Sumber : Web JHEAINS

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap penyakit yang berlaku adalah hasil daripada ketidakseimbangan faktor dalaman dan luaran seseorang itu. Faktor luaran adalah seperti kebersihan diri dan alam sekitar yang menyumbang hampir kepada 80% beban penyakit dunia ini. Dan hanya 20% adalah faktor dalaman seperti sistem imun, ketahanan tubuh, nutrisi serta faktor genetik.

Maka, dalam kerangka penjagaan kesihatan ini, kita dianjurkan supaya mengambil langkahlangkah pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit. Ini kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Dan antara langkah-langkah mencegah penyakit ialah mengawal amalan pemakanan seharian, menjaga kebersihan makanan, pakaian, tempat dan persekitaran selain suntikan vaksin imunisasi.

Peringatan ini diberikan ekoran penyakit difteria yang dilaporkan telah menyebabkan lima kes kematian daripada 13 kes yang disahkan dijangkiti difteria di Negara ini. Menurut sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia, tiga kes dikesan di Melaka dengan satu kematian, Kedah (enam kes dengan satu kematian) dan Sabah (empat kes dengan tiga kematian).

Kes-kes di Sabah dilaporkan berlaku secara sporadik (terpencil) dan tiada hubung kait antara satu sama lain, manakala kes difteria di Kedah dan Melaka adalah kejadian kluster dalam keluarga. Sehubungan dengan penyakit penyebab maut tersebut, ibu bapa perlu terus komited membawa anak-anak masing-masing untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual sebagai langkah pencegahan.

Langkah baik ini diharap akan berkekalan demi memastikan kesihatan anak serta kesihatan umum sentiasa terpelihara melalui imuniti kelompok, seterusnya penyakit cegahan vaksin tidak menjadi masalah kesihatan awam lagi. Keengganan ibu bapa memberi suntikan vaksin dan imunisasi yang menjadi punca merebaknya jangkitan penyakit yang membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa kanak-kanak, boleh disifatkan sebagai satu penganiayaan kepada kanak-kanak.

Apabila ditimpa penyakit setelah diambil langkah-langkah mencegah penyakit, maka janganlah merintih mengenang nasib malang dan menyalahkan keadaan. Ini kerana, musibah kesakitan mempunyai hikmah tersendiri. Antaranya adalah untuk menyedarkan kita bahawa kesulitan dan kesusahan seperti ditimpa penyakit merupakan sebahagian daripada lumrah kehidupan manusia di dunia ini sebagaimana dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesusahan (jasmani dan rohaninya).” (S. Al-Balad: 4).

Justeru, andai kata ditimpa penyakit, bertenanglah dan jangan berputus asa. Berusahalah mencari penawar kerana Allah SWT tidak menurunkan suatu penyakit itu kecuali diturunkan bersamanya ubat. Ini sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menjadikan sesuatu penyakit melainkan dijadikan baginya ubat, tetapi jangan berubat dengan sesuatu yang haram.” (HR At-Tirmizi).

Kesimpulannya, sebagai langkah mencegah ditimpa petaka di dunia dan di akhirat, perbanyakkanlah ibadat kepada Allah SWT dan tingkatkan amal kebajikan. Mudah-mudahan Berjaya di dunia dan di akhirat.

Advertisements