الأمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لا يَعْلَمُونَ

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui.” (Al-Jatsiyah: 18)

Dalam kedua-dua ayat di atas (Al-Maidah, ayat 49 dan Al-Jatsiyah, ayat 18), Allah memerintahkan agar menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah dalam al-Quran dan mengikut syariat yang diperintahkan.

Kemudian Allah melarang mengikut hawa nafsu golongan Yahudi, Bani Israel dan juga dilarang mengikut seruan orang-orang jahil yang kafir.

Menurut Qatadah, yang dikatakan syariat itu ialah perkara-perkara kefarduan, hudud, perintah (Allah) dan larangan(Nya).

[Rujuk: Tafsir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi l-Quran, Jil.3,hal.249 & Jil.648]

Maka itu, orang-orang yang meninggalkan syariat Allah, mereka itulah golongan yang mengikut hawa nafsu dan bukan sebaliknya. Penulis itu juga berhujah dengan menyalahtafsirkan kata-kata Al-Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah (751H):

فَإِن الشَّرِيعَة مبناها وأساسها على الحكم ومصالح الْعباد، فِي المعاش والمعاد، وَهِي عدل كلهَا، وَرَحْمَة كلهَا، ومصالح كلهَا، وَحِكْمَة كلهَا، فَكل مَسْأَلَة خرجت عَن الْعدْل إِلَى الْجور، وَعَن الرَّحْمَة إِلَى ضدها، وَعَن الْمصلحَة إِلَى الْمفْسدَة، وَعَن الْحِكْمَة إِلَى الْعَبَث فليستْ من الشَّرِيعَة ، وإنْ أُدخلتْ فِيهَا بالتأويل ، فالشريعة عدل الله بَين عباده، وَرَحمته بَين خلقه، وظله فِي أرضه وحكمته الدَّالَّة عَلَيْهِ وعَلى صدق رَسُوله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم.

“Sesungguhnya syariah itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang bertentangan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun dimasukkan (dikategorikan) dalam syariah dengan takwilan. Maka syariat itu ialah keadilan Allah di kalangan hamba-hambaNya, kerahmatanNya di kalangan makhluk-makhlukNya, naunganNya di bumiNya dan hikmahNya yang menunjukkan (kebijaksanaan)Nya dan kebenaran RasulNya S.A.W ”. [I’lam al-Muwaqqi’in, Jil.3, hal.14-15]

Dia menyelewengkan kata-kata Al-Imam Ibn Qayyim ini, kononnya golongan yang hendak melaksanakan syariah akan melakukan kerosakan dan mengikut hawa nafsu!

Perhatikan apakah sebenarnya maksud Ibn al-Qayyim tentang maslahah hamba-hamba Allah?

Apakah kebaikan (maslahah) dunia dan akhirat yang dapat dicapai dengan membiarkan undang-undang manusia berkuasa?

Apakah kebaikannya, jika si penyamun menerima hukuman dunia sedangkan syarat-syarat dosanya diampunkan tidak dipenuhi?

Si Penuduh zina (Qazaf) tidak dihukum sebat dan dia bakal ‘muflis’ di akhirat? Orang yang dituduh berzina dan liwat ditelanjangkan maruahnya tanpa mendapat keadilan dan pembelaan syarak?

Si peminum arak mampu tersengih membayar denda yang langsung tidak menginsafkannya?

Orang Islam berzina tanpa perasaan malu bahkan berbangga menjaja aksi ranjangnya di sana sini?

Tidakkah dia sedar, bahawa dengan sebab meninggalkan dan tidak melaksanakan syariah, keadilan akan bertukar kezaliman? Rahmat akan bertukar sebaliknya? Kebaikan bertukar dengan kerosakan? Hikmah bertukar dangkal?

Semua ini berpunca kerana membiarkan undang-undang selain Allah berkuasa, sekalipun diwajarkan dan ditakwil bertepatan dengan ‘maqasid’! Kononnya menjaga maslahah dan menolak mafsadah?

Sungguh malang, si penulis itu hanya menceduk tulisan-tulisan di alam maya dan diolah mengikut kemahuan sendiri.

Siapakah yang mengikut hawa nafsu? Orang yang berpegang dengan syariat atau membiarkan hukum-hukum selain Allah berjalan lalu ditakwilkan itu menepati maqasid?

Ada pula yang berhujah, utamakan pendidikan dahulu..
Ketahuilah pendidikan sudah lama berjalan, halal dan haram dalam agama sudah diketahui umum. Akan tetapi tiada undang-undang yang mampu yang mengekang kerosakan dan kemungkaran daripada terus berleluasa.

Pendidikan dan pencegahan perlu ditegakkan secara seiring. Undang-undang hudud adalah jaminan pencegahan dari Allah Yang Maha Bijaksana. Ini hanya bagi mereka yang benar-benar beriman dengan syariatNya. Kerana itu, Allah mengaitkan keimanan dengan Amar Makruf dan Nahi Munkar.

Firman Allah Ta’ala:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan;” (Al Taubah: 71)

‘Maslahah’ sehingga menyanggahi Rukun Islam dan Syariah

Prof. Dr.Yusuf al-Qaradhawi menyelar golongan menyalahgunakan maqasid dan menolak rukun-rukun Islam atas nama memelihara kebaikan (maslahah):

“Sesungguhnya kita telah melihat orang-orang menyanggahi nas-nas yang qath’i (hukum-hakam yang telah jelas) atas nama maslahah, sedangkan hakikatnya bukan begitu. Sehingga ada di kalangan mereka itu menyanggahi rukun-rukun Islam itu sendiri, iaitu solat, puasa, zakat dan haji.

