Sumber : Web JHEAINS

Tahmid dan syukur kita rafakkan ke hadrat Allah SWT yang menganugerahi negara kita dengan nikmat kemerdekaan dan keamanan. Ia paling berharga dan bermakna bagi setiap warga yang menghuni bumi bernama Malaysia ini. Dengan kemerdekaan dan keamanan yang wujud, rakyat berbilang kaum bebas mencari rezeki di setiap inci muka bumi negara ini. Manakala di pihak pemerintah pula, kemerdekaan dan keamanan membolehkannya melaksanakan segala dasar pembangunan dengan lancar dan berkesan untuk mensejahterakan kehidupan rakyat.

Dengan hal yang demikian, kemerdekaan adalah antara nikmat yang amat bernilai dan besar ertinya dalam suasana dan wajah dunia yang tidak sunyi daripada kekejaman sesama manusia, keserakahan perebutan kuasa, dan penjajahan minda. Maka, kemerdekaan yang telah dikurniakan oleh Maha Pencipta ini seharusnya disyukuri oleh setiap rakyat. Satu daripada caranya ialah dengan memupuk subur dan memelihara nikmat kemerdekaan bagi memastikan obor yang dinyalakan oleh para pejuang terdahulu tidak menjadi kelam dan malap.

Marilah kita insafi bersama bahawa Allah SWT tidak akan mengubah keadaan dan nasib kita kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya jika kita tidak mahu berusaha mengubah keadaan yang ada pada diri kita sendiri. Maka, selaku pewaris kemerdekaan, kita hendaklah sentiasa mengenang dan mengingati betapa payahnya keadaan hidup rakyat semasa dijajah dahulu.

Walaupun barangkali sebahagian besar daripada generasi hari ini tidak pernah merasakan keperitan hidup sebelum merdeka, namun jadikanlah pengalaman pahit serta penderitaan hidup yang dirasai dan dialami oleh datuk nenek atau mungkin ibu bapa kita di zaman pemerintahan British dan Jepun sebagai pengajaran dalam memperbaiki diri dari segi pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya ke arah membentuk penghidupan yang lebih baik daripada hari kelmarin.

Dalam hubungan ini, renungilah seruan Nabi Musa AS yang menggesa kaumnya supaya mengingati betapa besarnya nikmat kemerdekaan setelah bebas daripada diperhambakan oleh Firaun:

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah) mereka wahai Muhammad, ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang nabi, dan Dia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhambakan oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Dia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorangpun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”. (S. Al-Maaidah: 20).

Inti pati daripada mafhum ayat ini menghimbau setiap warga negara ini supaya tidak pernah alpa daripada mengenang dan mensyukuri nikmat kemerdekaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT. Semua pihak termasuk pemimpin dan rakyat tanpa mengira ideologi mesti bersyukur dalam menikmati ruang kehidupan yang jauh lebih baik berbanding ketika di awal kemerdekaan dahulu.

Kesyukuran dan kesedaran akan menginsafkan diri untuk melakukan yang terbaik untuk mengisi dan memaknakan kemerdekaan ini dengan berusaha bergerak ke hadapan mencapai kemajuan dalam semua dimensi kehidupan berlandaskan pembangunan jasmani dan rohani yang seimbang. Ini bagi memenuhi aspirasi kemerdekaan mewujudkan negara yang berdaulat dan makmur dalam limpahan rahmat dan keredhaan Allah SWT.

Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun menjadi platform terbaik dalam menyuburkan kesyukuran terhadap nikmat kemerdekaan sekaligus memulihara semangat kesatuan dan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara kita.

Hari yang bersejarah itu juga mengingatkan setiap warga supaya memainkan peranan dalam mempertahankan apa yang dimiliki hari ini berkekalan selama-lamanya hingga ke akhir dunia. Ia penting kerana nikmat kemerdekaan, perpaduan, dan keamanan yang ada pada hari ini boleh lenyap mahupun diragut sekelip mata andai kata leka dan lalai.

Kita akui bahawa toleransi yang tinggi antara rakyat serta pemimpin pelbagai kaum di negara ini sepanjang lebih lima dekad lalu berjaya membentuk sebuah negara Malaysia yang aman, stabil dan maju. Tetapi malangnya, semakin negara menginjak usia lebih dewasa, semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat nampaknya semakin pudar.

Perpaduan dan keharmonian antara kaum yang selama ini menjadi teras kepada pembangunan negara mula diganggu-gugat keampuhannya oleh anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang menyalakan api kebencian, syak wasangka dan permusuhan melalui pelbagai isu dan sentimen. Memang pada ketika ini pada zahirnya hubungan antara kaum tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda kerosakan.

Tetapi, sampai bila ia mampu bertahan jika ada pihak yang saban hari mengasak dengan bermacam bentuk hasutan serta sentimen agama dan perkauman? Ibarat api yang membakar sekam, sentimen-sentimen berkenaan lama-kelamaan boleh membakar perasaan rakyat secara diam.

Oleh hal yang demikian, senario yang menggugat perpaduan negara dan kaum ini adalah berbahaya dan perlu dibendung segera secara bijak dan tuntas. Kegagalan menanganinya akan memungkinkan kemerdekan dan jambatan perpaduan yang kita bina selama ini akan mengalami keretakan malah keruntuhan andai kita terlalu selesa dengan nikmat yang sedia ada tanpa berusaha menghayatinya dan mempertahankannya.

Advertisements