Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/08/08/dasar-luar-baru-turki-pasca-era-kebangkitan/

Tempoh sejak Januari 2011 hingga ke hari ini, bulan Ogos 2016, ialah satu tempoh yang sangat panjang dalam politik Asia Barat dan Afrika Utara; satu bahagian besar dan rancak dalam dunia Islam selain Asia Tenggara.

Pada awal 2011, kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir dianggap sebagai tanda aras penting; dan dilihat hampir keseluruhannya daripada sudut demokrasi dan hak asasi, akibat daripada pemerintahan diktator yang telah berlangsung selama puluhan tahun.

Tetapi kebangkitan ini tidak dapat mengelak daripada memberi kesan kepada kuasa-kuasa berpengaruh serantau, yang sentiasa mempunyai kepentingan melibatkan negara-negara sekeliling.

Satu tajuk yang paling awal diangkat, terutama oleh media dan pembuat dasar Barat, ialah perlaksanaan demokrasi dan sekularisme dalam politik dan pemerintahan yang dikenali sebagai ‘model Turki’, diambil daripada contoh Turki sebagai sebuah republik yang sekular tetapi beridentiti Islam yang kuat.

Sebelum populariti dan imej positif Turki di bawah pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan terjejas akibat pelbagai isu dalaman dan serantau, model Turki diangkat sebagai satu contoh yang unggul di dunia Arab, yang hampir kesemuanya penduduk majoriti Muslim dan mempunyai gerakan Islam yang berpotensi menguasai politik.

Turki dianggap sebagai sebuah negara Islam yang demokratik dan progresif menurut perspektif Barat; dan negara-negara dilanda kebangkitan disaran mengikut contoh Turki itu, yang dikuasai sebuah parti sejak 2002 dengan kemenangan dalam pilihan raya yang selesa.

Satu persoalan yang dibincangkan ialah mampukah model Turki ditiru oleh negara-negara Arab, dengan meletakkan pendemokrasian dan sekularisasi sebagai faktor yang paling penting?

Model Turki yang disebut pada masa ini mengulangi episod-episod sebelum ini, iaitu sewaktu penubuhan republik oleh Mustafa Kamal Ataturk yang menamatkan pemerintahan Daulah Uthmaniyah, dan kemudian selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, apabila model Turki disarankan kepada negara-negara republik pasca-Soviet majoriti Muslim di Asia Tengah.

Turki ialah sebuah negara penting dalam kebangkitan rakyat yang digelar ‘Arab Spring’ ini, disebabkan peranannya sebagai sebuah model pemerintahan dan bentuk parti politik Muslim; dan juga disebabkan kepentingannya dalam kebangkitan sejak 2011.

Pada awal kebangkitan, Turki masih berimej amat positif dan prospek perluasan pengaruhnya melalui hasil kebangkitan rakyat kelihatan hampir tercapai, disebabkan sokongannya kepada gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan kemudian di Syria.

Selepas Ikhwan dilihat berjaya memulakan penguasaan dalam pentadbiran Mesir, Turki kelihatan semakin mengukuhkan pengaruhnya di sebuah negara penting, iaitu Mesir yang secara tradisi merupakan sebuah negara Arab yang berpengaruh dari segi politik dan budaya.

Kemudian, Turki melalui peranan dan perancangan gandingan Erdogan dan Menteri Luar Ahmet Davutoglu cuba meluaskan lagi pengaruh ke Syria melalui bantuan dan sokongan kepada kumpulan penentang pemerintah di negara Syam itu.

Sepanjang 2011 hingga 2012 dan kemudian 2013, Turki kelihatan hampir dapat meluaskan pengaruh di Syria melalui kumpulan yang disokongnya. Selama tempoh itu, Presiden Bashar Al-Assad dianggap sudah hampir di penghujung hayat pemerintahannya dan bakal jatuh bila-bila masa.

Tetapi tempoh ‘bila-bila masa’ itu berlanjutan hingga mencapai empat tahun dan kemudian memasuki tahun 2016, dengan kos ekonomi dan politik kepada Turki yang terus meningkat tanpa menampakkan prospek kejatuhan Assad dengan jelas.

Pada masa sama, Qatar, negara sekutu rapat Turki mengalami perubahan drastik apabila berlaku peralihan kuasa pada tahun 2013; apabila emir yang berkuasa menyerahkan kuasa kepada anaknya, sekaligus mengubah dasar luar aktif negara pendukung paling kuat Ikhwanul Muslimin itu.

Sekitar masa yang sama, trajektori kebangkitan Qatar yang menjadi berita besar antarabangsa sejak sekurang-kurangnya tahun 2011 itu mula berubah dan semakin perlahan.

Pada 2016, kebangkitan pantas Turki – dan sekutunya Qatar – mula tersekat, walaupun halangan-halangan telah muncul semakin banyak sejak tahun-tahun sebelumnya lagi, melibatkan konflik di Syria dan hal-hal berkaitannya termasuk isu pelarian.

Bermula tahun sebelumnya, 2015, imej Turki juga mula diserang hebat di media Barat terutamanya, dan tajuk berita dan rencana ‘The End of the Turkish Model’ muncul di beberapa media dan menjadi tajuk perbincangan kalangan akademik dan pembuat dasar.

Kemudian, pada Jun 2016, selepas berbulan berunding, Ankara mencapai normalisasi hubungan dengan Israel, yang terjejas teruk ekoran episod serangan maut tentera negara Zionis itu ke atas aktivis Turki yang membawa bantuan ke Gaza, Palestin.

Turki juga pada masa yang sama mahu memulihkan hubungan dengan Mesir, negara yang mempunyai kepentingan bertentangan dengannya melibatkan kebangkitan ‘Arab spring’. Turki bersama Qatar ialah penyokong kuat Ikhwanul Muslimin manakala Mesir ialah musuh ketat Ikhwan, bersama-sama dengan negara yang berkongsi sikap yang sama; Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait.

Pada masa sama, Turki berusaha memulihkan hubungan dengan Rusia, yang pengaruhnya makin mengukuh dalam menentukan perkembangan di Syria, satu medan yang Ankara mempunyai kepentingan dan tidak mahu disingkir daripada menjadi salah satu penentu.

Selepas cubaan rampasan kuasa, satu perubahan melibatkan geopolitik Turki mula kelihatan, apabila hubungan dengan Barat terutama Amerika Syarikat kelihatan terjejas dan hubungan dengan Rusia mula pulih.

Perubahan ini dijangka tidak akan berlaku dengan mudah dan tidak berlaku secara drastik, dengan Turki meninggalkan terus AS dan Nato, dan menjarakkan diri daripada Kesatuan Eropah, EU.

Turki masih mempunyai kepentingan yang kompleks, yang menjelaskan pemulihan hubungan dengan Israel dan Rusia; dua negara yang berpotensi menjadikan Turki sebagai hab bekalan gas ke Eropah dan rakan perdagangan penting, selain kepentingan politik untuk menjaga hubungan dengan negara berpengaruh tersebut.

Apapun, perkembangan terkini Turki, sekutunya dan negara-negara Arab serantau telah menampakkan dengan jelas lagi kepentingan dan sikap kuasa-kuasa di rantau Asia Barat dan sekitarnya, memberikan penjelasan lebih mendalam tentang kebangkitan Arab dan perkembangan serantau sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Oleh : Haris Zalkapli

Advertisements