Mereka menyangkakan solat mengganggu pekerjaan, pemberian zakat menggalakkan pengangguran, berpuasa meminimumkan produktiviti, bahawa haji menghabiskan wang yang banyak di mana kita memerlukannya!

Sehingga ada di kalangan mereka itu berkata, sebenarnya tujuan ibadat adalah untuk menyucikan jiwa. Kami sudah mampu mencapai matlamat (maqasid) ini tanpa melakukan ibadat!

Dari kalangan mereka ada yang menyeru supaya dibolehkan penzinaan, mengembalikan aktiviti pelacuran yang pernah berjalan di beberapa negara Islam pada zaman penjajahan. Mereka meminta supaya dibolehkan minuman arak bagi menggalakkan pelancongan, menzahirkan kemajuan, mereka meminta agar dibolehkan riba dengan alasan yang pelbagai.

Apa yang paling menonjol, mereka menyanggahi hukum-hakam yang qath’i (tetap dan tidak akan berubah) atas nama maslahah. Iaitu hukum hudud dan hukuman-hukuman yang disyariatkan oleh Allah yang mana Dia mewajibkan pelaksanaannya dengan syarat-syarat dan kriteria-kriterianya. Ketegasan terhadap jenayah dan mengekang para penjenayah.

Iaitu seumpama hukuman bagi kesalahan mencuri ialah potong tangan, hukuman menuduh orang berzina ialah sebat, begitu juga sebat bagi kesalahan zina yang sabit dalam al-Quran dan hukuman rejam yang sabit dengan Sunnah (hadith). Demikian juga hukuman bagi rompakan dan penyamun di jalanan.

[As-Siyasah as-Syar’iyyah fi Dhau’ Nusus as-Syari’ah wa Maqasidiha, Muassasah al-Risalah, cet.1, (1422H/2001M), hal.231]

‘Maqasid’ menghalalkan Liberalisme?

Tentulah malang apabila ilmu maqasid sudah diperbahaskan kepada mereka yang tidak solat, tidak menutup aurat, bergaul bebas, tiada menjaga sempadan halal dan haram, para penyembah sekularisme, kapitalisme, sosialisme, hak asasi manusia (humanism), marxism, demokratik total, post Islamism dan pelbagai ideologi dan istilah yang muncul dahulu dan terkini.

Akhirnya ‘maqasid’ yang mereka fahami ‘separuh masak’ telah menjustifikasikan pegangan mereka yang salah dan apa yang mereka perjuangkan. Sehingga apabila diberitahu apa yang mereka laungkan itu bertentangan dengan syariah, lalu mereka menjawab; ini bertepatan dengan ‘maqasid’?

Seolah-olah maqasid itu lebih tinggi daripada perintah syarak dan menjadi dalil-dalil baru menggantikan nas-nas (teksual) al-Quran, Hadith, Ijmak dan Qiyas.

Seakan-akan maqasid berautoriti untuk membatalkan apa yang telah sabit tentang halal dan haram, apa yang diperintah dan apa yang ditegah?

Saya juga ingin memetik luahan rasa Dr.Khalif Muammar (Felo Penyelidik, Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia):

“llmu Maqasid al-Shari’ah adalah ilmu tentang falsafah hukum Islam. Ilmu ini dipelajari oleh pelajar-pelajar dalam bidang Syariah bagi memantapkan kefahaman tentangnya, bagi seorang Qadi dan Mufti ia adalah ilmu yang wajib dikuasai agar keputusan dan fatwa yang dikeluarkan tidak terkeluar daripada tujuan dan landasannya.

Ibarat membuat rumah mestilah ada falsafah pembuatan rumah, yang biasanya dikuasai oleh arkitek. Pemerintah atau menteri yang membangun universiti mestilah memahami falsafah di sebalik pembangunan universiti, jika tidak universiti akan kehilangan maknanya dan tidak mencapai tujuannya.

Tidak ada orang yang belajar falsafah universiti menolak pembangunan universiti. Ini kerana universiti adalah kenderaan yang mesti dipakai untuk mencapai tujuan (falsafahnya). Demikian juga Syariah adalah kenderaan agar tujuan Maqasid al-Syariah tercapai. Tujuan ini bukan manusia yang tentukan, ia ditentukan oleh Syarak. Hal ini telah ditegaskan oleh Imam al-Ghazali, al-Syatibi dan lain-lain.

Pada hari ini terdapat usaha golongan modenis dan liberal ke arah ‘pendemokrasian’ dan pensekularan Maqasid al-Syariah maka kita lihat semakin ramai orang yang menolak Syariah atas alasan menegakkan Maqasid al-Syariah.

Di Indonesia telah ada pensyarah universiti yang menghalalkan homoseksual dengan alasan ianya mendatangkan mawaddah wa rahmah. Kita perlu lebih berhati-hati dengan kekeliruan pemikiran ini.”
[ https://www.facebook.com/drkhalif/?fref=nf ]

Penutup

Dalam tulisan-tulisan berikutnya, saya akan menjawab keraguan yang ditimbulkan; mengenai pandangan tokoh luar bahawa hudud tidak perlu lagi dilaksanakan di Malaysia, perkara yang lebih utama adalah mencapai konsensus, perlu ditangguh pelaksanaannya jika membawa kepada mudarat yang lebih besar, hanya dilaksanakan apabila majoriti menyokongnya, masyarakat majmuk, hukuman hudud dihentikan pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab, hujah ditangguhkan ketika peperangan dan lain-lain lagi yang biasa bermain di lidah golongan yang tidak membantu usaha memartabatkan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah.

Advertisements