Sumber : Web JHEAINS

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah Al-Baqarah, ayat 168)

Syaitan itu musuh yang terang nyata bagi manusia, kerana kerjanya menyuruh manusia berbuat kejahatan, perbuatan keji dan berdusta kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:

“Ia (syaitan itu) hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah, apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya)”. (Surah Al-Baqarah, ayat 169)

Halal haram itu suatu yang jelas dan ditentukan hukum dan dalilnya daripada Al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, pendapat ulama muktabar dan qiyas. Daripada Abu Abdullah An-Nu’man ibn Basyir RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya halal itu nyata (jelas terang) dan haram itu juga nyata, tetapi antara keduaduanya ada perkara-perkara musytabihat (kesamaran) yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara syubhah (kesamaran antara yang halal dengan yang haram), maka sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Sesiapa terjerumus melakukan perkara syubhah maka terjerumuslah dia ke dalam perkara yang haram, bagaikan pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah, sesungguhnya kawasan larangan Allah itu ialah perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Ketahuilah (seketul daging) itu ialah hati”. (HR Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan mafhum Hadith ini, beberapa pengajaran penting sebagai panduan terbaik kepada umat Islam dalam memilih apa jua dalam kehidupan seharian ini, sama ada ia berkaitan makan minum, pakaian, pekerjaan, sumber rezeki anak isteri, keluarga dan sebagainya supaya ia dipastikan benar-benar halal di sisi Syarak, antara pengajaran itu, ialah:

1. Umat Islam wajib memilih yang halal. Kerana halal itu baik dan dijamin pahala di sisi Allah SWT.

2. Umat Islam wajib menjauhi yang haram. Kerana yang haram itu menyebabkan dosa.

3. Umat Islam juga wajib meninggalkan perkara-perkara yang syubhah atau yang diragui hukumnya antara halal atau haram.

4. Umat Islam hendaklah berhati-hati dalam melaksanakan perintah agama dan berusaha mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan salah sangka atau kekeliruan di kalangan masyarakat awam serta mengelak diri daripada terjerumus ke tempat yang dimurkai oleh Allah SWT.

5. Umat Islam wajib melaksanakan tugas dakwah dalam memperbaiki hati yang menjadi sebab kebaikan dan keburukan seluruh tubuh badan.

6. Umat Islam juga wajib bekerjasama dalam menutup semua jalan yang boleh membawa kepada perkara-perkara yang haram.

Advertisements