Sumber : Web JHEAINS

Allah SWT menegaskan bahawa orang yang beriman dan berinfak di jalan Allah SWT akan diganjari pahala yang besar. Ini merupakan satu motivasi kepada mereka yang berada dan berkemampuan dari segi harta benda dan wang ringgit untuk memberi sumbangan serta bakti kepada perjuangan membela agama, mengangkat martabat ummah dan mensejahterakan kehidupan masyarakat secara umum.

Dan, seruan untuk berinfak pada jalan Allah SWT kini semakin terasa mengingat bahawa berbagai musibah serta penderitaan hidup melanda saudara-saudara seagama kita di beberapa pelusuk dunia. Pergolakan serta pertumpahan darah yang melanda negara-negara Islam seperti Syria, Iraq, Yaman, Palestin dan lain-lain lagi misalnya, bukan saja telah menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang banyak, malahan telah juga memaksa beratus ribu rakyatnya menjadi pelarian di negara-negara lain.

Manakala umat Islam yang menjadi penduduk minority di Myanmar pula tidak dapat hidup aman dan tenteram kerana ditindas dan diganasi oleh kelompok-kelompok manusia yang kejam dan tidak berhati perut. Bayangkanlah betapa sengsara dan deritanya hidup mereka!

Sudahlah keselamatan dan nyawa mereka sentiasa terancam dengan peluru meriam yang tidak bermata dan serpihan bom yang tidak mengenal mangsa, mereka kekurangan bekalan makanan dan perubatan pula. Sedang anak-anak yang belum memahami dan mengetahui adat resam dunia tidak berpeluang mengikuti system pendidikan yang formal.

Pendek kata, nasib serta kehidupan saudara-saudara Muslim kita yang menjadi mangsa pergolakan dan penindasan itu ibarat nyawa di hujung tanduk. Belum pasti masih adakah hari esok dan masa depan untuk mereka???

Hakikatnya, segala penderitan dan kesengsaraan hidup yang mereka alami tidak dapat digambarkan hanya dengan kata-kata. Yang jelas, betapa berat mata memandang, tentu berat lagi bahu yang memikul. Maka sudah sepatutnyalah kita sebagai saudara seagama prihatin terhadap nasib mereka yang ditimpa musibah mahupun dilanda kesengsaraan hidup tersebut dengan bertindak secara proaktif melakukan sesuatu yang boleh meringankan penderitaan mereka. Untuk tujuan ini, terdapat beberapa tindakan yang mampu dan praktikal untuk dilakukan.

Pertama, berdoa kepada Allah SWT memohon supaya mereka terhindar daripada kesengsaraan hidup yang memanjang selain memohon agar mereka dapat kembali hidup aman damai dan makmur. Kedua, menghulurkan bantuan dalam bentuk material dan wang ringgit. Ketiga, memberi sumbangan tenaga dan keintelektualan bagi memperbaiki keadaan hidup mereka.

Tiga tindakan yang diberikan itu dalam membela golongan yang susah dan teraniaya merupakan tanda kepekaan dan keprihatinan terhadap saudara seagama. Ia sebagai tanda kebersamaan terhadap penderitaan yang mereka alami sekali gus memulihkan keyakinan mereka untuk meneruskan kehidupan kendati dalam keadaan serba kekurangan dan gawat.

Setidak-tidaknya ia dapat merungkaikan sifat keegoan di hati kita, seterusnya menyuntik jiwa prihatin dan penyayang ke dalam jiwa kita. Abu Hurairah RA meriwayatkan sepotong Hadith yang bermaksud;

“Sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah SWT setelah amalan fardu ialah menyebabkan kegembiraan bertakhta di hati saudaranya sama ada dia menghilang kesedihannya atau melunaskan tanggungan hutangnya dan menghilangkan kelaparannya.” (Riwayat Al-Baihaqi).

Bertitik tolak daripada mafhum hadis ini, maka mereka yang berada dan berkemampuan dari segi harta mahupun wang ringgit sangat dianjurkan dan dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan kepada tabungtabung kebajikan yang diwujudkan khusus bagi membantu mangsa perang, bencana alam, anak-anak yatim dan sebagainya.

Jangan sekali-kali merasa rugi membelanjakan harta pada jalan Allah SWT kerana di samping beroleh kepuasan dapat membantu orang lain, mereka yang berinfak juga dijanjikan ganjaran yang berganda-ganda banyaknya dari Allah SWT.