Sumber : Web JHEAINS

Bertuah, beruntung dan berbahagialah, orang yang hidupnya bertaqwa. Kerana hamba Allah SWT yang bertaqwa itu teramat istimewa dan mulia di sisi Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan segala rahmat, kebaikan, keberkatan dan limpah kurnia-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang bertaqwa, beriman dan beramal soleh, antara keutamaan orang yang bertaqwa dan juga sifat taqwa itu, ialah:

1. Orang yang bertaqwa adalah hamba Allah paling mulia. Firman Allah SWT: Maksudnya: “…Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al-Hujuraat, ayat 13)

2. Bertaqwalah dengan memerhati apakah amal-amal soleh untuk hari esok, iaitu hari akhirat nanti. Firman Allah SWT bermaksud : “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan); Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah Al-Hasyr, ayat 18)

3. Sebaik-baik bekalan ialah taqwa, yakni memelihari diri daripada keaifan meminta-minta sedekah. Firman Allah SWT bermaksud : “…Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaifan meminta sedekah dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahami”. (Surah Al-Baqarah, ayat 197).

4. Beruntung sungguh orang yang bertaqwa dikurniakan jalan keluar daripada kesusahan dan rezeki yang tidak disangka-sangka. Firman Allah SWT bermaksud :  “…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. (Surah At-Talaaq, ayat 2-3)

5. Orang bertaqwa dipermudahkan oleh Allah SWT segala urusannya. Firman Allah SWT bermaksud : “…Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya”. (Surah At-Talaaq, ayat 4)

6. Orang bertaqwa diampuni dosanya dan mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT. Firman-Nya di dalam Al-Quran maksudnya: “…dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya dan akan membesarkan pahala balasannya”. (Surah At-Talaaq, ayat 5)

7. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam menjaga zuriat keturunan serta anak yatim. Firman Allah SWT bermaksud : “Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak da’if (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka, oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran)”. (Surah An-Nisaa’, ayat 9)

8. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam melaksana perintah berlaku adil dalam kehidupan bermasyarakat, firman Allah SWT bermaksud : “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah AlMaidah, ayat 8)

9. Sifat taqwa dalam membina bangunan seperti masjid, surau, sekolah dan lain-lain dengan asas taqwa. Firman Allah SWT bermaksud : “Maka apakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan orang yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang yang zalim”. (Surah At-Taubah, ayat 109)

10. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam pakaian dan pakaian taqwa sebaik-baik pakaian. Firman Allah SWT: bermaksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup ‘aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)”. (Surah Al-A’raaf, ayat 26)

11. Sifat taqwa dan bertaqwa dalam membentuk anak isteri dan ahli keluarga, sebagaimana doa di dalam Al-Quran. Firman Allah SWT bermaksud : “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa”. (Surah Al-Furqaan, ayat 74).

12. Hidup bermasyarakat dengan nilai-nilai taqwa. Firman Allah SWT bermaksud : “…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab siksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”. (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Advertisements