YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Tazkirah Ramadhan (21)

Jika anda mahu makan rasuah, besar atau kecil atau mega, berbentenglah dalam kubu UMNO. Anda akan selamat. Sejak regim Tun Mahathir lagi, kubu itu dibina kukuh dan kini ia bagai sebuah kota yang ampuh. Tiada siapa boleh meruntuhkannya lagi.

Tetapi jika anda mahu lebih selamat, berbentenglah dalam kubu taqwa. Daripada makan rasuah, anda sebaliknya selamat daripada dimakan rasuah. Sejak zaman nabi Muhammad saw lagi, taqwa adalah sebuah kota yang tersergam megah bagi membentengi para penguasa dan rakyat daripada dimakan barah rasuah.

Semoga berbahagialah Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Tan Sri Ustaz Hj Azizan bin Abdul Razak yang telah kembali kepada Penciptanya dengan puji-pujian tanpa dipalit dosa rasuah.

Semoga istiqamahlah Dato Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bin Awang yang telah berjaya memimpin negeri Terengganu tanpa palitan dosa rasuah untuk terus memimpin PAS dan mengajak ummah untuk berbenteng dengan kota Islam yang kukuh.

Yang paling mulia daripada kalangan manusia adalah yang paling bertaqwa kepada ALLAH. Taqwa adalah impian tertinggi bulan Ramadhan al mubarak. Marilah bersama kita berikrar menolak dan memerangi rasuah. Rasuah adalah musuh utama negara. Ia ketagihan para penguasa tanpa taqwa.

*****

Tazkirah Ramadhan (22)

Takut kepada ALLAH itu bermula dengan mengenal ALLAH. Mengenal ALLAH bermula dari kotak fikir yang murni. Ia kemudiannya menjalar ke dalam hati lalu membersihkannya daripada syirik.

Hati yang bersih menyinarkan kesemulajadian fitrah yang telah sedia tercipta dalam diri mengenali dan memperakui ALLAH sebagai ILAH yang disembah. Fitrah yang suci itulah yang menggegarkan seluruh tubuh badan dek takut dan taqwa kepada ALLAH.

Ramadhan berakhir dengan Eidul Fitr, hari raya bagi meraikan kejayaan diri menyucikan fitrah daripada kelam noda duniawi dalam diri. Ia hari bersyukur di atas sebesar-besar nikmat-NYA ke atas hamba-NYA yang terpilih.

Jika dirimu ingin tahu, sudah berjayakah dirimu memenangi Ramadhan, maka janganlah engkau sekadar membilang banyak mana solatmu, qiammu, tilawahmu, sedekahmu dan zikirmu. Tetapi kembalilah ke lubuk hatimu dan tanyakan, adakah engkau sedang merasai kehangatan takut dan cinta kepada tuhanmu?

Itulah cinta dan takut yang akan membawamu menuju kejayaan hidup pada menjunjung tauhid dan menolak syirik. Engkau menjadi tenteram dengan solat dan tadabbur al Quran. Engkau menjadi pejuang siang dan malam melangsai amanah menegakkan syariat ALLAH di muka bumi. Engkau bangga dan bersyukur menjadi umat nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم.

*****

Tazkirah Ramadhan (23)

Rahmat dan kasih sayang ALLAH adalah untuk semua hamba-NYA yang berdosa kecuali:
– Mereka yang takbur dan sombong.
– Mereka yang bangga dan bersahaja dengan dosanya.
– Mereka yang menentang ugama dan syariat-NYA.
– Mereka yang putus asa daripada rahmat dan kasih-NYA.

Maka marilah berazam untuk menjauhi sifat-sifat terkeji tersebut dengan sentiasa khusyu’, hina diri di hadapan-NYA, sedih dan menyesal terhadap dosa, menyokong dan memperjuangkan ugama-NYA serta yakin dengan kerahmatan dan belas kasih daripada-NYA.

*****

 

Advertisements